Jumaat, 2 Ogos 2024

SISTEM PERCUKAIAN DALAM ISLAM

 

Sesebuah ketamadunan yang dibina oleh umat manusia tidak dapat boleh menafikan tentang kepentingan pembangunan ekonomi yang menjadi antara tulang belakang kejayaan sesebuah negara. Umat manusia dari zaman ke zaman lagi, sentiasa mengorak langkah menyusun gerak berusaha mencari peluang menjana ekonomi yang tentunya untuk mendapat manfaat dan pulangan yang baik. Turut berfungsi memainkan peranannya ialah institusi pemerintahan yang mempunyai kuasa merangka dan melaksanakan pelbagai dasar demi mengaut pendapatan untuk negara. Antara dasar yang hampir seluruh dunia melaksanakannya adalah dasar percukaian. Melalui percukaian yang dipungut, secara tidak langsung membantu sesebuah negara merancang pembangunan.

Perkataan cukai menurut kamus Dewan Bahasa membawa maksud bayaran yang dikenakan oleh kerajaan terhadap orang perseorangan, perbadanan, syarikat dan barang-barang untuk perbelanjaan negara. Istilah cukai juga sebagaimana yang dijelaskan maksudnya oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OCED) sebagai suatu pajakan yang bersifat diskriminasi terhadap barang atau jasa yang mempunyai kesan luaran tertentu dan mempunyai sifat mewah. Dalam catatan sejarah dunia Islam, sistem percukaian telah bermula pada zaman Rasulullah SAW menerusi pembentukan Piagam Madinah. Dalam piagam tersebut, ditetapkan bayaran yang disebut sebagai "Jizyah" untuk orang bukan Islam dan zakat untuk orang Islam.




Setelah Islam berkembang luas, pada zaman khalifah Umar al-Khattab, beliau telah memperkemaskan lagi sistem percukaian ini dengan melaksanakan beberapa cukai lain seperti cukai al-Kharaj (cukai tanah), cukai al-'Usyur (cukai perdagangan) dan selainnya. Begitulah jika dilihat dalam kerangka sejarah dunia Islam berkaitan pengenalan sistem percukaian. Namun begitu, selari dengan kebijaksanaan umat manusia yang sentiasa mahu berfikir, sistem percukaian ini telah menjadi isu polimik dikalangan segelintir umat Islam yang melihat bahawa sistem cukai tersebut tidak seharusnya dikenakan terhadap mereka yang beragama Islam. Ini kerana pada zaman Rasulullah SAW, tiada seorang pun orang Islam yang dikenakan cukai melainkan dikutip daripadanya ialah zakat. Apakah benar dakwaan bahawa Islam melarang umatnya dari dikenakan sebarang percukaian ? Jika benar, apakah adil untuk orang Islam dan orang bukan Islam ?

Sebenarnya isu percukaian ini merupakan perkara yang letak duduknya di dalam ruang lingkup pentadbiran hal ehwal negara umat Islam. Bila dilihat dalam ruang lingkup itu, tentunya pihak pemerintah yang mentadbir hal ehwal negara tersebut mestilah menilainya dengan teliti menggapai aspek kebaikan (maslahah) dan menolak kemudaratan selagi hal tersebut tidak bercanggah dengab tuntutan syarak. Ini bermakna, bagi menentukan dasar percukaian bukan sahaja melihat pada aspek keagamaan Islam dan bukan Islam, tetapi perlu juga diteliti aspek kebaikan bersama sebagai rakyat dan berusaha untuk mengelakkan dari sebarang mudarat pada kesejahteraan hidup bernegara. Dalam nilai hukum Islam, para sarjana Islam berbeza dalam menyatakan pandangan hukum mengenakan atau melaksanakan kutipan cukai terhadap rakyat. Perbezaan pandangan ini memperlihatkan kepada kita sekurang-kurangnya terdapat dua golongan yang berbeza pandangan .




Bagi golongan pertama, mereka menyatakan bahawa hukum haram mengenakan cukai atau melaksanakan kutipan cukai terhadap rakyat. Pandangan ini sebagaimana yang telah diungkapkan oleh para sarjana terdahulu seperti Ibnu Muflih, al-Buhuti, al-Hijawi dan Ibnu al-Azraq. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami turut menjelaskan bahawa pengutip cukai, penulisnya, saksinya, penjaganya, wakil-wakilnya, dan selain yang berkaitan dengan kutipan cukai merupakan dosa besar pembantu kezaliman, bahkan memungut cukai itu sendiri merupakan suatu kezaliman. Para pengutip cukai mengambil harta manusia secara haram dan mengagihkannya kepada orang yang tidak berhak. Oleh sebab itu, pengutip cukai tidak masuk syurga kerana dagingnya tumbuh daripada sumber-sumber haram. Selain itu, dikalangan para sarjana terkemudian seperti Mulla `Ali bin Sultan al-Harawi al-Qari turut menyatakan bahawa kutipan cukai sebagai suatu bentuk kezaliman.

Bagi golongan pertama yang menyatakan hukum haram, mereka berhujah berdasarkan al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Berdasarkan ayat tersebut, mereka berpandangan bahawa mengutip cukai adalah sebahagian daripada bab mengambil harta yang bukan menjadi hak untuk diambil. Selain itu, mereka juga berhujah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Ahmad, daripada Ruwaifi' bin Thabit berkata, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya pemimpin yang mengenakan al-Maks (sebahagian ulama menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka.”




Bagi golongan kedua, mereka menyatakan hukum harus mengenakan cukai atau mengutip cukai kepada rakyat. Bagi mereka, adalah harus untuk mengenakan cukai kepada rakyat dengan kadar untuk memenuhi kebaikan umum pentadbiran negara. Pandangan ini telah dinyatakan oleh Ibn Hazm, Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Musili al-Syafi'i, al-Syatibi dan Ibn Khaldun. Turut menyatakan pandangan yang sama ialah Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Imam al-Mawdudi, al-Qaradhawi dan Syeikh Dr. Ahmad al-Raysuni. Seperti kata al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menjelaskan bahawa :

“Jika seseorang pemimpin yang ditaati oleh rakyatnya berhajat untuk menambah bilangan tentera untuk menjaga perbatasan negara serta memelihara kestabilan kuasa yang semakin luas kepada tanah jajahan yang lain, sedangkan sumber perbendaharaan negara dalam Baitulmal sudah habis, serta keperluan tentera semakin meningkat dan perbelanjaan tidak mencukupi, maka pemimpin - dengan syarat beliau seorang yang adil - boleh mengenakan cukai kepada rakyat yang kaya bagi memenuhi keperluan tersebut. Sehinggalah perbendaharaan negara dalam Baitulmal sudah kembali mencukupi..."

Golongan kedua yang menyatakan hukum harus mengenakan cukai, mereka berhujah berdasarkan firman Allah dalam surah al-Taubah ayat 41 yang bermaksud :

“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Menurut al-Qaradhawi, Ibn Hazm dan Ibn Taimiyyah, berdasarkan ayat tersebut, kewajipan berjihad dengan mengeluarkan harta tidak termasuk kewajipan membayar zakat. Ini membuktikan bahawa selain daripada wajib membayar zakat, umat Islam juga wajib mengeluarkan hartanya untuk berjihad. Dan antara urusan jihad ialah kerajaan memerlukan perbelanjaan ketenteraan bagi menjamin keselamatan negara. Oleh itu, kerajaan boleh mengenakan cukai sebagai salah satu cara memenuhi maslahah tersebut. Selain itu, mereka turut berhujah berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat al-Tirmizi, daripada Fatimah binti Qais, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya dalam harta itu ada hak yang wajib dikeluarkan selain zakat.”

Demikianlah pandangan kedua-dua golongan dalam permasalahan percukaian. Berdasarkan kepada perbezaan tersebut, pandangan kedua yang menyatakan hukumnya harus dilihat lebih kuat selain pandangan kedua ini menjadi pendapat majoriti para ulama termasuk para imam pendiri mazhab iaitu Imam Malik, Imam al-Syafie'i dan Imam Hanbali. Selain itu, pandangan harus ini juga menepati sebagaimana yang dibuat oleh Umar al-Khattab yang mengembangkan sistem percukaian dengan cukai-cukai baharu. Ini secara tidak langsung, menggambarkan kepada kita bahawa pihak pemerintah atau kerajaan berhak untuk mengenakan cukai demi kemaslahatan (kebaikan) bersama. Oleh itu, turutilah arahan pemerintah dengan membayar cukai agar kesejahteraan negara terjamin selain diberkati warganya oleh Allah SWT kerana mentaati pemerintah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan