Isnin, 12 April 2021

RAMADAN ; BUKAN SEKADAR MENAHAN LAPAR DAN DAHAGA

 

Memasuki bulan Ramadan, adalah sesuatu yang bermakna dan berharga bagi seluruh umat Islam. Baik yang berada di utara ataupun di selatan, sebelah timur mahupun di sebelah barat, seluruh umat Islam pasti akan melahirkan rasa gembira, syukur dan seronok dengan kedatangan bulan yang penuh kemuliaan ini.

Satu sudut yang lain, barangkali ada juga sebahagian besar sahabat handal, rakan taulan ataupun jiran tetangga yang bukan beragama Islam pasti tertanya-tanya dan kehairanan melihat keghairahan orang Islam menyambut puasa walhal ibadah puasa, dilarang sama sekali daripada perbuatan makan dan minum di siang hari. Mungkin juga timbul persoalan apakah Tuhan itu kejam sehingga perlu menyekat orang Islam daripada makan dan minum.



Terlebih dahulu kita harus ketahui bahawa ibadah puasa bukanlah perkara baharu dalam kehidupan. Sama ada orang itu Islam ataupun tidak, ianya bukan lah ibadah baru dalam kehidupan beragama. Sebelum daripada ini, mereka yang mendahului kita juga pernah berpuasa menahan lapar dan dahaga. Bahkan, dalam beberapa ajaran agama lain seperti Hindu, Buddha, Kristian, terkandung di dalamnya perintah berpuasa.

Hal ini seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 183 yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa".

Berdasarkan ayat ini, jelas menceritakan kepada kita bahawa ibadah puasa bukanlah suatu yang baharu bahkan telah menjadi amalan dan ibadah orang dahulu lagi. Maka, tidak hairanlah jika selain Islam, terdapat juga agama-agama lain yang mensyariatkan puasa mengikut aturan agama masing-masing.

Apabila ditanya, apakah yang membuatkan orang Islam kuat dan mampu menahan lapar dan dahaga di siang hari, sedangkan makan dan minum itu satu keperluan untuk hidup. Jawapannya ialah pertamanya, adalah kerana keimanan dan ketaqwaan yang menjadikan orang Islam kuat dan mampu menahan lapar dan dahaga. Bagi orang Islam, ibadah puasa bukanlah kerana semata-mata untuk menahan diri daripada makan dan minum di siang hari, sebaliknya ia lambang ketaatan orang Islam mematuhi arahan Tuhan yang lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba Nya.



Untuk itu, apa sahaja titah perintah Allah Azza Wa Jalla, orang Islam taat dan patuh akannya kerana keimanan dan ketaqwaannya kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Sekiranya berpuasa hanya sekadar menahan makan dan minum, semua orang boleh melakukan. Tetapi bezanya, keimanan dan ketaqwaan seseorang terhadap Allah SWT. Maka apa sahaja tawaran dan ganjaran pahala yang telah dijanjikan oleh Allah di dalam bulan Ramadan, orang Islam akan menuruti jalan tersebut dengan berpuasa bersungguh-sungguh dan penuh beriman.

Sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan (dengan penuh keimanan dan (ihtisaba) mengharapkan pahala), diampuni dosa-dosanya yang telah lalu".

Menurut Imam al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani, maksud keimanan disitu ialah keyakinan dirinya akan soal syariat kewajiban berpuasa padanya dan "ihtisaba" bermaksud meminta pahala dari Allah Azza Wa Jalla. Sementara itu, Imam Khattabi pula berpandangan "ihtisab" itu adalah 'azimah iaitu dia berpuasa dengan berharap pahalanya dengan memperhatikan kebaikan bagi dirinya tanpa memberatkan pada puasanya dan tidak pula memanjangkan hari-harinya.

Dalam bulan Ramadan, tidaklah sekadar untuk orang Islam menahan lapar dan dahaga di siang hari semata-mata, sebaliknya Ramadan dimuliakan oleh Allah SWT kerana pada bulan inilah diturunkan al Quran yang berisi panduan kehidupan untuk seluruh makhluk yang bergelar insan. Hal ini seperti firman Nya dalam surah al Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dan yang salah".



Ramadan juga adalah bulan untuk melatih manusia menjadi hamba yang lebih bertaqwa kepada Nya dengan memperbanyakkan amalan soleh menurut panduan wahyu al Quran dan Sunnah serta mengikhlaskan diri kerana Allah. Barangkali diluar bulan Ramadan, seringkali kita bercakap dusta, berbicara hal-hal yang tidak elok, maka Ramadan menjadi pusat melatih diri manusia meninggalkan perkara yang sia-sia.

Sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya".

Dalam hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan lucah".

Demikianlah beberapa tujuan sebenar pensyariatan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mungkin dianggap sekadar menahan makan dan minum sahaja. Sebaliknya, lebih besar dan lebih utama daripada itu ialah nilai keimanan dan ketaqwaan, kepatuhan dan ketaatan diri sebagai hamba Nya yang telah menciptakan kita. Akhirnya, destinasi ibadah puasa di bulan Ramadan ini ialah menuju kearah menjadi hamba Nya yang lebih bertaqwa. Tidak sekadar berlapar dan dahaga.

Sebuah hadis riwayat Ibnu Majah, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Boleh jadi orang yang  berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak dapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam".

Oleh itu, bulan Ramadan bukan semata-mata bulan umat Islam menahan lapar dan dahaga, bahkan sebaliknya menjadi medan bertempur melatih diri menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa kepada Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan