Dalam kehidupan normal manusia, kepercayaan adalah nilai terpenting
di dalam melestarikan makna keimanan kepada Tuhan. Keimanan yang dibina pula
tidak akan membawa makna kejayaan sebenar andai tidak didasari oleh pegangan
akidah yang benar. Ibarat seperti rumah yang tidak bertiang akan mengakibatkan
kemusnahan dan kecelakaan. Begitulah juga sekiranya iman yang dibina tidak
didasari oleh akidah yang sebenar. Oleh kerana yang demikian, keimanan yang
luhur adalah lahir daripada akidah yang lurus. Jika rosak akan akidahnya maka
punahlah juga akan keimanannya. Untuk itu, kita semua harus sedar selain
daripada kita mempelajari dan mengetahui akan perkara-perkara yang boleh
membatalkan solat, puasa dan sebagainya, kita juga wajib mempelajari dan
mengetahui akan perkara yang boleh membatakan akidah dan iman.
Perkataan "Akidah" adalah berasal dari
bahasa Arab. Pada sudut bahasa, akidah merujuk pada makna ikatan, simpulan,
kemantapan, kekukuhan, bersangatan kuat dan saling bersimpul kuat. Terminologi
akidah pada sudut istilah pula sebagaimana yang dinukilkan oleh Abdullah bin
Abd al-Hamid al-Athari di dalam kitabnya, al-Wajiz Fi Aqidah al-Salaf
al-Saleh, akidah bermaksud perkara-perkara yang wajib dibenarkan oleh hati,
jiwa merasai tenang dengannya sehingga menghasilkan keyakinan yang tetap tidak
bercampur dengan sebarang keraguan. Inilah yang dinamakan sebagai iman yang
kukuh yang tidak hadiri keraguan. Ungkapan "Iman" pula
uga berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, perkataan iman menurut Ibnu
Manzur di dalam kitabnya, Lisan al-Arab, bermaksud membenarkan (al-Tasdiq).
Beliau menyebut pengertian ini telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam
bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini
juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah
membenarkan atau semata-mata membenarkan.
Pada sudut istilah pula, telah berkata Ibn ‘Abd al-Bar dalam
kitabnya al-Tamhid, iman membawa maksud perkataan dan perbuatan dan
tidak ada amalan kecuali dengan niat. Selain itu, Imam Ibn Kathir dalam
kitabnya Tafsir al-Quran al-’Azim, ketika membahaskan makna iman, beliau
menjelaskan bahawa iman menurut pengertian syar’i tidak wujud kecuali dengan
adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang
disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin
Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman
adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang. Oleh itu,
berdasarkan definisi tersebut, makna iman di sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah
adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota
badan. Justeru itu, dapat kita rumuskan bahawa akidah adalah asas kepada
kepercayaan manusia yang bersifat mengikat hamba Nya dengan Tuhan. Iman pula
terhasil daripada manifestasi akidah yang dibina. Sebagai membuktikan
kepercayaan akidah tersebut, iman adalah medannya.
Bercakap soal perkara yang boleh membatalkan akidah dan iman, ianya
tidak semudah kita pelajari tentang perkara membatalkan solat atau puasa. Jika
satu orang dihukum batal solat, pembatalan tersebut tidaklah sampai
mengheretnya ke lembah kekufuran. Namun sebaliknya, apabila akidah dan iman
kita terbatal, maka tidak ada gelaran yang lebih sesuai melainkan dengan nama
kafir. Kerana betapa besarnya kesan dan implikasi terseb7t, menjadi
tanggungjawab kita untuk mendidik diri, ahli keluarga dan warga komuniti
setempat agar tidak terpesong dari landasan agama yang betul.
Untuk lebih memahami perkara yang boleh membatalkan akidah dan
iman, Dr. Muhammad Naim Yasin dalam kitabnya, al-Iman : ar-Kanuhu wa
Haqiqatuhu wa Nawaqidhuhu, menggariskan empat perkara terpenting yang
mengundang kepada rosaknya akidah dan terbatalnya iman. 4 perkara terpenting
tersebut ialah pengingkaran atau menghina Tauhid Rububiyyah, pencelaan
nama-nama Allah dan Rasul Nya, pencelaan Tauhid Uluhiyyah (keesaan
Allah) dan yang terakhir pengingkaran risalah Nabi SAW dan mencela para
sahabat Nya.
Perkara pertama, pengingkaran atau penghinaan Tauhid Rububiyyah.
Tauhid Rububiyyah bermakna mengesakan Allah pada pemerintahanNya. Ini juga
bermaksud beriktikad bahawa Allah sebagai pemilik mutlak dan memiliki serta
menguasai seluruh alam, Pencipta setiap sesuatu dan Pemberi rezeki. Kesemuanya
berada di bawah kehendakNya, pengetahuan danilmuNya serta kebijaksanaan Nya
yang Maha Suci. Penghinaan atau pengingkaran Tauhid Rububiyyah bermaksud
menolak, menafikan selain menentang maksud Tauhid Rububiyyah dengan cara tidak
memperakui hanya Allah yang berkuasa mutlak mentadbir dan memerintah alam.
Misalnya seperti mengakui dirinya adalah Tuhan sebagaimana yang pernah di dakwa
oleh Firaun. Pengakuan oleh Firaun yang mendakwa dirinya adalah Tuhan direkodkan
oleh Allah SWT di dalam surah an-Naazi'aat ayat 24 yang bermaksud :
"Dengan berkata: "Akulah tuhan kamu, yang
tertinggi".
Selain itu, turut boleh dijadikan contoh jug bagaimana kita melihat
kisah seorang raja yang bernama Namrud, yang dilihat sangat takabbur (besar
diri) berhujah dengan Nabi Ibrahim AS dengan menyatakan bahawa dirinya boleh
menghidupkan dan mematikan manusia. Ini bermakna Namrud dengan penuh
kesombongan menafikan kuasa Allah yang metadbir alam ini dan mendakwa dirinya
boleh melakukan kerja Tuhan seperti menghidup dan mematikan orang. Kisah
makhluk durjana ini Allah rakamkan di dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah
ayat 258. Demikian sebahagian contoh yang boleh kita fahami dengan makna hina
atau ingkar pada Tauhid Rububiyyah. Setelah itu, perkara kedua yang mengundang
kepada terbatalnya akidah dan iman adalah dengan pencelaan nama-nama Allah dan
Rasul Nya. Adalah menjadi tanggungjawab orang Islam beriman dengan percaya dan
yakin akan segala nama dan sifat kesempurnaan adalah milik mutlak Allah SWT.
Begitu juga wajib kita beriman kepada Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah.
Pengingkaran dan pencelaan kepada nama dan sifat kesempurnaan Allah
juga terhadap Rasul, boleh menyebabkan manusia terjatuh ke dalam lembah
kekufuran. Telah berkata Dr. Muhammad Naim Yasin, dengan menyatakan bahawa
sesiapa yang mengingkari bahawasanya Allah sahaja yang layak baginya nama-nama
Nya dan sifat-sifat Nya sepertimana yang telah disabitkan oleh Allah dan
Rasulallah SAW ataupun mengingkari penafian Allah berkenaan diri Nya atau
mengingkari penafian yang dilakukan oleh Rasulallah SAW berkenaan sifat-sifat
Nya. Begitu juga mengurangi apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasul Nya.
Maka jatuhlah kafir. Maka dengan itu, kita dilarang sama sekali menafikan
segala nama dan sifat kesempurnaan milik Allah dan Rasul dan kita ditegah
daripada mengurangi segala kesempurnaan nama dan sifat Allah jua Rasul. Selain
itu, perkara ketiga yang boleh membatalkan akidah dan iman ialah pencelaan
Tauhid Uluhiyyah. Ungkapan Tauhid Uluhiyyah bermaksud mengesakan Allah dengan
perbuatan para hamba berdasarkan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Pencelaan Tauhid Uluhiyyah bermakna menafikan keesaan Allah SWT
dengan menyembah, meminta dan memohon kepada selain Allah SWT. Perbuatan syirik
umpamanya adalah cabang-cabang pencelaan dan pengingkaran manusia terhadap
Tauhid Uluhiyyah. Sepatutnya Tauhid Uluhiyyah mengukuhkan keesaan Allah dengan
menjadikan hanya kepada Nya sahajalah tempat kita beribadah menyembah Nya,
meminta dan memohon pertolongan Nya selain bergantung harap hanya kepada Nya
jua. Pun begitu, manusia apabila berada di dalam keadaan yang mendesak, kadang
sanggup melakukan perbuatan terkutuk seperti syirik menyekutukan Allah. Hal ini
boleh mengundang kepada kekufuran yang amat dahsyat. Setelah itu perkara yang
keempat, antara lain yang turut boleh membatalkan akidah dan iman manusia
adalah dengan mengingkari risalah dakwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Sebagai contoh, apabila ada yang mengingkari ajaran yang dibawa
oleh baginda Nabi, mempersendakan sunnah baginda, menghina dan
memperolokkannya, kesemua ini membawa makna kepada pencelaan terhadap risalah
Nabi. Selain itu, mempersenda, memperolok atau menghina para sahabat Nabi juga
termasuk dalam hal yang sedemikian. Demikian antara sebahagian besar perkara
yang boleh membatalkan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. Menginsafi akn hal
ini, marilah sama-sama sentiasa saling memperingati antara satu sama lain
selain kita mestilah selalu berwaspada menjaga jantung hati, pertuturan dan
percakapan dan memelihara perbuatan kita daripada melakukan perkara yang boleh
mengundang malapetaka yang amat dahsyat berupa azab sebagaimana yang telah
dijanjikan oleh Allah SWT. Berdoalah kita kepada Allah memohon keselamatan
bukan sahaja di dunia juga keselamatan kita di negeri akhirat yang kekal abadi
kelak. Semoga Allah mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan