Masa yang berputar pada detiknya adalah seperti manusia yang
berjalan diatas muka bumi ini. Masa sebagaimana sama seperti manusia, hakikat
kedua-duanya ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang memiliki permulaan dan
pengakhiran. Kedua-dua juga akan tiba saat kemusnahan dan kehancuran. Betapa
ajaib makhluk yang bernama masa. Datangnya tidak terasa dan perginya tidak
dapat diulangi semula. Detik masa yang berjalan silih berganti hari, bulan dan
tahun. Kesannya, dalam tidak sedar raut wajah yang cantik menjadi kendur dan
kedut, tenaga kuat di waktu muda berubah hilang bersama usia yang kian senja.
Makan dan minum dahulunya berselera, kini terbatas dek banyaknya karenah badan.
Begitulah aturan sunnatullah bagi setiap perkara yang fana'.
Usia atau umur merupakan antara nikmat yang sangat bernilai. Usia
yang mendatang, mengajar banyak manusia tentang erti kehidupan. Hidup ibarat
sebuah permusafiran. Dari alam rahim, menyinggah di alam dunia sebelum
berangkat pulang ke alam yang kekal abadi. Pada pemahaman umum, usia barangkali
sekadar perubahan angka semata. Pun begitu, Allah SWT sendiri telah bersumpah
dengan masa. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa detik yang berlalu seiring
dengan perubahan usia, tidaklah sekadar perubahan angka malah ianya petunjuk
bahawa kita sudah semakin hampir dengan namanya kematian. Mengenai usia yang
mendatang, Allah SWT sebagai pencipta kepada makhluk Nya yang bernama masa,
telah mengingatkan kita tentang usia pada angka 40 tahun. Peringatan ini dapat
direnungi bersama sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah
al-Ahqaf ayat 15 yang bermaksud :
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah
melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya
beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan
sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: “Wahai
Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau
kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal
soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke
dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan
sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
Berdasarkan ayat ini, dikalangan para ahli tafsir, sebahagian
mereka berpandangan usia 40 tahun merupakan fasa kematangan akal manusia dan
fasa kesempurnaan dalam kekuatan diri manusia. Perkara ini sepertimana yang
telah disebutkan oleh Syeikh Muhammad bin Salih Asy-Syawi di dalam kitab An-Nafahat
al-Makkiyah, beliau menjelaskan bahawa maka jika manusia telah sampai
kesempurnaan dalam kekuatan, akal dan telah mencapai usia 40 tahun, Allah
berkata : Rabbku, (ilhamkan) berikan aku rasa syukur atas nikmatmu yang Engkau
berikan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku. Dan tetapkan aku agar terus
beramal soleh menurut yang Engkau reda, dan jadikanlah keturunanku orang-orang
yang baik ; Sungguh aku bertaubat kepada-Mu dengan taubat yang sesungguhnya,
dan sungguh aku termasuk orang-orang yang berserah diri kepada-Mu dan
mengerjakan apa yang Engkau perintahkan dan larang.
Dalam pada kita menelusuri ayat ini, kita akan melihat betapa
hebatnya susunan ayat tersebut yang menerangkan kepada kita sekaligus
mengingatkan kita tentang perjalanan seorang makhluk yang bernama manusia.
Selain itu, melalui ayat ini juga Allah SWT mengajar kepada kita untuk
bersegera bertaubat kepada Allah dengan menginsafi diri, bertaubat dan terus
berjuang secara berterusan mengerjakan amalan kebaikan. Ayat ini juga jika
direnungi dengan jantung hati, tentunya kita akan merasai betapa kerdilnya
manusia ini yang hanya berjalan selari dengan putaran masa yang berlalu. Dalam
rancak manusia berjalan di muka bumi ini, pastinya ada salah dan silap. Oleh
kerana itu, dalam ayat ini akhirnya Allah SWT mengajar kita satu doa khas
apabila menjelang usia 40 tahun. Berkaitan doa yang terdapat di dalam al-Quran
pada ayat tersebut, Imam Ibn Kathir menyebut di dalam kitabnya, Tafsir
al-Quran al-Azim, ayat ini menyeru kepada mereka yang telah mencapai usia
40 tahun.
Telah berkata Imam al-Syaukani di dalam kitabnya, Fath al-Qadir,
beliau menjelaskan bahawa ayat ini menjadi bukti bahawa seseorang yang mencapai
umur 40 tahun mestilah memperbanyakkan membaca doa-doa (yang disebut dalam ayat
15 Surah al-Ahqaf). Begitu juga sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Wahbah
al-Zuhaily di dalam kitab tafsirnya, al-Tafsir al-Munir, beliau menyebut
apabila seseorang itu mencapai umur 40 tahun yang merupakan marhalah
kesempurnaan akal dan fizikal, dia mestilah mensyukuri nikmat Allah ke atasnya,
dan memohon taufik daripada-Nya untuk melakukan amal soleh yang diredai-Nya,
serta mengurniakan pula kebaikan yang terpasak kukuh pada anak dan zuriatnya. Demikian
ulasan oleh para ilmuan Islam. Maka pada usia yang sedang kita nikmati ini,
sedarlah bahawa kita juga bakal menjadi penghuni kubur dengan izin Nya. Setiap
apa yang dikecapi, Tuhan tidakkan pernah lena dari mengawasi para hamba Nya.
Satu hal yang tidak kurang penting juga mengenai ayat tersebut
ialah ianya mengajar kita untuk menjadi para hamba Allah yang tahu bersyukur.
Tanpa boleh kita nafikan, manusia pada hari ini seringkali berdoa agar
diberikan kekayaan. Walhal baginda Nabi SAW mengajar kita berdoa untuk memohon
diberikan kecukupan rezeki dan bukannya memohon diberikan limphan rezeki. Sesungguhnya
sifat syukur itu adalah sangat sedikit dikalangan hamba Allah. Perkara ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Mulk ayat 23,
firman Allah SWT yang bermaksud :
"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu
(dari tiada kepada ada) dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan
serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”.
Syukur tidaklah semudah ungkapan di bibir. Ini kerana sesiapa
sahaja tanpa mengira apa pun kedudukannya, boleh sahaja mengucapnya namun tidak
dapat sama dengan mereka yang benar-benar menghayati dan menanam kalimah syukur
di dalam jantung hatinya. Bagi orang yang bersyukur, sedikit atau banyak
bukanlah syarat untuk bersyukur. Biar apapun yang terjadi, syukurlah kepada
Allah meski apa yang dirancang tidak dapat berjalan dengan lancar. Lawan kepada
syukur adalah kesombongan. Apabila kita mulai jauh daripada intipati ajaran
agama, tidak bersyukur dan kedekut, suka memperendahkan orang lain selain suka
menunjuk-nunjuk dengan apa yang dimiliki, maka tidak hairanlah sifat
kesombongan akan menjelma lalu terhakislah segala sifat-sifat yang terpuji. Demikianlah
beberapa peringatan penting oleh Allah SWT kepada para hamba Nya apabila
menjelang usia 40 tahun. Sesungguhnya usia 40 tahun adalah fasa mengajak
manusia bersungguh-sungguh dalam hidup, mengumpul pengalaman, memperkemaskan
kebijaksanaan selain lebih santun, lebih berwaspada dan sentiasa bersikap
matang dengan menjauhi kegopohan. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan