Harapan selalunya memberikan kuntuman senyuman di wajah mereka yang
mendambakannya. Betapa ramai manusia merasa seolah-olah mati hidup semula
apabila diberi harapan baharu dalam kehidupan. Harapan setinggi gunung mampu
mengubati jiwa duka lara manusia. Namun begitu, tidak kurang ramai juga yang
hampa dan kecewa apabila sesuatu yang diharapkan itu tidak berlaku seperti yang
di dambakan. Kerapuhan jiwa manusia mulai terserlah bila yang diharap tidak
kunjung tiba. Sekuat apapun manusia itu, pastinya hidup ini akan berharap pada
sesuatu. Dalam Islam, umat manusia dituntut untuk sentiasa berharap hanya
kepada Allah Azza Wa Jalla. Tidak ada tempat yang sebaiknya untuk kita bergantung
harap selain hanya kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Maka dengan itu, Islam
sangat menekankan sifat berharap atau disebut dengan istilah sifat Raja'.
Perkataan Raja' (رجاء)
berasal dari bahasa Arab. Secara etimologinya, perkataan Raja' adalah terbitan
asal dari kata rajaa-yarjuu-raja'an yang membawa maksud mengharap dan
pengharapan. Dalam konteks bahsa melayu, perkataan harap sebagaimana yang
tercatat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, harap membawa maksud hasrat atau
kehendak untuk mendapat sesuatu. Adapun pada sudut istilahnya pula, perkataan
Raja' merujuk kepada pergantungan jantung hati untuk mencapai sesuatu pada masa
hadapan. Sifat Raja' pada hakikatnya ialah mengharapkan keredaan, rahmat dan
pertolongan dari Allah Azza Wa Jalla serta meyakini bahawa hal tersebut boleh
dicapai. Selain pada itu, sifat Raja' juga adalah merupakan satu bentuk ibadah
yang memperlihatkan tentang soal kerendahan dan ketaatan dan hanya boleh
bergantung harap hanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Tidak salah juga untuk kita
katakan bahawa sifat Raja' ini juga boleh difahaminya sebagai memiliki
prasangka baik kepada Allah Azza Wa Jalla kerana mengetahui luasnya rahmat dan
kasih sayang Nya.
Hal ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam
al-Quran, menerusi surah al-Israa' ayat 57, Allah SWT telah berfirman yang
bermaksud :
“Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan
kepada Tuhan mereka siapa antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah) dan
mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu
adalah suatu yang (harus) ditakuti.”
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa sifat yang perlu
dimiliki dan dirasai oleh umat manusia ialah sifat berharap akan rahmat Nya.
Kenapa kita perlu merasai akan perasaan tersebut ? Ini kerana Allah SWT
menyebut bahawa sesungguhnya balasan azab yang Tuhan akan berikan kelak adalah
balasan azab yang perlu ditakuti dan dibimbangi oleh semua manusia. Maka dengan
sifat berharap akan rahmat Nya, kita berharap agar Allah SWT sebagai Tuhan pencipta
dan petadbir alam ini tidak menghukum kita dengan sesuatu yang menakutkan kita.
Oleh kerana demikian, sifat Raja' harus diimbangi dengan sifat Khauf (takut).
Ini kerana, jika manusia memiliki perasaan takut kepada Allah yang terlalu
melampaui batas, maka akan ada yang kelompok manusia yang terlalu cepat
berputus asa dengan rahmat Allah SWT seperti kelompok Khawarij yang menghukum
kafir bagi mereka yang melakukan dosa besar. Walhal, pelaku dosa besar masih
ada peluang untuk bertaubat kepada Allah.
Dalam pada masa yang sama, jika manusia memiliki sifat Raja' iaitu
terlalu berharap akan rahmat Allah yang terlalu melampaui batas, maka akan ada
kelompok manusia yang hilang rasa takut berbuat dosa kerana berharap Allah
pasti mengampuninya seperti kelompok Murji'ah. Maka dengan itu, sifat Raja'
(berharap rahmat Allah) dan sifat Khauf (takut kepada Allah) perlu
diseimbangkan dalam kehidupan agar kita tidak termasuk dalam kumpulan manusia
yang melampaui batas. Namun begitu, dalam beberapa keadaan yang tertentu, adakalanya
sifat Raja' perlu lebih kuat berbanding sifat Khauf. Seperti contoh, ketika
dalam keadaan kita diuji dengan kesakitan, maka berharap perlu lebih kuat
dengan mengharapkan agar Allah memberikan kesembuhan diatas kesakitan yang
diuji ini. Bersangka baik kepada Allah disaat kita diuji dengan kesakitan
adalah lebih utama. Ini kerana baginda Nabi SAW mengajar kita agar meninggal
dunia dalam keadaan dimana kita sedang bersangka baik dengan Allah SWT. Hal ini
sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, baginda Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :
“Jangan salah seorang antara kamu meninggal dunia kecuali dia
berprasangka baik kepada Allah ‘Azzawajalla.”
Memiliki sifat Raja' yakni berharap akan rahmat dan keampunan dari
Allah SWT bukanlah bermakna berdoa tanpa melakukan apa-apa usaha. Sifat Raja'
tidak mengajar kita hanya untuk sekadar berharap dengan menunggu tanpa berbuat
apa-apa. Berharap kepada Allah akan membuka jalan kepada kita untuk terus
bangkit dan berusaha, mencari kekuatan disamping mengharapkan Allah akan
mempermudahkannya. Bagi memahami dengan lebih jelas mengenai sifat Raja' ini,
marilah kita sama-sama merenung sebuah hadith Nabi SAW riwayat Tirmizi yang
berstatus hasan, daripada Anas bin Malik RA berkata yang bermaksud :
"Nabi SAW datang kepada seorang pemuda yang hendak meninggal,
maka beliau berkata: “Bagaimana keadaanmu?” Pemuda itu menjawab: “Demi Allah ya
Rasulullah, sungguh saya sangat berharap kepada (rahmat) Allah dan saya sangat
takut akan (seksa Allah) atas dosa-dosa saya”. Maka Rasulullah berkata :
“Tidaklah dua perkara tersebut ada pada hati seorang hamba yang dalam keadaan
seperti ini, kecuali Allah akan memberikan apa yang diharapkannya dan Allah
akan amankan ia dari apa yang ditakutkannya”.
Berdasarkan kefahaman hadith ini, telah berkata Imam Ibnu Hajar
al-Asqalani yang bermaksud :
“Yang dimaksud dengan ar-raja’ (harapan) ialah jika seorang hamba
melakukan kesalahan (dosa atau terkurang dalam melaksanakan perintah Allah)
maka hendaklah dia bersangka baik kepada-Nya dan berharap Dia akan menghapuskan
(mengampuni) dosanya, begitu juga apabila dia taat (kepada-Nya) dia berharap
agar Allah menerimanya. Adapun orang yang bergelumang dengan maksiat kemudian
mengharapkan agar Allah tidak menyiksanya (pada hari kiamat) tanpa ada perasaan
menyesal (takut) dan (sedar) meninggalkan perbuatan maksiat itu (tanpa
benar-benar bertaubat kepada Allah), maka inilah orang yang telah ditipu
(syaitan)".
Maka jelas bahawa memiliki sifat mengharapkan keampunan dari Allah
SWT tanpa melakukan usaha meninggalkan hal maksiat tersebut adalah suatu
pengharapan yang sia-sia sahaja. Dalam bahasa yang difahami sekarang adalah
seperti harapan palsu. Ini kerana berharap diampunkan tetapi tidak berusaha
kearah keampunan Nya, maka ianya adalah palsu dan tidak bermakna apa-apa. Tidak
lebih sekadar sia-sia semata-mata. Oleh kerana yang demikian, tidaklah salah
memiliki sifat berharap kepada Allah SWT malah itulah sifat yang perlu ada di
dalam diri manusia. Namun memiliki perasaan sedemikian tidak memadai andai
tidak didatangi dengan usaha dan tindakan yang sepatutnya. Hakikatnya, sifat
Raja dengan kata lain berharap rahmat dan keampunan dari Allah adalah suatu
sifat yang sewajarnya mendorong diri manusia untuk melakukan perubahan dan
bukannya terus merasa lega dan selamat untuk melakukan maksiat kerana sifat
berharap diampunkan Allah. Sifat Raja' mendidik umat manusia agar jangan mudah
cepat berputus asa dengan rahmat Allah. Selain sifat demikian juga mengajar
umat manusia untuk jangan berasa selamat untuk berbuat maksiat meski Allah itu
Maha Pengampun. Demikianlah sifat Raja' yang juga termasuk dalam sifat-sifat
yang terpuji. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan