Khamis, 1 Oktober 2026

HAKIKAT GOLONGAN PENUNGGANG AGAMA

 

Umum ketahui, kehidupan beragama telah menjadikan manusia itu berada di dalam displinnya yang tersendiri. Ini terbukti apabila seseorang yang menganuti sesuatu agama dan kepercayaan, maka segala arahan yang bersifat suruhan dan tegahan pastinya akan dilakukan dengan penuh patuh dan taat. Ternyata bahawa kepatuhan kepada intipati ajaran agama secara tidak langsung membentuk keperibadian yang luhur dan baik. Islam yang merupakan agama yang membawa mesej keamanan, kedamaian dan keselamatan sememangnya mengajar umatnya untuk menjadi orang yang melakukan kebaikan kepada semua manusia tanpa mengira batas dan perbedaan agama, bangsa dan kaum. Kerana itu, Islam mengetengahkan istilah kesederhaan yang mencerminkan ajaran Islam sebenar. Namun tidak kita nafikan, terdapat kelompok yang telah menjadikan agama sebagai senjata laris untuk mencari habuan dunia.

Frasa "Penunggang Agama" terbentuk daripada dua gabungan kata iaitu "Tunggang" dan "Agama". Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan penunggang dimaksudkan sebagai orang yang menunggang atau menunggangi sesuatu. Selain itu, tunggang pula merujuk kepada maksud duduk diatas sesuatu sebagai alat yang dikenderai atau dinaiki dengan duduk bercelapak diatasnya. Sementara itu perkataan agama pula membawa maksud sebagai kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran dan perintah Nya, kepercayaan pada yang Maha Kuasa. Selain itu, perkataan agama juga dapat difahami sebagai kepercayaan pada sesuatu dewa dan lain-lain yang dipuja dan dianggap sebagai sesuatu yang bersifat amat berkuasa. Dalam Islam, agama disebut sebagai al-Din (الدين). Berdasarkan nukilan dari kitab Kasyaf Istilahat al-Funun, perkataan al-Din membawa banyak maksud yang antara lainnya adalah maksud memiliki, mengatur, menghukumi, memaksa dan lain-lain lagi.




Secara ringkas, frasa penunggang agama merujuk kepada maksud kelompok umat manusia yang bernampilan Islam namun tidak mengamalkan ajaran Islam dengan benar malah menjadikan penampilan beragama mereka itu sebagai habuan meraih keuntungan dunia semata-mata. Dalam pada kita berbicara tentang penunggang agama ini, teringat akan satu hadith baginda Nabi Muhammad SAW yang menceritakan mengenai sekumpulan manusia pada akhir zaman akan menjual agama. Ini sepertimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Akan timbul pada akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka merupakan hati serigala (mempunyai tujuan yang jahat). Allah SWT berfirman kepada mereka, 'Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku ? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku ? Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi kepada mereka sehingga orang yang alim pun akan menjadi bingung (disebabkan fitnah itu)".

Secara jelas berdasarkan hadith ini, menggambarkan kepada kita bahawa terdapat sekumpulan manusia yang menjadikan agama ini sebagai alat untuk meraih habuan dan keuntungan dunia. Bagi mereka penunggang agama ini, agama hanya sekadar barangan dagangan atau kosmetik sedangkan tujuan utama yang lebih besar bagi mereka adalah untuk meraih sebanyak mungkin keuntungan duniawi. Mudah kata, agama dijadikan sebagai alat untuk kepura-puraan semata demi mencapai matlamat yang sangat jauh daripada agama. Golongan seperti ini hakikatnya adalah merupakan golongan penipu, pendusta dan pembohong. Perbuatan berbohong mereka ini tidak jauh bandingannya seperti orang munafik. Munafik seperti yang tercatat di dalam kitab Lisan al-'Arab, menurut Abu 'Ubaid al-Qasim bin Sallam, dinamakan munafik juga kerana ia menyorok di dalam lubang seperti tikus penggali yang menyorok di dalam lubang galiannya. Begitulah juga dengan orang munafik, mereka memasuki Islam kemudian keluar menuju ke arah kekufuran sepertimana perbuatan tikus penggali ini.




Golongan penunggang agama ini tidak jauh beza dengan golongan munafik dimana mereka pada zahirnya dilihat seperti Islam dengan penampilnnya dan perwatakannya namun mereka mempunyai agenda munafik bagi mencapai cita-cita mereka meraih keuntungan duniawi. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Tanda munafik itu ada tiga iaitu jika bercakap dia bohong, jika berjanji dia mengingkari dan jika diberi amanah dia khianat".

Demikian golongan ini memiliki sifat pembohong dengan menjadikan agama sebagai alat keuntungan. Hakikat sebenar golongan penunggang agama ini bukanlah terdiri daripada mereka yang mengamalkan agama dengan baik. Namun, golongan ini memiliki kepetahan dalam berkata-kata, bijak mengemukakan hujah yang bersifat menarik dan mempersona sehingga mampu mempengaruhi banyak orang. Kelebihan yang ada pada diri mereka itu benar-benar digunakan dengan sebaiknya demi mendapatkan habuan di dunia. Secara sedar dan sengaja, mereka ini sanggup menggadaikan agama demi memperlihatkan merekalah yang terpaling beragama, terpaling soleh, terpaling zuhud dan lain-lain yang terpaling semata-mata untuk mendapat laba. Sebenarnya perbuatan tidak bermaruah mereka ini bukan sahaja membohongi orang lain bahkan telah membohongi diri sendiri. Akibat daripada perbuatan mereka ini boleh mengundang persepsi yang salah terhadap Islam selain mampu merosakkan imej agama yang benar.

Tidak keterlaluan untuk kita katakan sebenarnya golongan yang dikatakan penunggang agama ini adalah golongan yang jahil dalam agama. Tetapi mereka bersikap berpura-pura alim dan berpengetahuan. Tiap perkataan yang keluar daripada mulut mereka dipenuhi dengan kata-kata manis bersalutkan agama selain perbuatan yang mereka tonjolkan persis mereka cinta akan agama dan benci akan dunia. Walhal, mereka sendiri tidak mengetahui ajaran agama yang sebenar serta tidak mengamalkan tuntutan agama yang sebenar. Apa yang pasti, tujuan dan matlamat kehidupan mereka hanyalah untuk meraih laba dunia dengan sepuasnya. Mengungkap kata-kata Imam al-Syatibi dalam kitab al-Muwafaqat, beliau menyebut bahawa syariah diturunkan bagi memberi kebaikan kepada manusia. Maka jelas kepada kita apa yang diungkapkan oleh Imam al-Syatibi ini bermaksud sebarang perbuatan dan tindakan yang dilakukan yang memberikan implikasi buruk pada manusia, itu bukanlah hakikat daripada ajaran Islam yang sebenar. Oleh itu, mereka yang bergelar penunggang agama ini telah banyak memberikan imej buruk terhadap Islam selain mengundang pelbagai persepsi dan pandangan salah terhadap agama Islam.




Penunggang agama boleh sahaja berlaku dalam pelbagai sektor dan bidang yang mereka ceburi. Dalam bidang agama, ada yang menunggang agama dengan menjadikan ceramahnya sebagai jalan pendapatan. Berceramah sejam, membaca kitab sebaris dan kemudiannya bercerita atau membuat lawak sahaja tanpa memberikan penekanan terhadap tajuk yang dibicarakan. Dalam bidang ekonomi, ada yang menunggang agama dengan menjual air-air ruqyah atau jampi dengan harga yang tidak munasabah. Ada pula yang berniaga tasbih, jubah, serban dan lain-lain dengan menggunakan nama Nabi dan mereka cipta kelebihan dan khasiat tertentu lalu menyandarkan semua itu diatas nama agama. Dalam bidang politik, agama selalu menjadi senjata mereka bagi mengkafirkan golongan yang tidak berjuang bersama mereka, melabel yang berbeza haluan dengan mereka dengan pelbagai labelan selain hanya menganggap kumpulan mereka sahaja yang lebih islamik. Semua ini akan menjadikan agama sebagai alat mereka bagi mencapai keuntungan dunia.

Demikianlah sedikit penjelasan berkaitan golongan manusia yang bergelar penunggang agama. Sedarlah kita bahawa golongan ini telah banyak mencemarkan imej Islam sebenar. Ramai dikalangan orang awam tertipu dan terpengaruh dengan penampilan dan perwatakan mereka yang dilihat seperti ustaz dan ustazah, atau juga dilihat seperti memperjuangkan agama namun semua itu hanyalah topeng yang menutupi batin mereka yang bercita-cita untuk mengaut segala keuntungan di dunia ini. Agama Islam amat menekankan mengenai kepentingan mempelajari ilmu. Dengan mempelajari ilmu yang sahih, kita dapat melindungi diri kita, ahli keluarga serta komuniti dan masyarakat kita daripada mudah tertipu dan terpedaya dengan pendustaan mereka. Ilmu yang sahih adalah ilmu yang berlandaskan kepada syariat, dengan berpegang teguh kepada al-Quran dan al-Sunnah, nescaya kita tidak akan tersesat selama kita berpegang dengan keduanya. Semoga Allah Azza Wa Jalla mengampuni kita semua.