Hari kelahiran merupakan detik terindah yang sering diingati oleh
kebanyakan manusia secara umum. Memperingati hari kelahiran seseorang yang kita
kasihi adalah sesuatu yang lumrah pada kehidupan ini. Tradisi dan amalan
masyarakat pada hari ini memperlihatkan keadaan betapa bersungguhnya kita
apabila tiba hari ulangtahun kelahiran seseorang yang kita kasihi, maka akan
diadakan sambutan dengan berbagai cara. Ada yang menyambutnya dengan
menghadiahkan sebiji kek dengan tertera ucapan, ada juga yang membuat majlis
makan-makan meraikan hari ulangtahun kelahiran dan tidak kurang pula ada yang
sekadar mampu memberi ucapan sebagai tanda ingatan. Selain mengingati tarikh
kelahiran, lazimnya tarikh kematian juga antara detik hitam yang akan terus
segar diingati oleh manusia.
Dalam usaha umat manusia mengingati tarikh kelahiran insan
tersayang dengan membuat bermacam usaha untuk menyambutnya, tarikh kelahiran
manusia agung yang bergelar Rasul juga antara yang diingati oleh umat manusia terutama
yang bergelar muslim. Peristiwa kelahiran manusia agung ini dikenali dengan
nama Maulidur Rasul. Ungkapan Maulidur Rasul adalah gabungan
daripada dua patah perkataan iaitulah "Maulid" dan "Rasul".
Kedua-duanya perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Istilah Maulid (مولد) berasal dari kata akar walada (ولد) yang bermaksud tempat kelahiran.
Perkataan Rasul (رسول) pula merujuk
kepada maksud manusia lelaki pilihan Allah SWT yang diberikan wahyu untuk
dirinya dan wajib disampaikan kepada orang lain. Secara ringkas, gabungan
perkataan Maulidur Rasul membawa makna hari mengingati peristiwa kelahiran
baginda Nabi Muhammad SAW.
Sambutan Maulidur Rasul atau disebut juga sebagai Maulid Nabi
merupakan suatu isu yang diperbahaskan dengan hebatnya oleh kalangan para
ulama. Keadaan ini berlaku kerana beberapa faktor antara lain para ulama dikalangan
ahli sejarawan telah berbeza pendapat dalam menentukan tarikh sebenar kelahiran
Nabi SAW. Walau majoriti berpandangan baginda Nabi lahir pada bulan Rabiul
awwal, namun mereka berbeza pandangan mengenai tarikh sebenar kelahiran baginda
Nabi SAW. Selain itu, pada zaman baginda Nabi SAW, semasa hayat baginda Nabi,
tidak pernah tercatat walau satu perkataan yang menunjukkan baginda Nabi SAW
menyambut ulangtahun kelahirannya. Hal ini menyebabkan para ulama berbincang
lantas berbeza pandangan mengenai hukum menyambut Maulidur Rasul.
Dalam Fatawa al-Azhar, dijelaskan bahawa para ahli sejarawan
Islam tidak tahu siapa yang menjadi pengasas, yang memulakan perayaan Maulidur
Rasul. Pada zaman Khalifah ar-Rasyidin yang merangkumi zaman pemerintahan Abu
Bakar RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali RA tidak tercatat wujudnya sambutan
Maulidur Rasul. Setelah itu, zaman pemerintahan dibawah al-Hasan RA selama
tempoh 6 bulan, diganti pula dengan pemerintahan oleh Muawiyah RA yang
kemudiannya datanglah kerajaan Umayyah, tidak juga tercatat adanya majlis
sambutan memperingati hari kelahiran baginda Nabi SAW. Apa yang pasti, watak
terpenting yang merencanakan sambutan memperingati hari kelahiran Nabi ini
dimulai oleh kerajaan Syiah Fatimiyyah. Selain itu, mereka juga meraikan hari kelahiran
tokoh-tokoh Ahli Bait (keturunan keluarga Nabi SAW) dan kelahiran Nabi Isa AS.
Sebagaimana yang telah dinyatakan tadi, beberapa faktor lain
seperti perbezaan tarikh sebenar kelahiran Nabi dan faktor tidak ada petunjuk
untuk menyambut hari kelahiran Nabi, telah mendorong para ulama berbeza
pandangan mengenai hukum menyambut Maulidur Rasul. Perbezaan pandangan mengenai
hukum menyambut Maulidur Rasul ini dapat dibahagikan kepada dua pandangan.
Pandangan pertama, ada yang berpendapat hukumnya adalah harus untuk
menyambut Maulidur Rasul. Dalam satu ungkapan yang disebut oleh Syeikh Abdul
Rahman bin Ismail al-Maqdisi, beliau menyebut adalah dibolehkan sambutan
Maulidur Rasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama dahulu. Antara tokoh-tokoh
lain yang turut berpandangan harus dan termasuk dalam bid'ah hasanah (baik)
ialah Imam Jalaluddin al-Suyuti, Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam Ibn al-Battal
selain dikalangan ulama kontemporari seperti Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili,
Syeikh Atiyyah Saqr dan Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya'rawi.
Dikalangan mereka yang menyatakan bahawa hukumnya harus, mereka
berhujah dengan menukilkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, dari Abu
Qatada yang bermaksud :
"Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa
Isnin. Maka baginda menjawab : "Padanya aku dilahirkan dan padanya
diturunkan (al-Quran) keatasku"
Maka berdasarkan hadith demikian, mereka berpandangan hadith
tersebut menunjukkan bahawa Rasulullah SAW mensyukuri nikmat Allah atas
kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Oleh itu, jika baginda SAW
berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya
sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi ummatnya untuk mensyukuri nikmat
kelahiran baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca
kisah kelahiran baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang
lain termasuklah membuat majlis memperingati kelahiran Nabi SAW. Adapun jika
dibangkitkan isu tentang tidak pernah dilakukan oleh baginda menyambut maulid,
maka dijawab dengan menyebut melaksanakan sesuatu sunnah yang baik tidak
dilarang oleh Nabi. Ini berdasarkan sebuah hadith Nabi riwayat Muslim, Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara
yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut,
dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa
dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
Selain itu, bagi pandangan kedua pula, mereka menyatakan bahawa
hukum menyambut Maulidur Rasul adalah bid'ah, iaitu mengada-adakan
perkara baharu yang bukan datangnya dari Nabi Muhammad SAW. ni Antara hujah
yang menjelaskan lagi tentang hukum ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di
dalam al-Quran menerusi surah al-Hasyr ayat 7, firman Allah SWT yang bermaksud
:
"...Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan
apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah…”
Dalam ayat lain menerusi surah al-Ahzab ayat 21, firman Allah Azza
Wa Jalla yang bermaksud :
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri tauladan yang
baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah Azza wa Jalla dan
(kedatangan) hari Kiamat dan dia banyak mengingat Allah Azza Wa Jalla .”
Berdasarkan kefahaman ayat ini, menjelaskan kepada kita bahawa
kepatuhan kita kepada baginda Nabi SAW adalah dengan mengikuti apa yang
dilakukannya dan yang disuruhnya serta meninggalkan apa yang tidak dibuat dan
tidak disuruh oleh baginda. Selain itu, keutamaan orang yang beriman juga adalah
dengan menjadikan baginda Nabi SAW sebagai contoh ikutan. Maka apa yang baginda
Nabi tidak lakukan, seharusnya kita juga tidak melakukannya. Dalam pada itu,
antara hujah lain ialah Khalifah ar-Rasyidin dan para sahabat Nabi SAW yang
lainnya tidak pernah mengadakan majlis memperingati kelahiran Nabi walhal
mereka lebih utama untuk melakukannya. Selain itu, mereka berpendapat segala
perkara yang bersifat kebaikan tentu akan ditunjuk oleh baginda Nabi. Ini
berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda yang
bermaksud :
"Tidaklah Allah Azza wa Jalla mengutus seorang Nabi, kecuali
wajib baginya untuk menunjukkan kebaikan yang diketahuinya kepada ummatnya dan
memperingatkan mereka terhadap keburukan yang diketahuinya kepada mereka".
Maka jika menyambut Mualidur Rasul itu adalah sesuatu yang bersifat
baik, tentu baginda akan melakukannya. Pun begitu, baginda tidak pernah
menganjurkan majlis memperingati hari kelahirannya. Telah berkata Syeikhul
Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, beliau menjelaskan
bahawa :
"Adapun mengadakan sambutan-sambutan (atau masa-masa khas)
perayaan (atau peribadahan) selain yang disyariatkan seperti sempena
malam-malam Rabiul awwal yang mana disebut sebagai malam Maulid, atau
malam-malam bulan Rajab atau sempena tarikh 18 Zulhijjah atau awal Jumaat bulan
Rajab atau hari ke-8 bulan Syawal yang disebutkan oleh orang-orang yang jahil
dengan nama iedul Abraar, maka semua itu termasuk bid'ah yang tidak disunnahkan
oleh para Salaf dan tidak pernah dilakukan oleh mereka".
Demikianlah serba ringkas penjelasan mengenai hukum menyambut
Maulidur Rasul. Secara peribadi, pandangan kedua dilihat lebih menepati
kehendak sunnah dan lebih kuat dan kukuh dari sudut penghujahannya. Apa yang
pasti, keutamaan kita sebagai umat baginda Nabi Muhammad SAW adalah dengan
mengikuti sunnahnya dan meninggalkan perkara-perkara bid'ah. Bergembira dengan
mengingati hari kelahiran baginda Nabi adalah sesuatu yang mulia. Kita semua
pasti gembira dengan lahirnya seorang insan terpilih yang dijadikan oleh Allah
sebagai guru umat akhir zaman, membimbing dan mengajar kita menjadi hamba yang
bertaqwa. Pun begitu, janganah kita mencemarkannya dengan menyebarkan hadith
palsu, menjaja cerita dongeng selain mengada-adakan perkara yang bukannya
datang dari baginda Nabi. Semoga Allah SWT mengampuni dan merahmati kita semua.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan