Usaha kempen kibar bendera putih adalah
merupakan salah satu kaedah dan cara untuk memohon bantuan kerana keadaan yang
mendesak dan menekan. Kita percaya, dalam keadaan sebegini, tidak ada lagi
istilah malu dan segan ekoran keadaan pandemik yang sedang kita hadapi ini.
Sesiapa sahaja harini, tidak akan terlepas daripada terkesan dengan situasi
pandemik ini. Cuma bezanya ialah sama ada kesannya besar atau kecil.
Pada masa sama, usaha kita dengan
mengibarkan bendera putih bukanlah bermakna tidak berdoa atau memohon kepada
Allah SWT. Agama telah memberikan kita panduan dalam soal hidup, antara ikhtiar
dan tawakkal kita kepada Allah Azza Wa Jalla. Berdoa merupakan permintaan kita
kepada Allah. Tanpa perlu menunggu keadaan susah pun, kita dianjurkan sentiasa
berdoa memohon perlindungan, rahmat serta kasih sayang Nya.
Firman Allah SWT dalam surah al Mukmin
ayat 60 yang bermaksud :
"Berdoalah kepada Ku nescaya akan Ku
perkenankan (permintaan) bagimu..."
Berdoa telah menjadi suatu tuntutan
kepada orang Islam memohon kepada Nya tanpa mengira waktu susah dan senang.
Ketika senang pun kita harus berdoa, apatah lagi pada waktu susah, kita
dianjurkan juga untuk menadah tangan memohon pada Nya. Maka, bukan lah
ketentuan perlu menunggu masa susah barulah memohon berdoa pada Nya. Di mana
saja, pada bila-bila masa, kita boleh berdoa kepada Allah tanpa terikat masa.
Oleh itu, kempen kibar bendera putih
dilihat bukanlah sebagai suatu bentuk memasang tangkal atau azimat sehingga
menafikan doa kita kepada Allah. Kempen ini adalah salah satu usaha semata-mata
bagi menzahirkan keadaan nya yang memerlukan perhatian dan bantuan. Tidak adil lah
untuk kita katakan berdoa saja tanpa usaha. Demikian juga tidak betul jika kita
katakan hanya minta pada Allah tanpa perlu meminta pada manusia. Kerana Islam
mengajar kita konsep usaha dan tawakkal.
Dalam sebuah hadis riwayat Imam at
Tirmidzi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
"Ikatlah (untamu), baru kamu
bertawakkal"
Hadis ini menceritakan bagaimana baginda
Nabi SAW pernah berpesan kepada seorang lelaki pemilik unta berkenaan dengan
mengajar cara usaha kemudian disusuli dengan tawakkal kepada Allah SWT. Berdasarkan
hadis ini, dapat kita fahami bahawa Rasulullah SAW menyuruh untuk berusaha
terlebih dahulu kemudian barulah berserah diri bertawakkal kepada Allah SWT.
Dalam kitab Ihya' Ulum al Din, Imam
Ghazali ketika membicarakan tentang konsep tawakkal, beliau menyatakan :
"Tawakkal dalam Islam bukanlah suatu
sikap eskapisme bagi orang-orang yang tidak mahu berusaha atau gagal usahanya,
tetapi tawakkal itu ialah tempat kembalinya segala usaha. Tawakakal bukan
menanti nasib sambil berpangku tangan, tetapi berusaha sekuat tenaga dan
setelah itu baru berserah diri kepada Allah."
Dalam hadis yang lain, riwayat Imam Ahmad
daripada Umar al Khattab, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Seandainya kamu benar-benar
bertawakkal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana
burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan
lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang"
Dalam menjelaskan hadis ini, Imam al
Munawi berkata : Hal ini menunjukkan bahawa tawakkal tidak boleh dengan
meninggalkan usaha. Tawakkal hendaklah dengan melakukan pelbagai usaha yang
akan membawa kepada hasil yang diingini. Hal ini kerana burung pun memperolehi
rezeki dengan berusaha.
Kita seharusnya sedar dan faham tujuan
dan kehendak sebenar kempen ini diadakan. Bukanlah bertujuan menafikan sifat
kebergantungan kita hanya kepada Allah, bukanlah juga menafikan keajaiban dalam
berdoa, tetapi kempen ini sekadar salah satu kaedah dan cara untuk pihak lain
tampil membantu. Pelbagai cara dan kaedah lain lagi yang boleh diaplikasikan
dan ini salah satu daripadanya.
Dalam keadaan tertekan akibat terkesan
dengan pandemik ini, kita telah buang banyak masa untuk tampil membantu. Kita
telah banyak membuang masa dengan membahaskan tentang cara dan kaedah yang
sebenarnya tidaklah bercanggah dengan syariat agama. Disebalik isu kempen ini,
lebih besar dan lebih utama dari itu ialah bagaimana tindakan kita kepada
mereka yang memerlukan bantuan.
Adapun sikap meminta-minta, agama
melarang kita bersikap sedemikian pada perkara yang bukan menjadi hak kita.
Sebaliknya, bagi mereka yang benar-benar susah, terdesak dan tertekan dengan
keadaan, maka mereka berhak untuk menerima bantuan. Dalam soal larangan meminta-minta
ini juga, bukan terhad kepada soal bantuan semata-mata bahkan agama juga
melarang kita bersikap meminta-minta jawatan. Namun, sekiranya kita layak dan
mampu menggalas jawatan tersebut, tidak lah dilarang bahkan dianjurkan supaya
urusan umat terbela dan dipelihara dibawah ahlinya.
Marilah kita kembali fokus kepada soal
bantu-membantu dengan apa cara kaedah sekalipun. Usahlah menangguk air yang
keruh dengan memperjudikan isu ini dan menjadikan polimik yang tidak
berkesudahan. Bantu biarlah kerana keikhlasan dan bukan kerana ideologi politik
sempit yang memualkan. Hayatilah firman Nya dalam surah al Maidah ayat 2 yang
bermaksud :
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam
mengerjakan kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam perbuatan
dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat berat
seksaan Nya".
Janganlah kita menafikan usaha orang lain
untuk meminta bantuan tetapi bantulah sekiranya mampu. Jika tidak, berdiam itu
lebih baik daripada berkata-kata. Semoga Allah memberkati segala usaha baik
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan