Ahad, 15 Jun 2025

ADAB DAN SUNNAH MENERIMA BERITA KEMATIAN

 

Satu perkara yang kita semua boleh sepakat ialah kehilangan merupakan suatu hal yang amat menyakitkan. Manusia dengan fasa kehidupannya tentu jika ditanya apakah perkara yang sebolehnya tidak mahu terjadi, jawapannya ialah tidak mahu kehilangan orang yang tersayang. Namun begitu, telah menjadi ketetapan Allah untuk para hamba Nya, apabila sampai detik dan ketikanya, kita pasti akan dijemput pulang oleh Allah SWT. Kehilangan dalam kehidupan bukan sahaja mengajar kita erti dunia yang tiada kekalnya, tetapi juga turut mengajar kita makna melepaskan dalam rela dan berdamai dengan perjalanan takdirnya. Dalam hal ini, Islam telah meletakkan panduan bagaimana sikap yang perlu diambil apabila kita menerima sesuatu berita kematian.

Antara perkara yang dituntut oleh Islam apabila menerima berita kematian ialah mengucapkan lafaz Istirja'. Lafaz Istir'ja merujuk kepada perkataan إنا لله وإنا إليه راجعون. Perkataan ini membawa maksud " Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali ". Lafaz ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 155 - 156, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.




Dalam kalangan masyarakat, seringkali difahami bahawa lafaz Istirja' ini adalah untuk berita kematian semata-mata. Anggapan tersebut tidakah tepat. Istirja' bukan sekadar dilafazkan ketika menerima berita kematian malah ketika menerima berita musibah tidak kira musibah itu besar ataupun kecil. Ini sebagaimana yang menjadi saranan oleh Nabi Muhammad SAW yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Ummu Salamah RA, berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji'uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).' melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik".

Satu perkara lain yang terkait dengan lafaz Istirja' ini ialah mengenai hukum mengucapkannya apabila menerima berita kematian orang bukan Islam. Apakah dibenarkan untuk orang Islam mengucapkan lafaz demikian kerana kematian orang bukan Islam ? Dalam perkara ini, Imam al-Qurtubi menyebutkan di dalam kitab tafsirnya dengan menyatakan bahawa ungkapan ‘Inna lillahi’ adalah tauhid dan pengakuan terhadap ubudiyah dan kekuasaan Allah. Sedangkan perkataan, ‘Wa inna ilaihi raaji’uun’ adalah pengakuan bahwa kita akan binasa, dan akan dibangkitkan dari alam kubur kita, serta keyakinan bahwa semua urusan kembali kepada-Nya, sebagaimana semua ini milik-Nya. Selain itu, Syeikh Ibn Baz di dalam kitabnya Fatawa Nur ‘ala al-Darb, beliau menjelaskan bahawa tidak mengapa untuk kita mengucapkan lafaz Istirja’ walaupun orang kafir tersebut bukan dari kerabat kita. Ini kerana setiap manusia akan kembali pada Nya, dan setiap manusia adalah kepunyaan Allah SWT namun tidak boleh mendoakan mereka atau memohon keampunan bagi mereka selagi mana mereka tidak kembali ke jalan Allah SWT. Maka tidak menjadi masalah untuk kita mengucapkannya kepada orang bukan Islam.




Selain itu, bagi sesama kaum muslimin, kita adalah dituntut oleh Islam untuk mengerjakan solat jenazah kepada si mati dan berdoa keampunan untuknya. Pensyariatan solat jenazah adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud :

“Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”

Dalam tatacara solat jenazah, pada takbir ketiga dan keempat, kita dituntut untuk berdoa kepadda si mati. Antara doa untuk si mati yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW ialah seperti dalam sebuah hadith riwayat Muslim, yang bermaksud :

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

"Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka".

Antara lain ketika menerima sesuatu berita kematian, Islam dengan penuh ketegasan sangat melarang dan menegah umatnya daripada melakukan perbuatan meratap pemergian si mati. Hukumnya adalah haram untuk melakukan perbuatan meratap si mati seperti menangis dengan suara yang kuat meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan dan sebagainya. Larangan dan tegahan ini adalah bertepatan dengan hadith Nabi SAW riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.”

Berdasarkam hadith tersebut, baginda menjelaskan bahawa sesungguhnya perbuatan meratap tersebut merupakan perbuatan orang kafir. Oleh itu, kita dilarang untuk melakukannya. Adapun tentang menangis, kita dibolehkan untuk menangis mengeluarkan airmata tanpa perlu mengeluarkan suara. Tangisan sedih tatkala menerima berita kematian adalah lumrah dan fitrah manusia. Kita tidak boleh menyembunyikan akan hal tersebut. Pun begitu, Islam melarang kita berlebihan sehingga meraung meratapi kematian. Menangis dan bersedih pada kadarnya tidaklah menjadi kesalahan. Bahkan baginda Nabi juga pernah menangis menitiskan airmata pada hri kematian anaknya, Ibrahim. Sesungguhnya perbuatan meratapi kematian ini akan menyebabkan mayat akan diazab oleh Allah. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

“Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”




Selain itu, apabila kita menerima berita kematian, kita juga dituntut untuk bercakap perkara yang baik mengenai si mati. Adalah tidak elok dan tidak sopan jika kita mengungkit atau bercakap tentang perkara yang boleh mengaibkan si mati. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Ummu Salamah Ranha, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya roh apabila diambil nescaya penglihatan mengikutnya. Ketika itu orang ramai di kalangan ahlinya riuh rendah lantas sabda Baginda SAW: ‘Jangan kamu doa atas diri kamu kecuali yang baik. Ini kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu kata. Kemudian Baginda berdoa : ‘Ya Allah, ampunkan bagi Abi Salamah, angkatlah darjatnya di kalangan orang yang mendapat petunjuk…”

Antaranya lagi dalam pada kita menerima sesuatu berita kematian, kita dilarang untuk membuat andaian kematian seseorang terkait dengan sesuatu peristiwa yang terjadi. Larangan ini berdasarkan kepada peristiwa hari kematian anak lelaki baginda Nabi bernama Ibrahim yang tercatat di dalam hadith riwayat Muslim. Dalam peristiwa tersebut, ada yang mengaitkan kematian anak baginda dengan kejadian gerhana yang berlaku. Maka baginda Nabi SAW memperbetulkan semula andaian tersebut dengan menyebut :

“Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”

Selain itu, adalah menjadi sunnah Nabi memberi atau membawa makanan kepada keluarga si mati. Ini bertepatan dengan hadith Nabi riwayat Abu Daud, Nabi SAW menyuruh para sahabat membawa makanan untuk diberi kepada keluarga Ja'far yang ditimpa musibah kematian. Seharusnya inilah yang kita mesti laksanakan dan bukannya kita menunggu keluarga si mati membuat kenduri menjamu orang ramai. Demikian antara perkara yang menjadi adab dan tuntutan sunnah apabila kita menerima sesuatu berita kematian. Sesungguhnya kematian adalah perpisahan yang bersifat sementara sebelum kita berangkat ke negeri yang kekal abadi. Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada mereka yang telah pergi mendahului kita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan