Seperti yang kita semua maklum, zakat
adalah merujuk kepada makna harta orang Islam yang dijadikan sumber untuk
diagihkan kepada 8 golongan asnaf yang telah disebutkan oleh Allah SWT. Firman
Nya dalam at Taubah ayat 60 yang bermaksud :
"Sesungguhnya zakat-zakat itu
hanyalah untuk (1) orang-orang fakir, (2) orang-orang miskin, (3)
pengurus-pengurus zakat (amil), (4) para mualaf yang dipujuk hatinya, untuk
mendekatkan dirinya, (5) untuk (memerdekakan) budak, (6) orang-orang yang
berhutang, (7) untuk jalan Allah dan (😎
orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang
diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana"
Berdasarkan mafhum ini, para sarjana Islam berbeza pandangan dalam meletakkan makna kepada perkataan "mualaf" yang disebutkan sebagai golongan yang ke 4 di dalam firman Allah SWT. Terdapat perbezaan pandangan dalam usaha meletakkan makna "mualaf" itu terbahagi kepada dua pandangan.
Pandangan pertama, dalam kitab al Umm, al
Imam al Syafi'i berpendapat tidak boleh memberi zakat kepada orang bukan Islam.
Hal ini kerana beliau berpandangan makna "mualaf" di situ merujuk
kepada mereka yang telah memasuki Islam. Adapun yang belum memeluk Islam, maka
tidak boleh diberikan zakat kepadanya. Hal ini juga merujuk kepada satu hadis
riwayat bukhari, daripada Anas bin Malil berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
"Sesungguhnya aku memberi beberapa
orang (zakat) yang masih baru meninggalkan kekufuran untuk aku perkuatkan hati
mereka (dengan Islam)"
Malah dalam kitab tafsir al Qurtubi, Imam
al Zuhri berkata mualaf adalah orang yang memeluk Islam dari kalangan Yahudi
dan Nasrani. walaupun mereka itu kaya. Menurut al Imam as Syafi'i lagi, jika
ada yang berkata ketika peperangan Hunain, Nabi telah berikannya kepada
sebahagian mualaf dari kalangan musyrikin, maka beliau menjawab itu adalah
pemberian daripada harta rampasan atau harta daripada Nabi SAW sendiri. Bukan
daripada sumber harta zakat.
Pandangan kedua, Ibnu Qudamah dalam
kitabnya al Mughni pula berpandangan dibolehkan memberikan zakat kepada mereka
yang bukan Islam diatas tujuan untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada
Islam. Beliau telah membahagikan makna mualaf itu kepada dua bahagian iaitu
kuffar dan muslimin. Bahagian kuffar pula dibahagikan kepada dua kelompok.
Kelompok pertama, adalah mereka yang diharapkan dia menganut agama Islam, maka
diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada
Islam.
Ada pun kelompok kuffar yang kedua pula
ialah mereka yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian zakat
kepadanya akan menghalang kejahatannya dan yang bersama mereka. Inilah pendapat
yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat hujah) oleh Syeikh Dr. Yusuf al Qaradhawi
dalam kitabnya Fiqh al Zakah, juga ditarjihkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan
dalam kitabnya al Mufassal. Juga berpendirian sama adalah Dr Umar Sulaiman al
Asyqar, ulama tafsir Jordan yang mashyur.
Juga dalam kitab al Jami' Li Ahkam al
Quran, al Imam al Qurtubi menjelaskan bahawa maksud mualaf itu terdapat tiga
jenis, iaitu yang pertama, orang bukan Islam yang diberikan zakat untuk
menguatkan hati mereka kepada Islam. Ketika itu, mereka tidak beragama Islam,
sama ada dengan paksaan atau dengan pedang. Tetapi mereka memeluk Islam dengan
pemberian (zakat dan seumpamanya) dan ihsan. Jenis yang kedua, kaum yang pada
zahirnya telah memeluk agama Islam tetapi hati mereka belum kuat lagi. Lalu
diberikan zakat kepada mereka untuk menjadikan hati mereka lebih mantap dengan
Islam. Jenis yang ketiga, mereka adalah orang-orang besar dari kalangan
musyrik. Mereka mempunyai pengikut. Diberikan zakat kepada orang besar itu agar
pengikut mereka datang kepada Islam.
Oleh itu, berdasarkan dua pandangan
tersebut, dapatlah kita fahami bahawa disana terdapat ruang yang dibolehkan
untuk diagihkan zakat kepada mereka yang bukan Islam dengan tujuan mengharapkan
kebaikan kepada Islam itu sendiri. Walau pun dalam mazhab Imam al Syafi'i dan
selainnya menyebutkan bahawa perkataan mualaf dalam surah at Taubah itu
bermaksud mereka yang sudah memeluk agama Islam, namun di dalam firman Nya yang
lain, menunjukkan bahawa Nabi SAW memberikan zakat kepada mereka yang bukan
Islam. Hal ini seperti firman Nya dalam surah al Taubah ayat 58-59 yang
bermaksud :
"Dan antara mereka ada yang
mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh
itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka)
mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan daripada zakat itu (menurut
kehendaknya), (maka) dengan serta-merta mereka marah. Dan (alangkah baiknya)
kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan rasul Nya
kepada mereka dan berkata : "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi
kepada kami daripada limpah kurnia Nya, demikian juga rasul Nya; sesungguhnya
kami sentiasa berharap kepada Allah".
Menurut Dr. Umar Sulaiman al Asyqar, ayat
ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat zakat, pemberian tersebut
adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum
menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah SAW mengenai zakat.
Maksud kata-kata Dr Umar Sulaiman ini ialah mereka yang mencela Nabi itu sudah
pasti mereka yang belum Islam. Jika tidak, mana mungkin mereka mencela baginda
Nabi kerana perbuatan mencela tersebut adalah perbuatan kufur. Justeru, ayat ini
bermaksud baginda Nabi SAW memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam
untuk tujuan dijinakkan jantung hati mereka.
Institusi zakat perlu melihat semula
ruang keharusan ini untuk tujuan berdakwah kepada mereka yang bukan Islam.
Sudah tentu keharusan memberikan zakat kepada mereka yang bukan Islam ini dapat
membuka ruang dan peluang dakwah yang lebih luas dan memberi impak yang besar
terhadap Islam. Selain dapat memberikan gambaran positif terhadap Islam, ianya
juga dapat mendekatkan mereka yang bukan Islam dengan agama Islam. Maka
institusi zakat perlu melihat dan menilai semula ruang ini untuk tujuan
berdakwah kepada mereka yang bukan Islam. Semoga Allah merahmati dan mengampuni
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan