Sabtu, 25 Oktober 2025

SIAPAKAH GOLONGAN MURJI'AH ?

 

Kepercayaan dan keyakinan adalah saling berkait antara satu sama yang lain. Nampak seperti sama pada makna tetapi tidak serupa pada penggunaanya. Kepercayaan boleh difahami sebagai mengakui sesuatu kebenaran tetapi tanpa pemahaman logik atau keilmuan yang mendalam. Misalnya, kita percaya bahawa seorang ahli silap mata sebenarnya pandai membuat helah menipu orang ramai. Pun begitu, kita tidak dapat menjelaskan bagaimana penipuan itu dilakukan. Sebaliknya keyakinan pula boleh difahami sebagai memahami dan mengerti sesuatu kebenaran secara logik dan berteraskan kefahaman ilmu yang mendalam. Sebagai contoh, kita bukan sahaja percaya bahawa Tuhan itu wujud tetapi kita yakin akan kewujudan Tuhan dengan melihat keindahan dan keajaiban ciptaan alam. Dalam hidup beragama, percaya dan yakin tidak memadai andai tidak dibuktikan dengan perbuatan. Terdapat satu golongan yang percaya dan yakin kepada Tuhan namun tidak punyai rasa salah dalam melakukan kemungkaran. Golongan tersebut dikenali sebagai Murji'ah.

Perkataan "Murji'ah" (مرجئة) adalah berasal dari bahasa Arab. Dalam kitab al-Mu'jam al-Wasit, ungkapan Murji'ah berasal daripada kata nama al-Irja' (الاءرجاء). Kalimah ini mempunyai dua maksud yang berbeza iaitu pada maksud pertama ialah menangguhkan. Manakala pada maksud kedua pula ialah pengharapan. Bagi maksud pertama iaitu menangguhkan, ianya berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat 111 yang bermaksud :

“Mereka berkata: "Tangguhkanlah dia dan saudaranya (daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk) mengumpulkan (ahli-ahli sihir);”

Manakala bagi maksud kedua iaitu pengharapan, ianya berdasarkan juga firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 218, firman Nya yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”




Selain itu, dikalangan para ulama, terdapat beberapa definisi berkaitan maksud golongan Murji'ah. Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Sufyan al-Thauri yang dinukilkan dari kitab Syarh Usul I'tiqad Ahl al-Sunnah wal Jama'ah, beliau berkata :

“Adapun Murji’ah mereka menyatakan iman hanyalah ucapan tanpa amal perbuatan. Barangsiapa yang bersyahadah La’ilaha illallah maka dia telah sempuma keimanannya. Imannya seperti imannya Jibril dan para malaikat meskipun dia membunuh (yang diharamkan darahnya), dia tetap dikatakan sebagai Mukmin. Dan meskipun dia meninggalkan mandi janabah serta tidak solat. Mereka juga menghalalkan darah kaum Muslimin".

Dalam definisi lain, seperti yang tercatat dalam kitab al-Milal wal Nihal, menurut Imam al-Syahrastani, nama Murji'ah bagi pengertian yang pertama iaitu menangguhkan adalah lebih tepat kerana mereka menangguhkan perbuatan daripada niat dan akad (mengutamakan niat berbanding perbuatan). Adapun pengertian yang kedua iaitu pengharapan, juga ianya jelas kerana mereka berkata bahawa maksiat tidak menjejaskan iman sebagaimana ketaatan tidak akan memberi manfaat jika disertakan dengan kekufuran. Demikian ulasan oleh al-Syahrastani dalam memberikan definisi mengenai makna Murji'ah. Secara ringkas, golongan Murji'ah merujuk kepada suatu aliran pemikiran yang terpesong kerana percaya dan yakin dengan sesungguhnya tiap-tiap manusia berhak untuk melakukan maksiat selagimana dirinya masih beriman kepada Allah. Secara tidak langsung, kepercayaan batil seperti ini akan mendorong manusia untuk bermalasan dalam beribadah kerana menyangka setiap manusia berhak mendapatkan keampunan Tuhan.

Dalam catatan sejarah yang panjang, kemunculan aliran pemikiran Murji'ah ini sangat berkait rapat dengan keadaan ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada waktu itu. Keadaan politik yang tidak stabil ini berpunca daripada taburan fitnah yang berlaku selepas tragedi pembunuhan khalifah ketiga Islam iaitu Uthman bin Affan. Episod fitnah yang bertebaran dengan begitu dahsyat ini bukan sahaja berakhir dengan munculnya kumpulan Murji'ah tetapi pelbagai lagi kumpulan aliran pemikiran yang lain seperti Khawarij, Muktazilah dan Syiah. Kemunculan golongan Murji'ah adalah tindak balas daripada eksploitasi isu pembunuhan Uthman bin Affan. Sewaktu itu, berlaku perbincangan dikalangan umat Islam selepas zaman Sahabat berkenaan hukum para Sahabat yang terlibat dalam peperangan tersebut yang dihukum secara asas mereka telah melakukan dosa besar. Perbincangan yang membawa kepada perbalahan panjang ini telah berubah menjadi satu aliran kefahaman akidah membabitkan kedudukan pelaku dosa besar. Bagi golongan Murji'ah, pelaku dosa besar tetap dianggap sebagai beriman dengan iman yang sempurna. Adapun soal dosanya diserahkan kepada Allah. Berbeza pula dengan kumpulan Khawarij dimana mereka berpandangan bahawa pelaku dosa besar diangga kafir dan wajib dibunuh.




Dalam kitab Tarikh Dimashq, telah berkata Ibn Asakir dengan menyebut :

“Dan adapun Murji’ah, mereka adalah golongan yang ragu-ragu. Mereka sebelumnya berada dalam peperangan. Ketika mereka kembali ke Madinah selepas pembunuhan ‘Uthman, kesetiaan mereka sama dengan orang ramai, pendirian mereka satu, tiada pada mereka sebarang perselisihan. lalu mereka berkata: ‘Kami tinggalkan kamu ketika itu pendirian kamu satu, tiada perselisihan dalam kalangan kamu, dan bila kami pulang, kamu berselisih pendapat. Sebahagian kamu mengatakan ‘Uthman dibunuh dalam keadaan zalim dan ‘Uthman serta para sahabatnya lebih berhak mendapat keadilan. Sebahagian kamu pula mengatakan ‘Ali lebih berhak terhadap kebenaran dan para sahabatnya adalah diyakini. Bagi kami hanya satu kebenaran, maka kami tidak berlepas diri daripada kedua-duanya. Kami tidak melaknat kedua-duanya, kami tidak bersaksi atas kedua-duanya dan kami menyerahkan urusan kedua-duanya kepada Allah sehingga Allah sahaja yang akan mengadili kedua-duanya.”

Golongan Murji'ah yang berteraskan kepada ungkapan Irja' memiliki beberapa pendirian yang jelas bertentangan dengan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah. Antara lain sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash'ari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyah wa Ikhtilaf al-Musallin, beliau menyebut bahawa golongan Murji'ah menyangka sebagaimana amalan tidak bermanfaat dengan kesyirikan. Demikian juga amalan tidak memudaratkan dengan iman dan tiada seorang pun dalam kalangan ahli kiblat memasuki neraka. Selain itu, Ibn Abi al-'Izz menjelaskan dalam kitabnya Syarh al-'Aqidah al-Tahawiyyah, dengan menyatakan bahawa pengikut irja' dan seumpama mereka mendukung kemunculan perkara fasiq dan maksiat dengan mengatakan 'aku mukmin', muslim sebenar dan sempurna iman dan Islam tanpa dia mengambil kira maksiat yang terdapat daripadanya. Dengan makna ini, maka golongan Murji'ah mengatakan dosa tidak mudarat dengan iman bagi sesiapa yang melakukannya.




Selain itu, al-'Umrani dalam kitab al-Intisar fi al-Radd 'ala al-Muktazilah al-Qadariyyah al-Ashrar, menukilkan pandangannya dengan menyebut golongan Murji'ah berkata Allah tidak disifatkan bahawa Allah mengazab hamba Nya kerana dosa melainkan (dosa) kekufuran. Juga telah berkata Imam Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Fath al-Bari, beliau menyebut mereka yakni Murji'ah dinisbahkan kepada irja' kerana mereka mengemudiankan amal perbuatan daripada iman. Lalu mereka menyebut iman itu adalah tasdiq (pengakuan) di dalam hati sahaja dan tidak disyaratkan dengan lisan. Golongan ini juga menjadikan ahli maksiat sebagai iman yang sempurna dan mereka mengatakan bahawa pada prinsipnya dosa tidak memudaratkan iman. Berdasarkan penjelasan berkaitan pendirian golongan ini, dapat disimpulkan dengan beberapa perkara. Antara asas pendirian bagi golongan Murji'ah ini ialah iman bagi mereka hanyalah tasdiq iaitu pengakuan di dalam hati sahaja. Adapun soal amal perbuatan ianya tidak termasuk di dalam hakikat iman.

Golongan Murji'ah juga berpendirian bahawa hakikat iman tidak bertambah dan tidak pula berkurang. Pendirian ini jelas bercanggah dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang menyakini iman boleh bertambah dan berkurang bergantung kepada amal perbuatan. Bagi golongan Murji'ah juga, pelaku maksiat tidak akan dimasukkan ke dalam neraka kerana mempunyai keimanan yang sempurna. Ini bermakna pelaku maksiat tidak kan dihukum oleh Allah kerana mereka masih memiliki iman yang sempurna. Demikian sebahagian kecil penjelasan mengenai golongan yang dikenai dengan nama Murji'ah. Hakikatnya, golongan ini membawa kefahaman yang jelas menyanggahi dengan apa yang disepakati oleh Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Dikalangan para ulama, mereka menjelaskan golongan ini terpecah kepada beberapa kumpulan kecil yang lain dan sesungguhnya semua kumpulan tersebut adalah jauh menyimpang dari landasan ajaran Islam sebenar. Semoga Allah Azza Wa Jalla melindungi kita semua daripada aliran terpesong ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan