Gabungan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan kaum
semestinya menjadi sesuatu yang unik dan istimewa. Selain wujud kepelbagaian
bangsa dan kaum yang terhimpun dibawah satu entiti negara bangsa, ianya
sekaligus dapat membuka ruang dan peluang kepada setiap anggota masyarakat
untuk saling berhubung dan mengenali antara satu sama lain. Pastinya sikap
mengenali perbezaan antara bangsa dan kaum ini tidak lain adalah bertujuan
untuk mewujudkan perasaan hormat-menghormati dan bertoleransi dalam hal yang
dipersetujui. Sikap mengenali antara satu sama lain ini juga merupakan tujuan penting
Allah jadikan umat manusia itu dengan latar yang berbeza. Hal ini menjelaskan
bahawa sepatutnya setiap unsur perbezaan itu tidak dijadikan bahan cemuhan
tetapi menjadi platform untuk saling berkenalan.
Kewujudan perbezaan yang tidak diurus dengan betul tentunya akan
mengundang malapetaka dan musibah besar kepada sosiologi kehidupan. Oleh kerana
itu, dalam memastikan kesejahteraan negara terus dijamin dan dipelihara, setiap
anggota masyarakat perlu bertanggungjawab berpegang kepada prinsip agama dengan
ajaran yang betul supaya tidak mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Dasawarsa
ini, sedar mahupun tidak, kewujudan istilah "Kafir Harbi"
seringkali kedengaran dan diungkapkan oleh pihak tertentu. Dalam konteks negara
Malaysia, istilah kafir harbi seringkali menjadi antara senjata politik untuk
menyerang dan memburukkan musuh mereka. Selain itu, istilah ini juga tidak
kurang banyak juga diulas diatas meja-meja kuliah dan ceramah. Soal yang lebih
penting ialah bagaimana konotasi istilah ini difahami dengan betul berdasarkan
neraca syariat Islam.
Pada sudut istilah kafir Harbi ini, ianya merupakan suatu frasa
yang telah digunakan oleh para sarjana Islam sejak berzaman lagi. Ini kerana
dalam persoalan politik, kumpulan orang kafir itu telah dibahagikan kepada
beberapa bahagian yang antara lainnya disebutkan sebagai kafir Musta'man,
kafir Mua'had, kafir Zimmi dan kafir Harbi. Menurut Syeikh
Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti dalam kitabnya, Syarh Zad al-Mustaqni',
secara ringkas, kafir Musta'man merujuk kepada maksud orang kafir yang
bermusuhan yang memasuki wilayah orang Islam dengan aman. Kafir Mua'had pula
bermaksud orang kafir yang memeterai perjanjian damai dengan orang Islam.
Selain kafir Zimmi pula dimaksudkan sebagai oramg kafir yang tinggal bersama
orang Islam serta dilindungi mereka dan diberikan pembelaan. Mereka dikenakan
cukai sebagai ganti kepada perlindungan dan keberadaan mereka di negara Islam.
Istilah Kafir Harbi menurut dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah, bermakna orang kafir yang tidak termasuk dalam perjanjian
zimmah, dan mereka tidak menikmati keamanan atau perjanjian antara mereka dan
orang Islam. Selain itu, dalam kitab Syarh Zad al-Mustaqni', al-Syanqiti
menyebutkan bahawa kafir harbi sebagai mereka yang mempunyai persengketaan dan
permusuhan dengan umat Islam walaupun mereka berada dalam gencatan senjata
dengan orang Islam. Turut menjelaskan maksud kafir Harbi adalah al-Marhum Dr.
Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Fiqh Jihad. Beliau menegaskan bahawa
kafir Harbi ialah golongan bukan Islam yang menolak dan menentang Islam selain
menyatakan permusuhan dengan kaum muslimin dan tidak mempercayai negara Islam
dalam melaksanakan perjanjian zimmah atau perjanjian perlindungan. Mereka
tinggal di negara yang disebut sebagai dar al-harb, iaitu negara yang tidak
menerapkan hukum-hakam Islam. Maka, hukum yang dilaksanakan kepada mereka
adalah berbeza dengan zimmi.
Pembahagian kategori kafir ini dibuat berasaskan kepada status
negara yang diduduki oleh orang Islam. Dalam usaha menentukan negara Islam atau
negara kufur, ianya diukur berdasarkan ijtihad para ulama. Hal ini sebagaimana
yang telah disebutkan oleh Syeikh 'Atiyyah Saqr dalam kitab Fatawa al-Azhar,
beliau menjelaskan bahawa :
"Sesungguhnya pembahagian negara kepada negara kufur dan Islam
adalah perkara ijtihadi berdasarkan realiti semasa pada zaman para imam
mujtahid tersebut berijtihad. Ini kerana tidak terdapat sebarang nas sama ada
daripada al-Quran atau al-Sunnah. Golongan muhaqqiqin dalam kalangan ulama
mengatakan : Sesungguhnya asas kepada menghukum sesebuah negara itu negara
Islam atau negara perang adalah keamanan untuk mengamalkan agama, iaitu
sehingga seseorang muslim itu tinggal dalam sebuah negara yang tiada agama atau
agamanya selain Islam, namun dia masih dapat mengamalkan syiar agamanya dengan
bebas maka ia adalah negara Islam, bermakna dia tidak wajib untuk berhijrah
keluar darinya.."
Oleh itu, berdasarkan pemahaman ini, dalam usaha menentusahkan sama
ada sesebuah negara itu ialah negara Islam atau sebaliknya bergantung kepada
keamanan orang Islam dalam melaksanakan suruhan agama. Jika di sebuah negara
itu, umat Islam tidak dihalang untuk melakukan suruhan agamanya, maka negara
tersebut dikategorikan sebagai negara Islam. Sebaliknya, jika terdapat halangan
atau kekangan untuk umat Islam melaksanakan suruhan agama, maka tentunya negara
tersebut dikategorikan sebagai negara kafir. Selain kita tidak menafikan,
terdapat juga perbezaan dikalangan para ulama lain dalam usaha menentusahkan
antara negara Islam dan negara kufur. Sebahagian para ulama lain seperti Syeikh
'Abd Wahab Khalaf dalam karyanya, As-Siyasah asy-Syar'iyyah, beliau
menjelaskan bahwa negara Islam adalah negeri yang berlaku di dalamnya
hukum-hukum Islam dan keamanan negeri itu dibawah keamanan kaum muslim. Adapun
negara kafir adalah negeri yang tidak berlaku di dalamnya hukum-hukum Islam dan
keamanan negeri itu tidak dijamin oleh kaum muslim.
Selain itu, berdasarkan pandangan para ulama dalam empat mazhab,
negara Islam bermaksud setiap kawasan yang didirikan di dalamnya hukum-hakam
Islam secara terang-terangan atau secara zahir. Perkara ini seperti yang
dinukilkan dalam banyak kitab antaranya kitab Badai' al-Shanai', al-Mabsut
dan Kasysyaf al-Qina'. Menurut pandangan oleh Imam Abu Hanifah seperti
yang dinukilkan dalam kitab Fatawa al-Azhar, beliau menyatakan bahawa
asas hukum adalah keamanan seseorang muslim. Sekiranya dia aman dengan sifatnya
sebagai seorang muslim, maka negara tersebut adalah negara Islam, jika tidak
maka ia negara kufur. Walau apapun kaedah atau metode pemahaman yang digunakan
dalam usaha menentusahkan antara negara Islam atau kufur, istilah kafir Harbi
tetap merujuk kepada mereka yang sememangnya bersengketa dengan umat Islam
walau dimana sahaja mereka berada. Ini kerana peperangan dan permusuhan mereka
bukan terletak kepada status negara tetapi terfokus kepada agama yang
dimusuhinya iaitu agama Islam. Maka dapat kita fahami bahawa kafir Harbi
merupakan suatu istilah yang ada tempat letaknya dengan ciri-ciri seperti yang
telah dinyatakan.
Demikianlah definisi berkaitan istilah kafir Harbi. Dalam konteks
Malaysia, setelah kita meneliti penjelasan ciri-ciri tersebut, maka tidak ada
sesiapa orang bukan Islam di negara ini yang boleh dijustifikasikan sebagai
kafir Harbi. Ini kerana setiap mereka yang terdiri daripada yang bukan Islam,
mereka telah hidup di negara ini sebagai warganegara yang bukan sahaja
mempunyai tanggungjawab dan peranan yang sama dengan orang Islam dari sudut
membangunkan negara malah telah menjadi jiran, ahli komuniti dan masyarakat
yang baik kepada Islam dalam erti kata tidak memusuhi Islam secara
terang-terangan, tidak menghalang pengamalan Islam dilaksanakan dan lain-lain.
Sekiranya terdapat perbezaan pandangan dalam soal pengurusan dan pentadbiran
negara, ketidaksetujuan tersebut berlaku diatas konsensus politik dan bukannya
berbeza menentang agama. Kita harus jujur dan lebih adil dalam perkara ini.
Supaya kita tidak bermudah untuk melabel itu ini hanya kerana perbezaan yang
dilihat dari sudut lain. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan