Apabila datangnya bulan Ramadan, kita
akan dapat melihat betapa ramainya manusia boleh hidup dalam disiplin beragama.
Bermula dari seawal pagi sebelum masuknya waktu subuh, kita dituntut untuk
bersahur meskipun dengan hanya seteguk air sahaja. Sebelum pada itu, ada juga
yang berkesempatan mendirikan solat 2 rakaat lalu berdoa merintih pada Nya.
Setelah itu, kita mendirikan solat fardhu
subuh dan bermula lah misi kita menahan lapar dan dahaga dan menahan diri
daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sehingga lah terbenamnya
matahari. Dalam pada itu, ada yang bersedekah memberi makan pada orang
berpuasa, ada yang rajin bertadarus membaca al Quran dan pelbagai lagi peluang
kebaikan yang kita lakukan dalam bulan ramadan.
Menjadi persoalan, apakah kita lakukan
semua ini ikhlas kerana Allah SWT atau hanya semata-mata mengharapkan ganjaran
pahala yang dijanjikan oleh Nya kepada kita ? Jika benar kita melakukan
kebaikan hanya untuk mencari pahala, apakah wujud kesalahan beramal hanya
kerana mengharapkan pahala dari Allah ?
Hakikatnya, tidaklah salah sekiranya kita
beramal soleh dalam bulan ramadan untuk mengharapkan ganjaran pahala daripada
Allah Azza Wa Jalla. Sekalipun benar salah, mengapa Allah dan Rasul Nya
menawarkan kepada manusia pelbagai ganjaran pahala yang terdapat dalam bulan
ramadan ? Soal pahala adalah perkara ghaib yang berupa lembaran keredhaan Allah
dan bukannya berupa bentuk ganjaran material. Sama juga seperti kita beramal
untuk mengejar syurga, dimana syurga itu adalah tanda kasih sayang dan
keredhaan Allah buat hamba Nya.
Ada juga yang mendakwa beramal mengejar
pahala adalah syirik tersembunyi kerana tidak ikhlas beramal dan beramal bukan
kerana Allah tetapi kerana ganjarannya. Dakwaan ini tidak benar dan salaj sama
sekali. Ini kerana persoalan tentang pahala adalah hal yang tidak terpisah daripada
Allah, redha dan rahmat Nya. Kesemuanya berkait dengan Allah. Sama ada kita
berkehendak pahala dari Allah atau kita berkehendak keredhaan Nya, kedua-duanya
termasuk dalam makna ikhlas dalam beramal.
Allah Maha Mengetahui akan kelemahan
manusia yang memerlukan motivasi dalam beramal, maka dengan itu, Allah
menghadiahkan pada hamba Nya bulan ramadan, dimana dalam bulan ini terdapat
pelbagai tawaran dan ganjaran istimewa buat hamba Nya yang tidak terlepas dari
melakukan salah dan dosa. Namun begitu, Allah tidaklah rugi mahupun untung pada
amal para hamba Nya. Ini kerana, Dia tidak bergantung pada sesiapa pun.
Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari,
baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadan
dalam keadaan penuh keimanan dan "ihtisab", maka akan diampunkan
baginya dosanya yang terdahulu"
Dalam kitab Fath al Bari, Imam al Hafidz
Ibn Hajar ketika membahaskan maksud "ihtisab", beliau menukilkan
maksud "ihtisab" yang diberikan oleh Imam al Khattabi iaitu "Ihtisab”
ertinya satu keinginan yang kuat iaitu dia berpuasa dalam rasa keinginan
kuatnya untuk mendapat pahalanya". Selain itu, Imam an Nawawi dalam Syarah
Sahih Muslim menyatakan bahawa "ihtisab" juga membawa erti ikhlas
untuk Allah dan berkehendakkan redha Nya. Ini menunjukkan soal ikhlas, redha
dan pahala adalah satu maksud dan tujuan yang sama. Tidak terpisah antara
pahala dan redha Allah SWT.
Malah jika benar keinginan beramal untuk
beroleh pahala itu dilarang atau ditegah, maka apa tujuannya Allah SWT
menawarkan pelbagai ganjaran dan sudah pasti baginda Nabi SAW tidak akan kerap
mengulangi perihal ganjaran pahala kepada para sahabat dan umat manusia. Semua
tawaran dan tarikan pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT ini terlalu banyak
disebutkan di dalam al Quran dan hadis Nabi SAW dalam pelbagai jenis keadaan.
Misalnya ganjaran bagi mereka yang
berjuang di jalan Allah, dalam surah al Nisa' ayat 74, Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
"...Dan barangsiapa berperang di
jalan Allah lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan Kami berikan pahala
yang besar kepadanya."
Dalam firman Nya yang lain, dalam surah
al Fath ayat 10 yang bermaksud :
"Bahwa orang-orang yang berjanji
setia kepadamu (Muhammad), sesungguhnya mereka hanya berjanji setia kepada
Allah. Tangan Allah diatas tangan-tangan mereka, maka barangsiapa melanggar
perjanjian itu, sesungguhnya dia melanggar janjinya sendiri, dan barangsiapa
menepati janjinya kepada Allah, maka Dia akan memberinya pahala yang
besar"
Terdapat pelbagai lagi perihal tawaran
pahala Allah kepada hamba Nya. Lebih-lebih lagi pada bulan ramadan, pelbagai
tawaran dan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah buat hamba Nya. Oleh
itu, tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya kita beramal untuk mencari
ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Nya. Kerana setiap ganjaran yang
dijanjikan oleh Allah sudah pasti ada keredhaan dan rahmat dari Nya. Apa yang
penting ialah mahu melaukan kebaikan. Bukan hanya tunggu keadaan sempurna, baru
hendak melakukan kebaikan.
Jangan ada perangai menyindir, memperli
atau memperlekehkan mana-mana individu yang mahu melakukan kebaikan pada bulan
ramadan kerana mengharapkan pahala. Sebaliknya, sokonglah segala usaha baik ini
dan berdoa agar kita juga akan menjadi seperti mereka dan yang lebih mustahak,
mohon lah kekuatan pada Allah agar kita istiqamah (berterusan) melakukan
ibadah, bukan hanya pada bulan ramadan sahaja. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan