Perlis merupakan sebuah negeri yang
bertuah yang harus kita akui dan mesti kita contohi dari masa ke semasa. Selain
keistimewaan Perlis negeri yang dianugerahkan buah Harumanis, lebih besar
daripada itu adalah Perlis dianugerahkan raja pemerintah negeri Perlis DYMM
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan anakanda baginda, DYTM Tuanku Syed
Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis yang sentiasa ambil peduli dan
cakna akan keadaan semasa. Malah, cerita keprihatinan Duli-Duli Tuanku ini
bukanlah cerita yang baharu dan bermusim.
Sejak dahulu, Duli-Duli Tuanku amat dekat
dihati rakyat di segenap lapisan umur dan masyarakat. Dekatnya Duli-Duli Tuanku
ini telah menzahirkan rasa prihatinnya Duli-Duli Tuanku terhadap rakyat. Hal
ini juga terbukti dengan pelaksanaan beberapa program dibawah MAIPs, berbasikal
bersama ketua-ketua jabatan mencari dan beramah mesra dengan asnaf yang
terpilih. Seingat kita, Program Kayuhan MAIPs Peduli ini telah mencetuskan
fenomena sukan berbasikal di sekitar negeri Perlis.
Keprihatinan Duli-Duli Tuanku kian
terserlah apabila negara dilanda wabak pandemik Covid 19. Tanggal 13 Mac 2020,
merupakan suatu tarikh yang tidak akan pernah dilupakan oleh seluruh para
pegawai masjid di seluruh Perlis. Ini kerana pada tarikh tersebut, Perlis dibawah
titah DYTM Tuanku Yang Dipertua MAIPs, masjid di seluruh negeri Perlis
diarahkan untuk menangguhkan solat jumaat dan digantikan dengan solat zohor di
rumah. Arahan ini bukan sahaja menjadi janggal di kalangan rakyat Perlis bahkan
seluruh negara memberi reaksi terhadap arahan penangguhan solat jumaat ini.
Dengan arahan tersebut juga, seluruh
masjid di negeri Perlis diarahkan tutup. Disini lah, sekali lagi kita harus
akui kepantasan Duli-Duli Tuanku mengambil keputusan pada masa yang tepat walau
ketika itu keputusannya mendapat kecaman dan labelan yang pelbagai. Biarpun
begitu, tindakan Perlis yang menjadi negeri pertama menutup masjid,
memperlihatkan bahawa tindakan tersebut telah diikuti oleh seluruh negara
dengan mengeluarkan arahan menutup masjid bertujuan untuk mengekang wabak Covid
19.
Episod pandemik ini terus mengheret
seluruh negara dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seluruh
negara dikenakan perintah berkurung dirumah, tidak boleh keluar bekerja dan
hidup normal seperti biasa. Sudah tentu arahan ini menggusarkan hati ramai
pihak khususnya golongan marhaen. Akibat arahan ini, ada yang hilang punca
pendapatan, ada yang hilang kerja dan sebagainya. Kegusaran ini telah banyak
memberikan kesan ekonomi kepada mereka yang berpendapatan kecil.
Untuk itu, MAIPs dibawah naungan
Duli-Duli Tuanku telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan untuk dihulurkan
kepada asnaf dan kepada mereka yang bukan asnaf tetapi terkesan dengan
pandemik. Sejak tahun 2020, tanggal 24 Mac, sebanyak RM 2.6 juta telah
disumbangkan secara terus kepada 13, 091 penerima dikalangan asnaf. Tanpa perlu
mengisi borang, sumbangan telah disalurkan terus ke akaun bank penerima.
Selain itu, Bantuan Khas Rangsangan Asnaf
berjumlah RM 2, 939, 400 disalurkan terus kepada 14, 697 penerima asnaf bagi
menyokong kelangsungan hidup mereka dikala pandemik terus menyerang dunia.
Penubuhan Kaunter Agihan Terhad MAIPs juga telah dibuka di Masjid Alwi Kangar
dengan peruntukkan sebanyak RM 30 000 bagi mereka yang bukan golongan asnaf tetapi
terkesan dengan pandemik ini.
Memahamai kesan pandemik yang masih
menggila ini, keprihatinan Duli-Duli Tuanku terus terserlah dengan
memperluaskan lagi agihan bantuan dibawah Program Ziarah Dakwah Bil Hal
(Bantuan Awal). Menerusi program ini, sejumlah RM 153, 000 disalurkan kepada
102 kariah masjid dan telah dimanfaatkan oleh sejumlah 3, 060 penerima bantuan
tersebut. Melalui program ini, Ahli Jawatankuasa Masjid telah memainkan peranan
penting membawa amanah MAIPs untuk disalurkan kepada anak kariah yang terkesan
dengan pandemik ini.
Sikap efisien MAIPs dibawah naungan
Duli-Duli Tuanku telah disambut baik oleh pelbagai pihak termasuklah badan
bukan kerajaan NGO. Kerjasama MAIPs dengan pelbagai NGO telah membantu
mempercepatkan bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan. MAIPs dengan
kerjasama Perlis Volunteers Action Comunity dibawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat telah menubuhkan suatu pusat sehenti agihan bantuan & aktiviti
kesukarelawan. Juga turut tampil ke depan membantu MAIPs menyalurkan bantuan
ialah One Centre Malaysia Perlis, Pertubuhan IQ Cawangan Perlis dan lain-lain.
Melihat nasib peniaga usahawan di premis
sewaan MAIPs yang secara langsung terkesan dengan arahan PKP, bagi meringankan
beban penyewa premis MAIPs, Duli-Duli Tuanku telah memperkenankan Inisiatif
Pengecualian Awal Bayaran Sewaan Premis MAIPs kepada semua penyewa premis
selama 3 bulan. Inisiatif ini adalah antara inisiatif awal MAIPs bagi
mengurangkan beban mereka yang terbabit. Inisiatif awal ini sedikit sebanyak
telah menyelamatkan nasib usahawan di bawah premis MAIPs daripada menanggung
kerugian kos akibat arahan PKP ini.
Tidak cukup dengan itu, Duli-Duli Tuanku
yang begitu prihatin dan sangat mengambil berat tentang kepentingan ilmu
pengetahuan, MAIPs dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis
(JAIPs) dan usaha sama oleh Suara Sunnah Channel, telah mewujudkan suatu
platform pengajian ilmu agama dan tadarus al Quran secara atas talian yang
dinamakan sebagai program Perlis Mengaji. Sebanyak RM 20, 000 telah disalurkan
untuk program ini bagi menampung segala kos bagi menjalankan pelbagai slot dan
intisari rancangan dalam program Perlis Mengaji. Sehingga kini, bulan Julai
2021, program Perlis Mengaji terus menerus mendapat perhatian dan sambutan
ramai penonton dari dalam dan luar Perlis dengan pelbagai sajian segmen dan
slot menarik diadakan.
Setelah hampir 2 tahun negara kita
berperang dengan wabak Covid 19 ini, Perlis dibawah naungan Duli-Duli Tuanku
dan juga peranan MAIPs yang sangat efisien telah berjaya mencatatkan beberapa
rekod kejayaan antaranya Perlis negeri pertama mencapai zon hijau dan begitu
juga Perlis menjadi negeri pertama dibuka semula masjid. Kejayaan ini tidak
mampu kita raih tanpa peranan pemerintah yang cekap dan prihatian disamping
peranan MAIPs dan pelbagai agensi dan NGO yang tampil bagi membendung wabak
Covid 19. Juga kepatuhan rakyat Perlis yang tidak berbelah bagi pada raja
pemerintah turut menyumbang kepada kejayaan-kejayaan manis ini.
Hari ini, menerusi titah terkini DYTM
Tuanku Yang Dipertua MAIPs, ibadah korban dan solat aidiladha dibenarkan di
seluruh masjid negeri Perlis dengan pematuhan SOP yang ketat. Juga aktiviti
pengimarahan masjid seperti bacaan al Quran selepas solat subuh, kuliah
pengajian dan lain-lain dibenarkan dengan pematuhan SOP. Sudah tentu
kelonggaran ini akan dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Perlis dan berharap agar
kita semua tidak terus leka dan alpa dengan kelonggaran yang diberikan ini.
Syukur kepada Allah dan menjunjung kasih
kepada Duli-Duli Tuanku diatas sikap kprihatinan dan efisien Duli-Duli Tuanku
telah membuahkan kejayaan yang menenangkan hati seluruh rakyat jelata Perlis.
Sekalung ucapan tahniah buat jentera MAIPs diatas sikap dan peranan besar yang
telah dimainkan bagi memastikan negeri ini terus stabil dan mengekang wabak
pandemik ini. Ayuh semua, kita terus mematuhi SOP dan tumpahkan taat setia kita
kepada naungan raja Jamalullail yang sentiasa prihatin dan dekat di hati kita
semua. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan