Perkataan zakat adalah berasal daripada
bahasa arab. Zakat dari segi bahasa membawa maksud berkembang, berkat atau kebaikan
yang banyak. Sudut istilah pula, perkataan zakat membawa maksud nama bagi kadar
tertentu harta yang tertentu yang diagihkan kepada golongan tertentu dengan
syarat-syarat yang tertentu.
Zakat merupakan salah satu tuntutan dari
rukun Islam yang menjadi syariat kewajipan kepada setiap muslim untuk
menunaikan zakat. Hal ini bertepatan dengan titah perintah Allah SWT berkenaan
pensyariatan zakat. Dalam surah al Taubah ayat 103 yang bermaksud :
"Ambillah (sebahagian) dari harta
mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka
(dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk
mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan
(ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui"
Juga dalam sebuah hadis riwayat Bukhari
& Muslim, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Islam ialah engkau menyembah Allah
dan tidak mensyirikannya dengan sesuatu, mendirikan solat fardhu, mengeluarkan
zakat dan berpuasa pada bulan Ramadan"
Di dalam Islam, adalah wajib bagi setiap
orang muslim untuk menunaikan zakat. Kewajipan menunaikan zakat ini adalah
berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 110 yang bermaksud :
"Dan dirikanlah oleh kamu akan
sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan
untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah.
Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan"
Oleh kerana itu, wang zakat yang
ditunaikan oleh setiap orang Islam merupakan amanah besar kepada pihak yang
bertanggungjawab menguruskan wang zakat tersebut. Kutipan dan agihan zakat
adalah dibawah tanggungjawab pemerintah melantik atau menubuhkan mana-mana
agensi atau jawatankuasa untuk menguruskan wang zakat agar diagihkan mengikut
kehendak Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al Taubah
ayat 60 yang bermaksud :
"Sesungguhnya sedekah-sedekah
(zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan
amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya,
dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang
berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir
(yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah)
sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana"
Oleh itu, wang zakat tidak boleh
sewenang-wenangnya di pergunakan dan diagihkan selain daripada apa yang telah
Allah perintahkan. Wang zakat bukanlah untuk di tunggang bagi memenuhi kehendak
keseronokan diri, bukan untuk mencapai kepentingan pihak tertentu, ianya perlu
lebih telus dan jujur dalam mengagihkannya. Kerana zakat adalah amanah besar
harta umat Islam. Mesti diagihkan mengikut apa yang telah diperintahkan oleh
Allah. Oleh demikian, kita dapat lihat proaktifnya badan pengurusan zakat untuk
memastikan agihan tersebut disalurkan kepada mereka yang berkelayakan.
Bagi penerima pula, manfaatkan wang zakat
untuk perkara yang berfaedah. Bukan untuk mencapai kehendak nafsu semata-mata.
Gunakan lah dengan sejujurnya wang zakat tersebut kerana kelak kita akan
dipertanggungjawabkan diatas wang zakat yang telah kita belanjakan. Sekiranya
wang zakat tersebut, digunakan pada perkara yang tifak sewajarnya, memboros
pada hal yang tidak ada arah tujunya, belanja pada perkara yang tidak ada
keperluannya, maka yakinlah penyelewengan ini lebih busuk dan dasyat kerana
telah mengkhianati amanah harta umat Islam.
Kita mesti ingat bahawa setiap sen wang
zakat yang kita belanjakan, adalah menjadi amanah buat kita untuk memastikan
dana tersebut digunakan pada hal yang sepatutnya. Membelanjaka dana tersebut
kepada hal yang tidak sepatutnya, bermaksud kita telah pecah amanah dan
mengkhianati amanah besar umat Islam. Berhati-hatilah dalam hal ini. Semoga
Allah merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan