Sabtu, 7 Jun 2025

KEDUDUKAN ANAK ANGKAT MENURUT ISLAM

 

Kelahiran anak sering dianggap sebagai penyeri kehidupan manusia. Anak adalah anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepada para hamba Nya. Kurniaan anugerah tersebut bukanlah datang dengan begitu sahaja tetapi bersama padanya amanah mendidik dan membesarkan anak-anak menjadi generasi yang baik dan berguna. Oleh kerana itu, setiap kurniaan anak terselit bersamanya amanah yang wajib dipikul dan dilaksanakan oleh para pemegang amanah iaitulah ibu dan bapa. Setiap anak merupakan amanah yang pasti akan ditanya kelak oleh Allah Azza Wa Jalla. Namun begitu, bukan semua pasangan yang berkahwin dikurniakan anak. Malah ada yang diuji oleh Allah SWT dengan tidak mempunyai anak hingga akhir hayat. Dalam hal ini, Islam tidak melarang atau menghalang hamba Nya untuk mengambil anak angkat. Bahkan bagi yang ada anak juga, tidak dilarang untuk mengambil anak angkat.

Keharusan mengambil anak angkat padanya terdapat beberapa hukum hakam yang wajib diberi perhatian. Anak angkat menurut istilah di dalam al-Quran disebut dengan nama أدعاء. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT menerusi surah al-Ahzab ayat 4, firman Allah SWT yang bermaksud :

"...Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul".




Berdasarkan maksud ayat ini, di dalam kitab Tafsir Al-Thabari, Imam al-Thabari menyatakan bahawa Allah tidak menjadikan mereka yang kamu dakwa sebagai anak kamu itu adalah anak kandung kamu. Dalam keadaan dia adalah anak selain kamu yang menjadi anak kamu dengan dakwaan kamu. Demikian penafsiran oleh al-Thabari. Berkait dengan kedudukan anak angkat di dalam Islam, ada beberapa perkara yang harus diberikan penekanan dengan jelas agar kelak tidak terjadi hal yang tidak diingini. Pertama sekali, Islam melarang atau dengan kata lain hukumnya adalah haram menasabkan anak angkat kepada bapa angkat. Keharaman ini jelas sebagaimana yang telah tercatat di dalam sirah baginda Nabi SAW, tatkala sebeulum baginsa diangkat sebagai Rasul, baginda mengambil anak angkat yang bernama Zaid bin Harithsah RA, lalu baginda menasabkan nama anak angkatnya kepada diri baginda. Selain itu, dikalangan para sahabat Nabi juga turut memanggil anak angkat Nabi dengan menasabkan kepada baginda.

Lalu turunlah ayat tegahan larangan menasabkan anak angkat kepada bapa angkat melalui surah al-Ahzab ayat 5. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Panggillah mereka (anak-anak angkat) kepada bapa-bapa mereka, yang demikian itu lebih tepat di sisi Allah".

Ketika menjelaskan maksud ayat ini, Imam al-Thabari menyebut di dalam kitab tafsirnya dengan menyebut bahawa nasabkanlah anak-anak angkat yang kami nasabkan mereka kepada diri kamu itu kepada bapa-bapa kandung mereka. Allah berkata kepada Nabi-Nya SAW : “Kembalikan lah nasab Zaid kepada bapanya Haritsah dan janganlah kamu memanggilnya dengan Zaid bin Muhammad”. Selain al-Quran, terdapat juga larangan dan tegahan di dalam hadith Nabi menasabkan anak angkat kepada bapa angkat. Ini sepertimana yang terdapat di dalam hadith riwayat Bukhari, daripada Sa’d bin Abi Waqqas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang mendakwa sebagai anak kepada bapa yang bukan bapa kandungnya dalam keadaan dia mengetahui bahawa dia sebenarnya bukan bapa kandungnya, maka haram ke atas dirinya itu syurga".




Maka jelaslah bahawa tidak boleh atau diharamkan oleh Allah SWT menasabkan atau membin atau bintikan nama anak angkat kepada nama bapa angkat. Selain itu, perkara kedua yang harus diberikan penekanan pula adalah berkaitan batas pergaulan langsung anak angkat dengan keluarga angkat. Ini tentu sekali membabitkan hukum berkaitan aurat anak angkat di hadapan ahli keluarga angkat tersebut. Secara asasnya, hubungan anak angkat perempuan dengan bapa angkatnya dan sebaliknya anak angkat lelaki dengan ibu angkat, apabila usia mereka mencapai tahap baligh, maka mereka dianggap sebagai ajnabi (orang asing). Dalam bahasa mudah, anak angkat yang berlainan jantina dengan ibu dan bapa angkat dihukum sebagai bukan mahram. Perkataan "Mahram" pada sudut bahasa boleh difahami sebagai orang yang diharamkan berkahwin dengan seseorang yang lain disebabkan hubungan rahim atau kerabat.

Ungkapan mahram pada sudut istilah pula difahami sebagai seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang. Sesungguhnya keadaan mahram boleh terjadi melalui tiga perkara iaitu nasab keturunan, saudara susuan dan perkahwinan. Oleh itu, anak angkat yang tidak mempunyai kaitan dengan tiga perkara tersebut dihukum keatasnya sebagai bukan mahram. Maka anak angkat apabila mencapai usia baligh adalah menjadi kewajibannya menutup aurat dihadapan ahli keluarga angkatnya yang berlainan jantina. Ini bermakna, seorang anak angkat perempuan wajib menutup aurat dengan hanya menampakkan muka dan tapak tangan sahaja di hadapan bapa angkat dan anak lelaki dari keluarga angkat tersebut. Begitu juga sebaliknya, seorang anak angkat lelaki wajib menutup auratnya dari pusat hingga ke lutut di hadapan ibu angkat dan anak perempuan dari keluarga angkat tersebut. Pada sisi hukum syarak pula, anak angkat perempuan boleh berkahwin dengan bapa angkat. Ini kerana kedua-duanya dihukum bukan mahram dan boleh berkahwin.

Satu perkara penting lagi, adalah berkaitan hukum anak angkat mewarisi harta pusaka ibu dan bapa angkat. Dalam hal ini, anak angkat baik lelaki mahupun perempuan, tidak memiliki dan mempunyai hak untuk mewarisi harta pusaka ibu dan bapa angkat. Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran, menerusi surah al-Nisa' ayat 7, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah)".




Imam al-Qurtubi di dalam kitabnya, Tafsir al-Qurtubi, ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut bahawa terdapat tiga faedah yang boleh diperolehi daripadanya, antaranya ialah menerangkan bahawa salah satu sebab kepada perwarisan harta adalah hubungan kerabat. Keduanya, umum ayat ini pada semua hubungan kerabat sama ada dekat ataupun jauh. Dan ketiga, keumuman semua jenis bahagian yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Berdasarkan ayat tersebut, para sarjana Islam meletakkan empat syarat terpenting berkaitan hukum mewarisi harta pusaka iaitu hubungan keturunan, pernikahan, Wala’ (Pembebasan hamba) dan beragama Islam. Ini bermakna, anak angkat tidak boleh untuk mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan oleh ibu dan bapa angkat mereka. Namun begitu, ibu dan bapa angkat ketika hidup masih boleh memberikan sedikit hartanya kepada anak angkatnya dengan cara hibah dan wasiat. Kedua-dua cara ini adalah diharuskan oleh syarak dan keharusan tersebut mestilah dilaksanakan dengan betul dan janganlah sehingga boleh menyusahkan para waris atau berat sebelah tidak adil terhadap yang lain yang lebih berhak.

Antara perkara lain lagi ialah berkaitan wali perkahwinan. Bapa angkat bukanlah wali kepada anak angkatnya. Wali yang sah bagi anak angkatnya ialah bapa kandung anak angkatnya tersebut. Oleh itu, seorang bapa angkat tidak boleh menjadi wali kepada anak angkatnya. Pengharaman ini adalah jelas dan kekal selamnya tidak boleh. Begitu juga sebaliknya jika abang angkat menjadi wali kepada adik angkatnya. Demikianlah sedikit sebanyak perkara yang menjelaskan kepada kita berkenaan kedudukan anak angkat menurut syariat Islam. Sesungguhnya besar ganjaran pahala bagi sesiapa yang benar-benar melaksanakan amanah menjaga dan memelihara anak angkatnya dengan penuh kesantunan budi. Mengambil anak angkat samalah sepertimana kurniaan anak oleh Allah kepada hamba Nya. Terselit padanya amanah yang harus dipikul dengan baik. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan