Perkahwinan yang terbina adalah hasil daripada pemeteraian komitmen
hidup dan janji yang melibatkan kedua-dua belah pihak antara suami dan isteri.
Komitmen untuk hidup saling berkongsi rasa susah dan senang bersama selain
berusaha menjadi yang terbaik untuk pasangan adalah suatu manifestasi yang
tercipta diatas perasaan kasih dan sayang. Sememangnya Islam meletakkan tujuan
utama perkahwinan itu adalah sebagai ibadah bagi mencapai perasaan kasih,
bahagia dan tenang dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga. Oleh kerana
itu, pada hakikatnya tidak ada sesiapa pun yang waras akalnya berkahwin membina
rumah tangga dengan pasangan pada hari ini adalah untuk bercerai pada kemudian
harinya melainkan pada mereka yang berkahwin dengan niat untuk cerai dan
bekahwin semula dengan bekas suaminya yang dahulu. Perbuatan tersebut juga
dikenali sebagai perkahwinan cina buta.
Istilah "Kahwin Cina Buta" adalah sangat
sinonim dengan masyarakat kita khususnya di Malaysia. Pada asalnya, di dalam
Islam tidak ada suatu jenis perkahwinan yang disebutkan sebagai kahwin cina
buta. Kalau kita teliti makna pada istilah kahwin cina buta ini, ianya merujuk
kepada suatu bentuk perkahwinan yang bersifat kontrak yang padanya terdapat
perjanjian untuk bercerai dalam tempoh tertentu. Ini bermakna, seseorang
perempuan yang berstatus janda, dinikahi oleh seorang lelaki lain akan
diceraikan pada tempoh tertentu bagi membolehkan perempuan tersebut berkahwin
semula dengan suami yang pertamanya. Inilah yang difahami sebagai kahwin cina
buta. Dalam syariat Islam, meskipun tidak ada istilah kahwin cina buta, namun
di sana terdapat suatu jenis nikah yang sama konsepnya dengan kahwin cina buta
dan jenis nikah tersebut disebut sebagai Nikah Tahlil atau Nikah
Muhalil. Nikah Tahlil/Muhalil ini secara dasarnya adalah pernikahan bersama
suami baru yang tujuannya untuk menghalalkan bekas isteri yang dicerai oleh
bekas suami dengan syarat dan perkara yang telah dipersetujui bersama.
Maka apakah boleh jenis nikah atau perkahwinan sebegini dilakukan ? Sebelum pada kita melihat persoalan ini, sebaiknya kita perlu fahami dahulu kenapa kahwin cina buta ini dilakukan. Dalam syariat Islam, terdapat padanya pensyariatan talak atau syariat penceraian. Bagi sebuah perkahwinan, hukum asal kuasa penceraian itu adalah berada di tangan suami. Kuasa cerai atau talak ini asalnya boleh digunakan oleh suami sebanyak dua kali. Ini bermaksud suami boleh menceraikan isterinya sebanyak dua kali dan pada masa sama jika difikirkan mahu untuk berbaik semula, boleh baginya untuk merujuk yakni kembali kepada isterinya. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 229, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.
Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara
yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik..."
Namun begitu, jika suami menceraikan isterinya semula selepas talak
yang kedua, maka talak tiga akan berlaku dan penceraian talak tiga ini
membuatkan suami isteri tersebut tidak boleh lagi kembali rujuk sebagai suami
isteri. Sekiranya mahu kembali juga, maka bekas isteri tersebut haruslah
dinikahi oleh seorang lelaki lain dan diceraikannya. Maka barulah suami yang
asal tadi boleh kembali semula dengan bekas isterinya tadi dengan akad nikah
yang baru. Hal ini juga sebagaimana yang telah diterangkan oleh Allah Azza Wa
Jalla di dalam al-Quran melalui surah al-Baqarah ayat 230, firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi
kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu,
sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan
(oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan
bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka
kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah
aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu)
mengetahui dan memahaminya."
Oleh itu bagi mencapai tujuan untuk membolehkan suami kembali
bersama dengan bekas isterinya yang telah ditalak tiga, maka pilihan yang ada
adalah dengan melakukan perkahwinan cina buta demi memenuhi tujuan tersebut.
Berbalik kepada persoalan pokoknya, apakah Islam membenarkan konsep kahwin cina
buta ini dilakukan ? Jawapannya ialah Islam mengharamkan sebarang perkahwinan
yang dibina dengan atas apa jua nama sekalipun yang berkonsepkan kahwin cina
buta tersebut. Ini kerana konsep perkahwinan tersebut dibina diatas tujuan dan
cara yang salah dan tidak betul sama sekali. Apabila sesebuah perkahwinan
tersebut diletakkan syarat tertentu yang menetapkan beberapa perkara yang tidak
disyariatkan, maka ianya menjadikan suatu perkahwinan yang fasik (rosak) dan
batil. Malah perkahwinan sebegini dilaknat oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah
hadith riwayat Tirmizi, daripada Ibnu Mas'ud RA bahawa beliau berkata :
“Rasulullah SAW melaknat seseorang yang menikahi wanita yang
ditalak 3 dengan niat untuk menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas
siapa yang dia dihalalkan.”
Dalam hadith yang lain, sebagaimana sebuah hadith riwayat al-Hakim
dalam al-Mustadrak, daripada Uqbah bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Mahukah kalian aku beritahukan mengenai kambing yang dipinjam
? Sahabat menjawab : Ya lalu baginda menjawab: Dia adalah Muhallil, Allah
melaknat seseorang yang menikahi wanita yang ditalak 3 dengan niat untuk
menjadikan halal kepada bekas suami dan ke atas siapa yang dia dihalalkan.”
Berdasarkan hadith ini, Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Bassam menukilkan
dalam kitabnya Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, dengan menyebut
bahawa hadith ini menyatakan hukum haram nikah tahlil (kahwin cina buta) dan
pengharaman ini jelas menunjukkan perkahwinan tersebut adalah batil. Telah
berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa para ulama telah
bersepakat tentang pengharaman nikah al-Muhalil atau difahami juga sebagai
kahwin cina buta. Selain itu, telah berkata Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Zad
al-Ma'ad, dengan menyebut bahawa Rasululllah SAW melaknat kedua-duanya.
Sama ada pengkhabaran tersebut datang dari Allah SWT tentang jatuhnya laknat ke
atas mereka atau doa ke atas mereka dengan laknat. Ini menunjukkan bahawa
perbuatan tersebut adalah haram dan ia termasuk dalam dosa-dosa besar.
Dalam pada itu, dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,
dijelaskan bahawa majoriti ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Syafi’e dan
Hanbali berpandangan bahawa rosaknya perkahwinan seperti ini. Yang demikian
kerana nikah dengan syarat untuk menghalalkan termasuk dalam makna nikah
kontrak. Mensyaratkan masa tertentu dalam pernikahan adalah terbatal.
Selagimana perkahwinan itu rosak, maka perkahwinan itu tidak boleh dihalalkan.
Demikianlah antara penjelasan yang berkaitan dengan konsep kahwin cina buta
ini. Melihat kepada perbahasan yang diutarakan, maka sudah jelas terang lagi
bersuluh bahawa pengamalan perkahwinan berkonsepkan kahwin cina buta ini
dilarang dan ditegah oleh Islam malah hukumnya adalah haram untuk diamalkan.
Selain dikuatkan pula dengan hadith Nabi SAW yang melaknat mereka yang
terlibat, ini juga menjadi amaran kepada orang Islam supaya tidak mencuba untuk
bermain-main dengan syariat Islam. Dalam erti kata mudah, janganlah kita cuba
untuk menipu Tuhan dengan mengamalkan konsep kahwin cina buta tersebut.
Sesungguhnya perkahwinan adalah syariar yang mulia maka janganlah kita
mencemarinya dengan perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul Nya. Semoga
Allah mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan