Rabu, 6 Mei 2026

SIFAT KHAUF : TAKUT KEPADA ALLAH

 

Ketakutan akan sesuatu adalah merupakan tabiat semula jadi yang ada di dalam diri manusia. Menurut kajian dan pemahaman psikologi, takut adalah emosi dasar yang penting untuk kelangsungan hidup manusia dan ianya bertindak sebagai respon terhadap ancaman atau bahaya. Secara tidak langsung, perasaan takut merupakan kesan tindak balas fizikal dan emosi yang membantu manusia mengenali bahaya. Pakar psikologi menyebut kewujudan perasaan takut dalam diri seseorang sebenarnya membuktikan fungsi otak adalah normal dan tidak mengalami kerosakan yang serius. Daripada kenyataan ini, dapat kita rumuskan bahawa perasaan takut sememangnya ada di dalam diri tiap-tiap manusia dan hal itu menunjukkan bahawa kita adalah manusia yang normal. Perasaan takut tidak boleh dibuang tetapi sebaliknya perlu diuruskan dengan baik. Selari dengan tabiat manusia, Islam mengajar umatnya untuk mempunyai perasaan takut kepada Allah.

Perasaan takut kepada Allah atau disebut dengan istilah al-Khauf (الخوف ) merupakan sebahagian daripada sifat-sifat yang terpuji. Perkataan al-Khauf berasal dari bahasa Arab. Ungkapan Khauf adalah terbitan daripada perkataan khafa, yakhafu atau khaufan yang merujuk kepada maksud takut. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan takut membawa maksud gentar, berasa bimbang dan tidak berani. Selain itu, menurut Imam al-Ghazali, al-khauf adalah suatu getaran dalam jantung hati manusia ketika ada perasaan akan menemui hal-hal yang tidak disukainya. Dalam kitab Penawar Bagi Hati karangan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Mandili, beliau menyatakan bahawa perasaan al-khauf itu adalah perasaan cemas, gementar dan menyebabkan jantung hati berasa pedih dan sakit disebabkan kebencian terhadap perkara yang akan terjadi. Maka dapat kita ringkaskan makna al-khauf ini merangkumi perasaan yang mendatangkan kebimbangan, cemas, tidak selesa dan sentiasa rasa senang apabila hal itu terjadi padanya.




Di dalam al-Quran, Allah SWT menggunakan perkataan al-khasyah (الخشية) yang juga membawa makna yang sama iaitulah ketakutan. Namun begitu, dikalangan para ilmuan Islam menyebut perkataan al-khasyah ialah takut yang di dasari ilmu, pengetahuan dan pemahaman kita manakala al-khauf pula ialah perasaan takut semata-mata tanpa di dasari dengan ilmu. Allah Azza Wa Jalla memerintahkan pada umat manusia untuk berasa takut akan pada-Nya dan melarang untuk berasa takut pada yang selain Nya. Ini sebagaimana di dalam firman Nya menerusi surah Ali-Imran ayat 175 yang bermaksud :

“Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman.”

Berdasarkan ayat ini jelaslah bahawa menjadi tanggungjawab manusia sebagai hamba Nya untuk berasa takut kepada Nya dan tidak perlu berasa takut kepada selain Nya. Ini juga bermakna disebalik kehidupan di dunia ini, tiada apa yang lebih menakutkan kecuali takut kepada Allah Azza Wa Jalla. Untuk melahirkan rasa takut kepada Allah SWT, kita perlulah belajar mengenali akan Allah Jalla Wa 'Ala. Kata Imam Ibnu al-Qayyim dalam kitabnya Thariq al-Hijrataini, beliau menyebut seorang hamba semakin tahu tentang Allah SWT maka semakin mendalam rasa takut kepada Allah. Berkata Ibnu Mas'ud RA, rasa takut kepada Allah itu menjadi bukti bahawa seorang itu berilmu. Dikalangan hamba Allah SWT, golongan yang paling takut kepada Nya ialah golongan orang yang berilmu atau disebut dengan istilah ulama. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Fathir ayat 28, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"...Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun"




Menurut al-Maraghi dalam kitab tafsirnya Tafsir al-Maraghi, orang yang berilmu takut kepada Allah kerana mereka mengetahui Allah dan yakin akan adanya hukuman yang ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang derhaka dan ingkar kepada Allah SWT. Atas dasar itu, mereka berasa takut kepada Allah dan ngeri dengan hukuman serta seksaannya. Demikian kata al-Maraghi. Perasaan takut kepada Allah ini juga diakui oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa baginda lah yang paling mengenal Allah dan takut pada Nya. Ini sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Demi Allah aku adalah orang yang paling kenal Allah S.W.T dan yang paling berilmu mengenai Allah S.W.T dari mereka semuanya, dan aku orang yang paling takut kepada Allah SWT"

Hakikatnya perasaan al-Khauf atau takut ini dapat di bahagikan kepada dua perkara. Pertama, rasa takut kepada Allah SWT sebagaimana yang dituntut oleh syarak. Perasaan takut kepada Allah atau juga boleh disebutkan sebagai khauf al-'Ibadah, iaitu perasaan takut yang disertai dengan kecintaan, penghormatan, ketundukan dan rasa khusyuk. Perasaan inilah yang mendorong manusia untuk taat kepada Allah SWT dengan cara mentaati akan segala suruhan Nya dan meninggalkan segala larangan Nya. Dalam sebuah hadith berstatus hasan gharib riwayat al-Tirmizi dan an-Nasa'i, daripada Abdullah bin Umar RAnhuma yang bermaksud :

“Sangat jarang Rasulullah SAW bangkit dari majlis untuk mendoakan doa ini untuk orang yang duduk bersamanya : 'Ya Allah, berilah kami rasa takut kepada Mu yang boleh menjadi penghalang antara kami dan kemaksiatan kepada-Mu, dan (berikanlah kepada kami) ketaatan kepada Mu yang dapat membawa kami ke syurga Mu, dan (berikanlah kepada kami) keyakinan yang akan memudahkan kami dalam menghadapi musibah dunia".

Perasaan takut ini hanya akan dirasai oleh golongan orang yang beriman sahaja. Dengan perasaan takut ini, dirinya akan berasa tidak ingin untuk melakukan perkara maksiat dan mungkar kerana takut akan hukuman dan balasan dahsyat daripada Allah. Begitu juga dengan perasaan takut ini, dirinya akan berasa rajin, mudah dan ringan untuk melakukan perkara ketaatan kepada Allah kerana takut akan seksaan jika tidak melakukan perkara ketaatan tersebut. Selain itu, perasaan takut kepada Allah pula dibahagikan kepada dua bentuk iaitu yang pertama, takut kepada Allah yang sehingga menghasilkan amalan soleh. Perkara ini merupakan sifat takut yang terpuji. Kerana takut kepada Allah, maka dirinya berusaha berbuat kebaikan agar tidak dimurkai dan dibenci oleh Allah Azza Wa Jalla. Manakala yang kedua, takut kepada Allah SWT sehingga berputus asa dari rahmat Nya. Sifat takut yang ini adalah yang tercela. Apabila berasa takut yang berlebihan, sehingga timbul perasaan ragu-ragu akan keampunan daripada Allah SWT. Dirinya akan berasa tiada guna lagi jika bertaubat kerana takut Allah tidak akan mengampunkannya. Takut yang seperti ini adalah yang tercela dan sesungguhnya Allah melarang para hamba Nya dari bersikap berputus asa dengan rahmat Nya.




Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud :

“Wahai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

Perasaan takut yang kedua pula ialah takut selain daripada Allah SWT. Takut pada bahaguan kedua ini pula dapat difahami pada dua sudut berbeza. Sudut yang pertama, perasaan takut yang semula jadi yang sememangnya ada pada diri manusia. Sifat takut ini juga disebut sebagai al-khauf ath-thabi'i iaitu tabiat takut semula jadi. Sebagai contoh tabiat perasaan takut ini seperti takut akan serangan binatang berbisa, takut kepada pemerintah yang zalim, takut kepada musuh di medan perang dan sebagainya. Perasaan takut seperti ini bukanlah sebahagian dari ibadah dan hal tersebut tidaklah sehingga mengurangkan tahap keimanan kepada Allah. Namun begitu, umat manusia sepatutnya tidaklah berlebihan takut dalam hal terbabit. Perasaan takut sebegini juga pernah dirasai oleh para Rasul dan Nabi terdahulu. Ini seperti takutnya Nabi Musa AS kepada Firaun. Ini sebagaimana firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah Taha ayat 45 yang bermaksud :

"Mereka berdua berkata: "Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan melampau batas".

Sudut yang kedua adalah takut yang menyebabkan seseorang meninggalkan kewajiban atau takut yang menyebabkan dirinya melakukan sesuatu yang haram. Misalnya mencari rezeki dengan cara yang haram seperti berjudi, mencuri dan merompak kerana takut tidak mempunyai wang untuk membeli makanan atau tidak melaksanakan solat fardhu kerana takut dibuang kerja. Ketakutan yang seperti ini adalah dilarang dan ditegah oleh Allah SWT. Demikianlah secara ringkas penjelasan mengenai sifat takut kepada Allah. Keutamaan pada umat manusia ialah menanam sifat takut kepada Allah SWT sekaligus mendorong manusia untuk berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan berusaha sehabis baik untuk meninggalkan kejahatan. Dalam kitab Tarikh Baghdad, diceritakan mengenai kisah Imam Abu Hanifah yang sangat takut kepada Allah. Suatu hari beliau mendirikan solat isyak di masjid sebagai makmum. Imam Abu Hanifah pada malam tersebut membaca surah al-Zalzalah. Seusai mendirikan solat, beliau dilihat duduk bersendirian di dalam masjid, berfikir, serta menarik nafas, mengenangkan ayat terakhir daripada surah tersebut. Hal ini berterusan sehinggalah masuknya waktu subuh.

Kemudian Abu Hanifah berkata : “Wahai Allah yang membalas sebesar zarah kebaikan dengan kebaikan, wahai Allah yang membalas sebesar zarah kejahatan dengan kejahatan, peliharalah hamba Mu al-Nu‘man daripada api neraka dan segala kejahatan yang mendekatkan dirinya kepadanya. Serta Engkau masukkanlah dia ke dalam keluasan rahmat-Mu". Setelah itu, beliau pun mendirikan solat sunat fajar sebanyak dua rakaat, beliau duduk sehingga iqamah dikumandangkan, seterusnya mendirikan solat subuh secara berjemaah dengan wuduk isyak. Demikianlah hebatnya Imam Abu Hanifah yang sangat takut kepada Allah. Sesungguhnya sifat takut itu adalah lumrah dan tabiat pada diri manusia. Namun begitu, keutamaan pada kita semua adalah dengan menghadirkan rasa gerun, takut dan bimbang kepada Allah Azza Wa Jalla dan tidaklah meletakkan sifat ketakutan yang paling tinggi melainkan hanya takut kepada Nya. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan