Khamis, 30 Oktober 2025

BANI ISRAEL ADALAH UMAT PILIHAN TUHAN ?

 

Penciptaan makhluk bernama manusia yang dilatari oleh pelbagai bangsa dan keturunan menjadikan kehidupan ini unik dan teristimewa sekali. Kepelbagai yang di dasari oleh berbagai sudut dan aspek telah membuatkan manusia perlu saling mengenali antara satu sama lain. Hakikatnya, perbezaan yang pelbagai ini bukanlah bertujuan untuk kita saling bermusuhan dan berbalah malah ianya adalah satu isyarat terpenting bagi menjelaskan kepentingan sifat yang terpuji harus disemai dalam usaha kita berinteraksi dengan segala macam perbezaan. Malang sekali, apabila kesombongan menguasai diri, merasa diri lebih baik dari orang lain serta merendah-rendahkan pula kepercayaan orang lain, ini melambangkan kegagalan kita untuk menyantuni setiap nilai perbezaan. Dalam catatan sejarah dunia, suatu bangsa yang dikenali dengan sikap kesombongan, egois serta terkenal dengan perangai kedurjaan mereka, iaitulah bani Israel.

Perkataan "Bani Israel" menurut pemahaman bahasa Arab adalah hasil gabungan dua perkataan berbeza makna iaitu "Bani" yang merujuk kepada keturunan dan perkataan kedua "Israel" yang merujuk kepada maksud nama atau gelaran yang diberikan kepada Nabi Yaakub AS. Oleh itu, ungkapan Bani Israel apabila disebut di dalam al-Quran ianya merujuk kepada keturunan Nabi Yaakub AS. Sebenarnya istilah yang disebut sebagai "Israel" berasal dari bahasa Ibrani. Namun begitu dikalangan para sarjana Islam mereka berbeza pandangan dalam mendefinisikan perkataan Israel. Dikalangan para sahabat Nabi SAW seperti Abdullah bin 'Abbas RA, beliau berpandangan perkataan Israel bermaksud hamba Tuhan. Selain itu menurut Ibnu Asyur dalam kitab tafsirnya menyebut bahawa perkataan Isra boleh membawa maksud tawanan atau terikat. Ini sama seperti perkataan Arab iaitu 'Asr'. Tokoh sarjana Islam di Amerika, Dr. Omar Suleiman pula mengulas hal ini dengan menyatakan bahawa Israel bermaksud terikat kepada Tuhan dengan perjanjian.




Dalam sebuah penulisan oleh Rabbi Marc Schneier & Imam Shamsi Ali yang bertajuk Sons of Abraham : A Candid Conversation About The Issue That Divide and Unite Jews and Muslims, dijelaskan bahawa Bani Israel yang beragama Yahudi telah mendakwa diri mereka sebagai 'Am Segulah'. Perkataan ini berasal dari bahasa Hebrew yang membawa maksud umat pilihan. Dakwaan mereka ini berasaskan daripada makna literal dari ekpresi ayat yang terkandung dalam kitab Syemot (keluaran) 19:5 dan kitab Devarim (ulangan) 7:6, 14:2 dan 26:18. Ungkapan 'Am Segulah' ini juga boleh difahami sebagai "harta kesayangan Tuhan dari antara segala bangsa". Hal ini sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Syemot 19:5 yang bermaksud :

"Jadi sekarang, jika kamu sungguh-sungguh mendengarkan firman Ku dan berpegang pada perjanjian Ku, maka kamu akan menjadi harta kesayangan Ku sendiri dari antara segala bangsa sebab Akulah yang empunya seluruh bumi"

Maka oleh kerana itu, mereka meyakini bahawa bangsa dan keturunan Israel adalah umat pilihan Tuhan dan menjadi harta kesayangan Tuhan melebihi segala macam bangsa yang wujud di muka bumi ini. Bertambah yakin lagi apabila mereka menukilkan keterangan Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 47, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmat Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahwasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat".




Sekilas pandang melihat maksud ayat ini, ianya seolah-olah mengukuhkan lagi dakwaan yang dibuat oleh bangsa Israel dengan menganggap mereka dan segala keturunannya sebagai umat yang terpilih. Bahkan, dalam argumentasi oleh gerakan misionari mereka juga oleh gerakan dakyah Kristian, ayat al-Quran ini telah dijadikan hujah untuk menafikan status kenabian Rasulullah SAW hanya kerana baginda Nabi bukan dari kalangan bani Israel. Pun begitu, bagi memahami maksud sebenar ayat tersebut, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Munir, dengan menjelaskan bahawa status kelebihan yang dimiliki oleh bani Israel sebagaimana yang termaktub dalam ayat tersebut hanyalah merujuk kepada konteks pada masa itu. Ini kerana perkataan segala umat membawa maksud diantara segala umat yang ada pada waktu dan ketika itu. Waktu dan ketika itu pula ialah merujuk kepada zaman Nabi Musa AS dan nabi-nabi selepasnya.

Pandangan yang dijelaskan oleh Syeikh Wahbah al-Zuhaili ini juga adalah berdasarkan apa yang disepakati oleh beberapa tokoh sarjana Islam yang lain seperti Abu Ja'far, Qatadah, Mujahid dan Imam al-Tabari dengan menyebutkan hal yang sama. Dalam ayat yang lain, seperti yang termaktub di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 42, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu)".

Berdasarkan pemahaman kepada ayat tersebut, jelas bahawa Allah SWT telah memilih Maryam sebagai perempuan yang paling mulia melebihi perempuan-perempuan seluruh alam menurut pada konteks zaman tersebut dan bukannya sampai bila-bila. Mengulas ayat tersebut, Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya menyebut yang dimaksudkan dengan ayat tersebut adalah Allah telah memilih Maryam diantara perempuan-perempuan lain di masanya itu, hanya khusus perempuan-perempuan di zaman tersebut. Selain itu, bagi merungkaikan lagi kekeliruan oleh bangsa Israel, harus difahami dengan jelas bahawa apabila Allah SWT memilih bangsa Israel, ini tidak bermakna Allah tidak akan memilih umat yang lain. Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 33, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing)".




Jelaslah bahawa menerusi firman ini, Allah SWT selain mengisytiharkan bani Israel sebagai umat yang dipilih, Allah SWT dengan penuh sifat kesempurnaan Nya juga mengisytiharkan memilih individu dan keturunan lain selain keturunan Israel. Ternyata bahawa bangsa Israel atau bani Israel bukanlah satu-satunya umat pilihan Tuhan sehingga hari kiamat sebaliknya umat pilihan Tuhan tersebut hanyalah terikat pada konteks masa dan zaman tersebut semata-mata. Bagi mengukuhkan kefahaman, Syeikh Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa kelebihan yang dimiliki oleh bangsa Israel sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran bukanlah status yang diberikan dengan begitu sahaja. Tetapi kelebihan dan keutamaan bangsa Israel tersebut diikat dengan syarat dan peraturan yang harus dipatuhi. Syarat dan peraturan itu ialah hendaklah sentiasa berada di dalam ketaatan kepada Allah. Jika mereka ingkar atau melawan perintah Allah, maka tiada lah lagi kelebihan yang disebutkan sebagai umat pilihan Tuhan.

Syarat dan peraturan ini bukanlah suatu perkara yang baharu malah hal ini juga telah dijelaskan dalam kitab Devarim (ulangan) 7:9 yang bermaksud :

“Sebab itu haruslah kau ketahui, bahawa Tuhan, Allahmu, Dialah Allah, Allah yang setia, yang memegang perjanjian dan kasih setia-Nya terhadap orang yang kasih kepada-Nya dan berpegang pada perintah-Nya, sampai kepada beribu-ribu keturunan".




Rentetan itu juga, Allah Azza Wa Jalla telah meletakkan penanda aras bagi memperolehi sebuah kemuliaan adalah dengan ketaqwaannya kepada Allah SWT. Bukanlah mulia kerana bangsa dan keturunan tetapi kerana nilai ketaqwaannya kepada Allah SWT. Allah telah menegaskan di dalam al-Quran menerusi surah al-Hujurat ayat 13, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan bagi merungkaikan dakwaan karut dan songsang yang diyakini oleh bani Israel. Ketahuilah nilai kemuliaan di sisi Allah bukan diukur dengan berdasarkan bangsa dan keturunan sebaliknya dinilai dengan harga ketaqwaan dan keimanan. Dakwaan kuno oleh bani Israel ini yang menganggap bangsa dan keturunan mereka adalah umat pilihan Tuhan terbatal dan dinafikan melalui firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 110, Allah menyebut umat Nabi Muhammad adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia dengan syarat mestilah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari yang mungkar. Bermakna, untuk menjadi yang terbaik, tidak ada jalan lain kecuali dengan beriman dan bertaqwa kepada Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan