Selasa, 19 Ogos 2025

LARANGAN JUAL BELI DALAM MASJID

 

Aktiviti perekonomian seperti peruncitan, perdagangan dan pelaburan saham sememangnya sangat bermanfaat dan memberi impak dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup umat manusia. Daya ekonomi yang mampan mampu memberikan jaminan kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Islam sebagai ajaran agama yang memberikan panduan menyeluruh meliputi segenap aspek kehidupan turut menekankan tentang konsep jual beli yang diharuskan. Asal hukum jual beli adalah harus kecuali setelah adanya hujah dan bukti yang melarang perbuatan tersebut dilakukan. Sebagai contoh, jual beli di pasar, di tepi jalanan atau dimana sahaja tempat yang diberikan kebenaran oleh pihak berkuasa, adalah hukumnya harus. Namun begitu, terdapat ayat larangan yang melarang manusia melakukan aktiviti jual beli di dalam masjid.

Perkataan "Masjid" berasal dari bahasa Arab. Menurut Ibnu Manzur, perkataan المسجد dengan huruf sin (س) berbaris fathah atau kasrah bermaksud tempat yang disujud padanya. Telah berkata al-Zajjaj dalam kitab Taj al-'Arus, setiap tempat diibadahkan padanya dinamakan dengan masjid. Pada sudut syarak, ungkapan masjid boleh difahami dengan dua maksud. Pertama, masjid membawa maksud tempat permukaan bumi. Kedua, masjid boleh difahami sebagai tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. Selain itu, Imam al-Zarkasyi pula menyebut dalam kitabnya I'lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid, maksud masjid pada sudut istilah ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat hari raya, solat istisqa' dan selainnya.




Dalam membincangkan tentang makna masjid, dikalangan para sarjana Islam juga turut membahaskan mengenai perbatasan kawasan masjid. Perbahasan ini penting bagi menentukan definisi kawasan masjid selain memahami makna "dalam masjid". Imam al-Zarkasyi menyebut perbatasan masjid ialah tempat yang disediakan secara uruf untuk menunaikan solat. Dalam kitab Ahkam al-Masjid fi al-Syariah Islamiyah, batas masjid ialah bangunan yang diwakafkan secara khusus untuk solat fardhu lima waktu dan selainnya. Selain itu, disebutkan oleh 'Abd Rahman bin Ali dalam kitab Ahkam Hudur al-Masajid, batas masjid merujuk kepada suatu tempat yang khas dan memiliki hukum-hakam yang khas, dibina untuk didirikan solat, zikrullah dan membaca al-Quran. Rumusan yang boleh dibuat, perbatasan masjid boleh diukur melalui beberapa ciri seperti kembali kepada uruf, tempat diimarahkan dengan solat fardhu lima waktu, zikrullah dan ibadah dan berupa bangunan dan bukan semata-mata tanah lapang.

Secara asasnya, kewujudan masjid berperanan dan berfungsi sebagai tempat untuk mengingati dan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ini bermakna institusi masjid merupakan tempat yang sangat dimuliakan sebagai tempat untuk banyak mengingati Allah dengan beribadah kepada Nya. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nur ayat 36-37 yang bermaksud :

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.”




Berdasarkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menyatakan dalam kitabnya al-Jami' Li Ahkam al-Quran, ketika beliau menjelaskan sebab disebutkan perniagaan secara khusus di dalam ayat ini, beliau menyatakan bahawa perniagaan atau jual beli adalah benda yang terbesar yang akan melalaikan manusia daripada beribadah kepada Allah SWT. Berhubung soal jual beli di dalam masjid, terdapat sekurang-kurangnya dua keadaan yang boleh kita gambarkan. Keadaan pertama, dimana sememangnya dijadikan masjid itu sebagai tempat melakukan aktiviti berjual beli. Keadaan pertama ini hukumnya adalah haram. Ini berdasarkan firman Allah di dalam surah al-Nur ayat 36-37, ditegaskan bahawa masjid tidak berperanan sebagai tempat berjual beli. Selain itu, terdapat larangan yang jelas disebutkan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith Abu Daud, daripada Abdullah bin Amr, katanya yang bermaksud :

“Bahawa Rasulullah SAW melarang dari berjual beli di dalam masjid, mencari sesuatu yang hilang, dilaungkan sya’ir dan baginda melarang duduk dalam bentuk halaqah sebelum solat Jumaat"

Selain terdapat dalam hadith lain riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Sekiranya kamu melihat seseorang yang menjual atau membeli di dalam Masjid, maka katakan padanya, “Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu.”

Berdasarkan hadith ini, Imam Ibn Rajab dalam kitabnya Fath al-Bari, beliau menyebut yang bermaksud :

“al-Tirmizi menghikayatkan di dalam jami’nya dua pandangan ahli ilmu dari kalangan tabi’ien pada hukum makruh berjual-beli di dalam masjid. Makruh ini adalah pandangan al-Syafi’ie, Ahmad dan Ishak. Di sisi sahabat kami ia adalah karahah tahrim. Di sisi kebanyakan fuqaha karahah tanzih. Bagi al-Syafi’ie juga ada pandangan yang ia bukan makruh dan ialah juga pandangan ‘Athaa dan selainnya.”




Dalam keadaan yang kedua pula, dimana berlaku aktiviti jual beli merangkumi makna wujud transaksi perniagaan atau kempen jualan di dalam masjid yang hakikatnya tidak berniat untuk menjadikan masjid itu sebagai tempat perniagaan. Bagi keadaan yang seperti ini, para ulama telah berbeza pandangan mengenainya. Pandangan pertama, sepertimana yang disebut oleh sebahagian ulama Hanafi, Maliki dan Syafie, hukumnya harus jika sedikit dan haram jika banyak. Pandangan kedua, sebahagian lain pula dikalangan ulama Maliki, Syafie, al-Zahiri dan sebahagian ulama Hambali, mereka menyatakan hukumnya adalah makruh. Manakala pandangan ketiga, hukumnya adalah haram. Inilah pandangan yang dipegang oleh ulama mazhab Hanafi, Hambali dan sebahagian Maliki. Demikian bagaimana perbezaan pandangan yang wujud apabila jual beli berlaku di dalam masjid tanpa nit menjadikan masjid sebagai tempat perniagaan.

Secara kesimpulannya, terdapat larangan yang jelas untuk menjadikan institusi masjid sebagai tempat perniagaan. Larangan ini bermakna masjid tidaklah dibina dan didirikan dengan tujuan perniagaan sebaliknya sebagai tempat untuk umat manusia beribadah dan bersujud kepada Allah SWT. Namun begitu, jual beli yang dilakukan diluar kawasan solat seperti dikawasan tempat meletak kenderaan adalah harus selagi hal itu tidak mengundang perkara yang boleh melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT. Sememangnya masjid yang membawa maksud tempat bersujud merupakan tempat yang dimuliakan oleh Allah Azza Wa Jalla. Maka sebarang perkara atau perbuatan yang boleh mencemarkan peranan sebenar masjid seperti bernyanyi, bersyair dan berniaga adalah wajar ditegah dan dilarang demi menjaga kemuliaan dan kesucian rumah Allah SWT. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan