Selasa, 28 Oktober 2025

MENGENALI GOLONGAN ORIENTALISME

 

Khazanah keilmuan antara warisan yang sangat berharga sebagai rujukan dan panduan buat masyarakat warga dunia. Tradisi ilmu yang diwarisi sejak berzaman mempunyai nilai dan harganya yang tersendiri. Dalam lipatan sejarah agung Islam, kewujudan institusi keilmuan terhormat seperti Baitul Hikmah di Baghdad Iraq, pada era zaman kerajaan Abbasiyyah membuktikan ketamadunan manusia sangat bernilai dengan warisan tradisi ilmunya. Keintelektualan Islam terbukti gah berdiri dengan kekayaan ilmu dalam pelbagai bidang. Padanya telah lahir ramai para cendekiawan Islam selain berjaya menghimpunkan cendekiawan yang lain dari seluruh dunia. Pun begitu, segalanya telah berakhir dan dilenyapkan melalui serangan Monggol yang membawa kepada episod kejatuhan Baitul Hikmah. Identiti lain muncul di sebelah Barat, membawa naratif merekalah golongan yang terpaling pandai dengan kerja kajian yang mereka lakukan. Mereka ini kemudiannya dikenali sebagai Orientalis.

Perkataan "Orientalisme" merupakan suatu istilah yang dicipta oleh Barat. Seperti juga istilah lain contohnya imperialisme, kolonialisme dan kapitalisme, istilah orientalisme merujuk kepada suatu bentuk pemikiran yang sangat berpengaruh. Istilah Orientalisme yang berasal dari Barat adalah gabungan dari dua perkataan iaitulah "Orient" yang bermaksud timur, tempat terbitnya matahari dan perkataan "Isme" yang membawa maksud sistem kepercayaan dan pemikiran. Selain itu, istilah orient pada sudut geografinya, ia merujuk kepada dunia timur. Manakala pada sudut etnologi pula, perkataan orient merujuk kepada bangsa-bangsa di kawasan timur. Gabungan dua perkataan ini melahirkan suatu makna iaitu sistem pemikiran yang digagaskan oleh bangsa timur. Ungkapan orientalisme dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Istishraq. Pada sudut bahasa, al-Istishraq bermaksud timur. Pada sudut istilah pula, para sarjana Islam berbeza pandangan mengenainya. Namun begitu, secara kesimpulannya, istilah Orientalisme boleh difahami sebagai salah satu cabang dari cabang-cabang ilmu yang menjurus kepada kajian yang digerakkan oleh masyarakat timur di pelbagai bidang seperti bidang teologi, linguistik, kesusasteraan dan lain-lain.




Sejarah kemunculan golongan ini bermula dengan penjelajahan dan kolonialisasi Eropah sekitar pada abad 18 dan 19. Penulis dan aktivis politik terkenal bernama Edward Said menyebut dalam sebuah karyanya berjudul Orientalisme (1978), orientalisme sering digunakan sebagai alat kekuasaan kolonial. Oleh itu, secara tidak langsung golongan ini muncul dengan menciptakan citra Timur yang bersifat merendahkan dan stereotipikal terutama terhadap ajaran agama Islam. Selain senjata orientalisme ini juga mengukuhkan pandangan unggul Barat. Keadaan ini menyebabkan budaya ketimuran diabaikan kesan daripada mengagungkan pandangan bersifst unggul menurut Barat. Kemunculan gerakan orientalisme ini di dorong oleh pelbagai motif yang antara lainnya bermotifkan permusuhan agama. Sifat kebencian umat Kristian di Barat terhadap agama Islam yang kemudiannya telah memperlihatkan perseteruan antara keduanya sepanjang sejarah. Memetik kata Thomas Wright dalam suatu karya berjudul Early Christianity in Arabia, beliau menyebut bahawa konflik ini sudah bermula ketika tentera Kristian yang dipimpin oleh Abrahah menyerang Ka'bah sebelum peristiwa kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Pengaruh besar intelektual umat Islam yang bukan sahaja memberi kesan kepada Islam malah turut melebar luaskan lagi kefahaman Islam kepada seluruh umat dunia termasuk mereka yang berada di Barat. Malah kesan daripada itu, dikalangan bangsawan dan istana di Barat juga turut meminati ilmu-ilmu Islam. Keadaan ini mendorong pihak gereja untuk berusaha melakukan sesuatu bagi mengekang penyebaran luas ilmu Islam. Sepertimana kata Maxime Robinson dalam karyanya berjudul Europe and The Mystique of Islam, beliau menceritakan bahawa Maharaja Frederick dari Hohenstaufin telah dikenakan tindakan oleh Pope Gregory IX dengan memyingkir baginda dari gereja atas tuduhan Maharaja Frederick cenderung dan lebih mengutamakan Islam. Tuduhan ini dibuat berdasarkan kemahiran Frederick II menguasai ilmu bahasa Arab selain boleh bercakap dalam lapangan bidang falsafah, logik, perubatan dan matematik. Rentetan daripada itu, kempen peperangan persenjataan dilancarkan ke timur melalui laluan Laut Mediteranian bermula dengan pidato oleh Pope Aorean II, Ketua Paderi, yang diadakan di Perancis pada tahun 1095. Sejurus itu, kesan dan implikasi daripada pidato tersebut, tercetuslah Perang Salib.

Perang Salib telah memperlihatkan kemenangan tentera Kristian sekaligus menguasai bumi Islam. Pun begitu, setelah kira-kira hampir 200 tahun lamanya, muncul panglima hebat dalam sejarah Islam iaitu Salahuddin al-Ayyubi berjaya memecah tembok penguasaan tentera Salib terhadap bumi Islam dengan menyatukan sebahagian negara-negara Arab dan bersamanya menewaskan tentera Salib dalam peperangan Hittin pada tahun 1187. Hakikatnya, kekalahan tentera Salib telah memberikan isyarat jelas kepada dunia Barat bahawa untuk menguasai dunia Timur, tidak lagi sesuai dengan cara penjajahan dan kekerasan. Mereka sedar bahawa untuk menguasai umat di sebelah Timur, mereka sendiri perlu menyelami dunia ketimuran. Oleh itu, bagi tujuan memenuhi matlamat tersebut, mereka berusaha dengan membina sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi melaksanakan usaha kajian dengan mengkaji tamadun Islam. Segala hasil karya yang ditulis dalam bahasa Arab merangkumi pelbagai bidang seperti sains,astronomi dan falsafah telah dijadikan kurikulum untuk dipelajari di semua institusi pendidikan. Maka hasilnya, bermula lah penerbitan bahan ilmiah yang mempromosikan ideologi para orientalis bermotifkan kebencian mereka terhadap Islam.




Dalam perkembangan gerakan ini, Mustafa al-Siba'i menyebut dalam kitabnya al-Istishraq wa al-Mustashriqun : Ma Lahum wa Ma 'Alayhim, motif Orientalis dapat dibahagikan kepada tiga motif utama iaitulah motif akademik, motif agama dan politik dan motif kajian ilmiah. Menurut Mustafa al-Siba'i, kelompok ketiga yang bermotifkan kajian ilmiah ini sahaja yang dianggap masih boleh diterima oleh umat Islam. Namun begitu, kajian ilmiah yang diusahakan oleh golongan orientalis ini masih terdedah kepada kesilapan yang berpunca daripada kebodohan mereka sendiri terhadap laras bahasa Arab selain gagal memahami intipati ajaran sebenar Islam. Dalam pada itu, Maryam Jameelah di dalam karyanya berjudul Islam and Orientalism, beliau membangkitkan persoalan tentang mutu dan nilai kajian oleh orientalis. Beliau menyebut :

“Adakah Orientalisme itu secara keseluruhannya keji? Jawapannya adalah tidak, secara pembuktian. Terdapat sejumlah sarjana Barat telah mendedikasikan kehidupan mereka kepada pengajian Islam kerana minat yang tulis kepadanya. Jika tidak kerana hasil usaha mereka ini, banyak ilmu bernilai tinggi yang ditemui di dalam manuskrip-manuskrip lama Islam akan hilang atau terbiar dilupakan tanpa perhatian. Para orientalis Inggeris seperti Mendiang Reynold Nicholson dan Mendiang Arthur Arberry telah menghasilkan karya-karya yang luar biasa di dalam bidang penterjemahan literatur klasik Islam, dan menjadikan ia tersedia untuk kegunaan pembaca awam buat pertama kalinya di dalam bahasa Eropah”

Tanpa kita perlu bersikap prejudis, kita harus akui bahawa terdapat juga sebahagian para orientalis Barat yang benar-benar mengemukakan kajian yang dianggap sebagai pro kepada Islam. Sebagai contoh, sebuah karya kontemporari berjudul Muhammad : A Biography of the Prophet (1991) yang ditulis oleh Karen Amstrong, telah banyak membantu merungkaikan kekeliruan sekaligus memecahkan perasaan prejudis Barat terhadap Islam. Menariknya, karya hebat ini diterbitkan tatkala ketika itu Barat di dominasi oleh isu fatwa hukuman mati yang dikeluarkan oleh Ayatollah Khomeini keatas Salman Rushdi. Walau apapun yang dihidangkan oleh para orientalis, sebagai umat manusia yang dikurniakan akal yang waras, kita perlulah sentiasa mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dalam menerima apa jua kajian yang bersumberkan karya orientalis. Sesungguhnya kebangkitan Barat melalui gerakan orientalisme ini mengajar kita erti menghargai khazanah ilmu selain mengingatkan kita akan amanah terhadap ilmu itu sendiri. Benarlah bahawa peperangan bukan lagi soal mengangkat senjata semata-mata tetapi penting juga peranan ilmu untuk mengangkat kejahilan dan menanam kebijaksanaan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan