Rabu, 22 Oktober 2025

PERKAHWINAN BATIL MENURUT ISLAM

 

Sememangnya penciptaan makhluk yang bergelar manusia dijadikan dengan fitrah saling mencintai antara satu sama lain. Oleh kerana itu juga, pencipta manusia iaitu Allah SWT telah menjadikan kehidupan manusia itu hidup berpasang-pasangan antara lelaki dan perempuan. Perasaan kasih, cinta dan sayang yang subur dalam jantung hati manusia adalah bukti dan tanda kekuasaan Allah SWT yang menjadikan manusia itu berpasang-pasangan. Islam yang datang sebagai agama yang juga meraikan fitrah insani, membawa syariat yang disebut sebagai perkahwinan, menjadi medan manusia hidup berkasih-sayang dan disulami dengan tanggungjawab dan peranan sebagai suami isteri. Sesungguhnya perkahwinan adalah sesuatu yang mulia di sisi Islam. Namun begitu, bukanlah semua jenis perkahwinan itu disyariatkan oleh Allah. Di sana terdapat beberapa jenis bentuk perkahwinan yang dianggap batil atau tidak sah di sisi syarak.

Perkataan "Perkahwinan" menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah perikatan yang sah antara lelaki dengan perempuan menjadi suami isteri. Dalam bahasa Arab, perkahwinan disebut dengan istilah nikah yang bermaksud berkumpul dan bercampur. Pada sudut syarak, sebagaimana yang terdapat dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafie, ungkapan nikah merujuk kepada makna suatu akad yang menghalalkan persetubuhan atau berseronok-seronok di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Selain perkataan nikah, satu lagi perkataan lain yang juga membawa makusud perkahwinan iaitu "Zawaj" (الزواج). Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran yang bermaksud berpasangan dan mengikut konteks penggunaannya ia membawa makna perkahwinan. Perkataan "Batil" pula bermaksud salah, palsu, tidak sah atau sia-sia. Secara ringkas, perkahwinan batil boleh difahami sebagai suatu ikatan nikah yang terbatal atau tidak sah di sisi syarak.




Bagi memahami lebih lanjut mengenai perkahwinan yang batil, kita akan melihat beberapa jenis perkahwinan yang dikategorikan sebagai perkahwinan yang tidak sah dan terbatal. Antaranya yang pertama, disebutkan dengan nama perkahwinan Syighar. Perkahwinan Syighar atau juga disebut sebagai nikah Syighar adalah merupakan suatu bentuk perkahwinan di mana seorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya atau sesiapa yang berada dibawah wilayahnya seperti anak.peremuan atau saudara perempuannya kepada lelaki lain dengan syarat lelaki itu turut mengahwinkan anak perempuan atau saudara perempuannya kepada lelaki tersebut. Dalam kitab Ihkam al-Ahkam Syarah Umdah al-Ahkam, disebut antara maksud lain bagi nikah syighar adalah perbuatan anjing yang mengangkat sebelah kakinya untuk kencing. Menurut sebahagian ulama berpandangan begitulah buruknya perbuatan nikah syighar sama seperti buruknya perbuatan anjing tersebut. Perbuatan nikah Syighar ini dilarang oleh Islam sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Umar yang berkata :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang perbuatan al-Syighar. Dan al-Syighar adalah seseorang lelaki itu mengahwinkan anak perempuannya kepada seorang lelaki lain dengan syarat lelaki tersebut mengahwinkan anak perempuannya juga kepadanya tanpa sebarang mahar di antara keduanya".

Kedua, disebutkan juga sebagai perkahwinan yang batil ialah perkahwinan Mutaah. Perkahwinan Mutaah ini telah menjadi amalan tradisi bagi penganut ajarah Syiah. Amalan perkahwinan Mutaah sebagaimana yang dijelaskan oleh seorang ulama Syiah yang bernama Sayyid Sharaf al-Din dalam kitabnya al-Fusul al-Muhimmah fi Ta'lif al-Ummah, berlaku apabila seorang perempuan menikahkan dirinya dengan seorang lelaki dengan mahar tertentu dalam tempoh yang ditentukan. Akad perkahwinan ini merangkumi syarat sah dalam perkahwinan. Setelah dipersetujui kadar mahar dan tempoh perkahwinan, maka lafaz akadnya disebutkan oleh seorang perempuan kepada seorang lelaki yang mahu dikahwini dengan lafaz yang berbunyi "Aku nikahkah diriku denganmu dengan mahar sekian sekian sehingga tempoh sekian sekian". Selepas lafaz ijab disebut, maka lelaki itu hanya perlu menjawab "saya terima". Menurut ulama Syiah seperti Sayyid Husain al-Musawi, beliau menukilkan beberapa kelebihan nikah mutaah dalam kitabnya al-Kasyani dengan meriwayatkan hadith Nabi yang palsu dengan menyebut :

"Sesiapa yang berkahwin mutaah sekali, maka darjatnya seperti darjat Sayidina Husin RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah dua kali, maka darjatnya seumpama darjat Sayidina Hasan RA. Sesiapa yang berkahwin mutaah tiga kali, darjatnya seumpama darjat Sayidina Ali RA dan sesiapa yang bermutaah empat kali maka darjatnya seumpama darjatku".

Ketahuilah bahawa sesungguhnya sungguh dahsyat fitnah Syiah demi mahu menghalalkan sebuah perkahwinan yang batil ini. Hakikatnya, perkahwinan mutaah seperti ini telah dilarang dan ditegah oleh Islam. Hal ini boleh dilihat sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, yang bermaksud :

"Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang untuk kahwin mutaah. Baginda bersabda: "Ketahuilah bahawa sejak hari ini kahwin mutaah itu hukumnya haram sampai kiamat nanti. Jadi, sesiapa yang pernah memberikan sesuatu, maka janganlah dia ambil kembali".




Ketiga, jenis perkahwinan batil yang lain juga disebut sebagai perkahwinan orang ihram. Dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, dijelaskan bahawa majoriti para ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpandangan bahawa perkahwinan ketika dalam keadaan berihram adalah tidak sah. Ini termasuklah sesiapa sahaja yang berihram tersebut sama ada suami atau isteri, atau wali yang melakukan akad perkahwinan bagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad perkahwinan kepada orang yang diwakilkannya. Pandangan majoriti yang menyebut tidak sah perkahwinan orang berihram ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Orang yang dalam keadaan ihram tidak boleh bernikah mahupun dinikahkan atau meminang".

Keempat, turut dikategorikan sebagai perkahwinan batil ialah perkahwinan perempuan yang masih dalam keadaan beriddah. Perkataan "Iddah" pada sudut syarak merujuk kepada makna suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas penceraian atau kematian suami. Antara tujuan pensyariatan iddah ini adalah untuk memastikan kekosongan rahimnya daripada mengandung dan tempohnya pula bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Kebiasaannya, tempoh iddah bagi perempuan sesudah bercerai adalah tiga kali suci kitaran haid. Manakala perempuan yang telah kematian suami pula, tempoh iddahnya adalah selama empat bulan sepuluh hari. Telah sepakat para ulama menyatakan bahawa haram melakukan perkahwinan semasa iddah. Selain itu, al-Syarazi pula menyebut dalam kitabnya al-Muhazzab dengan menyatakan bahawa tidak dibolehkan untuk berkahwin dengan perempuan yang sedang beriddah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud :

"Dan jangan kamu melangsungkan akad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh ‘iddah) ”




Kelima, perkahwinan batil menurut Islam juga ialah perkahwinan seorang yang beragama Islam dengan seorang yang tidak beragama Islam. Pun begitu, kecuali perempuan dari ahli Kitab, seorang lelaki muslim halal menikahinya. Perkahwinan yang melibatkan perbezaan agama adalah dilarang keras oleh Islam. Pengharaman perkahwinan seperti ini juga merangkumi seorang perempuan menikahi seorang lelaki bukan Islam, atau perkahwinan seorang lelaki Islam dengan perempuan yang telah murtad. Larangan ini sepertimana yang terdapat di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 221, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu menikahi wanita-wanita musyrik sebelum mereka beriman"

Demikianlah sebahagian daripada bentuk dan jenis perkahwinan yang dihukum sebagai batil. Perkahwinan yang sebagaimana disebutkan itu merupakan perkahwinan yang tidak sah di sisi syarak. Oleh itu, kita semua sewajarnya mengambil peduli akan hal tersebut sebagai suatu kefahaman yang jelas dan memastikan diri kita dan masyarakat Islam setempat tidak melakukan hal tersebut. Sesungguhnya perkahwinan adalah merupakan suatu ibadah mulia yang meraikan fitrah perasaan manusia yang hidup dalam berpasang-pasangan. Walaupun begitu, ia tidaklah bermakna kita boleh berkahwin dengan sesuka hati tanpa mengambil peduli tentang hukum dan peraturannya. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan