Isnin, 20 Oktober 2025

HAKIKAT ILMU LADUNNI

 

Ilmu adalah sesuatu yang bersifat keperluan bagi kehidupan manusia. Tanpa adanya ilmu, mustahil lah manusia dapat memanfaatkan apa yang ada di muka bumi ini. Misalnya, anugerah alam semulajadi yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba Nya ini sememangnya dijadikan dengan memiliki pelbagai sumber kekayaan alam. Dengan ilmu yang diperolehi, manusia akan dapat memanfaatkan segala sumber kekayaan alam tersebut untuk kebaikan bersama. Begitu juga dengan ilmu yang ada, manusia dengan menggunakan akal mampu mencipta pelbagai perkara lain untuk kegunaan manusia sejagat. Apa jua ilmu yang ada, baik ilmu tersebut diketahui ramai ataupun tidak, sesungguhnya ianya adalah milik kepunyaan Allah Azza Wa Jalla. Dalam kebanyakan jenis ilmu yang ada di dunia ini, terdapat satu ilmu yang menjadi buah bicara ramai manusia bercakap mengenainya. Ilmu tersebut disebut sebagai ilmu ladunni.

Perkataan "Ilmu Ladunni" merujuk kepada dua gabungan kata iaitu ilmu dan ladunni. Asal perkataan ladunni diambil dari ungkapan al-Quran berdasarkan sebuah kisah yang dirakamkan oleh Allah menerusi surah al-Kahfi antara Khidir dan Nabi Musa AS. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Kahfi ayat 65 yang bermaksud :

“Lalu mereka berdua (Musa dan Yusya' bin Nun) telah bertemu seorang hamba (Khidir) dari kalangan hamba-hamba Kami (Allah) yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami dan Kami berikan kepadanya ilmu dari sisi Kami”.




Berdasarkan ayat ini, maka lahirlah istilah yang dinamakan sebagai ilmu ladunni. Imam Fakhr al-Din al-Razi telah berkata dalam kitabnya Mafatih al-Ghaib dengan menyebut bahawa ilmu ladunni diperolehi melalui jalan mukasyafah (singkapan hati). Selain itu, dikalangan para ulama, turut membincangkan makna ungkapan ilmu ladunni pada sudut bahasa dan istilah. Pada sudut bahasa, ungkapan ilmu ladunni merujuk kepada makna ilmu di sisi Allah SWT. Manakala pada sudut istilah pula, terdapat pelbagai definisi yang dikemukakan antara lain, menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, beliau menyebut ilmu ladunni ialah ilmu yang tersingkap dalam hati tanpa terkait dengan sebab luaran. Selain itu, Imam al-Baydawi pula menjelaskan makna ilmu ladunni menerusi kitab tafsirnya Tafsir al-Baydawi, ialah ilmu yang berkait dengan Allah dan tidak diketahui kecuali dengan taufiq daripada Nya serta ia terdiri daripada ilmu-ilmu ghaib.

Dalam pada itu, sebahagian para sufi menyatakan bahawa ilmu ladunni merupakan ilmu berkait ilham dan firasat yang berbentuk lintasan hati yang baik. Pandangan ini dilihat bertepatan dengan sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Abu Sa'id al-Khudri RA yang bermaksud :

"Waspada dengan firasat orang mukmin kerana sesungguhnya orang mukmin itu melihat dengan cahaya Allah".

Secara ringkasnya, ilmu ladunni adalah satu perkara ilmu yang dikaitkan dengan kisah yang berlaku antara Nabi Musa AS dan Khidir yang mana kisah tersebut dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi. Dalam kisah tersebut, diceritakan bahawa Khidir telah melakukan beberapa perkara yang bersifat luar biasa iaitu membocorkan kapal sehingga menenggelamkan penumpangnya, membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdosa selain membina semula sebuah tembok yang hampir roboh tanpa mengambil sebarang upah. Beberapa tindakan luar biasa Khidir ini telah membuatkan Nabi Musa AS mengingkarinya. Jika kita amati maksud ilmu ladunni berdasarkan firman Allah SWT, kita akan faham bahawa yang dikatakan ilmu di sisi Allah SWT (ilmu ladunni) ialah merujuk kepada makna wahyu Allah kepada Khidir selaku Nabi. Sekaligus ada yang berpandangan bahawa dakwaan yang menyebut adanya ilmu ladunni yang dimiliki oleh manusia lain terutamanya daripada kalangan umat Nabi Muhammad SAW adalah tidak berasas dan bercanggah dengan maksud kesyumulan (sempurna) dan keumuman syariat Islam yang dibawa oleh baginda Nabi SAW.




Dikalangan para ilmuan Islam, ada yang menolak kewujudan ilmu ladunni secara keseluruhan. Kerana bagi mereka ilmu ladunni itu adalah bersifat wahyu khasnya kepada Khidir. Perkara ini tidak akan berlaku kepada manusia lain kerana umat manusia hari ini tidak lagi menerima wahyu selain dari ajaran syariat Nabi Muhammad SAW. Sebahagian lain pula menyebut dengan berpandangan tidak menolak kemungkinan akan kewujudan ilmu ladunni ini dikurniakan oleh Allah kepada hamba Nya yang terpilih. Bagi mereka, tidak mustahil untuk mana-mana insan yang dipilih oleh Allah SWT untuk memiliki ilmu demikian selagi apa yang diungkapkannya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Pun begitu, kita seharusnya bersikap berwaspada dan berjaga-jaga dengan mereka yang mendakwa memililki ilmu laduni kerana dibimbangi boleh menimbulkan fitnah dan tipu daya iblis.

Dalam satu penulisan tafsir yang dikarang oleh Syeikh 'Abd al-Fattah Solah al-Khalidi yang bertajuk Ma'a Qasas as-Sabiqin Fi al-Quran, beliau menyatakan bahawa :

“Selepas melihat perkataan-perkataan daripada para ulama kita maka kita dapat membuat suatu keputusan yang putus iaitu : Ilmu ladunni yang diisyaratkan oleh ayat tersebut, yang telah Allah ajarkannya kepada Khidir sebenar ialah nubuwwah (kenabian) dan wahyu. Adapun pengakuan dan dakwaan golongan sufi mengenai ilmu laduni menurut kefahaman mereka itu, adalah batil, sesat, menyanggahi syariat Islam dan petunjuk al-Quran”




Dalam kita mengupas persoalan mengenai kewujudan ilmu ladunni, kita harus tahu dan faham bahawa umat manusia pada hari ini sehinggalah pada hari kehancuran kelak, wajib berpegang dan beramal dengan apa yang dibawakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna sekalipun jika ada yang mendakwa dirinya memiliki ilmu ladunni, lalu mengajar perkara-perkara tertentu yang dilihat jelas bertentangan dan menyanggahi dengan syariat Nabi Muuammad SAW, maka tentulah ajaran tersebut wajib ditolak dan kekal berpegang dengan apa yang diajarkan dan dibawa oleh baginda Nabi SAW. Telah berkata Imam Ibn Abi al-'Izz dalam kitabnya Syarh al-'Aqidah at-Tahawiyyah, beliau menegaskan bahawa :

“Adapun sesiapa yang berpegang dengan kisah Musa bersama Khidir bagi membolehkannya meninggalkan wahyu kerana bergantung dengan ilmu ladunni, seperti yang didakwa oleh yang tidak mendapat taufik, maka dia adalah mulhid (atheis) dan zindak (munafik). Ini kerana Musa AS bukanlah Rasul yang diutuskan kepada Khidir. Khidir juga tidak diperintah untuk mengikutnya. Sebab itulah Khidir bertanya Musa: “Apakah engkau Musa dari Bani Israil?” Jawab Musa: “Ya!” (Riwayat al-Bukhari). Adapun Muhammad adalah diutuskan untuk seluruh manusia dan jin. Sekiranya Musa dan `Isa masih hidup maka mereka mesti menjadi pengikutnya. Apabila `Isa turun ke bumi (pada akhir zaman) dia hanya akan berhukum dengan syariat Muhammad. Oleh itu sesiapa yang mendakwa bahawa kedudukan dia bersama Muhammad seperti Khidir bersama Musa atau membolehkan (mempercayai) hal ini boleh berlaku untuk sesiapa di kalangan umat maka hendaklah dia memperbaharui keislamannya. Hendaklah dia kembali bersyahadah dengan syahadah yang benar kerana dia telah terkeluar dari Islam keseluruhannya. Sama sekali dia bukan dari kalangan wali-wali al-Rahman (Allah) sebaliknya dia adalah wali-wali syaitan”.

Demikian serba ringkas untuk kita memahami dan mengenali hakikat ilmu ladunni yang seringkali menjadi buah mulut ramai orang. Apa yang boleh kita rumuskan ialah ilmu ladunni adalah suatu ilmu yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi. Ilmu ladunni merupakan kaitan kisah antara Khidir dan Nabi Musa AS. Berkenaan ilmu ini, sebahagian para ulama berpandangan ilmu ladunni adalah bersifat wahyu kepada Khidir dan tidak akan dimiliki ilmu ini selain dimiliki oleh Khidir sahaja. Ada pula yang berpandangan ilmu ladunni boleh dimiliki oleh manusia lain yang terpilih oleh Allah. Namun begitu, harus berhati-hati dengan mereka yang mendakwa memiliki ilmu ladunni kerana ditakuti membuka ruang fitnah. Marilah sama-sama kita menghayati suatu ungkapan berbentuk peringatan kepada kita semua. Telah berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin dengan katanya sesiapa mengatakan bahawa (ilmu) hakikat berbeza dengan (ilmu) syariat atau (ilmu) batin menyalahi (ilmu) zahir maka orangnya lebih hampir dengan kekufuran berbanding iman. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan