Rabu, 28 Mei 2025

KEMULIAAN DAN KEAGUNGAN KOTA SUCI UMAT ISLAM

Ketamadunan merupakan episod sejarah terpenting bagi rujukan manusia zaman berzaman. Sesebuah ketamadunan yang tercatat dalam lembaran sejarah yang panjang akan banyak mengajar manusia tentang erti sebuah kehidupan. Sejarah Islam yang telah merentasi pelbagai kurun dan abad lamanya, menyaksikan kegemilangan tercipta dan kejayaan dilakar bersama. Biarpun tidak henti tekanan dan kecaman yang diterima, Islam sebagai agama yang berintipatikan nilai kedamaian dan kesejahteraan tetap utuh dan teguh melakarkan sejarah yang tidak akan terpadam dek luput zaman dan tidak akan hilang dek ditenggelam ingatan. Ketamadunan Islam telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap umatnya dan seluruh warga dunia amnya. Pembukaan kota Makkah, penubuhan institusi kerajaan Islam di Madinah selain pemeliharaan Baitul Maqdis, kota yang penuh maruah dan berdaulat di Palestin, antara yang tercatat sejarahnya dan akan terus diingati oleh warga dunia.

Terma "Kota Suci Islam" boleh difahami sebagai tempat yang dimuliakan dan disucikan oleh Allah SWT yang juga menjadi amanah umat untuk memelihara dan menjaganya. Kota suci Islam bukanlah semata-mata dakwaan bersejarah namun nama-nama kota tersebut dirakam khas di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Islam, terdapat 3 kota suci bagi umatnya dan seluruh umat Islam bertanggungjawab menjaga serta memeliharanya dengan apa jua cara sekalipun. Tiga kota suci Islam tersebut ialah Kota Makkah al-Mukarramah, Madinah al-Munawwarah dan Baitul Maqdis. Ketiga-tiga kota ini diiktiraf oleh Allah SWT sebagai kota suci umat Islam. Malah baginda Nabi Muhammad SAW ada menyebutkan kelebihan dan keistimewaan ketiga-tiga kota ini yang dianggap sebagai kota suci umat Islam. Sebahagian orang mungkin menyangka bahwa kota Makkah, Madinah dan Baitul Maqdis adalah kota orang Arab semata-mata. Sangkaan tersebut tidak tepat malah ketiga-tiga kota tersebut adalah hak milik orang Islam selamanya.




Kota suci umat Islam yang pertama ialah Makkah al-Mukarramah. Kota Makkah terletak di Semenanjung Arab. Makkah yang juga dikenali sebagai tempat peribadahan orang Islam merupakan salah satu kota yang bersejarah milik kekal oleh orang Islam. Pada sudut geografi, Makkah terletak di negara Arab Saudi. Kedudukan Makkah terletak di sebelah barat daya Riyadh, ibu negara Arab Saudi. Kedudukannya juga dianggar sekitar 70 kilometer dari Laut Merah. Selain itu, Makkah juga merupakan pusat terpenting umat Islam sejak dahulu, kini dan selamanya. Tanah suci Makkah telah menjadi saksi akan kelahiran seorang manusia agung yang diangkat oleh Allah menjadi Nabi dan Rasul. Ini bermakna, Makkah adalah tempat kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW. Terdapat sebuah masjid agung di Makkah iaitu Masjidil Haram yang pahala solat di dalamnya tidak sama seperti solat di masjid lain. Perkara ini boleh dilihat sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 (seratus ribu) solat di tempat lain.”

Dalam al-Quran, Allah SWT telah bersumpah dengan Makkah melambangkan keagungan dan kemuliaannya. Ini sepertimana firman Nya di dalam surah al-Balad ayat 1-2 yang bermaksud :

“Aku bersumpah dengan kota ini (Makkah) dan kamu (Muhammad) bertempat di kota Makkah ini”

Begitu juga dalam ayat lain seperti di dalam surah at-Tin ayat 3, Allah SWT juga telah bersumpah dengan menggunakan perkataan al-Balad yang merujuk kepada maksud Kota Makkah. Sumpah ini menunjukkan betapa agung dan sucinya Makkah yang juga menjadi lambang penyatuan ummah melalui ibadah haji dan umrah. Antara keistimewaan Kota Makkah ialah kota yang paling baik dan tanah yang paling dicintai oleh Allah SWT. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

“Demi Allah! Sesungguhnya engkau (Makkah) ialah bumi Allah SWT yang paling baik dan tanah yang paling dicintai Allah, sekiranya aku tidak diusir darimu,nescaya aku tidak akan tinggalkan (tempat ini, iaitu Makkah).”

Selain itu, antara keistimewaan dan kelebihan lain ialah Kota Makkah dan Madinah, kedua-dua tempat ini tidak akan dimasuki oleh Dajjal. Allah SWT juga berulang kali menyebut Masjidil Haram di Makkah dengan penuh kemuliaan dan keagungan. Antaranya dalam surah Ali Imran ayat 96, Allah menegaskan bahawa rumah pertama yang mula dibina untuk dijadikan tempat ibadah ialah Baitullah di Makkah. Begitu juga dalam surah al-Baqarah ayat 125, Allah menjelaskan bahawa Baitullah di Makkah dijadikan tempat berkumpul umat manusia dan tempat penuh keamanan. Demikianlah sebahagian kecil keistimewaan dan kesucian Kota Makkah yang diutarakan. Sesungguhnya, terdapat banyak lagi kelebihan mengenai kota suci Islam ini yang boleh kita fahami menurut al-Quran dan al-Sunnah. Kota Makkah pada sejarahnya yang panjang, telah menjadi saksi akan kegigihan dan ketabahan dakwah Nabi bersama para sahabat menegakkan kalimah tauhid. Segala cacian, maki hamun dan segala bentuk penindasan antara risiko dakwah yang telah dihadam bersama.




Kota suci kedua umat Islam ialah Madinah al-Munawwarah. Nama asal Madinah ialah Yathrib. Nama Yathrib diambil sempena nama Yathrib bin Qaniah bin Mahla Bail dari keterunan Nabi Nuh AS. Madinah terletak di tengah-tengah lembah yang subur. Kedudukan Madinah dikelilingi dengan suatu tempat bernama Harrab al-Gharbiyah di bahagian barat, pada arah utara pula, Madinah dikelilingi dengan Bukit Uhud, Bukit Thur dan Wadi Qanat. Pada arah selatan pula, Madinah dikelilingi dengan Bukit 'Eir dan Wadi al-'Aqiq. Jarak Madinah dari Jeddah kira-kira 400 km. Manakala jarak Madinah dari Makkah pula sekitar 430 km. Madinah pada sudut geografinya dilihat berada di tempat yang strategik iaitu berada di laluan perdagangan di antara Syam dan Yaman. Berkaitan kelebihan dan keistimewaan Madinah pula, dalam sebuah hadith Nabi riwayat Bukhari, Nabi menyatakan bahawa Madinah sebagai tempat yang lebih baik jika manusia mengetahuinya. Hadith tersebut daripada Sufyan bin Abi Zuhair RA, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda :

"Yaman akan ditakluki. Akibatnya, sejumlah ramai penduduk Madinah akan berpindah keluar. Merea juga mengajak keluarga dan orang-orang yang taat kepada mereka untuk berpindah ke Yaman. Padahal, Madinah lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahuinya. Dan Syam juga akan ditakluki. Sejumlah orang penduduk Madinah berpindah. Mereka juga akan mengajak keluarga dan orang-orang yang taat kepada mereka untuk berpindah ke Syam. Padahal, Madinah lebih baik bagi mereka sekiranya mereka mengetahuinya. Dan Iraq juga akan ditakluki. Akibatnya, sejumlah orang Madinah akan berpindah. Mereka juga akan mengajak keluarga mereka dan oran-orang yang taat kepada mereka untuk berpindah ke Iraq. Padahal, Madinah lebih baik bagi mereka seandainya mereka mengetahui".

Selain itu, Madinah merupakan kota kecintaan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Tercatat di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda telah berdoa kepada Allah agar Allah menjadikan baginda dan umat Islan mencintai Madinah sepertimana baginda dan umat Islam yang lain mencintai Kota Makkah. Madinah juga telah menjadi sebuah kota kemenangan. Ini sepertimana sabda Nabi SAW dalam riwayat Bukhari dan Muslim, dimana baginda Nabi menyebutkan bahawa Madinah sebagai kota yang dapat mengalahkan kota-kota yang lain. Selain itu, Madinah juga mempunyai sebuah masjid yang agung seperti Masjidil Haram di Makkah. Iaitulah Masjid Nabawi. Kelebihan solat di Masjid Nabawi tidaklah sama ganjarannya seperti solat di masjid-masjid lain. Demikianlah sebahagian kecil kelebihan, kemuliaan dan kesucian Madinah menurut wahyu Allah SWT. Tentunya banyak lagi tentang kesucian Madinah. Semuanya diatas kehendak Allah SWT.




Kota suci umat Islam ketiga pula ialah Baitul Maqdis di Palestin. Dalam bahasa Ibrani, Baitul Maqdis disebut sebagai Jurusalem. Kota Baitul Maqdis ini mulai dibuka oleh khalifah Umar al-Khattab. Baitul Maqdis dimuliakan oleh Allah SWT dengan adanya Masjid al-Aqsa. Masjid al-Aqsa merupakan masjid yang didatangi oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Lihatlah firman Allah SWT di dalam surah al-Isra' ayat 1 yang bermaksud :

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Baitul Maqdis tercatat sebagai kiblat pertama orang Islam sebelum dipindah ke Masjidil Haram. Kota ini tidak pernah sunyi dari konflik. Kota ini menjadi rebutan oleh tiga agama iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani (Kristian). Sejarah panjang kota ini memperlihatkan kepada kita apabila ianya pernah ditakluki oleh Rom melalui Perang Salib namun dibebaskan semula oleh Salahuddin al-Ayyubi. Kemudiannya, ditakluki semula oleh Tatar dan setelah itu dibebaskan semula oleh Saifuddin Qutuz dan Kerajaan Mamalik. Kini, rejim Zionis Israel dengan penuh kegilaan berusaha merampas Baitul Maqdis yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai kota suci milik orang Islam. Demikianlah serba ringkas berkenaan kemuliaan kota suci umat Islam. Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam keseluruhannya untuk terus mempertahankan kesucian kota umat Islam ini. Yakinlah bahawa sesungguhnya janji Allah itu benar dan Allah tidak akan pernah memungkiri janji. Semoga Allah merahmati kita semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan