Kehidupan adalah sebuah anugerah dan nikmat dari Allah SWT yang
wajib kita hargai dan mensyukurinya. Bahkan Allah SWT yang juga sebagai
pencipta akan sekalian makhluk, melarang dan menegah para hamba Nya daripada
melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada diri dan nyawa
sendiri. Demikian pula apabila kesakitan datang menyapa kita, Islam menyuruh
kita untuk mengubatinya dan bukan membiarkan sakit merosakan lagi diri. Di
sinilah makna akan usaha dan ikhtiar yang merupakan tugas terpenting manusia
sebelum menyerah nasib kepada Allah Azza Wa Jalla. Bagi tujuan itu, pada zaman
ini terdapat pelbagai inisiatif perlindungan diri, harta benda dan lain-lain
melalui skim insurans dan takaful. Persoalannya, bagaimana pula perspektif
Islam dalam hal ini.
Perkataan "Insurans" menurut The New
Encylopedia Britannica, sebagai satu kumpulan yang membuat kutu bagi
meringankan beban kewangan individu dan menghindarkan kesulitan perbelanjaan.
Selain itu, Oxford Dictionary pula mentakrifkan insurans sebagai kontrak
yang dilaksanakan bagi menyediakan sebarang pampasan bagi kehilangan, kerosakan
dan kecederaan. Dalam konteks bahasa Melayu, sebagaimana yang tercatat dalam
Kamus Bahasa Melayu DBP, insurans bermaksud perjanjian tanggungan yang dibuat
oleh sesebuah syarikat untuk mengganti kerugian dan bayaran premium tertentu.
Terminologi insurans dalam bahasa Arab disebutkan sebagai al-Ta'min (التأمين). Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan
al-Arab, menyebut al-Ta'min atau insurans bermaksud dalam keamanan dan
kesejahteraan.
Secara linguistiknya, insurans dan takaful merujuk kepada makna
yang sama iaitu memberikan perlindungan. Dalam konteks Malaysia, kedua-dua
istilah ini iaitu insurans dan takaful digunakan dalam keadaan yang berbeza
situasinya. Perbezaan tersebut merangkumi konsep dan polisi yang dilaksanakan.
Pada perkataan insurans, ianya difahami sebagai polisi konvensional yang
disifatkan sebagai tidak patuh syariah manakala takaful pula difahami sebagai
polisi islamik yang menepati ciri pematuhan syariah. Kenapa wujudnya istilah
patuh dan tidak patuh syariah ? Jawapannya adalah kerana Islam telah meletakkan
beberapa garis panduan jual beli insurans supaya jual beli tersebut tidak
mempunyai unsur maksiat seperti penipuan, penindasan dan kezaliman antara dua
pihak. Sejarah mencatatkan konsep insurans telah berlaku sejak zaman Arab
sebelum kedatangan Islam lagi.
Orang Arab pada zaman sebelum kedatangan Islam, mereka mengamalkan
satu polisi yang disebut sebagai Blood Money (wang darah), juga disebut
dalam bahasa Arab sebagai "Aqilah". Polisi ini berlaku apabila
berlakunya pergaduhan di antara dua kabilah yang berakhir dengan kematian di
sebelah pihak. Pihak yang menyebabkan kematian atau yang melakukan pembunuhan
dituntut untuk memberikan bayaran berupa pampasan kepada keluarga yang ahlinya
terbunuh. Bayaran tersebut akan dikutip secara sama rata dari kalangan ahli suku
kabilah orang yang membunuh. Polisi yang dinamakan sebagai Aqilah ini
merupakan satu bentuk jaminan yang wujud pada zaman tersebut. Dalam pada itu,
para ilmuan Islam sejak dahulu lagi telah membahaskan mengenai hukum menjual
beli insurans. Dalam perbahasan panjang tersebut, dapat kita rumuskan bahawa
terdapat tiga pandangan utama dalam hal ini. Pandangan pertama, mengharamkan
insuran konvensional secara keseluruhan. Pandangan kedua, mengharuskannya dan
pandangan ketiga mengharamkan sebahagian dan mengharuskan sebahagian.
Pandangan pertama, menyatakan bahawa adalab haram secara
keseluruhannya menjual beli insurans konvensional. Pengharaman tersebut dibuat
berdasarkan beberapa alasan seperti wujudnya unsur riba al-Mu'amalah
al-Maliah di dalam perniagaan. Riba ini berlaku apabila pihak pencarum
menuntut ganti rugi kepada syarikat yang menjual insurans disebabkan musibah
yang berlaku. Apabila ganti rugi diberikan, jumlah yang dibayar berlipat kali
ganda daripada jumlah premium yang dibayar oleh pencarum. Ini sekaligus
menyaksikan wujudnya konsep perjudian dalam polisi. Hal tersebut ditegah oleh
Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan di dalam surah al-Maidah ayat 90 yang
bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, dan judi, dan
pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah, adalah
(semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya”.
Selain terdapat unsur riba dan perjudian, insurans konvensional
juga mempunyai unsur gharar (penipuan) yang diharamkan oleh Islam. Telah
berkata al-Jurjani dalam kitab al-Ta'rifat lil Jurjani, beliau
menyatakan n bahawa gharar itu ialah sesuatu yang tidak diketahui hasil
akhirnya, apakah ianya akan terjadi atau tidak. Ini bermakna pencarum insurans
tidak mengetahui apa yang akan terjadi di belakang hari walau bayaran tetap
dibuat. Jelas bahawa konsep gharar jual beli yang tidak pasti dan tidak tentu
ini adalah bercanggah dengan prinsip syariah. Maka boleh kita rumuskan bahawa
insurans konvensional adalah haram kerana mempunyai unsur riba, perjudian dan
gharar yang menyanggahi prinsip syariah dalam hukum jual beli.
Pandangan kedua menyatakan bahawa hukumnya adalah harus. Pandangan
ini dipegang oleh beberapa ulama seperti Syeikh Abdul Khallaf, Dr. Muhammad
al-Bahi dan Mustafa al-Zarqa'. Mereka menjelaskan bahawa insurans adalah
kontrak moden yang tidak ada dalil yang jelas mengenainya. Melalui kaedah yang
dinyatakan oleh al-Sayuti bahawa "Sesuatu hukum itu adalah harus
sehingga ada dalil yang mengharamkannya". Selain itu, keharusan
mencarum insurans juga berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Jathiyah
ayat 13 yang bermaksud :
“Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang
ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya;
sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan
dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti”.
Berdasarkan ayat ini, mereka yang mengharuskan insurans menyebut
bahawa kewujudan skim insurans menepati kehendak Allah SWT dimana Allah SWT
menyatakan Dialah yang memudahkan segala urusan makhluk di langit dan di bumi.
Terkait dengan insurans, maka ianya merupakan maslahah (kebaikan) kepada
pencarum bertujuan memastikan keluarga terdekat dan waris tidak akan mengalami
masalah apabila berlaku musibah. Mereka juga menggunakan kaedah al-Urf
dengan menyatakan bahawa insurans merupakan satu institusi yang menjadi
kebiasaan di dalam masyarakat. Selain itu, keharusan insurans juga berdasarkan
kaedah Qias dengan menqiaskan akad insurans dengan konsep al-Muwalah.
Konsep al-Muwalah merujuk kepada kesepakatan di antara dua pihak di mana satu
pihak membayar diyat kepada pihak lain diatas perbuatan jenayah yang
dilakukannya. Menurut Muhammad al-Bahi, keharusan insurans berasaskan tiga
alasan iaitu pertama, insuran meliputi kepentingan ekonomi orang Islam. Kedua,
insurans bukan akad jual beli sebaliknya akad takaful dan ketiga, insurans
adalah akad mudharabah di mana keuntungan dipulangkan kepada pencarum berbentuk
pampasan. Demikian antara hujah pandangan kedua.
Pandangan ketiga pula menyatakan sebahagian harus dan sebahagian
lagi haram. Ini berdasarkan pandangan Abu Zahrah yang mengharuskan insurans
dari segi konsep asasnya iaitu saling bantu dan bekerjasama. Beliau menjelaskan
insurans kereta itu adalah haram tetapi insurans membaiki kereta daripada
sebarang kerosakan itu harus. Insurans nyawa pula adalah haram kerana wujud
unsur perjudian. al-Sharbasi pula menyebut sistem insurans adalah haram
sekiranya terdapat unsur riba. Maka jika sistem tersebut tidak mengandungi
unsur riba maka diharuskan. Daripada pandangan ketiga ini, dapat difahami
keharusan atau keharaman sesuatu insurans adalah terletak kepada kaedah dan sistem
yang diguna pakai. Jika padanya wujud unsur mungkar, haram hukumnya dan
sebaliknya jika tidak unsur mungkar, harus hukumnya. Demikianlah sedikit
penjelasan mengenai insurans antara halal dan haram. Apa yang pasti, kini telah
wujud polisi insurans yang patuh syariah yang dikenali sebagai Takaful. Maka
memilih hal itu lebih selamat dan terjamin hukumnya. Semoga Allah merahmati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan