Rabu, 18 Jun 2025

KESESATAN AMALAN TANGKAL DAN AZIMAT

 

Sudah menjadi tabiat dan aturan kehidupan ini, untuk mendapatkan sesuatu perkara mestilah dimulai dengan berusaha bersungguh-sungguh. Meskipun kita tidak menafikan kekuasaan Allah SWT yang berkuasa boleh memberi kepada sesiapa sahaja walau tidak didahului dengan usaha. Pun begitu, kita sebagai hamba Nya sentiasa disuruh untuk berusaha terlebih dahulu dan kemudiannya diikuti dengan doa dan tawakkal kepada Nya. Usaha atau antara lain disebut sebagai ikhtiar seringkali menjadi hujah bagi menghalalkan perbuatan syirik seperti berusaha berjumpa bomoh dan pawang. Tidak kurang juga ada yang menjadikan alasan berusaha sebagai menutup kesyirikan mereka dengan menggunakan azimat dan tangkal.

Perkataan "Tangkal" dan "Azimat" merupakan dua istilah yang tidak asing lagi bagi masyarakat di nusantara. Pada sudut bahasa, menurut Kamus Dewan, ungkapan tangkal bermaksud sesuatu yang digunakan untuk menolak bala (penyakit, hantu, jin, dan lain-lain). Tangkal umumnya merujuk kepada benda-benda seperti batu, kain, atau logam yang diberi mantra atau doa dengan harapan dapat memberikan perlindungan atau keberuntungan. Perkataan azimat pula ialah bahan yang terdiri daripada tulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratan kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian ter­tentu tubuh (seperti di pinggang) yang dianggap mem­punyai sakti dan boleh mengelakkan penya­kit, bencana dan sebagainya.




Pada sudut syarak, tangkal dan azimat disebut di dalam bahasa Arab sebagai "Tamimah" (تميمة). Menurut ar-Razi dalam kitabnya, Mukhtar as-Sihah, Tamimah bermaksud pelindung yang digantungkan kepada seseorang manusia. Selain itu, al-Khattabi dalam kitabnya, Ma'alim al-Sunan, beliau menjelaskan bahawa tamimah merujuk kepada maksud benang-benang yang golongan Arab terdahulu menggantungkannya kepada anak-anak mereka dengan tujuan untuk mengelakkan penyakit ‘ain menurut sangkaan mereka. Dalam kitab al-Tamhid, Ibn Abd al-Bar menyebut tamimah bermaksud setiap benda yang digantung di bahagian leher daripada rantai kerana takutkan penyakit ‘ain atau bala-bala selainnya. Maka berdasarkan penjelasan berikut, dapat kita simpulkan bahawa amalan tangkal dan azimat sebagai suatu bentuk kepercayaan yang bergantung kepada sesuatu perkara seperti ikatan tali, benang, kepingan ayat-ayat jampi dan seumpamanya.

Islam amat melarang keras umatnya daripada mempercayai dan bergantung harap selain daripada Allah SWT. Ini termasuklah larangan untuk menyembah dan memohon selain daripada Allah SWT. Sesungguhnya amalan tangkal dan azimat merupakan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Diatas apa jua alasan sekalipun, kita dilarang untuk bergantung harap dan memohon pertolongan selain daripada Allah. Dalam al-Quran, Allah SWT dengan penuh ketegasan menjelaskan bahawa Allah tidak sesekali mengizinkan hamba Nya menyembah dan memohon kepada selain Nya. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam surah asy-Syura ayat 21, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?”

Melalui firman tersebut, jelas bahawa Allah SWT tidak mengizinkan para hamba Nya memohon dan meminta selain daripada Nya. Amalan tangkal dan azimat secara terang lagi bersuluh telah menjadikan manusia bergantung harap kepada apa yang diamalkannya. Perkara demikian menjurus manusia kepada perbuatan yang terkutuk lagi hina, iaitu syirik kepada Allah. Dalam hadith Nabi SAW riwayat Abu Daud dan Ahmad, daripada Ibnu Mas'ud RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik.”

Dalam hadith lain riwayat Tirmizi, daripada Isa bin Abd al-Rahman bin Abi Laila beliau berkata yang bermaksud :

"Aku pergi menziarahi Abu Ma’bad Al-Juhani dan aku mendapati badannya kemerah-merahan. Lalu aku berkata kepadanya : Tidakkah kamu menggantungkan sesuatu ? Maka beliau menjawab : Mati itu jauh lebih baik dari perbuatan tersebut. Nabi SAW bersabda : Sesiapa yang menggantung sesuatu nescaya dia akan diserahkan kepadanya (benda yang digantung)."




Mulla Ali al-Qari di dalam kitabnya, Mirqaat al-Mafatih, beliau menukilkan perkataan oleh Ibn al-Athir yang menyebut bahawa sesiapa yang menggantungkan sesuatu ke atas dirinya daripada pelindung-pelindung, tamimah, dan yang seumpama dengan keduanya dengan beriktikad bahawa kesemua itu mendatangkan manfaat atau menghalang kemudaratan nescaya dia akan diserahkan kepadanya. Iaitu dia akan dibiarkan bersama benda yang dijadikan pelindung itu dan akan ditinggalkan bersamanya. Demikian ulasan oleh para sarjana Islam. Sesungguhnya setiap amalan yang membawa kepada tangkal dan azimat adalah perbuatan syirik yang jelas lagi terang bersuluh. Meskipun kadang ianya berselindung dengan menggunakan perkataan bahasa Arab dan sebahagiannya kadang meletakkan potongan ayat al-Quran, perbuatan tersebut kekal menjadi haram dan syirik kepada Allah.

Amalan tangkal dan azimat yang menggunakan kalimah arab dan potongan ayat-ayat al-Quran yang dikenali sebagai Wafaq, merupakan antara amalan tangkal dan azimat yang dilarang oleh Islam. Wafaq boleh difahami sebagai sekumpulan huruf atau potongan kalimat yang membentuk suatu gambar tertentu yang mempunyai kuasa ghaib dan ianya menjadi sebagai penyembuh penyakit, perlindungan dan keselamatan, pelaris perniagaan dan pengasih. Bentuk dan jenis hurufnya pula bermacam-macam. Terdapat sebahagiannya yang dapat dibaca dan ada yang hanya berupa huruf dan simbol-simbol tertentu yang hanya diketahui oleh si pembuatnya sahaja. Ada yang mempunyai gambaran tertentu selain berbentuk seperti bulatan, kotak, segitiga, bentuk binatang dan sebagainya. Selain kaedah Wafaq, perkara yang sering menjadi tangkal dan azimat juga ialah seperti ikatan benang hitam yang sering digunakan kepada bayi yang baru lahir.

Menjadi amalan dan tradisi masyarakat terdahulu, memakai benang hitam sama ada di kaki, di tangan mahupun di pinggang bayi yang baru lahir. Amalan memakai benang ini dipercayai untuk menjaga dan melindungi bayi daripada gangguan makhluk halus, penyakit ain dan seumpamanya. Perbuatan ini jelas bertentangan dengan akidah Islam. Dalam Islam, sebarang kebaikan dan keburukan datangnya dari Allah SWT. Sekiranya Allah mahu memberikan kebaikan kepada seseorang, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya begitu juga sebaliknya sekiranya Allah mahu memberikan mudarat kepada seseorang, maka tiada siapa yang dapat menepisnya. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Yunus ayat 107 yang bermaksud :

“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”




Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-'Azhim, beliau menyebut bahawa kebaikan, keburukan, manfaat dan bahaya hanyalah milik Allah SWT sahaja. Tidak ada sesuatu pun menyekutui Nya dalam hal yang demikian. Maka hanya Allah sahajalah yang berhak diibadahi. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikian ulasan oleh Ibn Kathir menjelaskan lagi betapa perbuatan tersebut adalah bersalahan dengan akidah Islam. Selain itu, antara lain yang sering dijadikan sebagai tangkal dan azimat ialah seperti menjampi barang perhiasan seperti batu, cincin dan rantai. Begitu juga ada yang menjampi dengan menggunakan keris untuk dijadikan sebagai tangkal dan azimat. Ketahuilah bahwa kesemua perbuatan dan amalan berupa tangkal dan azimat adalah haram dan pelakunya berdosa besar. Malah menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitab Madarij as-Salikin, beliau menyebut orang yang paling jauh dari pertolongan Allah adalah orang yang bergantung kepada selain Allah.

Telah berkata Ibrahim an-Nakha'i, seorang tokoh terkenal dari kalangan tabi'in, seperti yang dinukilkan di dalam kitab Mushannaf Ibn Abi Syaibah, beliau menyatakan bahawa para sahabat Nabi membenci kesemua jenis tangkal sama ada diperbuat dari ayat-ayat al-Quran atau selain al-Quran. Oleh itu, amat malanglah jika masih ada yang menyangka tidak berdosa jika menggantung ayat-ayat al-Quran dengan kepercayaan karut-marut tertentu. Tanpa perlu menjelaskan lagi hujah dan dalil agama, umum mengetahui bahawa dosa syirik adalah sebesar-besar dosa dan kezaliman yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Maka dengan penuh kesedaran dan keinsafan, marilah kita menyeru masyarakat kepada pemurnian akidah dengan menjauhi segala bentuk syirik dan khurafat termasuklah mengamalkan tangkal dan azimat. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan