Sabtu, 18 Oktober 2025

BACA SURAH YASIN MALAM JUMAAT : SATU PENILAIAN

 

Perbuatan tunduk dan patuh kepada Allah dengan cara melaksanakan ibadah adalah merupakan manifestasi keimanan dan ketakwaan kepada sang Pencipta sekalian makhluk. Ibadah yang dilakukan dengan penuh penghayatan semestinya menzahirkan keluhuran jiwa menghubungkan perasaan mendekatkan diri kepada Tuhan. Pun begitu, dalam keghairahan umat manusia beribadah kepada Allah, terdapat dua syarat terpenting yang mesti kita melihat dalam usaha berharap agar ibadah kita diterima oleh Allah SWT. Pertamanya, mestilah berniat ikhlas kepada Allah SWT. Dalam kata lain, melakukan sesuatu ibadah mestilah tidak mengharapkan apa-apa melainkan memohon keredaan Allah SWT. Kedua, ibadah tersebut mestilah bertepatan dengan syariat baginda Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan kepada kedua-dua syarat ini, timbul polimik dikalangan umat Islam mengenai hukum membaca surah Yasin pada malam jumaat.

Polimik mengenai hukum bacaan surah Yasin pada malam jumaat bukanlah sesuatu yang baharu berlaku. Ianya adalah isu khilaf (perbezaan pendapat) yang telah diperbincangkan dengan panjang lebarnya. Sebelum kita memahami isu ini dengan lebih jauh, pertama sekali harus kita fahami bahawa surah Yasin merupakan antara surah-surah yang terkandung di dalam al-Quran. Mengikut urutan susunan, surah Yasin merupakan surah ke-36 dengan memiliki 83 ayat. Secara asasnya, membaca mana-mana surah di dalam al-Quran merupakan suatu amalan yang dimuliakan dan mendapat ganjaran pahala yang besar. Hal ini dapat dilihat sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Abdullah bin Mas'ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”.




Maka berdasarkan kepada maksud hadith ini, secara umum membaca apa jua surah termasuklah membaca surah Yasin merupakan suatu ibadah yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan ganjaran yang telah disebutkan. Persoalan yang sering berlegar dikalangan masyarakat hari ini ialah apakah terdapat kelebihan membaca surah Yasin pada malam jumaat berbanding surah-surah lain ? Persoalan inilah yang menjadi akar kepada perbincangan hangat yang memperlihatkan kepada kita dua pandangan utama. Pandangan pertama, ada yang menyebut terdapat kelebihan tertentu membaca surah Yasin pada malam hari. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Hibban, daripada Jundub bin Abdullah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa yang membaca surah Yasin pada malam hari untuk mencari redha Allah maka akan diampunkan dosanya”.

Begitu juga dalam hadith yang lain, turut dijelaskan berkenaan kelebihan surah Yasin yang disebut sebagai jantung hati al-Quran. Ini sepertimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi dan al-Darimi, daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran.”

Hadith ini menunjukkan kedudukan surah Yasin sebagai jatung hati kepada al-Quran itu sendiri. Berdasarkan kepada hadith-hadith yang telah dijelaskan, maka golongan pertama berpandangan hukumnya adalah harus dan boleh membaca surah Yasin pada malam jumaat. Bagi mereka perbuatan membaca surah Yasin pada malam jumaat tidaklah bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Kerana pada keumuman hadith tersebut, tidak ada larangan untuk membaca surah Yasin pada malam jumaat bahkan hadith-hadith berikut menjelaskan pula akan kelebihan dan keutamaan membaca surah Yasin. Oleh itu, secara keseluruhannya, membaca surah Yasin pada malam jumaat tidaklah mengapa dan tidaklah pula dilihat sebagai sesuatu yang bercanggah dengan syariat.




Hal ini berbeza dengan pula golongan kedua yang menyatakan hukumnya adalah bid'ah membaca surah Yasin pada malam jumaat. Menjawab dan membantah kepada hujah dan pandangan bagi golongan pertama tadi, mereka menjelaskan bahawa hadith-hadith yang telah menjadi sandaran hujah bagi golongan pertama tadi adalah hadith-hadith yang bermasalah. Sebagai contoh, Syeikh al-Albani dalam kitabnya al-Silsilah al-Dha'ifah menyebut bahawa hadith berikut adalah bersifat dhaif (lemah). Begitu juga sebahagian para ulama lain menghukum hadith tersebut adalah lemah seperti Imam Ibnu Jauzi dalam kitabnya al-Maudhu'at dan Imam al-Syaukani dalam kitabnya al-Fawa'id al-Majmu'ah. Menurut penilaian kebanyakan ahli hadith, hujah hadith yang digunakan sebagai sandaran keharusan membaca surah Yasin pada malam jumaat adalah tidak kuat, hadith lemah dan bermasalah.

Bagi golongan kedua juga, mereka menjelaskan bahawa menetapkan sesuatu kelebihan beramal pada hari tertentu dengan membaca surah tertentu adalah termasuk dalam sesuatu perkara yang bid'ah. Ini kerana tiada hadith yang sahih menjelaskan tentang kebaikan membaca surah Yasin pada malam jumaat. Perbuatan menetapkan membaca surah Yasin dengan menetapkan pada hari tertentu sahaja bercanggah dengan syariat Nabi Muhammad SAW. Perbuatan menetapkan sesuatu amalan yang tidak dilakukan atau ditunjuki oleh baginda Nabi SAW dianggap sebagai bid'ah dan amalan tersebut tertolak. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan berasal dari kami, maka amalan tersebut tertolak.”

Maka berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa menetapkan amalan tertentu pada hari tertentu dengan menyebut kelebihan tertentu yang tidak datang dari petunjuk baginda Nabi SAW adalah suatu bid'ah yang terlarang dan tertolak amalannya. Pun begitu, akan timbul pula persoalan bagaimana pula dengan amalan membaca surah Yasin yang dilakukan pada malam jumaat sekadar dijadikan ibadah mingguan tanpa menyandarkan amalan tersebut kepada Nabi SAW atau tanpa menganggap adanya kelebihan tertentu. Maka jawapannya tetap tidak boleh. Ini kerana terdapat banyak riwayat oleh golongan Salaf yang melarang seseorang melakukan sesuatu amalan walaupun amalan tersebut tidak disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW. Sebagai contoh, dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Ibnu Umar, Mujahid berkata yang bermaksud :

"Saya pernah bersama Ibnu Umar, lalu ada seseorang yang mengumandangkan azan dengan menambah tatswib (kalimat ‘Ash-salatu khairun minan-naum’) pada waktu Zuhur atau Asar. Maka Ibnu Umar berkata, 'Keluarlah bersama kami, sesungguhnya ini adalah perbuatan bid'ah.'"




Selain itu, dalam pada memahami mengenai bid'ah, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin menjelaskan dalam Syarah Arbain al-Nawawi, beliau menyatakan bahawa apabila sesuatu amalan dilakukan atas enam alasan ini : sebab, jenis, jumlah, cara, tempat, atau waktu, sedangkan tiada riwayat dari Nabi SAW secara khusus, maka amalan itu adalah bid'ah. Demikian penjelasan mengenai bid'ah oleh Syeikh al-Utsaimin. Maka jelaslah bahawa setiap perbuatan berbentuk amalan meski tidak terikat dengan kepercayaan kelebihan tertentu, walau tidak menetapkan hal tertentu, ianya tetap tidak boleh dilakukan kerana boleh menyelesihi sunnah Nabi SAW. Tambahan pula, menjadi keutamaan pada hari jumaat dengan membaca surah al-Kahf. Perbuatan membaca surah al-Kahf pada hari jumaat adalah sunnah. Ini bertepatan dengan hadith Nabi SAW riwayat al-Darimi yang dinilai sahih, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul'atiq".

Berdasarkan hadith tersebut, Imam al-Syafie menyebut dalam kitabnya al-Umm, dengan menyatakan bahawa dirinya suka bacaan surah al-Kahfi pada malam jumaat serta pada siang hari jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. Selain itu, Imam al-Munawi juga menyebut dalam kitabnya al-Faidh al-Qadir, hukum membaca surah al-Kahfi adalah sunat. Beliau ketika menukilkan pandangan Imam al-Syafie menyebut bahawa hal ini menunjukkan sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari jumaat, begitu juga pada malamnya sebagaimana telah ditunjukkan oleh Imam al-Syafie. Oleh yang demikian, bagi golongan kedua, membantah ketetapan membaca surah Yasin pada malam jumaat kerana dilihat menyelesihi sunnah Nabi Muhammad SAW. Keutamaan beramal pada hari jumaat berdasarkan kesahihan hujah adalah dengan membaca surah al-Kahfi dan bukannya membaca surah Yasin. Dalam hal ini, pandangan kedua dilihat lebih selamat dan lebih menepati sunnah. Marilah beramal dengan amalan yang lebih dekat pada makna sunnah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan