Rabu, 15 April 2026

TUGAS JIBRIL SELEPAS TIADA WAHYU ?

 

Penciptaan pelbagai makhluk di muka bumi ini yang diciptakan oleh Allah SWT menjadi bukti akan segala kekuasaan dan kehebatan Nya merentasi segala gerak fikir oleh umat manusia. Dalam dunia yang luas tidak bertebing ini, wujud pelbagai dimensi kehidupan yang ada hakikatnya manusia sendiri tidak dapat menembus ke alam tersebut. Alam yang dimaksudkan ini ialah alam ghaib. Disebalik kehidupan umat manusia yang sentiasa bertempur dengan kesibukan pelbagai hal, kita harus akui bahawa terdapat alam lain lagi yang mana ianya di luar batasan dan kemampuan manusia untuk melihat apatah lagi untuk menerokainya. Alam ghaib merujuk kepada suatu dimensi kehidupan atau dunia yang tidak dapat dicerap dan dirasai oleh pancaindera manusia, akal mahupun teknologi. Pun begitu, kita tidak boleh menafikan akan kewujudan alam ghaib ini meski kita tidak dapat melihat dan merasainya sendiri. Di alam serba ghaib, terdapat makhluk yang bernama Malaikat.

Perkataan "Malaikat" adalah berasal dari bahasa Arab. Menurut pemahaman ahli bahasa, perkataan Malaikat adalah kata jamak (plural) dari perkataan malak (ملك) yang merujuk kepada makna kekuatan. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan Malaikat merujuk kepada maksud apa sahaja mahkluk yang diciptakan Allah daripada cahaya, sifat dan tabiatnya sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dan tidak pernah melanggar perintah Nya. Berdasarkan definisi yang telah dikemukakan ini, dapat disimpulkan bahawa malaikat adalah makhluk Allah yang memiliki sifat keistimewaan tertentu yang berbeza dengan makhluk lain. Agama Islam telah meletakkan soal keimanan atau keyakinan dan kepercayaan terhadap kewujudan para malaikat sebagai rukun keimanan yang terpenting. Allah SWT melalui firman Nya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 285, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya". Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali".




Berdasarkan kepada kefahaman ayat ini, jelas bahawa Allah Azza Wa Jalla telah menjadikan kepercayaan dan keyakinan kepada para Malaikat sebagai rukun keimanan bagi Islam. Maka menjadi tanggungjawab orang yang beriman untuk percaya dan yakin akan kewujudan para malaikat meski tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dikalangan para malaikat yang wujud, terdapat tugas dan peranan yang pelbagai yang ditentukan oleh Allah SWT untuk para malaikat sekalian. Antara tugas terpenting dan mulia yang ditentukan oleh Allah SWT kepada malaikat ialah tugas menyampaikan wahyu kepada para utusan Allah Azza Wa Jalla yang terdiri daripada para Nabi dan Rasul. Tugas terpenting ini diperintahkan oleh Allah SWT kepada malaikat yang dinamakan Jibril. Selain nama Jibril, Allah SWT juga telah menggelar malaikat Jibril sebagai Ruhul Qudus yang membawa maksud "Roh yang suci". Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Nahl ayat 102, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): Al-Quran itu diturunkan oleh Ruhul Qudus (Jibril) dari Tuhanmu dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan untuk menjadi hidayah petunjuk serta berita yang mengembirakan bagi orang-orang Islam".

Melalui Jibril, semua wahyu disampaikan kepada para Nabi dan Rasul yang bermula sejak zaman Nabi Adam AS hinggalah ke zaman Nabi yang terakhir, Nabi Muhammad SAW. Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan tentang peranan dan tugas Jibril dalam menyampaikan wahyu. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 97, yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman".




Persoalannya hari ini, setelah mana kini tidak ada lagi para Nabi dan Rasul yang diutuskan kepada umat manusia, lalu apakah tugas Jibril setelah tidak ada lagi wahyu yang perlu disampaikan kepada para utusan Allah ? Bagi menjawab kemusykilan ini, terlebih dahulu kita harus tahu dengan jelas bahawa tugas malaikat Jibril tidak hanya terhad atau terbatas pada soal menyampaikan wahyu semata-mata. Jika benar tugas malaikat Jibril hanyasanya menyampaikan wahyu kepada para Nabi dan Rasul, maka secara logiknya kita akan terfikir bahawa tugas malaikat Jibril telah selesai dan tamat dengan jayanya. Oleh itu apa lagi yang malaikat Jibril boleh lakukan setelah tugasnya sudah selesai. Tugas utama yang namanya malaikat Jibril itu ialah menyampaikan wahyu kepada Nabi dan Rasul. Pun begitu, malaikat Jibril juga memiliki dan mempunyai tugas serta peranan yang lain yang juga telah ditentukan oleh Allah Jalla Wa 'Ala. Menurut Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Hawi li al-Fatawi, beliau menjelaskan bahawa antara tugas lain malaikat Jibril ialah turun pada malam al-Qadr (lailatulqadar) bersama para malaikat yang lain juga bagi melimpahkan anugerah dan kelebihan keatas orang-orang yang beribadah pada malam tersebut.

Allah Azza Wa Jalla menjelaskan di dalam firman Nya menerusi surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar (1) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam lailatulqadar itu ? (2) Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan (3) Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut (4) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar ! (5)




Selain itu, antara tugas lain yang dilakukan oleh malaikat Jibril ialah menziarahi jenazah orang yang beriman yang berada dalam keadaan bersuci. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat al-Tabrani, daripada Maimunah binti Sa'ad, beliau berkata yang bermaksud :

"Aku bertanya, "Ya Rasulullah, bolehkah orang yang junub tidur?" Baginda jawab: "Aku tidak suka dia tidur sehingga dia berwuduk, kerana aku khuatir dia diwafatkan lalu Jibril tidak menghadirinya."

Hadith ini berstatus daif (lemah). Pun begitu, makna hadith ini tidaklah bercanggah dengan kehendak syarak bahkan terdapat nas-nas yang sahih yang menyokong maksud kehadiran Jibril ke dunia ini. Ini kerana perkataan "hadir" yang merujuk kepada kehadiran Jibril juga disebut di dalam al-Quran seperti surah al-Qadr yang menceritakan bahawa Jibril hadir turun ke langit bersama para malaikat lain pada malam al-Qadr. Juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menceritakan tentang kehadiran malaikat Jibril turun ke dunia untuk membantu umat Islam di dalam perang Badar. Demikianlah antara tugas malaikat Jibril yang terdapat di dalam al-Quran dan hadith. Walau apapun, hakikat tugas dan peranan makhluk yang bersifat ghaib ini tidaklah dapat dikenalpasti melainkan bersumberkan daripada wahyu al-Quran dan hadith. Secara ringkasnya, tugas utama malaikat Jibril adalah untuk menyampaikan wahyu. Adapun selainnya, terdapat tugas lain lagi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Sesungguhnya segala sesuatu yang berlaku itu adalah diatas perkenan oleh Allah Azza Wa Jalla. Oleh itu terserahlah kepada Allah SWT dalam memberikan peranan dan tugas kepada para malaikat Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan