Sejak kebelakangan ini, kita sering
melihat luahan rasa sedih, hampa dan kecewa oleh sekalian rakyat marhaen
berkenaan pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Pelbagai keluhan
saban hari menjadi hidangan di laman media sosial. Lebih parah lagi apabila
kita dipaparkan dengan berita golongan tertentu yang dilihat sebagai
"istimewa" diberikan layanan bak kayangan boleh merentas ke sana ke
sini.
Sebaliknya, rakyat marhaen yang mematuhi
SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dikenakan syarat ketat bagi memohon kebenaran
merentas negeri. Episod duka rakyat marhaen ini bukanlah episod yang baharu.
Bahkan sejak dahulu lagi, bermula dari tindakan pak menteri yang tidak menjaga
SOP makan bersama duduk rapat, ada pula pak menteri yang ke luar negara tetapi
tidak dikuarantin, hingga lah ke episod majlis perkahwinan artis terkenal yang
jelas tidak mematuhi SOP. Malah, sempat pula melancong ke sana sini atas alasan
urusan kerja.
Semua ini bukanlah kerana kita cemburu
atau iri hati dengan golongan kayangan, tetapi ianya menunjukkan ketidak
ketelusan dan kejujuran pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang
dilihat sebagai "pilih kasih" atau double standard. Rakyat ditekan
dengan pelbagai alasan untuk di kompaun, walhal orang kayangan pula diberi kelonggaran
itu dan ini diatas alasan kerja dan tugas. Kita tidak nafikan pelbagai pakej
rangsangan ekonomi dibuat oleh kerajaan bagi membantu rakyat marhaen. Namun
apalah ertinya kalau bantuan datang menyapa namun undang-undang tidak jujur
pada semua.
Kita yakin dan percaya, SOP seketat mana
sekalipun, bukan soal ketat atau tidak yang menjadi ketidakpuasan hati rakyat,
tetapi lebih dari itu, ianya soal bagaimana kerajaan telus dan jujur dalam
melaksanaan undang-undang terhadap semua pihak tanpa ada pilih kasih. Jika terdapat
pihak tertentu yang melanggar SOP, tidak dikenakan kompaun kerana telah dibuka
kertas siasatan, mengapa tidak berbuat demikian juga pada marhaen yang
melanggar SOP, buka lah kertas siasatan dahulu sebelum diberi kompaun.
Rakyat tidak marah dengan peraturan SOP.
Apa yang membangkitkan kemarahan dan kekecewaan rakyat adalah layanan istimewa
golongan tertentu. Kerajaan hari ini perlu diberi peringatan, tahap kesabaran
rakyat juga ada batasan. Rakyat perlu hidup, makan dan minum. Begitu juga
pemimpin, perlu hidup, makan dan minum. Kita semua ada kepentingan dan kehendak
masing-masing. Namun demi mengekang penularan wabak Covid 19 ini, kita semua
tidak kira pangkat dan darjat, kita semua wajib terikat dengan undang-undang
pematuhan SOP. Kerajaan perlu telus, perlu jujur, adil dan saksama. Jangan
kerana status kami marhaen, habis semua ditunggang langgangkan belaka.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah
an Nisa’ ayat 58 yang bermaksud :
" Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu
supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)
dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia hendaklah kamu menghukum
dengan adil."
Dalam firman Nya lagi, dalam surah al
Maidah ayat 8 yang bermaksud :
" Dan jangan sekali-kali kebencian
kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (terhadap sesiapa
jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa."
Baginda Nabi SAW juga sangat menekankan
tentang kewajiban berlaku adil dalam tugasan walaupun menghukum kaum keluarga
sendiri. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya orang yang adil
ditempatkan di sisi Allah di atas menara cahaya; mereka adalah golongan yang
bersikap adil dalam hukum mereka, terhadap keluarga dan dalam melakukan
tugasan."
Demikianlah beberapa peringatan daripada
Allah dan rasul Nya berkenaan kewajiban bersikap adil, telus dan jujur dalam
melaksanakan tugas sebagai pemimpin. Ingatlah, betapa beruntungnya pemimpin itu
sekiranya mereka bersikap adil dan telus. Golongan ini dijanjikan Allah pada
hari akhirat kelak, dinaungi oleh Allah. Sepertimana yang telah disebutkan
dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud
:
" Tujuh golongan yang akan bernaung
di bawah bayang-bayang ALLAH pada hari tiada bayang-bayang kecuali
bayang-bayang-Nya." Antara tujuh golongan itu baginda Nabi SAW mengatakan:
"Pemerintah yang adil."
Rakyat sangat berharap agar kerajaan
lebih telus, adil dan jujur dalam melaksanakan undang-undang dan tidak bersikap
pilih kasih dalam mengambil tindakan pada mereka yang melanggar SOP. Itulah
penawar duka untuk keresahan dan kekecewaan rakyat yang bergelar marhaen ini.
Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan