Setiap manusia perlu sedar tentang suatu kebenaran mengenai hakikat
kehidupan di dunia ini. Hampir seluruh agama dan kepercayaan yang wujud di muka
bumi ini menyebut hal yang sama tentang dunia ini iaitulah akan adanya alam
lain setelah kita mati meninggalkan dunia yang sementara ini. Semua manusia
tanpa terkecuali sesiapa pun, akan dan pasti bertemu dengan namanya kematian.
Kematian adalah sesuatu pasti berlaku. Ianya benar-benar berlaku dan bukan
sekadar teori di buku. Kematian tidak mensyaratkan umur tua ataupun muda, tidak
menunggu waktu sakit atau sihat. Sampai waktu dan ketikanya, kita semua akan
pulang kembali ke pangkuan Tuhan yang Maha Esa. Dalam Islam, apabila seseorang
manusia itu meninggalkan dunia ini, ianya adalah sebuah perpindahan alam dari
alam dunia bergerak ke alam lain yang disebutkan sebagai alam barzakh.
Ungkapan "Barzakh" berasal dari bahasa
Arab. Pada pemahaman istilah barzakh, menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan
al-Arab, alam barzakh bermaksud suatu tempat di antara dunia dan akhirat
sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar, iaitu daripada waktu mati hinggalah
dibangkitkan. Jadi, sesiapa yang mati bermakna dia telah memasuki alam barzakh.
Imam al-Razi dalam kitabnya Mukhtar as-Sihah menyebut maksud barzakh
ialah dinding pembatas antara dua benda. Ia juga membawa maksud apa yang
terdapat di antara alam dunia dan alam akhirat sejak dari waktu kematian
seseorang sehingga dia dibangkitkan. Jadi sesiapa yang mati maka bermaksud
dirinya telah masuk ke dalam alam barzakh. Selain itu, dikalangan para ahli
tafsir seperti Imam al-Qurtubi dalam kitabnya al-Jami' li Ahkam al-Quran,
beliau menyatakan bahawa barzakh itu alam di antara kematian dan kebangkitan.
Secara ringkasnya, alam barzakh dapat difahami sebagai suatu alam
perantaraan yang memisahkan manusia antara dunia dan akhirat. Alam barzakh atau
lebih difahami sebagai alam kubur adalah merupakan salah perkara yang
dikategorikan sebagai perkara Sam'iyyat (السمعيات).
Perkara Sam'iyyat bermakna beberapa perkara bersifat ghaib (tidak
nampak) yang tidak dapat digambarkan dengan pancaindera manusia selain perkara
tersebut berlaku diluar batas akal fikiran manusia dan untuk mengetahui
perkara-perkara Sam'iyyat ini hanyalah dapat dipelajari atau diketahui melalui
penjelasan oleh wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Hadith. Tidak ada cara lain
untuk mengetahuinya kecuali penjelasan dan keterangan oleh wahyu Allah. Oleh
kerana itu, bagi memahami dan menelusuri hakikat kehidupan di alam barzakh,
kita wajib melihat dan memahaminya dengan mengambil keterangan daripada
al-Quran dan al-Hadith.
Berkenaan kehidupan di alam barzakh, pertama sekali harus kita
fahami bahawa pada alam tersebut, manusia akan terbahagi sekurang-kurangnya
kepada dua golongan. Golongan pertama merupakan mereka yang memperolehi nikmat
yang pelbagai dan golongan kedua pula iaah mereka yang menerima balasan azab.
Pembahagian ini sepertimana yang disebut oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam
sebuah hadith riwayat Tirmidzi, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
"Kubur itu sama ada taman dari taman-taman syurga atau lubang
dari lubang-lubang neraka"
Oleh itu, kita percaya dan yakin dengan penuh keimanan kepada Allah
SWT akan adanya nikmat dan azab seksaan di alam barzakh. Dalam banyak hadith
yang direkodkan, diceritakan di alam barzakh, bagi mereka yang berikan dan
beramal soleh, akan memperolehi nikmat seperti kubur diterangi cahaya dan
dilapangkan, diperlihatkan syurga, memperoleh wangian dan haruman daripada syurga.
Manakala bagi mereka yang tidak beriman dan beramal soleh, akan mendapat azab
seksaan seperti diperlihatkan neraka, disempitkan kuburnya dan diremukkan
tulang belulangnya selain dipukul oleh malaikat. Demikian apa yang dikhabarkan
oleh Nabi berdasarkan hadith-hadith baginda. Dalam satu hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, baginda Nabi menyebut manusia akan diperlihatkan tempat tinggalnya
selepas dibangkitkan di alam akhirat sama ada akan tinggal di syurga ataupun
sebaliknya di neraka. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya apabila seseorang di antara kamu meninggal
dunia, ditampakkan kepadanya tempat tinggalnya (nanti) di waktu pagi dan
petang. Apabila (yang ditampakkan) ahli syurga, ia termasuk ahli syurga.
Sebaliknya, apabila (yang ditampakkan) ahli neraka, ia termasuk ahli neraka.
Kala itu dikatakan kepadanya, "Inilah tempatmu sampai nanti saatnya Allah
membangkitkan kamu di hari kiamat."
Selain itu, di alam barzakh juga manusia akan dipertanggungjawab
diatas segala perbuatan baik buruk yang dilakukannya. Sejurus selepas semua
yang mengiringi jenazah bergerak berlalu pergi meninggalkan tanah kubur, maka
manusia akan disoal oleh dua malaikat yang disebut sebagai Munkar dan Nakir.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW melalui satu
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Sesungguhnya hamba yang mati apabila diletakkan dalam
kuburnya dan rakan taulannya berpaling pulang darinya sedangkan ketika itu, dia
masih mendengar bunyi tapak sepatu atau selipar mereka. Ketika itu datanglah
dua malaikat kepadanya lantas mendudukkannya seraya bertanya apakah yang kamu
katakan tentang lelaki ini yakni Muhammad SAW ? Adapun orang yang beriman
nescaya menjawab aku bersaksi bahawa dia adalah hamba Allah dan
rasul-Nya.."
Dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi, dinukilkan ungkapan oleh
al-Munawi dan al-Mubarakfuri yang bermaksud :
"Sesungguhnya Munkar dan Nakir merupakan malaikat yang menyoal
hamba-hamba apabila mereka keluar daripada dunia (sesudah mati). Sebab dinamakannya
kerana dia mengingkari hamba yang ditanya kedua-duanya dalam bentuk tidak
mengenalinya serta tidak melihatnya sebelum itu seperti bentuknya".
Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyebut dalam kitabnya Fath
al-Bari, terdapat satu riwayat daripada al-Tabarani dalam al-Ausat
pada menyatakan sifat kedua-duanya iaitu Munkar dan Nakir. Katanya mata
kedua-duanya seperti cairan tembaga dan taringnya seperti duri atau tanduk
lembu yang tajam, sedangkan suaranya seperti guruh. Pendapat seumpamanya oleh
Abdul Razzaq daripada Mursal Amr ibn Dinar dan ditambah dengan kedua-duanya
menggali dengan menggunakan taring dan memijak pada bulu kedua-duanya. Selain
itu, tempoh kehidupan di alam barzakh tidak sama seperti tempoh kehidupan di
dunia. Hal ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran
menerusi surah al-Ma'arij ayat 4 yang bermaksud :
"Jalan para malaikat naik mengadap Tuhan dalam sehari seperti
lima puluh ribu tahun bagi orang yang berdosa kerana banyak hitungan
hisab".
Berdasarkan penjelasan ayat ini, disebut secara zahir sehari
perjalanan para malaikat di alam lain bersamaan dengan 50 ribu tahun tempoh
masa di alam dunia. Ketika mengulas ayat ini, Imam al-Tabari menyebut dalam
kitab tafsirnya dengan menyatakan bahawa disebutkan kadar tempoh masa naik para
malaikat tersebut ialah sehari yang bagi makhluk-makhluk selain mereka dengan
50 ribu tahun. Hal ini kerana para malaikat naik daripada penghujung tempat
yang paling rendah di bawah tujuh petala bumi sehingga pengakhirannya di atas
tujuh petala langit. Tafsiran yang kami sebutkan ini juga disebutkan para ulama
tafsir yang lain. Demikian ulasan dan penjelasan oleh Imam al-Tabari. Justeru,
jelas kepada kita terdapat perbezaan tempoh masa antara kehidupan di alam
barzakh dan di alam dunia yang sementara ini.
Barangkali ada juga yang terfikir apakah mereka yang berada di alam
barzakh dapat melihat sesiapa yang datang menziarahi kuburnya. Dalam persoalan
ini, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam
kitabnya al-Ruh, berdasarakan hujah dan bukti yang terdapat dalam hadith
Nabi, beliau menyatakan bahawa orang yang sudah meninggal dunia dapat
mengetahui kehadiran orang yang menziarahinya. Dalam satu hadith riwayat
Bukhari, diceritakan bahawa Nabi SAW memerintahkan untuk mengumpulkan para
korban perang Badar dari kalangan kafir Quraisy dan melemparkan ke dalam sebuah
lubang bekas perigi. Kemudian baginda memanggil nama mereka yang terkorban itu
satu persatu lalu bertanya tentang kebenaran janji Tuhan mereka. Perbuatan
bercakap dengan kubur tersebut membuatkan Umar al-Khattab bertanya bagaimana
mungkin Nabi bercakap dengan mereka yang sudah menjadi mayat. Maka baginda
menjawab bahawa sesungguhnya mereka lebih mampu mendengar tetapi mereka tidam
mampu menjawab.
Demikianlah sebahagian penjelasan berkenaan kehidupan di alam
barzakh, alam yang bakal dan pasti di duduki oleh kita semua. Kita semua adalah
calon penghuni alam barzakh. Hanyasanya yang memisahkan kita adalah masa dan
ketikanya. Untuk itu, sebagai orang yang beriman, kita wajib percaya akan
segala kehidupan di alam barzakh berdasarkan keterangan dan penjelasan oleh
wahyu Allah Jalla Wa 'Ala. Selain itu, kita juga dituntut untuk melakukan
persediaan menghadapi alam barzakh dengan cara mentaati dan menuruti akan
segala perintah Nya dan menjauhi serta meninggalkan segala larangan Nya.
Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan di alam barzakh itu adalah benar.
Nikmat dan azab seksaan itu juga adalah benar. Pertanyaan di alam barzakh juga
adalah benar. Marilah bersama sementara peluang masih ada, mengutip permata
pahala dan membuang kaca dosa agar kelak kita tidak disusahkan oleh Allah,
Tuhan yang Maha Berkuasa. Semoga Allah mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan