Semangat membantu dikalangan rakyat
Malaysia sangat dikagumi bukan sahaja di peringkat negara malah di mata
antarabangsa. Kemurahan hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa
telah membuktikan sebenarnya kita mampu bersatu tatkala negara berdepan dengan
isu getir dan pilu. Kita sewajarnya berbangga dengan sikap pemurah rakyat
Malaysia. Kini, kempen bendera putih telah menjadi simbolik kepada tingginya
kesedaran rakyat untuk saling bantu-membantu.
Namun disebalik sifat pemurahnya rakyat
Malaysia, segelintir masyarakat kadang-kala dilihat tidak jujur dan tidak
bercakap benar ketika meminta bantuan. Malah, ada juga yang telah mengambil
barang yang bukan hak keperluannya. Keadaan ini amatlah menyedihkan. Bercakap
tidak benar dengan memberi maklumat yang tidak tepat, kononnya tidak pernah
mendapat bantuan dari mana-mana pihak, walhal pernah diberi bantuan itu dan
ini.
Ketika meminta sesuatu yang bukan hak
kita, ingatlah firman Allah SWT dalam surah an Nisa' ayat 29 yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang
salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang
dilakukan secara suka sama suka diantara kamu, dan janganlah kamu
berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani
kamu"
Berdasarkan ayat diatas, Allah Azza Wa
Jalla dengan penuh ketegasan melarang orang-orang beriman daripada mengambil
atau memakan harta secara batil atau salah. Termasuklah dalam perkara batil dan
salah itu ialah dengan cara menipu demi mengaut keuntungan dan membolot
bantuan. Sikap sebegini sepatutnya dijauhi oleh kita semua dan berpada lah
dengan bantuan yang telah kita terima. Ada pun jika tidak cukup, berkatalah
yang benar dan bukannya mendakwa tidak pernah menerima apa-apa bantuan.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim,
baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Siapa yang mengambil hak seorang
muslim dengan sumpahnya maka Allah menentukan neraka baginya dan mengharamkan
syurga baginya. Ada seorang lelaki bertanya :"Walaupun itu adalah sesuatu
yang sangat sederhana wahai Rasulullah ?" Baginda menjawab :"Walaupun
sebatang kayu siwak dari pohon arak".
Barangkali ada dikalangan kita
beranggapan mengambil hak yang bukan milik kita adalah sesuatu hal yang remeh.
Tetapi berdasarkan hadis tersebut, Allah memberikan ancaman kepada golongan ini
dengan menentukan neraka bagi mereka dan di diharamkan syurga. Suatu ancaman
yang sangat serius dan berat yang Allah janjikan pada golongan ini. Oleh itu,
kepada kita yang barangkali sedang berada dalam kesusahan, mohon lah bantuan
dengan kejujuran. Jangan menafikan bantuan lain sekiranya ada. Ambil lah sikap
sederhana dalam meminta-meminta.
Kepada pemberi bantuan pula, kita hanya
mampu menilai keadaan penerima dengan apa yang terzahir pada dirinya sahaja.
Kita tidak diminta untuk membuka aib penerima, bahkan Islam melarang kita
membuka aib orang lain. Sepertimana dalam sebuah hadis riwayat at Tirmidzi,
baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang mencari-cari aib
(atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya
walaupun dia berada di dalam rumahnya"
Dalam hadis yang lain, riwayat Muslim,
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah seseorang hamba menutup
aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi pada
hari kiamat"
Demikianlah sabda Nabi SAW yang melarang
kita daripada membuka aib. Lebih-lebih lagi dalam konteks kita memberi bantuan,
berilah dengan ikhlas, tanpa mengungkit dan tanpa kita membuka aib si penerima
bantuan. Sikap membantu tersebut sangatlah baik dan mulia. Namun, janganlah
kita cemarinya dengan sikap yang terkeji sepertimana yang telah kita sebutkan.
Ada pun untuk menyedarkan penerima
tentang kelemahannya, barangkali mereka tidak solat, cukuplah dengan sekadar
memberi nasihat yang membina dan bukannya menghemburkan kata-kata nista
menghina. Kita seharusnya sedar bahawa segala apa yang kita miliki ini pun
semuanya datang dengan izin Allah. Dengan sikap Maha Pemurah, Tuhan lah yang
memberikan kita sedikit kelebihan untuk membantu mereka yang memerlukan.
Sikap memberi dengan niat ingin membantu
mengeluarkan orang lain dari kesusahan bukanlah sikap orang biasa bahkan inilah
sikap orang luar biasa. Ganjaran pahalanya juga luar biasa. Hal ini sepertimana
dalam sebuah hadis riwayat Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang melepaskan sesuatu
kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu
kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah,
pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat".
Demikian betapa tinggi dan mulianya
kedudukan bagi mereka yang membantu memberikan bantuan kepada mereka yang
memerlukan. Cuma, janganlah kita rosakkan amal pemberian kita ini dengan sikap
keji, suka mengungkit kembali, membuka aib penerima dan lain-lain. Marilah
sama-sama kita ambil ruang dan peluang ini untuk berkhidmat memberikan bantuan
dengan keikhlasan dan mengharapkan ganjaran disisi Tuhan. Semoga Allah
membimbing kita semua menuju jalan Nya yang lurus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan