Kebersihan adalah sesuatu yang penting dalam kamus kehidupan
sebagai seorang manusia. Tidak salah atau tidak keterlaluan untuk kita katakan
bahawa manusia yang suka hidup dalam kekotoran adalah mereka yang tidak normal
dan diluar kewarasan sebenar. Ini kerana sebagai manusia yang waras akalnya
pasti tidak akan memilih berada dalam keadaan yang menjijikkan. Bau busuk
sekalipun pada dirinya dirasai biasa tetapi pasti akan menganggu kehidupan
orang lain yang lebih waras akalnya. Islam sebagai agama yang mengajar cara
hidup yang menyeluruh, sangat menekankan tentang konsep bersuci dan menjaga
kebersihan. Ketegasan Islam dalam hal ini dapat dilihat sebagaimana Islam itu
sendiri melalui pensyariatannya memberikan garis panduan dan pedoman dalam
bersuci sekaligus menuntut umatnya agar memelihara kebersihan dalam segenap
aspek hidup.
Hakikatnya, dalam Islam, perkara yang melibatkan soal kebersihan
dan kekotoran ini mempunyai kaitannya dengan pahala dan dosa. Islam adalah
agama yang mewajibkan umatnya menyucikan diri. Apatah lagi dalam urusan ibadah
yang bersifat khusus, umat Islam diwajibkan menyucikan diri dari hadas besar
dan kecil sebelum hendak melakukan ibadah utama seperti solat fardhu lima
waktu, menunaikan ibadah haji dan selainnya. Oleh itu, salah satu syarat sah
juga dalam ibadah solat ialah bersih dan suci dari hadas baik hadas besar
mahupun hadas kecil. Begitu juga dalam menunaikan ibadah haji, suci dan bersih
menjadi elemen terpenting melaksanakan haji. Bercakap soal menjaga kebersihan,
Allah SWT di dalam al-Quran telah menyebut bahawa salah satu golongan yang
dicintai Nya ialah mereka yang suka menjaga kebersihan. Hal ini sebagaimana di
dalam surah at-Taubah ayat 108, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :
"Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka
(mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya ; dan Allah mengasihi
orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)"
Berdasarkan kefahaman ayat ini, Allah SWT dengan penuh kemuliaan
dan kebesaran Nya, telah mengiktiraf golongan hamba Nya yang menjaga kebersihan
sebagai golongan yang dikasihi dan dicintai oleh Allah Azza Wa Jalla. Ini
sekaligus mengangkat martabat insan yang sangat mementingkan nilai kebersihan
dalam kehidupan. Selain itu, dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi
SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah
itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan.
Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu
tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi".
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah SWT itu menyukai
kebersihan. Maka menjaga kebersihan bukan sahaja mendatangkan perasaan
disenangi oleh orang di sekeliling kita bahkan disukai juga oleh Allah SWT.
Dalam ajaran agama Islam, kepentingan menjaga kebersihan juga mempunyai
kaitannya dengan keimanan kepada Allah. Ini sepertimana yang telah dinyatakan
oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
“Kebersihan itu sebahagian daripada iman”.
Demikian betapa tegasnya Islam memandang persoalan kebersihan
sebagai suatu yang penting dan bukan sahaja dituntut bersih pada sudut zahir
semata-mata bahkan Islam turut menuntut umatnya bersih pada sudut batin yakni
bersih daripada sifat-sifat kekejian yang boleh merosakan nilai iman dan amal.
Tuntutan bersuci dan bersih dalam ajaran Islam, baik bersih dan suci pada sudut
zahir mahupun batin, kedua-duanya adalah sama penting untuk memeliharanya. Telah
berkata Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah berkenaan sunnah menjaga kebersihan,
beliau berkata yang bermaksud :
"Bahawasanya sunnah Rasulullah SAW datang dengan membawa
ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia,
sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran
rohani"
Inilah istimewanya agama Islam yang bukan sahaja menitikberatkan
tentang soal kebersihan yang zahir iaitu yang boleh dilihat tetapi turut
menekankan tentang kebersihan yang bersifat dalaman. Bagi menjaga kebersihan,
beberapa panduan yang digariskan oleh Islam dapat difahami dengan mengamati
beberapa hadith Nabi SAW. Antara lain, Islam memerintahkan umatnya untuk
menjaga kebersihan diri dengan melakukan beberapa perkara asas seperti memotong
kuku, mencukur bulu kemaluan selain berkhitan. Ini sebgaimana yang terdapat
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud
:
"Lima dari (sunnah-sunnah) fitrah iaitu berkhitan, mencukur
bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mengunting misai"
Berdasarkan hadith ini, lima perkara yang dijelaskan oleh baginda
Nabi SAW ini merupakan fitrah bagi manusia yang waras. Oleh itu, kita juga akan
mendapati sebahagian mereka yang bukan beragama Islam turut melakukan hal yang
sama seperti amalan berkhitan, cukur bulu kemaluan dan sebagainya. Namun
begitu, dalam Islam setiap perbuatan yang dinyatakan tersebut jika dilakukan dengan
niat ibadah kerana Allah, pasti akan diberikan balasan pahala kerana mengikuti
sunnah. Selain lima perkara tersebut, Islam juga menekankan tentang hak mandi
yang perlu dilakukan oleh setiap orang Islam. Perbuatan mandi hukum asalnya
adalah harus. Namun dalam beberapa keadaan tertentu, hukum mandi boleh bertukar
menjadi wajib kerana dalam keadaan berhadas besar dan hukumnya boleh menjadi
sunat ketika mandi pada hari jumaat dan dua hari raya.
Perbuatan mandi adalah hak bagi setiap orang Islam. Ini sepertimana
yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Hak (yang perlu ditunaikan oleh) setiap orang Islam (ialah) mandi,
(yang mana) pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya ) wajib (dia membasuh
kepala dan tubuh badannya”
Selain menjaga kebersihan diri, Islam juga sangat mementingkan
kebersihan dan kekemasan pada pakaian, kenderaan dan lain-lain. Hal ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat
Abu Daud yang berstatus hadith hasan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya kamu akan menemui saudara-saudara kamu, maka
rapikanlah kendaraan kamu, rapikan pakaian-pakaian kamu, hingga seolah-olah
kamu (manusia) yang istimewa di tengah-tengah manusia, sebab Allah tidak suka
kekotoran dan tindakan-tindakan yang mencerminkan kekotoran”.
Perbuatan kita dalam menjaga kebersihan tidak sekadar memberi
manfaat untuk diri sendiri tetapi juga dapat memberikan kesan baik kepada orang
yang berada di sekeliling kita. Dalam agama Islam kita dilarang untuk menyakiti
saudara lain walau dengan apa cara sekalipun. Ini termasuklah dalam soal
menjaga kebersihan mulut. Mulut yang berbau tentu akan mendatangkan perasaan tidak
selesa apabila bercakap dengan orang lain. Justeru, Islam melalui syariatnya
melarang kita untuk hadir ke masjid dalam keadaan mulut berbau. Ini sepertimana
yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Jabir bin Abdullah
RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah
mereka daripada kami, atau jarakkanlah daripada masjid kami".
Imam al-Nawawi dalam kitabnya Syarh al-Nawawi 'ala Muslim,
ketika mensyarahkan hadith ini, beliau menjelaskan bahawa larangan ini adalah
larangan untuk menghadiri masjid, bukan larangan untuk makan bawang merah atau
bawang putih atau sejenisnya. Bawang baqul (البقول)
hukumnya halal berdasarkan sepakat ulama yang pendapatnya diakui. Sementara
itu, al-Qadhi ‘Iyadh menyebut daripada para ulama Zahiriyah bahawa bawang
haram, kerana boleh menghalang untuk menghadiri jemaah. Ini disebabkan solat
jemaah bagi mereka fardhu ain. Demikian ulasan oleh Imam al-Nawawi berkaitan
hadith berkenaan. Apa yang pentingnya ialah Islam sangat menitikberatkan
tentang kebersihan. Bermula dari sebesar-besar perkara hinggalah kepada
sekecil-kecilnya. Islam bukan sekadar agama bersifat teori dengan menyuruh
bahkan memberikan pula panduan serta pedoman untuk menjaga kebersihan dan
kesucian diri. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan