Jumaat, 19 Jun 2026

BENARKAH JIN BOLEH MENYEMBUNYIKAN MANUSIA ?

 

Hakikat yang tidak dapat kita nafikan ialah tentang soal perkongsian hidup manusia di alam ini dengan para makhluk yang lainnya. Baik makhluk secara zahir yakni yang boleh dilihat dengan jelas seperti pokok, tumbuhan dan haiwan mahupun makhluk yang tidak dapat dilihat secara fizikal oleh manusia seperti jin, iblis dan syaitan. Kita semua yang digelar sebagai makhluk berkongsi alam dunia yang sama tetapi memiliki dimensi yang berbeza-beza dengan makhluk lain yang bergelar jin. Maka tidak peliklah untuk kita katakan bahawa di alam ini adanya makhluk lain yang hidup seperti kita, makan dan minum, berkahwin dan beranak-pinak sama seperti kita namun keberadaanya di alam ini tidak dapat kita lihat dengan mata kasar. Pun begitu, oleh kerana kewujudan makhluk ini pada sisi ghaib, maka al-Quran dan hadith menjadi panduan rujukan umat manusia bagi mengenali dan memahami makhluk ini.

Perkataan "Jin" merupakan kosa kata daripada bahasa Arab. Dalam pada kita menyelusuri maksud perkataan jin ini, di dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa istilah jin berbeza dengan perkataan insan. Lafaz Waajanahu (وأجنه) bermaksud apabila dilindungi sesuatu. Dan bagi setiap sesuatu yang tertutup daripada kamu maka sesungguhnya dinamakan al-junna (جن) iaitu dilindungi yakni tidak boleh dilihat daripada kamu. Ibnu Manzur menjelaskan dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung daripada pandangan ia daripada perut ibunya. Pada sudut lafaznya, perkataan jin berakar dari perkataan jann (جنن) yang bermaksud tertutup, tersembunyi atau terlindung. Selain itu, menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan jin merujuk kepada makna makhluk Allah yang diciptakan Allah daripada api. Maka secara ringkasnya, perkataan jin merujuk kepada maksud tertutup, terlindung, tidak ternampak dan yang seumpama dengannya.




Sebelum kita menjawab persoalan utama ini, harus kita fahami dahulu beberapa perihal yang berkaitan makhluk yang bernama jin ini. Sepertimana dikalangan manusia, ada yang beriman dan ada yang kafir. Dalam kalangan manusia yang beriman pula, ada yang soleh (baik) dan sebaliknya ada yang tidak soleh. Begitu juga pada mereka yang bergelar jin. Dikalangan jin, ada yang beriman kepada Allah Azza Wa Jalla dan ada juga yang tidak beriman. Ada yang baik dan ada juga yang jahat. Hal ini sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT berkaitan pengakuan yang dibuat oleh mereka sendiri tentang hakikat diri mereka. Di dalam surah al-Jin ayat 11, yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza".

Oleh kerana itu, ada dikalangan mereka yang dikenali sebagai Jin Islam dan ada pula yang digelar sebagai Jin Kafir. Selain itu, hakikatnya golongan iblis dan syaitan adalah merupakan golongan yang berasal dari kalangan jin. Namun bukanlah semua jin itu adalah iblis dan syaitan. Bagi golongan jin, pada hari akhirat kelak mereka akan diadili sama seperti umat manusia yang lainnya. Akan diperhitungkan segala amal baik dan buruk lalu akan dihukumkan oleh Allah SWT. Ini berbeza dengan golongan iblis dan syaitan dimana Allah SWT telah menjanjikan tempat pulang mereka ini adalah di neraka dan kekal di dalamnya sampai bila-bila. Di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan beberapa ciri fizikal yang ada pada jin. Antaranya jin memiliki hati, mata dan telinga. Ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-A'raf ayat 179 yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah)."




Demikian antara sebahagian perihal yang menceritakan tentang hakikat makhluk yang bernama jin. Menjawab persoalan utama yang sering berlegar di fikiran kita iaitu adakah boleh jin menyembunyikan atau menculik manusia ? Jawapannya ialah boleh berdasarkan beberapa petunjuk melalui hadith baginda Nabi Muhammad SAW. Pertamanya, tercatat suatu kisah dimana para sahabat Nabi SAW tercari-cari baginda pada suatu malam. Tetapi mereka tidak menemui baginda. Maka ada dikalangan sahabat baginda Nabi menyangka kemungkinan baginda diculik oleh jin. Kisah ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Alqamah ibnu Mas'ud RA beliau berkata yang bermaksud :

"Aku bertanya kepada Abdullah ibnu Mas’ud RA, “Apakah Rasulullah SAW membawa seseorang dari kalian di malam jin?” Ibnu Mas’ud r.a. menjawab, “Tiada seorang pun dari kami yang menemaninya, tetapi kami merasa kehilangan beliau di suatu malam di Mekah, maka kami mengatakan, ‘Beliau diculik.’ Aku merasa curiga, dan kami tidak dapat memikirkan apa yang harus kami perbuat.” Ibnu Mas’ud melanjutkan kisahnya, bahawa malam itu kami jalani dengan perasaan tidak menentu. Dan ketika malam menjelang Subuh atau di waktu sahur, tiba-tiba kami melihat baginda SAW dalam kegelapan datang dari arah Hira. Lalu kami berseru, “Wahai Rasulullah!” Kemudian kami menceritakan kepadanya perihal kecemasan kami terhadap baginda selama baginda tidak bersama kami. Maka baginda SAW menjawab : "Sesungguhnya telah datang kepadaku utusan dari jin, maka aku temui mereka dan kubacakan (Al-Qur’an) kepada mereka. Kemudian Nabi SAW pergi dan memperlihatkan kepada kami bekas perapian mereka dan jejak-jejak mereka."




Berdasarkan hadith ini, menjelaskan kepada kita bahawa baginda Nabi Muhammad SAW pernah hilang seketika daripada pandangan manusia yang lain kerana pergi berdakwah kepada bangsa jin. Dan kehilangan baginda Nabi tersebut telah menimbulkan keraguan dan syak wasangka sehingga ada yang beranggapan bahawa jin telah menculik Nabi. Ini menunjukkan bahawa jin mampu dan boleh menghilangkan seseorang manusia daripada penglihatan dan pandangan manusia lain. Selain itu, juga terdapat satu kisah lain mengenai seorang lelaki yang telah lama hilang di zaman Umar bin al-Khattab. Kisah ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani, daripada Abdul Rahman bin Abi Laila katanya yang bermaksud :

“Seorang lelaki daripada golongan Ansar, keluar untuk menunaikan solat Isyak bersama kaumnya, lalu dia diculik oleh jin dan hilang tanpa jejak. Isterinya kemudian datang kepada Umar bin al-Khattab RA dan menceritakan kisah tersebut. Lalu Umar bertanya kepada kaumnya tentang lelaki itu, dan mereka berkata: "Ya, dia keluar untuk solat Isyak, kemudian dia hilang." Maka Umar memerintahkan agar isterinya menunggu selama empat tahun. Apabila tempoh empat tahun berlalu, wanita itu kembali kepada Umar dan memberitahunya bahawa suaminya masih tidak muncul. Umar sekali lagi bertanya kepada kaumnya, dan mereka mengesahkan perkara yang sama. Maka, Umar membenarkan wanita itu untuk berkahwin dengan lelaki lain, lalu wanita itu pun berkahwin. Tidak lama selepas itu, suami pertamanya kembali dan membawa kes ini kepada Umar bin al-Khattab RA membuat aduan. Maka Umar berkata: "Seseorang daripada kalian hilang dalam tempoh yang begitu lama, sehingga keluarganya sendiri tidak tahu sama ada dia masih hidup atau sudah mati?" Lelaki itu menjawab: "Saya mempunyai alasan, wahai Amirul Mukminin!" Umar bertanya: "Apakah alasanmu?" Lelaki itu berkata: "Saya keluar untuk solat Isyak, lalu jin menculik saya. Saya tinggal bersama mereka untuk satu tempoh yang sangat lama. Kemudian, sekumpulan jin mukmin (atau Muslim, perawi (Sa‘id) ragu-ragu) berperang melawan mereka. Jin mukmin itu menang dan menawan sebahagian jin yang kalah, termasuk saya. Ketika mereka melihat saya, mereka berkata: 'Kami melihat bahawa kamu seorang Muslim, dan tidak halal bagi kami untuk menawanmu.' Maka mereka memberi saya pilihan, sama ada saya mahu tinggal bersama mereka atau kembali kepada keluarga saya. Saya memilih untuk pulang. Mereka pun bergabung dengan saya membawa saya pulang. Pada waktu malam, mereka tidak berbicara dengan saya, tetapi pada waktu siang, saya hanya mengikuti tongkat untuk memandu saya pulang." Maka Umar bertanya kepadanya: "Apa makananmu selama bersama mereka?" Lelaki itu menjawab: "Kacang kuda, dan makanan yang tidak disebut nama Allah padanya." Umar bertanya lagi: "Apa minumanmu?" Lelaki itu menjawab: "Al-Jadaf." Qatadah menjelaskan bahawa al-Jadaf ialah minuman yang tidak ditutup. Lalu Umar memberikan pilihan kepada lelaki itu, sama ada mengambil kembali mas kahwin (mahar) yang diberikan kepada isterinya atau menerima isterinya kembali sebagai isterinya."

Demikianlah sebahagian kisah berdasarkan hadith Nabi Muhammad SAW berkaitan jin boleh menculik atau menyembunyikan manusia. Pada zaman realiti hari ini, tidaklah pelik kejadian misteri kehilangan orang di hutan, di laut atau dimana sahaja dikaitkan dengan makhluk yang bernama jin. Namun begitu, janganlah pula kita bersikap terlalu simplistik tanpa berusaha mencari orang hilang hanya kerana menyangka telah disembunyikan oleh jin. Dalam pada kita berusaha mencari orang hilang, janganlah kita melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat walau tujuannya baik untuk membantu. Kerana di dalam Islam, tujuan yang baik tidak akan menghalalkan cara yang tidak baik. Kesimpulannya, makhluk yang bernama jin sememangnya boleh dan mampu menculik atau menyembunyikan manusia. Dalam pemahaman masyarakat alam nusantara, jin yang menculik manusia tersebut dikenali sebagai bunian. Walhal, bunian hanyalah nama semata-mata yang bersifat setempat namun hakikatnya kerja tersebut dilakukan oleh makhluk yang bernama jin. Kemampuan serta kebolehan mereka ini tentunya berlaku dengan izin Allah Azza Wa Jalla. Maka berusaha serta berserah lah kepada Allah dan jangan sesekali terpesong ke jalan kesyirikan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan