Isnin, 23 Jun 2025

MEMULIAKAN GURU : ANTARA HORMAT DAN TAKSUB

 

Peranan seorang guru adalah sangat penting di dalam usaha memastikan terlahirnya generasi yang bijaksana selain membantu negara mewujudkan pelapis generasi pemimpin masa hadapan. Tugas guru biarpun tidak akan terbalas dengan bayaran yang diterima, namun jasa guru akan sentiasa tersemat di dada dan tertanam di ingatan minda. Guru selain mengajar manusia mengenali dunia, guru juga memainkan peranan terpenting membina karakter para pelajarnya membentuk modal insan yang gemilang. Oleh kerana itu, seorang guru bukan semata-mata membawa amanah ilmu bahkan menggalas tanggungjawab menyemai sifat-sifat terpuji ke dalam diri pelajar itu sendiri. Maka tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa guru sangat berpengaruh kepada pelajarnya di dalam usaha mencorak gaya fikir dan hidup mereka.

Islam melalui al-Quran sangat memuliakan kedudukan mereka yang bergelar guru. Ini kerana para guru sudah semestinya terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan. Allah memuji dan mengangkat martabat mereka yang mempunyai ilmu. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah az-Zumar ayat 9, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna".




Selain itu terdapat banyak hadith Nabi Muhammad SAW yang menunjukkan betapa mulia dan tingginya kedudukan mereka yang bergelar guru. Antara lain sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith hasan riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah, para malaikat dan semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, hingga semut yang ada di sarangnya dan juga ikan (di lautan), semuanya berselawat kepada muallim (orang berilmu) yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.”

Demikian antara hujah dan dalil oleh Islam bagi menyatakan tuntutan untuk memuliakan insan yang bergelar guru ini. Hakikatnya, Rasulullah SAW juga adalah guru kepada umat ini di dalam menjelaskan kepada cara faham agama dengan landasan yang betul. Selain itu, turut dinukilkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, beliau menyebut bahawa ibubapa adalah sebab kewujudan seorang anak di muka bumi ini namun kehidupan ini akan binasa. Sedangkan guru sebab kepada kejayaan abadi seseorang di akhirat yang kekal selamanya. Begitulah nukilan oleh Imam al-Ghazali menjelaskan lagi kedudukan mulia dan tinggi seorang guru. Namun begitu, Islam juga melarang umatnya daripada bersikap berlebihan di dalam memuliakan guru. Dalam bahasa mudahnya, bersifat fanatik dan taksub kepada guru.

Perkataan "Fanatik" atau "Taksub" menurut Kamus Dewan bermaksud kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu atau seseorang. Selain itu, fanatik juga boleh difahami dengan makna sangat berbangga pada sesuatu atau seseorang. Sikap fanatik atau taksub di dalam Islam sering disebut dengan istilah al-Ghuluww, al-Tanattu' dan al-Tasydid yang membawa maksud melampau dan berlebih-lebihan. Sikap fanatik dan taksub ini telah dilarang oleh Allah SWT terhadap umat terdahulu lagi. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 77, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah : "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"




Sikap fanatik dan taksub ini telah berlaku sejak dahulu lagi. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Urwah ibn Mas'ud katanya yang bermaksud :

"Wahai kaumku, demi Allah, sesungguhnya aku pernah diutuskan untuk bertemu dengan raja. Aku pernah diutus kepada Qaisar, Kisra dan Najasyi. Demi Allah, aku tidak pernah melihat seorang raja pun yang diagungkan oleh pengikutnya seperti yang dilakukan oleh sahabat Muhammad SAW. Demi Allah, tidaklah beliau berludah, kecuali ludahnya itu akan jatuh di telapak tangan seseorang daripada mereka. Lalu dia menggosokkannya ke muka dan kulitnya. Jika beliau menyuruh mereka sesuatu, mereka akan berebut-rebut untuk melaksanakan perintahnya. Apabila beliau berwuduk, hampir saja mereka saling 'berbunuhan' kerana merebut sisa wuduknya. Apabila beliau bercakap, mereka akan merendahkan suara di sisinya. Mereka juga tidak menajamkan pandangan kepada beliau kerana begitu mentakzimkannya."

Hakikatnya, Islam sangat menentang sikap fanatik dan taksub atau berlebih-lebihan di dalam memuliakan dan mengkagumi guru. Dalam sedar atau tidak, sikap fanatik dan taksub kepada guru ini akan mewujudkan pelbagai bentuk kesesatan yang nyata. Antara lain ialah kesesatan beragama kerana melampau dan terlalu keterlaluan di dalam mengagungkan guru. Sejarah mencatatkan beberapa nama tokoh terkenal Islam yang dimuliakan secara berlebihan seperti Ali RA, al-Hussain, Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Ibnu Arabi, dan Habib Umar. Sikap melampau memuliakan tokoh sedemikian bukanlah perkara baharu malah semakin menjadi-jadi dengan dijaja akan segala cerita yang dianggap sebagai karamah oleh guru mereka. Malah ada pula sebahagian lain yang terlalu fanatik dan taksub dengan guru mereka mendakwa dengan pelbagai dakwaan karut seperti guru mereka boleh mengetahui perkara ghaib, boleh meramal masa depan dan boleh menyembuhkan penyakit.

Sikap buruk sedemikian secara langsung boleh membuka ruang kesyirikan dan khurafat yang tentunya dimurkai oleh Allah SWT. Sehebat mana pun guru kita, dirinya tetap seorang manusia yang terdedah kepada melakukan kesilapan dan kesalahan. Tiada manusia yang boleh mengetahui perkara ghaib. Hanyasanya perkara tersebut dibawah pengetahuan Allah SWT. Sekagum mana pun kita terhadap guru, dirinya sendiri tidak akan pernah dapat memberi manfaat mahupun menolak mudarat. Ingatlah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 188 yang bermaksud :

“Katakanlah wahai Muhammad, ‘Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang GHAIB, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.




Demikian peringatan tegas oleh Allah SWT kepada para hamba Nya agar tidak dimanipulasi, ditipu dan diambil kesempatan oleh golongan tertentu terutamanya mereka yang digelar guru. Dalam senario masyarakat kita, sememangnya tidak dinafikan sejak dahulu mereka yang bergelar guru sentiasa mendapat tempat di jiwa masyarakat. Guru sentiasa dipandang tinggi dan mulia oleh masyarakat. Namun diatas sikap berlebihan dan melampau ini, segala kejahatan boleh bermaharajalela. Sebahagian masyarakat yang barangkali kurang ilmu pengetahuannya, akan menjadikan gurunya sebagai wahyu. Ini menjadikan apa sahaja yang di dakwa, dicerita atau disampaikan oleh guru tersebut diterima bulat-bulat tanpa mempedulikan yang lain. Maka tidak hairanlah jika ada yang mendakwa gurunya telah sampai pada kedudukan tertentu hingga boleh memperolehi berkat dengan air liur gurunya, mampu sembuhkan penyakit dan sebagainya.

Penulisan ini bukanlah bertujuan mengajak masyarakat untuk bersikap lebih kurang dengan guru. Sebagaimana yang telah kita jelaskan, amalan menghormati dan memuliakan guru sememangnya merupakan perkara yang dituntut oleh Islam. Malah kedudukan guru dipandang tinggi oleh Islam serta memiliki kelebihan dan keistimewaan ganjaran yang akan diberikan oleh Allah SWT. Pun begitu, kita perlu sentiasa sedar dan berwaspada, memahami dengan jelas garis persempadanan antara hormat dan taksub. Hal ini penting bagi tujuan memastikan diri kita tidak tergelong dan tergelincir dengan tipu daya iblis dan syaitan yang licik ini. Guru seperti manusia yang lain, terdedah kepada kesilapan dan tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Meski para guru mewarisi keilmuan yang dibawa oleh baginda Nabi, tetapi mereka tidak mewarisi sifat maksum (terlindung dari melakukan dosa) yang hanya dimiliki oleh Nabi SAW. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan