Rabu, 13 Mei 2026

AIR MANI DAN KEDUDUKANNYA DALAM ISLAM

 

Salah satu bukti dan tanda kekuasaan serta kebijaksanaan Allah Azza Wa Jalla adalah dengan melihat kepada keunikan kejadian dan penciptaan diri manusia. Sebagaimana yang diperakui oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Tin, Allah SWT mengiktiraf kejadian diri manusia itu adalah sebaik-baik kejadian yang dijadikan oleh Allah SWT. Ini secara tidak langsung menerangkan kepada kita akan kemuliaan dan kedudukan manusia sebagai makhkul yang bermaruah serta memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Proses kejadian manusia yang menelan masa selama sembilan bulan, menyaksikan kepada kita bagaimana keunikan penciptaan tersebut yang hanya bermula dengan persenyawaan sperma dan ovum dan berakhir pembentukan janin yang sempurna. Segalanya adalah bermula dengan kekuasaan dan kehebatan kuasa Allah SWT.

Air mani merujuk kepada sesuatu cecair yang dikeluarkan dari zakar lelaki semasa mencapai klimaks seksual. Air mani berupa cecair pekat berwarna putih dan ianya mengandungi sperma, iaitu sel yang boleh menyuburkan telur wanita dan menyebabkan kehamilan. Dalam proses kejadian manusia, Allah Azza Wa Jalla menceritakan bagaimana kejadian penciptaan manusia itu bermula dengan persenyewaan air mani dan ovum. Hal ini dapat difahami sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Tariq ayat 6-7, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dia diciptakan daripada air yang memancut ke dalam rahim. (6) Air yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan.”




Menerusi ayat ini, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Munir, beliau menyebut bahawa bukti kekuasaan Allah SWT amat jelas, di mana manusia dicipta daripada air yang terpancut dan terpancar ke dalam rahim, iaitu yang terdiri daripada air mani lelaki dan perempuan, kemudian berlaku persenyawaan antara keduanya. Kedua air tersebut ialah air yang keluar daripada tulang belakang lelaki melalui saluran saraf tertentu yang berhubungan dengan otak dan air yang keluar daripada antara tulang dada wanita (al-Tara’ib). Oleh itu, seorang bayi terbentuk daripada percampuran dua jenis air ini, yang seterusnya bertempat di dalam rahim dan akhirnya membentuk janin dengan kehendak Allah SWT. Demikian penafsiran oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili berhubung ayat tersebut. Secara jelas, air mani merupakan sebahagian daripada penciptaan makhluk yang bergelar manusia. Hukumnya wajib mandi apabila terkeluar air mani. Sebelum kita melihat dengan lebih jauh, harus dinyatakan bahawa air mani adalah merupakan suatu cecair yang terdapat kepada lelaki dan perempuan.

Ini bermakna sama ada kaum lelaki dan mahupun kaum wanita, kedua-duanya memiliki air mani dan perlu tahu akan hukum berkaitannya. Timbul persoalan, apakah air mani ini najis ? Bagi menjawab persoalan ini, secara umum dikalangan para ulama telah berbeza pandangan di dalam berbicara soal hukum air mani ini. Imam al-Nawawi, tokoh ulama besar dalam mazhab Imam al-Syafie telah menjelaskan perkara ini sepertimana yang telah tercatat dalam kitab Majmu' Syarh al-Muhazzab. Menurut beliau, air mani adalah suci menurut pandangan oleh ulama mazhab Syafie. Pandangan ini juga dilihat tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafie dalam kitab-kitabnya. Selain pandangan ini juga dipegang oleh majoriti (jumhur) ulama dalam kalangan mazhab al-Syafie. Sementara itu, pandangan tersebut juga dipegang oleh mereka yang lain seperti Sa'id Musayyid, Ishaq bin Rawaih, Abu Thaur dan Ibnu al-Munzir. Maka dengan itu, bagi mazhab Syafie dan juga yang selain dengannya berpegang bahawa air mani tidaklah qunut.

Dalam satu pandangan lain, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Thauri, al-Auza'i, Malik dan Abu Hanifah dan juga yang lain-lain, mereka berpandangan bahawa air mani baik lelaki dan perempuan dianggap sebagai najis. Dalam pada itu, Imam Abu Hanifah menyebut bahawa air mani yang sudah kering boleh dibersihkan dengan cara menggosoknya manakala al-Auza'i dan Malik mewajibkan untuk membasuhnya tanpa mengira sama ada air tadi sudah kering atau tidak. Bagi golongan yang mendakwa bahawa air mani itu najis, mereka berhujah dengan membawa satu hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha bahwa yang bermaksud :

“Rasulullah SAW membasuh air mani (yang terkena pada pakaian).”




Begitu juga dalam sebuah hadith lain riwayat Bukhari, daripada Sulaiman bin Yasar bahawa beliau pernah bertanya kepada Aisyah RAnha berkenaan air mani yang terkena pada pakaian. Lalu Aisyah RAnha menjawab :

“Aku pernah membasuhnya yakni kesan air mani daripada pakaian Rasulullah SAW, lalu Baginda keluar menunaikan solat, sedangkan kesan basuhan tersebut masih ada pada pakaiannya tompokan-tompokan air.”

Bagi mereka yang beranggapan bahawa air mani itu suci dan tidak najis, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa jika air mani itu dianggap sebagai najis maka tidak cukup membersihkannya dengan cara menggosok sepertimana darah, air mazi dan selainnya yang perlu dibasuh dengan air. Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, menjelaskan bahawa pendapat yang paling kuat ialah pendapat yang menyatakan kesuciannya, sehingga tidak memestikan daripadanya yakni pendapat yang menyatakan kenajisannya merupakan asal usul manusia dan memudahkan ke atas umat manusia. Namun begitu, meskipun air mani dianggap sebagai suci dan tidak najis, kita tetap digalakkan untuk membersihkan badan dan pakaian kita yang terkena air mani. Hal ini juga menurut beberapa hadith baginda Nabi SAW yang menjelaskan perbuatan isteri baginda Nabi, Aisyah RAnha yang telah membasuh air mani pada pakaian Rasulullah SAW.




Selain itu, terkait juga dengan soal air mani, tentang hukum sah atau tidak solat jika pakaian terdapat air mani. Menjawab persoalan ini, pertama harus kita fahami bahawa asalnya kita digalakkan membersihkan pakaian yang terkena air mani sebelum digunakan untuk melaksanakan ibadah solat. Kedua, tidak mengapa dan tetap sah solat jika terkena atau terdapat air mani di pakaian. Ini kerana menjadi pegangan majoriti ulama menyebutkan bahawa air mani itu adalah suci dan tidak dianggap najis, pun begitu kita juga digalakkan untuk membersihkan diri sebelum solat termasuk dengan membasuh kesan air mani yang terdapat pada pakaian. Pada sisi lain, bagi mereka yang mendakwa air mani itu najis, maka pakaian yang terkena air mani adalah tidak sah solatnya diatas alasan najis tersebut. Maka secara ringkas, menurut pandangan majoriti para ulama, pakaian yang terkena air mani ketika solat, ibadah solatnya dihukum sah. Tidak wajib membasuh atau mengikisnya dari pakaian melainkan hanya tuntutan digalakkan sahaja dan bukanlah wajib hukumnya.

Dalam pada itu, barangkali kita juga turut tertanya-tanya, mengapakah air mani yang tempat keluarnya sama seperti tempat keluarnya air mazi yang dianggap najis tetapi air mani tidak dianggap najis. Menjawab persoalan ini, kita harus jelas atas beberapa perkara. Pertama, air mani dianggap suci adalah kerana ianya merupakan bahan dasar penciptaan manusia yang mana manusia itu sendiri adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah Azza Wa Jalla. Kedua, air mani tidak dianggap najis malah dianggap sebagai sunat kerana terdapat riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah SAW mencuci pakaian yang terkena mani dan adakalanya baginda Nabi hanya menggosok dan bukan membasuh. Ini bermakna air mani tidaklah najis kerana baginda tidak berterusan membasuh dan adakalanya baginda sekadar mengikis sahaja. Oleh yang demikian, dapatlah kita memahami bahawa air mani tidak dianggap najis kerana ianya tanda kemuliaan penciptaan umat manusia selain baginda Nabi tidak menekankan akan hukum wajib membasuh pakaian jika terkena pakaian. Demikianlah secara ringkas mengenai air mani dan kedudukannya menurut Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan