Capal adalah merujuk kepada sepasang
kasut atau sandal (selipar) yang telah digunakan oleh baginda Nabi SAW semasa
baginda masih hidup. Dalam Kitab as Syamail al Muhammadiyah, karangan al Imam
at Tirmidzi, beliau telah mengumpul hadis-hadis yang menceritakan tentang
perihal sifat rupa paras, akhlak dan juga hal-hal kehidupan baginda Nabi SAW.
Juga terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang perihal keadaan capal
Nabi melalui riwayat oleh para sahabat Nabi SAW tanpa dibuat atau dilukis
dengan apa-apa bentuk yang boleh dikaitkannya dengan capal Nabi.
Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh
Bukhari, Abu Daud, At Tirmidzi dan juga an Nasa'i, yang bermaksud :
"Qatadah pernah bertanya kepada Anas
bin Malik, "Bagaimanakah bentuk sandal Rasulullah SAW ?, Anas bin Malik
menjawab, "Sandal baginda mempunyai dua tali qibal".
Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah
berkata :
"Sandal Rasulullah SAW mempunyai
tali qibal”
Tali qibal yang disebutkan oleh Anas bin
Malik bermaksud tali sandal bahagian hadapan yang terletak di antara jari kaki.
Dua tali qibal pada sandal baginda Nabi itu, adalah satu tali diletakkan di
antara ibu jari kaki dan jari telunjuk, dan satu lagi diletakkan di antara jari
tengah dan jari manis.
Berdasarkan hadis tersebut, dapat kita
fahami bahawa sandal Nabi yang juga disebutkan capal Nabi mempunyai beberapa
sifat tertentu yang boleh kita bayangkan. Namun untuk melukis, atau mereka
cipta bentuknya amatlah sukar sekali kerana tidak ada seorang sahabat Nabi pun
yang melukis atau melakarkan bagi memastikan bentuknya adalah yang asli.
Apa yang perlu kita tahu ialah orang yang
pertama yang telah membuat lakaran capal yang dinisbahkan kepada Nabi SAW
adalah datangnya daripada Ahmad bin Muhammad al Muqarri at Tilmisaani. Kemudian
apa yang telah beliau lakarkan tersebut telah dikembangkan oleh Yusuf bin
Ismail an Nabhani. Lakaran yang dibuat oleh Ahmad bin Muhammad at Tilmisaani
ini beliau nukilkan dalam kitabnya Fath al Muta'al fi Madh al Ni'al. Beliau
telah mendatangkan sanad dan syair bagi mengambarkan lakaran capal yang
dinisbahkan kepada baginda Nabi SAW.
Malangnya, apa yang telah beliau nukilkan
dalam kitabnya itu hanyalah teori tanpa sebarang rajah atau lukisan yang tepat
untuk dinisbahkan kepada baginda Nabi SAW. Malah, apa yang telah beliau
nukilkan tersebut tidak dapat dipastikan akan kesahihannya kerana beliau
sendiri berkata dalam kitab al Athar an Nabawiah karangan Ahmad Taimur, beliau
menyatakan bahawa capal Nabi SAW telah musnah ketika perang Taimurlank pada 736
Hijrah apabila tempat terakhir simpanan capal musnah di Damsyik.
Demikian secara ringkas tentang sejarah
lakaran capal baginda Nabi SAW yang tidak ada kesahihannya dan sekiranya betul
sekalipun lakaran tersebut, mestilah ia datang daripada sumber wahyu dan
bukannya atas mimpi, nukilah orang soleh atau atas sangkaan semata-mata. Ada
pun tentang kelebihan atau kebaikan capal Nabi, tidak terdapat satu pun hadis
atau ayat al Quran yang menceritakan tentang kelebihan memakai capal baginda
Nabi SAW. Hal ini kerana memakai sandal/capal/selipar seperti capal baginda
Nabi SAW bukanlah sesuatu yang besar tuntutannya.
Walau bagaimana pun, sekiranya kita
menyanjung tinggi lakaran capal yang tidak pasti akan kebenarannya, dibimbangi
kita akan terjerumus dalam masalah akidah. Pada asalnya mungkin kita hanya
sekadar mahu bertabarruk (mengambil berkat) dengan peninggalan Nabi, walhal
bentuk capal itu sendiri pun tidak pasti bagaimana mungkin kita mahu
bertabarruk. Kita sangat bimbang ianya akan membawa kita kepada menyembah atau
menjadikan tangkal azimat dalam kehidupan seperti mana yang telah dilakukan
oleh penganut agama Kristian.
Dalam sebuah hadis riwayat Muslim,
daripada Aisyah, bahwa Umma Habibah dan Umma Salamah, kedua-dua mereka telah
menyebut sebuah gereja yang mereka berdua lihat di Habsyah, yang di dalamnya
ada ukiran-ukiran bagi Rasulillah. Lalu telah bersabda Rasulullah SAW yang
bermaksud :
"Sesungguhnya golongan itu, apabila
ada di tengah mereka seorang lelaki yang soleh, lalu dia mati, mereka bina
diatas kuburnya masjid, dan mereka ukir padanya ukiran-ukiran berkenaan.
Merekalah sejahat-jahat di sisi Allah pada hari kiamat"
Berdasarkan hadis ini, kita dapat fahami
bahwa tindakan melampau dalam beragama seperti mengagungkan mana-mana tokoh,
individu termasuk juga sebarang logo atau lakaran yang dinisbahkan kepada agama
boleh mengundang kemurkaan Allah SWT kerana telah mengukirkan sesuatu dan mendakwa
ianya berasal dari agama walhal sebaliknya agama tidak pernah ajar sedemikian.
Kita mesti fahami bahawa memakai capal
yang dinisbahkan kepada baginda Nabi SAW, yang tidak pasti akan kesahihannya,
untuk tujuan menyuburkan cinta kepada Nabi tidaklah mengapa walaupun asalnya
banyak lagi yang boleh kita buat untuk semarakan cinta kepada Nabi. Kerana
capal juga disebutkan dalam hadis sebagai pakaian baginda Nabi. Namun
sebaliknya, untuk dijadikan sebagai lambang keagungan, simbolik pada agama,
tindakan ini adalah sangat melampau kerana telah melebihi had yang telah
digariskan oleh syarak. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan