Kenaikan harga barang antara isu yang tidak pernah habis dibicarakan.
Dari pelbagai lapisan masyarakat, sama ada di bandar mahupun di luar bandar,
semuanya pasti menerima kesan langsung daripada isu kenaikan harga barang.
Persoalannya, bagaimanakah Islam memberikan panduan dalam permasalahan ini.
Apakah manusia boleh sesuka hati menetapkan harga barang atau perkhidmatan
tanpa ada sebarang panduan oleh agama ? Bagi menjelaskan persoalan ini,
terlebih dahulu kita harus memahami bahawa Islam dalam semua perkara mempunyai
panduan yang jelas baik secara langsung mahupun tidak langsung. Bahkan antara
yang menjadi bab dalam Maqasid Syariah (tujuan-tujuan syariat) ialah bab
menjaga harta-benda yang secara langsung menyentuh soal ekonomi seperti
melindungi harta daripada penyelewengan, monopoli yang tidak seimbang dan manipulasi
pasaran. Termasuk dalam persoalan yang ditimbulkan ini, mari kita melihat
bagaimana panduan dan pandangan Islam berhubung isu penetatapan harga barang
dan perkhidmatan.
Pada sudut ungkapan bahasa, penetapan harga atau disebut sebagai price
fixing disebut di dalam bahasa Arab dengan istilah Tas'ir (التسعير). Pada sudut istilah, para sarjana Islam
memperincikannya lagi dalam beberapa definisi. Antaranya sepertimana Imam
al-Nawawi menyebut di dalam kitab Tahrir Lughat al-Tanbih, perkataan Tas'ir
bermaksud penetapan harga makanan atau yang semisalnya dengan harga tertentu.
Selain itu, di dalam kitab Kassyaf al-Qina' al-Buhuti menjelaskan bahawa
ungkapan Tas'ir ialah penetapan harga oleh pemerintah atau yang
mewakilinya dan pemaksaan kepada masyarakat (peniaga mahupun pembeli) untuk
mengikutinya. Demikian pula menurut Syeikh Zakariyya al-Ansari di dalam kitab Asna
al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, beliau menyebut bahawa Tas'ir
ialah pemerintah mengarahkan penjual untuk tidak menjual barang niaganya kecuali
dengan harga tertentu walaupun pada saat harga sedang melambung tinggi, yang
menyukarkan harta masyarakat.
Menurut Imam al-Syaukani di dalam kitabnya, Nail al-Authar,
penetapan harga atau Tas'ir bermakna arahan pemerintah atau wakilnya atau
arahan setiap orang yang menguruskan urusan umat Islam kepada para peniaga
untuk tidak menjual barang niaganya kecuali dengan harga yang telah ditetapkan,
dengan larangan untuk menambah atau mengurangkannya atas tujuan kemaslahatan.
Sayyid Sabiq pula menyebut di dalam kitabnya, Fiqh al-Sunnah, penetapan
harga bermaksud menetapkan batas harga tertentu bagi suatu barang niaga yang
hendak dijual dengan mengambilkira perbuatan tersebut tidak menzalimi penjual
dan tidak menganiayai pembeli. Demikian antara beberapa pandangan terkemuka
oleh para sarjana Islam di dalam meletakkan definisi tentang makna penetapan
harga. Kebanyakan pandangan yang disebut menyentuh tentang soal peranan
kerajaan, pentadbir, pemerintah atau apa jua nama yang memperlihatkan campur
tangan manusia bagi menetapkan harga barang. Maka apakah manusia boleh
sewenang-wenangnya meletakkan harga barang ?
Pada hukum asalnya, pemerintah atau apa jua nama sama peranan
dengannya tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan harga barang. Perkara ini
sabit daripada sebuah hadith baginda Nabi Muhammad SAW riwayat Abu Daud,
Tirmizi dan lain-lain, dinyatakan bahawa Allah lah penetap harga barang. Dalam
hadith tersebut, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah lah Penetap harga barang. Dia-lah yang menahan
dan jua melapangkan rezeki. Dia-lah Maha Pemberi rezeki. Sesungguhnya aku harap
untuk bertemu Allah dalam keadaan tiada seorang pun daripada kalangan kamu yang
menuntut aku atas kezaliman terhadap darah dan harta.”
Berdasarkan hadith ini, menzahirkan kepada kita suatu isyarat
seperti para peniaga mempunyai hak untuk menetapkan harga barang yang dijual
tanpa perlu campur tangan oleh kerajaan. Pada sudut teksnya kita akan fahami
sedemikian. Namun begitu, di dalam kitab Majmu' Fatawa, Syeikhul Islam
Imam Ibnu Taimiyyah menyebutkan bahawa hadith ini tidak boleh dijadikan sebagai
hujah untuk mengharamkan penetapan harga oleh kerajaan. Ini kerana hadith
tersebut adalah kes yang khusus dan tidak terpakai dalam semua keadaan. Beliau
turut menyebut dalam sebahagian keadaan, penetapan harga merupakan satu
keadilan dan dalam keadaan yang lain boleh jadi satu kezaliman. Dalam isu ini
juga, Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaili dalam kitab al-Mu'tamad fi al-Fiqh
al-Syafie, menyebut keadaan hari ini, boleh bagi mujtahid untuk membenarkan
penetapan harga barang apabila melihat kepada berubahnya keadaan-keadaan dan
situasi-situasi masyarakat. Ini untuk mentahqiqkan maslahah awam pada penetapan
harga barang. Selain itu, menurut tokoh ekonomi Islam terkenal, Syeikh Muhammad
Taqi Uthmani di dalam kitab Fiqh al-Buyu', beliau menyatakan bahawa :
“Sesungguhnya penetapan harga barang tidak boleh dilaksanakan,
melainkan pada keadaan-keadaan yang luar biasa, apabila orang ramai berada
dalam keadaan terdesak akibat harga yang terlalu tinggi pada barang-barang yang
orang ramai berhajat padanya seperti makanan, minuman dan pakaian. Jika tidak
berlaku keadaan sedemikian, maka hukum asalnya adalah hendaklah dibiarkan para
peniaga dan pembeli untuk berniaga berdasarkan harga yang mereka suka.”
Oleh itu, sebagai rumusan kepada hukum penetapan harga barang, kita
akan dapati terdapat dua pandangan utama yang diperselisihkan oleh para sarjana
Islam berkaitan hukum penetapan harga. Pandangan pertama sebagaimana dipegang
oleh majoriti ulama, hukumnya adalah haram untuk menetapkan harga barang. Dalam
hal ini, Sayyid Sabiq menyebut di dalam kitabnya, Fiqh al-Sunnah,
menetapkan harga barang boleh mengakibatkan tersembunyinya barang-barang dimana
akan menjadikan barang menjadi mahal. Ini akan menyebabkan kesusahan kepada
orang miskin untuk membeli. Antara hujah yang menyokong pandangan haram
tersebut ialah firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 28 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan)
harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama
suka di antara kamu.”
Berdasarkan firman tersebut, disyaratkan bagi jual beli ialah
saling meredai antara penjual dan pembeli dalam memastikan sahnya jual beli.
Apabila berlakunya penetapan harga maka akan hilanglah sifat saling meredai antara
satu sama lain. Selain itu, hadith tentang Allah sebagai penetap harga turut
dijadikan hujah mengukuhkan lagi pandangan haram menetapkan harga oleh
kerajaan. Bagi pandangan kedua, ada yang berpandangan menetapkan harga barang
dibolehkan (harus) tetapi keharusan tersebut tidaklah bersifat mutlak. Golongan
Hanafiyyah (ulama mazhab Hanafi) menyebut dibolehkan untuk menetapkan harga
barang apabila berlaku kenaikan harga barang dimana kenaikan harga tersebut
melepasi batas yang sewajarnya. Bagi golongan Malikiyyah pula, diharuskan
menetapkan harga dalam dua bentuk. Bentuk pertama, dibolehkan menetapkan harga
barang apabila sebahagian peniaga menurunkan harga barang, maka menetapkan
harga barang pada bentuk ini dibolehkan agar peniaga yang menurunkan harga tersebut
menyesuaikan dengan harga peniaga kebanyakan. Bentuk kedua pula dibolehkan
untuk membataskan para peniaga dengan harga tertentu, sehingga mereka tidak
boleh menjual melebihi harga yang telah ditetapkan.
Para ulama mazhab Syafi'iyyah pula berpandangan sepertimana yang
dinukilkan di dalam kitab Asna al-Matalib, diharuskan menetapkan harga
barang ketika orang ramai berada dalam kesusahan. Selain itu, di sisi ulama
mazhab Hanbali pula berpandangan wajib penetapan harga barang apabila akan
terjamin keadilan antara manusia, seperti dalam melakukan pembelian dengan
harga tertentu, dan larangan terhadap mereka untuk menaikkan harga suatu
barang. Pemerintah tidak boleh menetapkan harga terhadap manusia kecuali
apabila berhubungan dengan kepentingan umum. Antara hujah yang menyokong
pandangan tersebut ialah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir RA, bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Janganlah penduduk kota menjualkan barang-barang milik orang desa;
biarkanlah masyarakat, sebahagian diberi rezeki oleh Allah daripada sebahagian
yang lain.”
Berdasarkan hadith ini, Ibn ‘Arafah al-Maliki menyebut di dalam
kitab Syarh Hudud Ibn Arafah, Nabi SAW melarang penduduk kota yang tahu
harga menjual barang niaga kepada orang desa yang tidak tahu harga. Kerana
perkara ini boleh melonjakkan harga. Justeru, penetapan harga dibolehkan agar
tidak berlaku lonjakan harga. Demikianlah sedikit penjelasan serta panduan yang
boleh kita fahami bersama berhubung hukum menetapkan harga barang. Jelas kepada
bahwa penetapan harga yang dibuat oleh pihak kerajaan adalah bertujuan untuk
memastikan kestabilan berlaku selain melawan sebarang bentuk kezaliman,
penindasan dan ketidak adilan dalam jual beli. Apa yang pasti, kenaikan harga
barang bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun kita sebagai pengguna dan
pembeli harus bijak membuat pertimbangan antara keperluan dan kehendak. Agar
kelak kita tidak terjerat oleh gaya hidup orang lain. Semoga Allah merahmati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan