Khamis, 9 Julai 2026

HAKIKAT JIN, IBLIS DAN SYAITAN

 

Setiap perkara yang bersifat ghaib iaitu yang tidak boleh dinampak, dilihat dan dirasai dengan pancaindera, memerlukan kepada kekuatan keimanan dalam menyakininya. Tanpa iman yang kukuh, apa sahaja perkara ghaib yang wujud pastinya kita menolak bulat-bulat akan hakikat tersebut. Ini kerana sesuatu yang ghaib itu tidak boleh dibuktikan dengan kajian saintifik. Sebab itu, manusia apabila hendak berinteraksi dan menerokai perkara yang bersifat ghaib, maka perlulah melihatnya dengan memahami teks wahyu al-Quran dan hadith. Tidak ada jalan ringkas lain yang boleh kita fahami akan perkara ghaib melainkan perlu merujuk kepada bicara Tuhan dan Rasul Nya melalui teks wahyu Islam. Allah SWT sebagai pencipta sekalian makhluk lebih tahu dan lebih faham malah lebih layak berbicara akan hal tersebut kerana Dia lah yang menjadikan makhluk-makhluk ini dengan berbagai jenis rupa dan bentuk.

Perkataan Jin, Iblis dan Syaitan  ialah kosa kata dari bahasa Arab. Pada sudut lafaznya, perkataan jin berakar dari perkataan jann (جنن) yang bermaksud tertutup, tersembunyi atau terlindung. Istilah jin sepertimana yang disebut oleh Ibnu Manzur, beliau menyebut dinamakan jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Pada sudut bahasa, perkataan jin itu sendiri membawa maksud lindung. Dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa istilah jin berbeza dengan perkataan insan. Lafaz Waajanahu (وأجنه) bermaksud apabila dilindungi sesuatu. Dan bagi setiap sesuatu yang tertutup daripada kamu maka sesungguhnya dinamakan al-junna (جن) iaitu dilindungi yakni tidak boleh dilihat daripada kamu. Selain itu, perkataan iblis pula seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi mempunyai dua pendapat. Pendapat pertama, ia adalah isim a’jam (bukan nama bahasa arab) yang tiada musytaq (kata terbit) dengan sebab itulah ia tidak ditasrif. Inilah pendapat Abu Ubaidah, al-Zajjaj dan juga Ibn al-Anbari.




Pendapat kedua pula menyebut perkataan iblis ialah musytaq daripada perkataan iblas iaitu putus asa, inilah yang diriwayatkan daripada Abi Soleh dan telah disebut oleh Ibn Qutaibah. Manakala perkataan syaitan pula menurut Ibnu Manzur, perkataan syaitan berasal daripada perkataan Syatana (شطن) yang bermaksud jauh. Selain itu,terdapat juga pendapat lain yang menyebut syaitan berasal daripada perkataan Syata (شط) yang bermaksud membakar. Pun begitu, kesimpulan yang boleh dibuat berdasarkan kalam Arab, perkataan syaitan sebenarnya merujuk kepada sesuatu yang bersifat sombong, angkuh, dan sangat jahat. Maka berdasarkan kepada definisi yang dikemukakan ini, dapat kita rumuskan bahawa perkataan jin dan iblis adalah merujuk kepada kewujudan makhluk yang bergelar jin dan iblis manakala perkataan syaitan pula adalah suatu gelaran sifat bagi melambangkan segala bentuk kejahatan yang berpaling kepada Allah. Syaitan yang merujuk kepada sifat yang jahat boleh terjadi kepada manusia dan jin. Ini kerana istilah syaitan adalah kata sifat dan bukanlah merujuk kepada makhluk baharu.

Hakikatnya, terdapat beberapa persaman dan perbezaan antara makhluk yang bernama jin dan iblis. Antara persamaan tersebut ialah jin dan iblis adalah dari jenis yang sama iaitu dicipta daripada api. Ini sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran melalui surah al-Hijr ayat 27, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma"

Begitu juga iblis dicipta dari api sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikannya dari tanah."




Selain itu, persaman antara jin dan iblis juga ialah kedua-dua makhluk ini tidak boleh dilihat dengan pancaindera manusia melainkan dengan izin Allah Jalla Wa 'Ala. Ini juga bermaksud sama ada jin atau iblis, kedua-duanya tidak dapat dilihat, disentuh dan dirasai oleh umat manusia kecuali hal tersebut berlaku dengan izin Allah Azza Wa Jalla. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat 27 yang bermaksud :

"Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka"

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menyebut dalam kitabnya Tafsir al-Qurtubi, bahawa perkataan "kaumnnya" itu memberi makna kepada tentera-tentera syaitan. Selain itu Imam Mujahid berpendapat maksud kaumnya itu adalah dari golongan jin dan syaitan. Begitu juga, pada pendapat yang lain perkataan kaumnya itu memberi maksud sebagai generasi atau keturunan syaitan. Imam Qurtubi menyebutnya lagi bahawa, mengikut sesetengah pendapat ulama, ayat ini merupakan dalil bahawa jin tidak boleh dilihat. Dikatakan lagi bahawa, harus untuk melihat golongan jin. Ini kerana sekiranya dikehendaki oleh Allah SWT untuk memperlihatkan mereka, maka Allah SWT akan membuka hijab supaya dapat dilihat jasad dan tubuh badan mereka. Demikian ulasan para ulama berkenaan kefahaman ayat tersebut. Oleh itu, apa yang boleh kita simpulkan ialah kedua-dua makhluk ini tidak boleh dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.

Selain itu persamaan lain pula ialah makhluk yang bernama jin dan iblis ini juga diberikan tanggungjawab sama sepertimana umat manusia. Sebagaimana tanggungjawab yang diperintahkan oleh Allah Azza Wa Jalla kepada sekalian umat manusia, maka begitulah juga tanggungjawab yang terpundak pada golongan makhluk jin dan iblis. Ini berdasarkan firman Allah Jalla Wa 'Ala di dalam al-Quran menerusi surah al-Zariyat ayat 56, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku"




Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitab al-Jami' Li Ahkam al-Quran, beliau menyebut bahawa ayat ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya : Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. Selain itu, telah berkata Imam Al-Qadhi Badr Al-Din Al-Syibli dalam kitabnya Ahkam Al-Marjan fi Ahkam Al-Jaan, beliau menyatakan bahawa Ini adalah antara beberapa ayat yang menunjukkan golongan jin termasuk dalam kalangan mukallaf dan mereka itu turut termasuk dalam ayat suruhan dan juga ayat larangan. Selain itu, tidak kurang penting juga untuk kita ketahui bahawa persamaan kedua-dua makhluk ini juga ialah mereka diciptakan terlebih dahulu daripada manusia. Ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Hijr ayat 26-27 yang bermaksud :

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. (26) Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma".

Selain persamaan, terdapat juga perbezaan antara jin dan iblis. Antara lain ialah setiap iblis dan syaitan termasuk dalam kalangan jin dan bukan semua jin itu adalah iblis dan syaitan. Ini bermaksud iblis dan syaitan adalah berasal dari keturunan jin. Jin pula tidaklah semua menjadi iblis, hanya sebahagian jin yang ingkar dan derhaka sahaja menjadi iblis. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Kahfi ayat 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"...lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya"

Selain itu, iblis dan syaitan adalah golongan makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT manakala jin tidak semestinya dilaknat. Firman Allah Azza Wa Jalla di dalam surah Sad ayat 78 yang bermaksud :

" Dan sesungguhnya engkau (iblis) ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat"




Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa Allah menyatakan bahawa Iblis dalam kalangan yang dilaknat, dibuang dan dijauhkan daripada rahmat-Nya sehingga hari pembalasan disebabkan oleh kekafirannya. Hal ini kerana laknat ini memutuskan segalanya, kemudian apabila dimasukkan ke neraka menunjukkan kebenaran laknat tersebut. Selain itu, perbezaan lain antara jin, iblis dan syaitan ialah iblis dan syaitan termasuklah sebagai golongan kafir yakni golongan yang ingkar dan derhaka kepada Allah manakala jin pula terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang beriman dan golongan kafir. Ini berdasarkan penegasan oleh Allah SWT di dalam kalam wahyu Nya menerusi surah al-Baqarah ayat 34 yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir"

Begitu juga dalam ayat lain menerusi surah al-Jin ayat 14, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,"

Demikianlah antara sebahagian hakikat yang ada pada makhluk yang bergelar jin, iblis dan syaitan. Apa yang boleh kita rumuskan pada penjelasan ini ialah pertama, jin dan iblis adalah makhluk yang benar-benar wujud meski umat manusia tidak boleh melihatnya dengan mata kasar. Selain itu, syaitan pula adalah merujuk kepada suatu gelaran yang menunjukkan kata sifat yang jahat, ingkar, derhaka dan kewujudan syaitan itu boleh terjadi dikalangan jin dan manusia. Hakikat pada jin dan iblis ini, mereka memiliki persamaan dan perbezaan yang tertentu. Persamaan dan perbezaan tersebut adalah sepertimana yang telah dijelaskan melalui firman Allah SWT di dalam al-Quran. Oleh itu, kita sebagai manusia yang berkongsi alam dengan mereka seharusnya yakin dan percaya bahawa kewujudan mereka adalah benar dan hal tersebut boleh dilihat dalam banyak ayat-ayat keterangan dari al-Quran. Sesungguhnya setiap makhluk itu mempunyai peranan yang akan dipersoalkan kelak oleh Allah. Maka patuhilah perintah Allah dan ambillah iktibar daripada bangsa jin dan iblis ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan