Selasa, 9 Jun 2026

KESESATAN AJARAN THE AHMADI RELIGION OF PEACE AND LIGHT

 

Ancaman serangan pemikiran adalah sesuatu perkara yang tidak boleh sama sekali dipandang remeh dan enteng. Serangan pemikiran pada era dunia moden kini tidak lagi bergerak sebagai sebuah entiti yang tersembunyi sebaliknya mereka semakin berani menampilkan diri sekaligus bertindak agresif menyebarkan dakyah-dakyah kesesatan di tengah-tengah masyarakat. Dunia yang semakin canggih menjadi ianya semakin hilang persempadanan maklumat. Lambakan maklumat yang hanya boleh diakses di hujung jari menambahkan kebimbangan kepada warga dunia sekarang yang mahu mencari sesuatu yang disebut sebagai kebenaran. Apabila kesahihan dan ketepatan maklumat tidak lagi menjadi pertimbangan utama, maka serangan pemikiran mulai menguasai umat manusia dengan menawarkan pelbagai teori-teori yang dapat menarik perhatian warga antarabangsa.

Kemunculan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light atau Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya, telah mengejutkan masyarakat Islam. Secara asasnya, ajaran ini diketuai oleh seorang individu yang mengaku bahawa dirinya ialah Imam al-Mahdi dengan mengelarkan dirinya dengan nama Abdullah Hashem Aba al-Sadiq. Watak terpenting dalam gerakan ajaran ini yang bernama Abdullah Hashem ialah seorang warganegara Amerika Syarikat. Ayahnya yang bernama Karam Hashem berasal dari Mesir dan telah berpindah ke Amerika Syarikat hingga kemudiannya berkahwin dengan Lisa Kay Coleman. Dalam dapatan kajian yang dibuat, ajaran sesat ini berasaskan kepada ajaran kumpulan keagamaan yang wujud sebelumnya iaitu Ansar al-Imam al-Mahdi atau juga dikenali dengan nama Ansar al-Mahdi. Gerakan Ansar al-Mahdi diasaskan oleh Ahmad bin Ismail bin Salih bin Salman Al Salamy yang menggelarkan dirinya sebagai Ahmad al-Hasan al-Yamani sebagai merujuk kepada konsep al-Yamani yang merupakan pembantu kepada Imam Mahdi.




Ajaran sesat Ansar al-Mahdi yang diketuai oleh Ahmad al-Hasan telah bermula gerakannya pada tahun 1993. Gerakan ini bermula rentetan daripada dakwaan Ahmad al-Hasan berkaitan Nabi Muhammad SAW telah mewasiatkan kepadanya terdapat 12 imam-imam Mahdi dan 12 imam Mahdi merupakan penolong-penolong kepada Imam Mahdi yang utama dan terakhir. Abdullah Hashem yang merupakan pengasas kepada ajaran Ahmadi Religion of Peace and Light, mula mengenali Ahmad bin Ismail atau dikenali dengan Ahmad al-Hasan sekitar tahun 2000. Beliau sangat terpengaruh dengan ajaran kumpulan Ahmad al-Hasan iaitu Ansar al-Mahdi. Pada sekitar tahun 2009 dan 2010, Abdullah Hashem telah kembali berpindah ke Mesir dan pada tahun yang sama beliau telah mula mendalami ajaran Syiah secara lebih serius dan semakin menekuni ajaran Ahmad al-Hasan. Sebahagian besar ajaran-ajaran yang dibawa oleh Ahmad al-Hasan telah menjadi rujukan terpenting dan pegangan utama oleh Abdullah Hashem yang kemudiannya telah menjadi pegangan Ahmadi Religion of Peace and Light.

Sejak menetap dan berpindah ke Mesir, Abdullah Hashem bergiat aktif memanggil rakan dan kenalannya untuk bersama beliau memahami dasar-dasar ajaran Ahmad al-Hasan. Pada tahun 2011 hingga 2014, kumpulan Ahmadi Religion of Peace and Light ini mulai berkembang sedikit demi sedikit yang akhirnya berubah menjadi sebuah kumpulan keagamaan yang baharu. Tanggal 13 Januari 2015, suatu tarikh keramat dan bersejarah bagi mereka apabila Abdullah Hashem, pengasas ajaran sesat ini mengumumkan bahawa dirinya telah dilantik menjadi Imam Mahdi yang kedua daripada senarai 12 Imam Mahdi tersebut selepas Ahmad al-Hasan. Beliau telah menggelarkan dirinya sendiri dengan gelaran Sahib Misr (sahabat dari Mesir), al-Qa'im (pembangkit) atau Qa'im Ali Muhammad (pembangkit keluarga Muhammad). Gelaran-gelaran ini diwujudkan sebagai merujuk kepada peranannya sebagai pembantu Imam Mahdi sebagaimana yang terdapat dalam riwayat-riwayat hadith palsu oleh Syiah. Usaha berterusan terus dipergiatkan bagi menyebar luaskan lagi ajaran mereka ini. Selangkah lagi ke hadapan, Abdullah Hashem bersama rakan-rakan yang terpengaruh dengannya telah menubuhkan Black Banners of the East sebagai suatu langkah serius bagi menjadi para penolong Imam Mahdi selain bersedia berhadapan dengan ancaman akhir zaman.

Ajaran Ahmadi Religion of Peace and Light ini yang berpusat di Mesir kemudiannya berkembang dengan cepatnya ke seluruh dunia. Kumpulan ini mulai membuka cawangan gerakan mereka sejak 2015 di beberapa buah negara seperti Jerman, Sweden dan United Kingdom. Setelah itu, ibu pejabatnya telah berpindah ke Jerman pada tahun 2017 dan berpindah semula ke Sweden sekitar tahun 2018. Pada tahun yang sama, kumpulan ini kemudiannya telah menukar kepada nama rasmi mereka "The Ahmadi Religion of Peace and Light". Perkataan “Ahmadi” tersebut adalah nisbah kepada guru Abdullah Hashem iaitu Ahmad al-Hasan al-Yamani. Ajaran Abdullah Hashem banyak termuat dalam karya buku tulisannya bertajuk The Goal of The Wise : The Gospel of Riser of The Family of Mohammed. Buku ini adalah merupakan kitab suci bagi mereka selain menjadi bahan rujukan terpenting bagi kumpulan sesat ini. Pada masa kini, kumpulan ajaran sesat ini sangat bergiat aktif menyebarkan fahaman songsang mereka ini di pelbagai platform saluran media sosial seperti di Tiktok dan Youtube. Data terkini menunjukkan sejumlah 30, 000 lebih pengikut akaun mereka di aplikasi Tiktok dan seramai 24.3k pengikut di saluran Youtube.




Antara kepercayaan dan fahaman songsang yang mereka pegang dan sebarkan ialah mengenai konsep reinkarnasi atau bahasa mudahnya penjelmaan semula. Mereka percaya pada konsep ini dan yakin Imam Mahdi telah muncul dan akan muncul dan menjelma kembali ke dunia ini. Selain itu, mereka juga turut mendakwa para utusan Tuhan adalah terdiri daripada pelbagai manusia yang berwibawa dan hebat yang datangnya dari pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle, Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW. Selain ajaran ini juga berpegang kepada konsep Imam 12. Konsep Imam 12 ini atau dikenali juga dengan istilah Syiah Ithna 'Asyriyyah, merupakan satu mazhab syiah yang terbesar yang wujud hingga ke masa kini. Mazhab ini juga merupakan mazhab rasmi bagi negara Iran. Konsep Imam 12 ini menekankan mengenai al-Imamah iaitu bermaksud imam dan pemimpin umat Islam. Bagi mereka yang berpegang kepada konsep ini, mereka percaya pemimpin umat Islam mestilah dikalangan orang-orang maksum yang telah dilantik oleh Allah SWT menerusi nas Nabi SAW. Kerana itu syiah banyak mereka cipta hadith demi menghalalkan tujuan politik mereka.

Namun begitu meskipun ajaran kumpulan sesat ini bersendi dari ajaran syiah, para ulama syiah masa kini menyifatkan ajaran ini telah sesat jauh dan menyimpang dari ajaran syiah sebenar. Selain itu, antara ajaran sesat yang dianuti oleh ajaran ini ialah cita-cita Abdullah Hashem untuk menggantikan syariat Nabi Muhammad SAW kepada syariat Ahmad al-Hasan. Maka tidak peliklah jika kita melihat mereka mempertikaikan syariat solat yang umat Islam laksanakan pada hari ini. Mereka juga turut mendakwah kedudukan Kaabah yang sebenarnya adalah terletak di Petra, Jordan. Asal kepada dakwaan ini telah dipopularkan oleh seorang penulis di Kanada bernama Danial Gibson atau dikenali juga sebagai Dan Gibson. Beliau lah watak utama dan terpenting yang memulakan naratif Kaabah terletak di Petra dan bukannya di Makkah. Kumpuan sesat ini juga percaya akan naratif batil ini. Begitu juga pelbagai dakwaan-dakwaan batil yang menjadi pegangan mereka antara lain mereka mendakwa Tuhan memerintahkan Nabi Adam dan keturunannya untuk mengamalkan taqiyyah (menyembunyikan kepercayaan sebenar) dalam beragama. Mereka juga turut percaya Nabi Isa ialah Malaikat Jibril AS dan pelbagai lagi dakwaan pelik dan songsang yang menjadi pegangan sesat kumpulan ini.




Sesungguhnya ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light boleh kita sifatkan ianya sebagai sebuah kumpulan sesat serpihan syiah yang mengamalkan konsep kultus yakni mengagungkan dan mensucikan ketua mereka yang bernama Abdullah Hashem. Pada konteks Malaysia, beberapa buah negeri telah mengeluarkan fatwa kesesatan ajaran tersebut antara lain keputusan fatwa negeri Perlis tahun 2025, dinyatakan dakwaan-dakwaan ajaran ini adalah dakwaan sesat bahkan kufur. Mana-mana orang Islam yang percaya akan ajaran ini dikira sesat malah terkeluar dari Islam. Fatwa negeri Pahang tahun 2024 telah memutuskan bahawa ajaran ini adalah sesat dan menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak. Negeri Johor melalui Jawatankuasa Fatwanya pada tahun 2024, telah membuat keputusan bahawa ajaran tersebut adalah sesat dan menyeleweng. Di peringkat kebangsaan, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah sesat dan menyeleweng. Demikianlah sebahagian besar penjelasan mengenai kesesatan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light. Seharusnya kita semua mengambil perhatian agar kita tidak terjebak dengan dakyah-dakyah karut dan sesat kumpulan ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan