Lazimnya makhluk yang bernama manusia akan benar-benar menghargai
sesuatu perkara apabila perkara tersebut tidak dapat dinikmati dan dirasai
lagi. Begitu juga manusia akan mulai belajar menghargai seseorang apabila orang
tersebut telah tiada lagi di dunia ini. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik
namun itulah hakikat yang ada pada diri manusia. Setiap sesuatu yang dikatakan
nikmat, adalah ujian bagi tiap-tiap manusia untuk dinilai oleh Allah SWT bagi
melihat siapakah dikalangan hamba Nya yang bersyukur. Menyentuh soal syukur,
Buya Hamka ada menyebut tentang kedudukan orang bersyukur itu lebih tinggi dan
mulia berbanding kedudukan orang yang bersabar. Ini kerana sabar memerlukan
sebab tetapi syukur perlu sentiasa ada tanpa bersebab. Ini juga bermakna sifat
syukur tidak memerlukan kepada keadaan tertentu kerana kita sentiasa dituntut
untuk bersyukur tanpa mengira waktu senang dan susah. Bercakap tentang syukur
juga, kita tidak akan terlepas daripada menyentuh soal Qana'ah.
Perkataan Qana'ah (القناعة)
berasal dari kosa kata bahasa Arab. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang dicatat
oleh Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, ungkapan Qana'ah adalah
kata terbitan bagi kata kerja (قَنِعَ – يَقْنَعُ –
قُنُوعًا – قِنَاعَةً) yang merujuk kepada maksud reda.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan qana'ah membawa maksud sikap
berpada-pada iaitu berpuas hati dengan apa yang ada. Dalam pada itu, perkataan
qana'ah pada sudut istilahnya pula memiliki beberapa maksud yang tidak jauh bezanya
antara satu sama lain. Sebagai contoh, al-Qadhi 'Iyadh menjelaskan maksud
qana'ah ialah reda dengan pemberian Allah SWT. Ibn Miskawaih pula menjelaskan
sifat qana'ah itu ialah mudah, tidak merumitkan. Selain Imam al-Suyuti pula
berpandangan qana'ah ialah satu rasa kecukupan ketika ketiadaan perkara-perkara
biasa. Ada juga yang menyatakan bahawa qana'ah ialah soal ketenangan hati dalam
kehidupan. Secara rumusnya, qana'ah merupakan suatu sikap berpada-pada, berpuas
hati dan reda dengan apa yang dikurniakan Allah SWT.
Memahami sifat ini, Rasulullah SAW telah mengingatkan kita tentang
memiliki sifat tersebut. Hal ini sebagaimana yang tercatat dalam sebuah hadith
riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
“Jadilah orang yang wara’, maka engkau akan menjadi orang yang
paling ahli beribadah. Jadilah orang yang qana’ah, maka engkau akan menjadi
orang yang paling ahli bersyukur. Cintailah orang lain sebagaimana engkau
mencintai diri sendiri, maka engkau akan menjadi orang mukmin yang baik.
Berbuat baiklah kepada jiran tetanggamu, maka engkau akan menjadi orang Islam
yang baik. Sedikitkan ketawa, kerana banyak ketawa akan mematikan hati.”
Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa sifat qana'ah akan mendidik
umat manusia menjadi hamba yang tahu untuk bersyukur. Ianya adalah merupakan
sifat yang dipuji oleh Allah dan Rasul Nya. Sehubungan itu, kita sewajarnya
berusaha menanam sifat qana'ah ini di dalam diri agar kita menjadi hamba Nya
yang bijak untuk bersyukur. Bercakap tentang sifat yang terpuji ini, Imam Abu
al-Hasan al-Mawardi dalam kitabnya Adab al-Din wa al-Dunya, beliau telah
membahagikan kedudukan sifat qana'ah itu kepada tiga tingkatan. Tingkatan
pertama, apabila seseorang itu berasa puas dengan keperluan asas duniawinya dan
menjauhkan dirinya daripada mencari selain dari keperluan asas ini. Kata
sebahagian sasterawan : “Kadang-kadang, kesempitan lebih baik daripada
kelapangan, dan kesukaran lebih baik daripada kesenangan". Tingkatan
kedua pula ialah apabila berasa puas yang membawa kepada kecukupan sehingga
hilang rasa berkehendak kepada lebihan dan tambahan. Manakala tingkatan ketiga
pula ialah berasa kepuasan sehingga seseorang itu menerima sahaja apa yang ada,
tanpa membenci apa yang diperoleh walaupun banyak, dan tidak meminta yang sukar
dicapai walaupun sedikit. Ini merupakan tingkatan terendah bagi qana‘ah kerana
ia berada di antara keinginan dan keengganan. Keinginan itu, kerana dia tidak
menolak jika ada penambahan yang melebihi keperluannya. Manakala keengganan
pula, kerana dia tidak meminta perkara yang sukar diperoleh.
Sesungguhnya mereka yang memiliki sifat qana'ah adalah dikalangan
umat manusia yang berjaya. Ini kerana sifat yang mulia ini dapat mengekang diri
daripada terjerat dengan perasaan tamak haloba. Dalam hal ini, Rasulullah SAW
menyebut dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abdullah bin 'Amru RA,
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Sesungguhnya berjayalah mereka yang memeluk Islam, direzekikan
kecukupan, dan Allah membuatnya berasa puas dengan apa yang telah diberikan
kepadanya.”
Berdasarkan kefahaman hadith tersebut, mereka yang memiliki sifat
qana'ah ini disebut sebagai golongan yang berjaya. Ini kerana Allah Azza Wa
Jalla telah menjadikan dirinya berasa puas hati dengan merasa sentiasa cukup
dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT kepadanya. Ini juga membuatkan dirinya
tidak meminta-minta pada perkara yang berlebihan. Selain pada itu, barangkali
ada yang terfikir jika bersifat qana'ah itu bermaksud merasa sentiasa cukup,
maka mengapakah baginda Nabi mengajar kita berdoa dengan memohon kekayaan ?
Perkara seperti ini dilihat seperti bertembung dengan anjuran untuk kita
bersikap qana'ah. Doa tersebut sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith
riwayat Muslim, Tirmizi dan lain-lain, Rasulullah SAW mengajar doanya yang
bermaksud :
“Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk,
ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”
Menjawab persoalan tersebut, perkataan "kekayaan"
dalam doa yang diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW itu bukanlah bermaksud
kekayaan bersifat material iaitu wang dan harta, tetapi merujuk kepada makna
kekayaan jiwa. Sesungguhnya melalui doa tersebut, baginda Nabi Muhammad SAW
mengajar kita berdoa memohon kekayaan kepada Allah iaitu kekayaan jiwa dan
bukannya kekayaan harta. Ini kerana apabila jiwa seseorang itu telah kaya maka
dirinya tidak akan lagi berkehendak atau berkeinginan kepada kekayaan harta
yang dimiliki oleh orang lain. Demikianlah hakikat sebenar. Maka tidaklah
keterlaluan untuk kita katakan bahawa sifat qana'ah secara langsung menjadikan
jiwa kita sentiasa tenang dan damai selain tidak punyai sikap iri hati dan
dengki walau sedikit terhadap mereka yang dikurniakan rezeki yang lebih.
Memetik satu ungkapan kata hikmah yang dinisbahkan kepada Ibnu 'Abbas,
dinukilkan dalam kitab al-'Iqd al-Farid, beliau menyebut sifat qana'ah
itu merupakan harta yang tidak akan habis. Ungkapan ini jelas memberi isyarat
bahawa sifat qana'ah itu memiliki harga dan nilai yang tinggi, yang padanya
tiada tolak gantinya dengan kekayaan wang ringgit dan segala isi kemewahan.
Sifat qana'ah mengingatkan kita tentang ungkapan mulia oleh Imam
al-Syafi'i sebagaimana yang tercatat dalam Diwan al-Imam al-Syafi'i,
beliau menyebut yang bermaksud :
"Hamba itu merdeka selama mana dirinya bersifat qana'ah.
Sebaliknya orang merdeka menjadi hamba selama mana tamak. Maka berqana'ahlah
dan jangan tamak".
Selain itu, Muhammad al-Kattani menyebut dalam kitab al-Risalah
al-Qusyairiyah dengan beliau menyatakan sesiapa yang menjual loba dengan
qana'ah, maka dia akan memperoleh kemuliaan dan harga diri. Juga telah berkata
Abu Bakar al-Maraghi, beliau menjelaskan orang yang berakal sihat adalah orang
yang mengatur urusan dunia dengan sikap qana’ah dan memperlambat diri (kerana
sentiasa mengambil pertimbangan akhirat), dan dia mengatur urusan akhirat
dengan sikap loba dan mempercepat, serta mengatur urusan agama dengan ilmu dan
ijtihad. Demikianlah beberapa ungkapan mutiara yang benar-benar memberi hikmah
kepada kita. Islam bukanlah agama yang menentang usaha mencari kekayaan. Dalam
sejarah terpanjang umat Islam, ternyata wujud beberapa tokoh hartawan Islam
yang berjaya dan beriman kepada Allah, antaranya Uthman bin Affan, Abdul Rahman
bin Auf dan juga Abu Bakar al-Siddiq. Ini adalah antara sebahagian individu
yang kaya namun tetap bersikap qana'ah, tidak tamak dan suka bersedekah
berkongsi nikmat dengan yang lain. Ini bermakna Islam tidak benci dan anti
kepada kekayaan, sebaliknya Islam mengajar kita untuk tidak bersikap tamak dan
sentiasa merasa tidak cukup kerana itulah senjata halus yang dimiliki oleh
syaitan dan iblis untuk merosakan umat manusia. Semoga Allah merahmati kita
semua.

