Rabu, 7 Mei 2025

SEDEKAH BUKAN SEKADAR WANG RINGGIT DAN KEBENDAAN

 

Sifat pemurah merupakan salah satu sifat terpuji yang bukan sahaja menjadi tuntutan oleh agama bahkan ianya bernilai dalam usaha membina kemenjadian manusia. Pemurah boleh difahami sebagai suka memberi, menghulur selain ringan tulang dalam memberikan pertolongan dan bantuan. Amat mulia sekali sifat pemurah ini yang bukan sahaja dinilai baik oleh sisi agama malah turut disegani oleh sekeliling masyarakat. Dalam kelaziman pemahaman umum, sifat pemurah seringkali dikaitkan dengan mereka yang suka menderma wang ringgit atau suka memberi sumbangan berbentuk kebendaan yang memiliki nilai harganya yang tersendiri. Pemahaman ini secara tidak langsung telah menyempitkan makna dalam erti kata sedekah yang sebenar. Apabila pemahaman salah ini tertanam dalam minda masyarakat, maka tentu sekali sifat pemurah tersebut dilihat hanya layak dimiliki oleh golongan yang kaya-raya. Jadi, apakah orang yang kurang berkemampuan tidak boleh menjadi seorang yang pemurah ?

Sifat pemurah boleh terzahir daripada sikap suka bersedekah. Ungkapan "Sedekah" berasal dari bahasa Arab. Perkataan sedekah sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibnu Manzur dalam kitbanya, Lisan al-'Arab, beliau menyebutkan bahawa sedekah sebagai apa yang apa yang engkau berikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. Selain itu, al-Jurjani pula menyebut di dalam kitabnya, al-Ta`rifat, sedekah ialah pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah SWT. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, sedekah ialah pemberian kepada golongan fakir dan miskin. Pada sudut syarak, perkataan sedekah difahami sebagai pemberian daripada seseorang dengan tujuan ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selain itu, sedekah juga difahami sebagai zakat iaitu sedekah wajib oleh orang Islam kepada golongan fakir dan miskin. Namun begitu, apa yang akan kita perbincangkan ialah mengenai sedekah yang tidak wajib.




Perkataan sedekah banyak disebutkan di dalam al-Quran. Antara lain sepertimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 114, yang bermaksud :

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Berdasarkan ayat ini, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut di dalam kitab tafsirnya, tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka iaitu rahsia antara dua kelompok ketika mereka saling membicarakan hal tersebut kecuali bisikan-bisikan tentang tiga hal : iaitu hal yang menyuruh manusia memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Selain itu, Syeikh Dr. Shalih bin Abdullah bin Humaid, Imam Masjidil Haram menyebut di dalam kitab Tafsir Al-Mukhtashar, tidak ada kebaikan pada kebanyakan ucapan yang dirahsiakan oleh manusia, dan juga tidak ada manfaatnya, kecuali jika ucapan itu berupa perintah untuk bersedekah, atau melakukan kebaikan yang diajarkan oleh syariat dan ditunjukkan oleh akal sihat, atau seruan untuk mendamaikan pihak-pihak yang bermusuh. Barangsiapa yang melakukan hal itu demi mencari reda Allah, maka Kami akan memberinya pahala yang sangat besar.

Selain itu, di dalam ayat lain, sebagaimana firman Allah SWT, sedekah diiktiraf oleh Allah sebagai pemberian pinjaman yang baik kepada Allah SWT dan akan diberikan balasan berupa ganjaran yang berlipat kali ganda. Ini dapat dilihat melalui firman Allah di dalam surah al-Hadid ayat 18 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.”




Begitulah sebahagian ayat-ayat al-Quran yang menggambarkan tentang pensyariatan amalan sedekah. Ironinya, amalan bersedekah seringkali dikaitkan dengan pemberian kebendaan seperti wang ringgit dan harta-benda lain. Namun begitu, dalam Islam, sedekah mempunyai makna yang luas sekali. Amalan sedekah tidak terhad atau terbatas pada wang ringgit dan pemberian kebendaan lain semata-mata. Malah, amalan mulia seperti buang duri, menolong orang dalam kesusahan, berkata dengan perkataan baik dan melangkah kaki berjalan untuk menuju tempat solat juga dianggap sebagai sedekah. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Setiap sendi tulang manusia harus disedekahi setiap hari di saat terbitnya matahariv: berbuat adil terhadap dua orang (mendamaikan) adalah sedekahv; menolong seseorang naik kenderaannya, membimbingnya, dan mengangkat barang bawaannya adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah ; Berkata yang baik juga termasuk sedekah. Begitu pula setiap langkah berjalan untuk menunaikan solat adalah sedekah. Serta menyingkirkan suatu rintangan dari jalan adalah sedekah."

Berdasarkan pemahaman hadith ini, jelas bahawa pelbagai bentuk sedekah yang sangat luas maknanya dan tidak sekadar memberi wang ringgit dan kebendaan sahaja. Selain itu, bercakap soal amalan bersedekah juga, tercatat di dalam sebuah hadith Nabi menceritakan mengenai sikap cemburu sebahagian para sahabat yang kurang berkemampuan harta untuk bersedekah, mengadu kepada baginda Nabi akan kecemburuan mereka kerana tidak dapat bersedekah seperti sahabat lain yang kaya-raya. Maka baginda Nabi SAW membalas dengan memberikan gambaran makna sedekah yang luas pemahamannya. Kisah ini tecatat sebagaimana di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Dzar RA, beliau berkata sebahagian sahabat berkata kepada Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Wahai Rasulullah, orang-orang kaya pergi membawa banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka dapat bersedekah dengan kelebihan hartanya. Nabi bersabda : ‘Bukankah Allah telah menjadikan untukmu sesuatu yang dapat disedekahkan? Sesungguhnya setiap kali tasbih (bacaan subhanallah) adalah sedekah, setiap kali tahmid (bacaan alhamdulillah) adalah sedekah, setiap kali tahlil (bacaan lailahaillallah) adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan jimak- nya salah seorang antara kamu juga adalah sedekah.’ Mereka bertanya : ‘Wahai Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi hajat syahwatnya berpahala?’ Rasulullah menjawab : ‘Menurutmu, bukankah jika dia menyalurkan syahwatnya pada yang haram, maka dia berdosa? Maka demikian pula apabila dia menyalurkannya pada yang halal, dia mendapat pahala".

Demikianlah bagaimana makna sedekah mencakupi ruang kemampuan setiap makhluk yang bernama manusia. Jelas bahawa amalan bersedekah tidak sekadar soal memberi wang dan harta-benda. Luas dari itu, setiap ungkapan baik dikira sedekah, menolong orang dalam kesusahan dikira sedekah, membuang rintangan di jalanan juga dikira sebagai sedekah, melakukan persetubuhan hubungan suami isteri pun dikira sebagai sedekah. Maka dengan keluasan makna sedekah ini, dapatlah kita fahami sesungguhnya amalan sedekah tidak hanya boleh dan mampu dilakukan oleh mereka yang punyai harta yang banyak. Sesiapa sahaja tanpa mengira soal status kewangannya, mampu melaksanakan amalan sedekah mengikut kemampuan tersendiri. Oleh yang demikian, apa lagi alasan yang mahu kita katakan untuk tidak mahu bersedekah. Sedekah adalah amalan mulia dan layak untuk semua manusia melakukannya. Semoga Allah SWT merahmati dan memberkati perjalanan hidup ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan