Isnin, 2 Jun 2025

KELUAR ISLAM KENA HUKUM BUNUH ?

 

Agama merupakan asas kepada kepercayaan mereka yang bergelar manusia. Kepentingan manusia hidup beragama telah terbukti sejak manusia hidup di pelbagai lapisan zaman lagi. Kepercayaan yang dibentuk melalui pelbagai cara seperti pemujaan roh dan semangat alam, penyembahan berhala dan sebagainya jelas membuktikan kehidupan manusia pasti tidak dapat lari daripada berpegang kepada sesuatu ajaran dan agama. Dengan apa jua nama ritual yang diberikan, ianya menunjukkan hidup bertuhan melalui beragama merupakan fitrah manusia yang telah Allah SWT jadikan. Islam adalah satu-satunya agama yang paling benar dengan menyeru manusia menyembah Allah yang Maha Esa. Pun begitu, ada yang tertanya-tanya mengapa Islam menghukum bunuh kepada mereka yang keluar Islam ? Bagaimana yang dikatakan Islam agama yang membawa perdamaian andai hukum ini dilaksanakan.

Ungkapan keluar Islam lebih mudah difahami dengan menggunakan istilah "Murtad". Dalam bahasa Arab, perkataan murtad juga disebutkan dengan perkataan "Riddah". Pada sudut bahasa, Ibnu Faris menyebut di dalam kitabnya, Mu'jam Maqayis al-Lughah, asal perkataan ini ialah huruf Ra (ر) dan Dal (د) yang bermaksud kembali kepada sesuatu dan dinamakan Murtad kerana seseorang itu kembalikan jiwanya kepada kufur. Menurut Kamus Bahasa Melayu DBP, perkataan murtad merujuk kepada maksud orang yang keluar daripada agama Islam. Pada sudut istilah pula, terdapat pelbagai definisi yang dikemukakan oleh para sarjana Islam di dalam membahaskan maksud tersebut. Antaranya seperti di dalam mazhab Hanafi, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Hasyiah Ibn Abidin, istilah murtad bermaksud ibarat daripada kembali daripada iman kepada kufur. Bagi mazhab Maliki pula, murtad bermakna orang Islam yang kufur dengan nyata sama ada dengan perkataan atau perbuatan yang mengandungi kekufuran.




Menurut mazhab Syafie, murtad bermaksud memutuskan Islam dengan niat atau ucapan kufur atau dengan perbuatan sama ada perkataannya secara mengejek, ingkar atau dengan iktikadnya. Mazhab Hanbali pula menyebut murtad ialah sesiapa yang kufur dengan sukarela walaupun sudah mumayyiz selepas Islamnya dengan perkataan, iktikad, ragu dan syak tentang Islam walaupun secara bergurau dan walaupu keIslamannya dipaksa dengan cara sebenar. Berdasarkan definisi-definisi yang telah dikemukakan, tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa perkataan murtad membawa maksud seseorang yang keluar daripada Islam, dengan cara sama ada melalui pengisytiharan melalui ucapan, perbuatan atau niat dan juga dikira keluar Islam tersebut sama ada melalui gurauan, ingkar atau melaui iktikad (pegangan). Persoalan timbul, apakah benar Islam menghukum bunuh kepada sesiapa yang keluar daripada agama Islam ? Jika hal tersebut benar-benar dilakukan maka dimanakah mesej Islam yang membawa kasih sayang dan perdamaian untuk sekalian manusia.

Bagi menjawab persoalan ini, pertama kita harus memahami bahawa Islam melarang umatnya daripada memaksa orang memeluk Islam atau memasuki Islam. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 256 dengan tegas menyatakan tidak ada paksaan untuk memeluk Islam. Begitu juga sebaliknya, di dalam al-Quran melalui surah al-Kahf ayat 29, Allah SWT tidak menghalang jika ada manusia yang memilih untuk menjadi kafir. Firman Allah yang bermaksud :

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya”. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang".

Namun begitu, meskipun Allah SWT tidak menghalang para hamba Nya untuk memilih menjadi kafir, ini bukanlah bermaksud Allah memberi kebenaran atau reda untuk hamba Nya menjadi kafir. Disebalik apa yang tersirat, melalui ayat ini hakikatnya Allah ingin mengancam orang-orang kafir. Sama seperti situasi bilamana seorang bapa yang tidak membenarkan anaknya bermain, tetapi setelah itu bapanya berkata : "Nak sangat main, pergilah main !". Melalui ayat tersebut, kita faham hakikatnya si bapa tidak mahu benarkan anaknya bermain. Ayat tersebut bukanlah bermakna kebenaran tetapi merupakan suatu ancaman. Jika anak tersebut bermain juga pasti akan dikenakan hukuman. Begitulah juga cara faham maksud firman Allah tersebut. Berdasarkan firman Allah ini juga, kita mendapati Allah menyuruh kita untuk membiarkannya mereka berada di dalam kekufuran. Tidak ada pula arahan Allah untuk membunuh mereka yang memilih untuk kufur kepada Allah SWT. Selain itu, jika kita membuat semakan juga di dalam ayat lain, tidak terdapat satu pun arahan oleh Allah untuk menghukum bunuh kepada mereka yang keluar daripada Islam.




Oleh itu, boleh kita rumuskan bahawa di dalam al-Quran, tidak terdapat satu pun ayat yang menceritakan tentang hukum bunuh bagi golongan yang murtad atau keluar daripada Islam. Maka jika tidak terdapat dalam al-Quran, bagaimana boleh timbulnya hukum bunuh untuk orang murtad ? Jawapannya adalah datang daripada sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia!".

Maka berdasarkan hadith inilah, majoriti para sarjana Islam berpandangan bahawa hukum bunuh untuk orang yang keluar daripada Islam sama ada lelaki atau perempuan dan sama ada tua ataupun muda. Namun begitu, Imam Abu Hanifah berpandangan hukuman bunuh untuk orang murtad hanya dikenakan kepada lelaki sahaja manakala perempuan diberi hukuman penjara dan diberi penjelasan tentang Islam supaya dia bertaubat kembali. Selain itu, terdapat pula perbezaan pendapat mengenai jangka masa untuk bertaubat. Menurut mazhab Hanafi, diberi tempoh selama tiga hari tiga malam jika ada harapan untik bertaubat. Jika sebaliknya tidak ada harapan untuk bertaubat, dilaksanakan hukum bunuh tanpa ditangguh. Mazhab Maliki pula berpandangan jangka masa taubat tiga hari tiga malam. Dalam mazhab Syafie pula, terdapat dua pandangan. Pandangan pertama sama seperti pandangan dalam mazhab Hanafi dan pandangan kedua pula menyebut tidak ada had batasan dan penetapan masa. Tetapi bergantung kepada adanya harapan untuk bertaubat.




Maka dapat kita fahami bahawa hukum bunuh kepada mereka yang keluar Islam adalah berasaskan hadith riwayat Bukhari tersebut. Namun begitu, sebahagian para sarjana lain telah mengkritik hukum tersebut berdasarkan beberapa hujah dan alasan. Pertama, diatas alasan kedudukan hadith yang dinilai. Hadith riwayat Bukhari berkenaan hukum bunuh orang murtad ini dinilai daif (lemah) kerana mempunyai satu isnad (rantaian penyampaian) sahaja. Maka dengan itu, hadith tersebut tidak boleh dijadikan sebagai sumber perundangan. Hujah kedua, hadith ini pada lafaznya dianggap sebagai lafaz yang berbentuk terlalu umum (am). Keumuman hadith ini sehingga secara zahirnya ia bukan semata-mata boleh merangkumi kes pertukaran agama daripada Islam kepada kafir bahkan boleh jadi merangkumi kes pertukaran agama daripada kafir kepada Islam. Begitu jugalah keumuman hadith ini boleh merangkumi pertukaran agama orang bukan Islam kepada agama kufur yang lain. Oleh itu, hadith ini tidak memberikan makna yang jelas dan sangat bersifat umum pemahamannya.

Selain itu, hujah ketiga ialah melihat kepada sirah hidup Nabi Muhammad SAW. Dalam catatan sirah baginda Nabi Muhammad SAW, tidak terdapat satu pun kisah dan cerita mengenai pelaksanaan hukum bunuh kepada mereka yang semata-mata keluar daripada Islam. Di zaman Nabi, tidak terdapat seorang pun yang dihukum bunuh semara-mata kerana murtad atau keluar daripada Islam. Semasa hayat Nabi SAW, yang ada hanyalah hukum bunuh kepada orang murtad dengan sebab-sebab yang lain dan bukannya disebabkan keluar daripada Islam semata-mata. Dikalangan tokoh sarjana Islam seperti Imam Ibn Taimiyyah, Sheikh Mahmud Shaltut dan Sheikh Muhammad Sayyid Tantawi, mereka menyebut bahawa bukan maksudnya hukuman mati dikenakan semata-mata kerana bertukar agama, tetapi kerana hirabah, iaitu apabila perbuatan murtad itu disertai dengan pemberontakan terhadap masyarakat dan kepimpinannya yang sah. Demikianlah penjelasan ringkas mengenai hukum bunuh orang murtad. Walau apapun, hukum bunuh tersebut tidaklah jelas disebut dan ianya kekal menjadi isu perbezaan pandangan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan