Sabtu, 10 Mei 2025

KEPERCAYAAN KARUT KONSEP AURA DAN WARNA

 

Sudah diketahui umum bahawa Islam adalah agama yang menolak budaya meramal atau menilik nasib. Dalam persoalan ini, budaya atau amalan meramal nasib melalui apa jua cara dan kaedah tertentu adalah sangat ditegah dan dilarang di dalam Islam. Jika kita imbau kembali, budaya meramal atau menilik nasib ini telah berlaku sejak pada zaman baginda Nabi Muhammad SAW. Pada zaman Arab dahulu, orang Arab menilik dan meramal nasib dengan menggunakan anak panah yang tiada padanya bulu walaupun satu. Menjadi amalan orang Arab dahulu melakukan amalan menilik nasib diatas pelbagai alasan termasuk atas tujuan untuk memulakan perjalanan jauh. Mereka akan menggunakan anak panah tersebut untuk menentukan sama ada mereka harus keluar atau tidak.

Amalan menilik atau meramal nasib kini semakin moden dengan cara dan kaedah terkini yang diguna pakai diatas nama konsep "Aura dan Warna". Perkataan "Aura" merujuk kepada makna sinergi yang berada di bahagian luar tubuh manusia dan mampu membentuk satu bentuk dinding yang menjadi penghadang dan pendinding tubuh manusia dari tenaga negatif daripada memasuki ke dalam tubuh manusia. Selain itu, konsep aura pada kefahaman umum di fahami sebagai suatu pancaran tubuh yang wujud secara alami untuk menyelubungi tubuh. Aura yang juga dikenali sebagai suatu konsep yang memancarkan cahaya yang keluar dari tubuh manusia dan tidak boleh dilihat oleh pandangan mata biasa. Warna pula sering dikaitkan dengan beberapa keistimewaan tertentu yang turut dikaitkan dengan konsep aura. Sebagai contoh, warna merah menyebarkan aura yang berani dan percaya diri untuk berjaya, warna kuning menunjukkan aura seorang yang sensitif, kebudakan dan mudah buat orang ketawa.




Pada hakikatnya, konsep Aura yang menjadi kepercayaan sebilangan masyarakat moden pada hari ini adalah berasal dari konsep Chakra. Konsep Chakra berasal dari kepercayaan teras bagi agama Hindu. Konsep Chakra ini terhasil apabila roh Brahman (tuhan agama Hindu) berpecah memasuki tubuh diri manusia, roh Brahman memiliki tenaga yang kuat sehingga boleh menyebabkan diri manusia kembali bergabung dengan Tuhan. Bagi memperolehi tenaga roh tersebut, terdapat 7 tahap chakra yang bermula dari punggung sehingga ubun-ubun kepala. Amalan Yoga dilakukan untuk menyerap tahap chakra tersebut hingga mencapai tahap chakra ketujuh. Tujuh tahap chakra tersebut dilabel dengan tujuh warna pelangi yang dipercayai sebagai warna yang mewakili alam semulajadi. Kepercayaan ini telah sekian lama menjadi teras dalam agama Hindu. Menurut ajaran Hindu sepertimana yang disebut di dalam kitab suci Hindu, Upanishad, konsep Chakra dibina diatas konsep roh manusia yang disebut sebagai Atman.

Namun begitu, apabila kepercayaan ini telah sampai dan tersebar di dunia Barat, maka terdapat beberapa tokoh terpenting Barat melihat perkara ini sebagai sesuatu yang menarik. Antara tokoh yang terpengaruh dengan konsep aura ini ialah Charles Webster Leadbeater, seorang ahli teosofi iaitu pengamal ilmu kebatinan moden dan uskup liberal Katolik. Beliau telah menjenamakan semula kepercayaan konsep Chakra ini dengan nama konsep Aura. Hakikatnya, kedua-dua jenama ini mempunyai maksud dan perkara yang sama sahaja. Aura menurut bahasa Latin bermaksud nafas. Beliau telah membangunkan konsep Aura yang hanya dijenamakan semula ini dengan mendakwa seseorang boleh menarik aura positif dan aura negatif. Beliau yang juga turut membentuk gerakan New Age mempercayai bahawa warna-warna yang mewakili alam memiliki nilai falsafah kebatinan akidah yang dibawa oleh gerakan New Age. Bagi mereka, kewujudan spektrum warna-warni ini berasal dari satu sumber yang sama iaitu satu cahaya putih.

Dalam ajaran konsep Aura ini, seorang yang memiliki aura positif apabila bertemu dengan seorng yang memiliki aura negatif, maka aura orang positif tadi akan mengalami kecacatan compang-camping akibat terkesan dengan orang yang beraura negatif tersebut. Oleh itu, untuk merawat semula, dirinya perlu bertemu dengan kelompok orang yang punyai aura positif. Sebenarnya tidak ada satu kajian yang bersifat autentik pun yang boleh mengesahkan akan kewujudan aura dalam tubuh diri manusia. Malah para saintis juga tidak menemui bukti secara sainstifik mengenai kewujudan konsep aura ini. Konsep aura yang sering dicanang kepada masyarakat umum tidak lebih sekadar pseudosains semata-mata. Tanpa kita sedar, ajaran konsep aura ini menjadi teras kepercayaan bagi gerakan New Age. Ajaran New Age tidak sekadar membawa konsep aura bahkan turut digandingkan pula dengan konsep Law of Attraction, suatu konsep kemampuan manusia menarik sesuatu yang sangat manusia inginkan.




Dalam kepercayaan konsep aura juga, bagi mereka yang mengalami kecacatan aura disebabkan terkena aura negatif, boleh melakukan rawatan yang dikenali sebagai "Kromoterapi" atau terapi warna. Lazimnya, kromoterapi dilakukan dengan menggunakan cahaya warna-warni. Selain itu, fahaman New Age yang turut mengangkat konsep aura dan warna ini percaya bahawa kewujudan kepelbagaiaan di muka bumi ini adalah hasil dari penjelmaan yang satu. Penjelmaam yang satu tersebut diyakini sebagai sumber segala roh dan tenaga yang menghidupkan dan mewarnai alam ini. Dalam pelbagai ajaran, jelmaan yang satu tersebut dikenali sebagai Brahman bagi agama Hindu. Bagi Neoplatonisme pula, jelmaan yang satu disebut sebagai The One, dalam Gnostisisme pula disebut sebagai Monad manakala bagi New Age dikenali dengan istilah Universe.

Amat malang sekali, konsep aura yang berasal dari kepercayaan Chakra dalam agama Hindu yang kemudiannya telah dijenamakan semula oleh Charles Webster Leadbeater sebagai konsep aura, telah dibawa oleh sebahagian mereka yang digelar agamawan. Sebilangan mereka ini barangkali dengan tidak sedar, mereka telah menempek kepercayaan karut ini ke dalam agama Islam. Hal ini dapat dilihat apabila ada yang mengaitkan konsep aura dengan waktu solat. Ada yang mendakwa setiap perubahan waktu solat yang turut mengubah cahaya akan membawa kepada aura-aura tertentu. Dakwaan-dakwaan ini sangat jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Ingatlah kita akan firman Allah SWT yang melarang hamba Nya daripada melakukan amalan menilik atau meramal nasib dengan apa jua cara sekalipun. Dalam surah al-Maidah ayat 90, Allah berfirman yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Oleh itu, kita perlulah berwaspada dengan segala penipuan dan pendustaan ini. Sains palsu yang mengatakan tentang kewujudan konsep aura dan warna harus ditegah dan dicegah dari meracuni pemikiran umat Islam. Agama tidak sebodoh itu untuk menyuruh kita bergantung hidup diatas sendi keauraan dan kewarnaan. Sedarlah kita bahawa konsep aura dan warna ini bukanlah datang dari Islam. Ianya jelas bersumberkan kepercayaan akidah agama Hindu yang dijenamakan semula dan dibangunkan oleh tokoh Barat yang jauh terpesong. Kembali lah kita berpaut agama Allah dengan membaca, memahaki dan beramal dengan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Janganlah kita sendiri turut memperbodohkan diri dengan mempercayai perkara yang karut-marut ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan