Sebagaimana umum mengetahui, Islam adalah agama yang mengajar
manusia serta menekankan tentang soal displin dalam kehidupan. Oleh kerana itu,
kita akan melihat antara displin yang diterapkan kepada umat Islam melalui
syariat Allah SWT ialah syariat solat fardhu lima waktu sehari semalam. Adalah
menjadi tanggungjawab dan tuntutan wajib kepada orang Islam untuk menunaikan
solat fardhu walau dalam keadaan apa sekalipun. Selain itu, Islam juga mengajar
manusia untuk menunaikan hak kepada Allah dalam keadaan yang termampu. Maka
kita akan lihat di dalam Islam, diajar tentang cara solat ketika sakit antara
cara lain seperti solat dengan cara duduk diatas kerusi, solat dengan cara
berbaring mengiring dan solat dengan cara baring melintang. Begitu juga kepada
mereka yang perlu mengharungi perjalanan jauh untuk sampai ke sesuatu
destinasi, Allah Azza Wa Jalla tetap mewajibkan solat tetapi dengan cara lain
yang disebut dengan istilah solat jamak dan qasar.
Perkataan "Jamak dan Qasar" terhasil
daripada gabungan dua perkataan berbeza yang berasal dari ungkapan bahasa Arab.
Pertamanya, perkataan "Jamak" membawa makna himpun. Manakala
perkataan "Qasar" pula yang juga berasal dari perkataan bahasa
Arab membawa maksud pendek. Dalam pensyariatan Islam, Jamak dan Qasar berkait
dengan syariat solat fardhu 5 lima waktu. Secara ringkas, Jamak bermaksud
menghimpun dua waktu solat dan dilakukannya pada satu waktu. Misalnya,
dihimpunkan solat zohor dan solat asar pada satu masa dan dilakukannya
kedua-dua solat tersebut secara bersama dalam masa yang sama namun hal tersebut
boleh dilakukan dalam keadaan yang bersyarat. Manakala Qasar pula merujuk
kepada maksud memendekkan rakaat solat fardhu yang empat menjadi dua rakaat
sahaja. Misalnya, pada asalnya solat zohor mempunyai empat rakaat. Namun
apabila diringkaskan (diqasarkan) ianya boleh dilakukan sebanyak dua rakaat sahaja
tetapi dengan bersyarat.
Sesungguhnya syariat Jamak dan Qasar merupakan suatu keringanan dan
kemudahan bagi mereka yang berada di dalam keadaan yang sukar untuk
melaksanakan ibadah solat secara sempurna. Dalam hal ini, diceritakan dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, bahawa :
"Sesungguhnya apabila Nabi SAW bermusafir sebelum gelincir
matahari, beliau akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu
Asar, kemudian beliau singgah disuatu tempat dan bersolat jamak kedua-dua
solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat
Zohor dan kemudian berangkat."
Begitu juga di dalam al-Quran, Allah Azza Wa Jalla menjelaskan
berkenaan syariat solat qasar yakni keringanan memendekkan rakaat dari empat
menjadi dua rakaat, menerusi firman Nya di dalam surah al-Nisa' ayat 101 yang
bermaksud :
"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah
berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut
diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah
musuh yang amat nyata bagi kamu".
Sebelum kita melihat persoalan ini dengan lebih jauh, harus
terlebih dahulu kita fahami bahawa solat qasar hanya dibenarkan ketika berada
di dalam permusafiran sahaja. Sebaliknya solat jamak lebih luas pelaksanaannya
seperti boleh dihimpun dua solat ketika hujan lebat, sakit dan dalam keadaan
musafir. Menyentuh soal jarak yang dibenarkan untuk dilaksanakan solat jamak
dan qasar, dikalangan para ulama berlaku perbezaan tentang ukuran jarak
sebenar. Ini kerana, di dalam hadith Nabi SAW, diceritakan oleh pembantu Nabi
iaitu Anas bin Malik RA, disebut bahawa baginda Nabi Muhammad SAW akan
melakukan solat jamak qasar apabila baginda keluar menempuh jarak sejauh 3 mil
atau tiga farsakh. Hadith tersebut riwayat oleh Muslim, daripada Anas bin Malik
RA, beliau berkata yang bermaksud :
"Adalah Rasulullah SAW apabila keluar menempuh jarak tiga mil
atau tiga farsakh (Syu’bah salah seorang perawi ragu-ragu), beliau solat dua
rakaat."
Berdasarkan hadith ini, dijelaskan bahawa baginda Nabi SAW telah
melakukan solat qasar setelah baginda keluar sejauh jarak tiga mil. Dikalangan
para ulama berbeza pandangan dalam menentukan berapa jauh jarak. Ini kerana
pada zaman dahulu tidak ada alat sukatan yang boleh mengukur jarak kilometer
melainkan hanya membuat andaian anggaran. Maka tidak peliklah jika kita temui
ada pandangan yang menyebut jarak dekat pun dibolehkan jamak dan qasar kerana
tidak ada apa-apa alat untuk menyukat ketepatan jarak. Dalam persoalan ini,
sebahagian para ulama ada yang menyebut solat qasar boleh dilakukan apabila
dirinya berada dalam keadaan musafir secara urufnya meski tidak diketahui
secara tepat berapa jaraknya. Sebahagian para ulama lain pula yang juga
dianggap sebagai pandangan majoriti, mereka menyebut dengan menetapkan jarak
sekurang-kurangnya 2 marhalah iaitu dianggarkan lebih kurang 80 kilometer.
Maka, sekiranya jarak perjalanan yang dibuat itu telah mencapai 80 kilometer,
dibolehkan bagi dirinya melakukan solat jamak dan qasar.
Berkait pula dengan tempoh yang dibenarkan untuk melakukan solat
jamak dan qasar, para ulama juga berbeza pandangan mengenainya. Pandangan bagi
mazhab Hanafi, had tempoh yang dibenarkan untuk solat jamak dan qasar ialah
selama 15 hari. Hujah mereka dalam hal ini ialah tidak ada hadith yang sahih
yang secara jelas menyatakan had qasar melebihi empat hari. Begitu juga mereka
menyatakan tiada dalil yang melarang atau menegah melakukan solat jamak dan
qasar selama 15 hari selain mereka juga berpandangan bahawa selagi tidak
melebihi dua minggu, maka seseorang itu boleh dianggap sebagai musafir.
Dikalangan ulama dalam mazhab Hanafi juga berhujah dengan menqiyaskan amalan
para sahabat yang menyebut bahawa Ibnu Umar dan Ibn Abbas RA melakukan solat
qasar selama dua minggu dalam satu permusafiran. Bagi mazhab Maliki dan Syafi'i
pula, had tempoh bagi melakukan solat jamak dan qasar ialah selama 4 hari tidak
termasuk hari pergi dan balik. Antara dalil dan hujah bagi pandangan ini ialah
berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik
RA yang bermaksud :
"Kami bersama Nabi SAW dalam satu perjalanan, beliau solat dua
rakaat (qasar) selama empat hari di Mekah."
Berdasarkan hadith ini, mereka berpandangan bahawa Nabi SAW
melakukan solat qasar selama empat hari semasa berada di Mekah ketika pembukaan
kota tersebut. Ulama dikalangan mazhab Syafi'i dan Maliki juga menggunakan
kaedah fiqh "al-'Azm 'ala al-Iqamah Yuzilu Hukm as-Safar" yang
bermaksud niat untuk menetap menghilangkan hukum musafir. Selain itu,
direkodkan juga kata-kata oleh Imam Malik dalam kitabnya al-Muwatta',
katanya apabila seseorang berniat untuk tinggal di satu tempat selama empat
hari atau lebih, maka dia hendaklah menunaikan solat secara sempurna yakni
tidak melakukan solat qasar. Dalam pada itu, di dalam mazhab Hanbali pula,
mereka berpandangan had tempoh yang diharuskan untuk solat jamak dan qasar
ialah selama empat hari. Mereka juga berhujah dengan menggunakan dalil yang
sama yang dibawa oleh mazhab Maliki dan Syafi'i. Dalam perkara ini juga, Imam
Ahmad bin Hanbal menjelaskan bahawa jika seseorang bermusafir dan berniat
tinggal selama lebih 4 hari maka hukumnya wajib baginya solat secara sempurna.
Demikianlah serba sedikit penjelasan yang boleh kita nyatakan
berkaitan persoalan jarak dan tempoh yang diharuskan untuk melakukan solat
jamak dan qasar. Sesungguhnya keringanan (rukhsah) yang dikurniakan oleh Allah
SWT ini membuktikan bahawa syariat datang dengan tidaklah bertujuan untuk
membebankan umat manusia namun padanya terdapat nilai ihsan Allah terhadap para
hamba Nya. Ibadah solat bukan semata-mata ibadah berbentuk rutin harian tetapi
ianya adalah talian penghubung kasih antara Tuhan dan hamba Nya. Solat
merupakan ibadah terpenting yang juga menjadi kayu ukur kepada amalan lain. Ini
bermakna sekiranya amalan solat sempurna maka amalan-amalan lain juga tentunya
lebih mudah untuk diterima dan di hisab oleh Allah Jalla Wa 'Alla. Oleh kerana
itu, solat amalan yang begitu penting dan memiliki kedudukan yang istimewa di
sisi Islam. Betapa malangnya bagi mereka yang cuai dalam melaksanakan ibadah
solat. Semoga Allah Azza Wa Jalla mengampuni dan merahmati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan