Khamis, 14 Ogos 2025

HAK ASASI MANUSIA : ANTARA KONSENSUS DAN PANDUAN ISLAM

 

Manusia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeda adalah suatu keunikan dan keistimewaan yang ada pada kehidupan ini. Kepelbagaian ini bukan sahaja menjadikan kita saling mengenali antara satu sama lain bahkan ianya membuatkan kita memahami dan menghormati setiap prinsip yang dipegang. Ini bermakna setiap manusia di muka bumi ini memiliki hak-hak tertentu yang perlu dihormati oleh pihak lain. Justeru itu, wacana dan diskusi berkaitan hak asasi manusia antara topik yang kekal releven diperdebatkan dari masa ke semasa. Catatan awal sejarah dunia menunjukkan kesedaran manusia mengenai hak asasi kemanusiaan ini telah mula dibincangkan seawal tahun 1776 iaitu melalui Deklarasi Kemerdekaan Amerika yang menekankan bahawa setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang tidak boleh dipisahkan.

Demikian pula pada tahun 1789, Deklarasi Hak-Hak Lelaki (The Rights of Man) telah dimeterai yang dikaitkan dengan Revolusi Perancis. Deklarasi tersebut juga turut memperakui bahawa setiap manusia yang lahir adalah kekal bebas dan setara dari segi hak. Rentetan daripada itu, telah wujud pelbagai lagi deklarasi dan konsensus yang dibuat demi mencapai makna hak asasi kemanusiaan. Dalam pasca dunia moden, satu deklarasi bersifat sejagat telah diangkat oleh pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948 yang disebut sebagai Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Dalam satu artikel yang ditulis oleh Riffat Hassan bertajuk Are Human Rights Compatible with Islam, beliau menyebut bahawa Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia atau UDHR ini telah menjadi seperti Bible kepada faham dan gerakan hak asasi manusia dunia semasa.




Menurut Riffat Hassan lagi, UDHR walaupun dinamakan sebagai "sejagat", namun pada hakikatnya ia dihasilkan mengikut aliran persejarahan yang dialami oleh dunia Barat sepanjang tiga abad lepas. Lalu ianya diwajarkan pula oleh suatu antropologi falsafah yang berdasarkan faham kemanusiaan yang bersifat individualistik. Oleh itu, apa yang diutarakan oleh beliau ini menunjukkan kepada kita sekurang-kurangnya terdapat dua ciri yang menjelaskan tentang kelompongan deklarasi tersebut. Pertama, deklarasi yang dimeterai tidak mewakili konsensus suara dunia yang bersifat sejagat sebaliknya hanya bernaratifkan kepada pengalaman dunia Barat melalui perjalanan sejarahnya yang panjang. Kedua, hakikatnya deklarasi ini lebih bersifat sekular iaitu bercirikan kebendaan tanpa mengambil kira sudut kepercayaan dan pegangan hidup beragama. Ini menjadikan deklarasi tersebut tidak bersifat sejagat kerana tidak mengambil kira sudut pandangan kepercayaan beragama.

Dalam kita berbicara mengenai hak asasi manusia, adalah sangat penting juga untuk kita memahami apa yang dimaksudkan dengan terma hak asasi manusia. Seperti kata Burns H. Weston dalam satu artikelnya bertajuk Human Rights yang diterbitkan oleh The New Encyclopedia Britannica, beliau menyatakan bahawa hak asasi manusia merujuk kepada hak-hak yang menjadi milik individu atau kumpulan individu semata-mata kerana merrka adalah manusia. Selain ada pula yang melihat hak asasi manusia ini sebagai indera semulajadi dalamam manusia yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana kuasa atau autoriti. Weston turut menyebut hak asasi manusia juga merujuk kepada suatu ruang yang luas tentang nilai atau daya upaya yang dianggap dapat meningkatkan kemanusiaan insan yang bersifat sejagat, yang boleh dituntut dan dinikmati oleh seluruh manusia secara samarata. Dalam pada itu, menurut Kofi Anan yang juga merupakan mantan Setiausaha Agung PBB sejak Januari 1997 hingga Disember 2006, beliau menyatakan bahawa hak asasi manusia adalah asas kepada kewujudan manusia dan kewujudan bersama manusia.

Sejarah kemunculan idea dan konsep hak asasi manusia ini telah bermula sejak zaman klasik yang berakar dari tamadun purba Yunani (Greek) dan tamadun Romawi sejak 750 sebelum Masihi. Pada zaman tersebut, konsep natural law antara terma yang rancak diperkatakan sehingga muncul suatu aliran falsafah yang dikenali sebagai Stoicisme. Setelah itu, dunia yang kian berubah wajah menuju pula era zaman pertengahan atau moden, isu hak asasi manusia kekal releven diperdebatkan oleh umat manusia. Pada zaman pertengahan ini, muncul lah tokoh-tokoh hebat seperti St. Thomas Aquinas dan Hugo Grotius. Zaman pertengahan ini menampakkan sesetengah ajaran agama menjadi rigid dan bertentangan dengan hukum rasional akal selain para penguasa telah melakukan kezaliman yang jelas melanggar norma-norma natural law. Keadaan ini sedikit-sebanyak telah membuatkan wacana mengenai natural law telah berubah kepada perbincangan mengenai natural rights. Setelah beberapa abad berlalu, perdebatan mengenai hak asasi manusia masih kekal releven diperkatakan dan pada abad ke-20, UDHR atau Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia mula diangkat sekaligus menjadi rujukan utama masyarakat dunia.




Dalam hal ini, Islam yang datang dengan syariat (peraturan dan undang-undang) yang sempurna telah memperlihatkan beberapa perspektif terkait dengan hak asasi manusia. Secara umumnya, perkara-perkara yang berkaitan hak asasi manusia juga terkandung dalam ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, Islam melihat persoalan yang berbangkit mengenai hak asasi manusia ini berdasarkan petunjuk wahyu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Umat Islam tidak perlu bergantung kepada deklarasi tersebut untuk memahami berkenaan hak asasi manusia. Sebelum daripada usaha permeteraian deklarasi yang dikatakan bersifat sejagat ini dibuat, telah digagaskan Piagam Madinah oleh baginda Nabi SAW yang telah dianggap oleh ramai sarjana sebagai perlembagaan bertulis pertama di dunia. Menurut Abdul Monir Yaacob dalam sebuah karyanya yang berjudul Hak Asasi Manusia Menurut Islam, beliau menjelaskan Piagam Madinah sebagai satu dokumen undang-undang yang meletakkan beberapa asas penting dalam pembentukan negara yang bersifat multi etnik dan multi agama. Maka sebelum deklarasi UDHR dicipta, sudah wujud satu dokumen perlembagaan bertulis pertama yang turut meletakan asas kepada jaminan hak asasi manusia.

Intipati ajaran dalam Islam sebelum deklarasi hak asasi manusia diperkatakan lagi pun, telah menggariskan beberapa panduan terpenting. Antara lain yang ditekankan dalam Islam ialah berkenaan hak. Perkataan hak berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud benar. Kebenaran pula merujuk kepada suatu keadaan, nilai atau sesuatu yang bersifat saksama, wajar, adil, benar, elok dan sesuai. Oleh itu, apa sahaja yang pada sudut moral atau agama yang dilihat salah, maka ianya bukanlah sesuatu hak yang boleh diperjuangkan. Sebagai contoh, gaya hidup LGBT adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan melanggar etika agama, maka tidak boleh kita perjuangkan golongan ini dengan nama hak asasi manusia. Selain itu, Islam telah membahagikan hak kepada dua iaitulah hak kepada Allah dan hak sesama manusia. Keadaan ini memperkuatkan hubungan kerohanian selain memperkukuhkan ikatan hubungan kemanusiaan. Dalam pada itu, Islam juga menekankan tentang nilai kebebasan. Kebebasan menurut Islam adalah merupakan suatu yang bersifat ikhtiyari yang bermaksud keupayaan membuat pilihan.




Ungkapan "Ikhtiyari" berasal dari kata "khayr" yang bermaksud baik. Justeru, kebebasan dalam Islam bermakna bebas untuk memilih sesuatu yang baik atau yang lebih baik , lebih benar, lebih elok atau yang terbaik antara semua pilihan yang wujud. Ini bermakna kebebasan dalam Islam ialah memilih yang baik dan bukannya bebas memilih apa sahaja tanpa mempertimbangkan kesan baik buruk yang dipilihnya. Islam juga menggariskan kebebasan yang dimiliki oleh manusia bukanlah bersifat mutlak. Bermakna, kita bukanlah bebas hingga mengikut telunjuk nafsu. Kebebasan itu memerlukan juga kita membuat pertimbangan dengan menurut neraca syariat agama Islam. Selain itu, Islam juga menekankan tentang konsep keadilan. Keadilan dalam Islam bukanlah bermakna persamaan. Walau tidak dinafikan nilai persamaa itu sebahagian daripada aspek keadilan. Menurut al-Attas dalam sebuah karyanya berjudul Islam and Secularism, keadilan merujuk kepada keadaan atau suasana harmoni dimana segala sesuatu diletakkan pada tempatnya yang wajar dan sesuai.

Misalnya, Islam mengiktiraf persamaan gender antara lelaki dan wanita. Namun dalam beberapa aspek tertentu, Islam memberikan kelebihan kepada lelaki sesuai dengan tempatnya seperti lelaki mendapat bahagian harta pusaka yang lebih berbanding wanita dan ini bukan bermakna Islam merendahkan martabat wanita. Ada pula pada keadaan tertentu Islam melebihkan wanita seperti kedudukan tinggi dan mulia seorang ibu melebihi kedudukan seorang ayah. Oleh itu, bagi Islam terma keadilan bukanlah mengenai kuantiti tetapi tentang soal kualiti yang sesuai dengan tempat dan kedudukannya di sisi syarak. Demikianlah antara sebahagian yang boleh kita sentuh dalam wacana hak asasi manusia. Secara prinsip, meski belum wujud pun deklarasi berkaitan hak asasi manusia, Islam terlebih dahulu telah berbicara dengan meletakan panduan bagi umat manusia. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan