Isnin, 13 April 2026

KESESATAN AMALAN NIKAH BATIN

 

Perkahwinan adalah salah satu peruntukkan yang termaktub di dalam syariat agama Islam. Dalam syariat perkahwinan, Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan para hamba Nya telah menghalalkan segala perhubungan sosial yang menyentuh soal perasaan kasih, sayang dan cinta yang melibatkan berlainan gender antara lelaki dan wanita. Melalui jalan perkahwinan, umat manusia bukan sahaja berhak untuk mengasihi dan dikasihi bahkan turut menggalas tanggungjawab berkongsi kehidupan bersama pasangan. Namun begitu, perkahwinan bukanlah suatu lesen berbentuk mutlak untuk kita boleh lakukan apa sahaja terhadap pasangan. Syariat Islam datang dan memberikan panduan tentang isu-isu terkait tanggungjawab suami dan isteri dan hal demikian adalah wajib untuk orang Islam memahami dan mengamalkannya. Satu perkara terpenting yang mesti kita sedar bahawa tidak ada istilah yang disebut sebagai Nikah Batin dalam syariat Islam. Amalan sedemikian adalah bersalahan dan menyanggahi syariat Islam.

Perkataan "Nikah Batin" lahir daripada gabungan dua perkataan berbeza iaitulah "Nikah" dan "Batin". Kedua-dua perkataan ini berasal daripada bahasa Arab. Pada sudut bahasa, perkataan nikah merujuk kepada makna himpun, kumpul dan cantum. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ungkapan nikah bermakna akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan. Nikah pada sudut istilah pula sebagaimana yamg telah dijelaskan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Shafie, bermaksud suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga mambawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. Perkataan batin pula secara ringkas boleh difahami dengan maksud aspek dalaman, jiwa, perasaan atau perkara tersembunyi yang tidak kelihatan oleh mata kasar, berlawanan dengan zahir (fizikal).




Secara mudah untuk kita fahami, istilah nikah batin ini adalah tidak wujud di dalam syariat Islam. Namun apa yang difahami oleh ramai orang, nikah batin adalah satu amalan yang diamalkan oleh ajaran-ajaran sesat yang kebiasaannya dilakukan oleh mereka yang bergelar guru yang mendakwa telah mendapat ilham dari Tuhan untuk melakukan pernikahan secara langsung melalui Allah. Dalam pengamalan kesesatan nikah batin ini, kononnya mereka yang mengamalkan nikah batin ini mendakwa bahawa seorang perempuan telah dinikahkan oleh Allah SWT dengannya tanpa perlu kepada rukun nikah yang lain iaitu wali, akad, saksi dan juga mahar. Maka perempuan yang menjadi mangsa tersebut dalam keadaan terpaksa menyerahkan dirinya kepada guru mereka dengan sebab rasa hormat mereka terhadap guru, yang telah disatukan dirinya dengan gurunya dihadapan Allah SWT. Mereka yang bergelar "Guru" yang berselindung di atas kumpulan tertentu seperti kumpulan tarikat telah banyak memperdayakan para pengikut mereka dengan menjadikan kaum perempuan sebagai barang eksploitasi seks.

Hakikatnya, amalan nikah batin ini tidak ada tujuan dan matlamat lain selain semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu serakah mereka. Tidak salah dan tidaklah keterlaluan untuk kita katakan bahawa amalan nikah batin ini seolah-olah seperti telah menghalalkan perbuatan zina yang sudah terang lagi bersuluh, perbuatan tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT. Bahkan sesungguhnya amalan nikah batin ini lebih teruk dan sesat dari nikah mut'ah, yang dahulunya pernah dibenarkan oleh Islam namun selepas itu telah dimansuhkan akan kebenaran melakukan nikah mut'ah tersebut. Dalam hal ini, Ali bin Abi Talib RA berkata kepada Ibn Abbas dalam sebuah hadith riwayat Bukhari yang bermaksud :

“Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W melarang nikah mut’ah, memakan daging keldai domestik, ketika peperangan Khaibar."

Persoalannya, dari manakah datangnya asal-usul kepada amalan nikah batin ini ? Bagi menjawabnya, sebenarnya sebahagian para pengamal ajaran sesat yang mengharuskan amalan nikah batin ini, mereka berhujah keharusan amalan tersebut dengan bersandarkan kepada kisah pernikahan baginda Nabi Muhammad SAW bersama Zainab binti Jahsyi yang dinikahkan oleh Allah Azza Wa Jalla secara langsung. Kisah demikian telah menjadi dalil dan hujah mereka bagi tujuan untuk menghalalkan perbuatan terkutuk tersebut. Kisah perkahwinan antara Nabi Muhammad SAW dan Zainab binti Jahsyi yang disebutkan itu direkodkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Ahzab ayat 37, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku."




Berdasarkan ayat ini, Allah Azza Wa Jalla telah mewahyukan kepada Rasulullah SAW untuk menikahi Zainab tanpa wali, tanpa akad dan juga tanpa mahar selain tanpa adanya kehadiran saksi-saksi dikalangan manusia. Maka kebanyakan para pengamal ajaran sesat yang mengharuskan amalan nikah batin ini telah menjadikan ayat ini sebagai dalil dan hujah yang menyokong kepada kepercayaan karut dan batil ini. Sedangkan kita diteliti dengan betul, ayat ini hanyalah bertujuan khusus kepada baginda Nabi Muhammad SAW sahaja dan bukannya arahan atau suruhan bersifat umum kepada umat Islam yang lain. Hal ini tidak lebih seperti syariat poligami yang khusus kepada baginda Nabi yang mana baginda Nabi boleh berkahwin melebihi empat orang dalam satu-satu masa dan syariat poligami bagi umat baginda tidak boleh berkahwin lebih daripada empat dalam satu-satu masa. Selain al-Quran, turut direkodkan kisah perkahwinan ini di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, ketika iddah Zainab telah tamat, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Pergi meminang Zainab untuk saya." Anas berkata kemudian Zaid pergi menemuinya, dia mendapati Zainab sedang membuat doh. Zaid berkata, "Apabila aku melihatnya, hatiku berdebar-debar, sehingga aku tidak tahan untuk melihatnya untuk menyampaikan risalah Rasulullah SAW kepadanya. Oleh itu, aku membelakanginya sambil melangkah ke belakang dan berkata kepadanya, "Wahai Zainab, aku diutus oleh Rasulullah SAW untuk meminangmu kepadanya, bagaimana tanggapanmu?" Dia menjawab, "Aku tidak dapat membuat keputusan sehingga aku mendapat petunjuk dari al-Quran, kemudian aku mendapat petunjuk dari Rabbku." turun kepadanya, lalu Rasulullah SAW segera memasuki rumah Zainab tanpa meminta izin terlebih dahulu".

Ternyata kisah perkahwinan baginda Nabi Muhammad SAW dan Zainab adalah berupa wahyu khusus Allah untuk baginda Nabi SAW. Ini sebagaiamana yang turut dijelaskan juga oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Munir, beliau menyebutkan bahawa pernikahan dengan lafaz akad yang khusus merupakan pengkhususan bagi Nabi Muhammad SAW dan tidak berlaku bagi umat Islam yang lainnya. Demikian ulasan oleh Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili. Maka mereka yang berhujah dengan ayat tersebut amatlah dangkal sekali pemahaman mereka mengenai al-Quran. Sesungguhnya apa yang dikhususkan kepada baginda Nabi tidaklah terpakai kepada kita sebagai umat baginda. Oleh yang demikian, jelaslah bahawa amalan nikah batin yang cuba dihalalkan oleh mereka yang mengamalkannya bersandarkan kisah perkahwinan baginda Nabi dan Zainab binti Jahsyi adalah sesuatu yang tidak sahih, batil malah bercanggah dengan apa yang dituntut oleh syariat Islam. Wajib kita menjauhi dari golongan seperti ini yang bukan sahaja beramal dengan amalan yang sesat tetapi juga tersesat dan tertipu dengan nafsu serakah diri mereka sendiri. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan