Selasa, 28 Julai 2026

ANCAMAN ATEISME BAHARU MODEN

 

Perkembangan dunia teknologi maklumat yang semakin pantas seiring dengan kepintaran teknologi yang semakin canggih menjadikan umat manusia dihujani dengan ratusan bahkan jutaan pelbagai maklumat. Cambahan dan lambakan maklumat yang tidak bertapis ini telah mencorak dan membentuk beraneka ragam pola fikir umat manusia sehingga kadang sesuatu yang jengkel pada akal pun diambil sebagai maklumat. Sedikit demi sedikit ruang akademik diratah dan dirobek oleh kehujanan maklumat yang hanya boleh akses di hujung jari. Implikasi daripada keadaan ini ada pro dan kontranya. Pun begitu, ketidak keterkawalan maklumat ini melahirkan serangan pemikiran secara terbuka dan tidak lagi bersembunyi di bawah slogan-slogan tertentu. Antara ancaman yang kita tidak boleh memandang enteng dan remeh ialah serangan ateisme dalam pola fikir baharu moden.

Istilah Ateisme merupakan gabungan dari dua perkataan iaitu "atheis" dan "isme". Perkataan ateis berasal dari bahasa Yunani iaitu atheos yang membawa maksud tiada Tuhan. Manakala perkataan isme pula merujuk kepada makna suatu fahaman, ideologi dan seumpamanya. Maka gabungan dua perkataan ini membentuk makna sebagai fahaman atau gerakan yang menolak dasar kewujudan ketuhanan. Berdasarkan The Encyclopedia of Religion, ateisme merupakan suatu doktrin yang mendakwa bahawa Tuhan tidak wujud dan kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan adalah kepercayaan yang palsu. Selain itu, dalam satu sudut lain pula, menurut The New Encyclopedia Britannica, ateisme merupakan sebuah kritikan dan penafian terhadap kepercayaan metafizik tentang Tuhan atau makhluk kerohanian. Meskipun begitu, kita mesti bijak membezakan antara fahaman agnostisme dan fahaman ateisme. Agnostisme merupakan suatu ideologi yang menimbulkan keraguan tentang kebenaran kewujudan Tuhan. Sebaliknya, Ateisme pula suatu ideologi yang dengan yakin dan pasti menolak akan kewujudan Tuhan.




Pada sudut kacamata tradisi ilmu Islam, ideologi ateisme disebutkan sebagai Mulhid atau Ilhad. Menurut Ibn Faris dalam kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah, mulhid atau ilhad membawa maksud menyimpang daripada pandangan yang benar. Selain disebutkan sebagai mulhid atau ilhad, terdapat juga beberapa perkataan dan istilah lain yang merujuk kepada fahaman ateisme seperti dahriyyah, zanadiqah, tabi'iyyah dan la diniyyah. Berdasarkan pandangan para sarjana Islam, seperti yang dinyatakan dalam kitab Mausu'ah al-Falsafah Wa al-Falasifah, golongan ateisme ini bukan sahaja menolak kewujudan Tuhan serta agama malah ateis juga bermaksud mereka yang mengingkari serta mendustakan kewujudan Allah. Pada hakikatnya, ideologi ateisme ini muncul hasil tindak balas dan respon agresif kepada kegagalan institusi gereja yang dilihat bersikap teokrasi dalam berpolitik. Kesan daripada itu, kebangkitan sebahagian mereka dari dunia barat yang berasa kecewa akan kediktatoran ini membuatkan mereka hilang kepercayaan kepada sistem beragama.

Menurut Shoaib Ahmed Malik dalam satu tulisan karyanya yang berjudul Atheisme and Islam : A Contemporary Discourse, beliau telah menyatakan bahawa kemunculan ateisme baharu moden ini adalah bermatlamatkan sasaran serangan terhadap ajaran agama Islam dan inilah penyebab utama geraka ateisme baharu digagaskan. Selain itu, seorang penulis yang juga ahli teologi Kristian British, Tina Beattie dalam tulisannya bertajuk The New Atheists : The Twilight of Reason and the War on Religion, beliau menyebut permusuhan ateisme baharu terhadap para ahli teologi sama seperti halnya ilmuan-ilmuan Victoria yang paling militan dahulu tetapi pada abad ke-19 itu, gerakan agamawi lainnya terbentuk daripada orang-orang barbar (kejam) dan biadab yang mengotori empayar global dengan kehadirannya. Saat ini, Islamlah yang merupakan gerakan agamawi lain tersebut. Berdasarkan daripada penjelasan tersebut, jelas menunjukkan bahawa gerakan ateisme baharu moden ini sememangnya meletakan agama Islam sebagai serangan dengan usaha mencuba menggambarkan agama Islam itu sebagai agama yang bernaratifkan biadab.




Dalam kita mengenali dasar dan gerakan ateisme baharu moden ini, Stephen LeDrew dalam bukunya yang berjudul The Evolution of Atheism : The Politics of a Modern Movement, beliau menjelaskan bahawa bagi gerakan ateisme baharu ini, Islam mewakili dua jenis ancaman (pramoden dan pascamoden). Sebagai agama yang didirikan atas dasar iman, ini adalah sebuah ancaman 'pramoden' terhadap modeniti ilmiah dan ini menggambarkan kemajuan evolusi masyarakat manusia dengan masyarakat Islam yang mewakili barbarisme dan masyarakat barat yang mewakili peradaban. Demikian kenyataan Stephen yang memberikan kita isyarat jelas bahawa Islam dan unsur keganasan atau disebut sebagai barbarisme sentiasa dilabel oleh gerakan ateisme baharu moden ini bagi membusukkan dan memburukan lagi nama dan imej agama Islam. Kepantasan dunia yang bergerak semakin laju selain lambakan maklumat yang tiada keabsahannya telah membuka ruang kepada masyarakat awam untuk mengakses segala bahan bacaan yang boleh membangkit semangat baharu.

Tidak kurang ramai juga dikalangan tokoh gerakan ateisme baharu ini yang menggunakan medium penulisan sebagai platform menyebarkan kefahaman songsang tidak bertuhan ini. Antara tokoh terawal yang menulis dengan meniup serangan terhadap Islam ialah Sam Harris. Beliau adalah merupakan seorang ahli falsafah dan ahli saraf Amerika Syarikat Bagi tujuan mensasarkan serangan terhadap Islam, beliau telah menulis sebuah buku terbitan pada tahun 2004 yang bertajuk The End of Faith Religion, Terror and the Future of Reason. Buku ini bukan sahaja menyerang Islam malah menyerang semua agama yang ada di dunia ini. Sam Harris menulis dengan mengambil pendekatan secara binari apabila Islam dan barat berada dalam keadaan berperang antara satu sama lain. Beliau menyebut dalam bukunya :

"Ini bukan hanya kerana kita berperang dengan agama damai yang telah dibajak oleh ekstrimis. Kita sedang berperang dengan visi hidup yang ditetapkan untuk semua muslim dalam al-Quran, dan dihuraikan lebih lanjut dalam hadith. Masa depan Islam di mana Islam dan barat tidak berdiri di ambang kehancuran bersama adalah masa depan apabila sebahagian besar muslim telah belajar untuk mengabaikan sebahagian norma mereka, sudah dipelajari juga oleh sebahagian besar umat Nasrani. Perubahan seperti itu sama sekali bukan jaminan akan terjadi, mengambil kira prinsip-prinsip ajaran Islam"




Selain itu, Sam Harris juga turut melabelkan Islam sebagai agama penuh kebencian yang nyata yang merendahkan mereka yang tidak beriman. Penulisan yang bersifat tuduhan liar itu juga turut menyatakan Islam pada hampir di setiap halaman al-Quran mengajar orang Islam yang taat untuk membenci mereka yang tidak beriman. Begitu juga beliau turut mendakwa di bawah hak prerogatif jihad, satu-satunya masa depan yang boleh dibayangkan bagi setiap orang Islam yang taat adalah satu, semua orang kafir memeluk Islam atau ditundukkan ataupun dihapuskan. Begitulah liarnya tuduhan Sam Harris sekaligus menunjukan kedangkalan beliau dalam memahami keilmuan Islam. Berbeza dengan Sam Harris, seorang ahli falsafah minda iaitu bernama Daniel Dennett, menyerang Islam dengan mengambil pendekatan yang berbeza daripada Sam Harris. Dennett meski berkongsi matlamat yang sama dengan Sam Harris namun beliau tidak berfokus secara khusus tentang Islam dalam kritikannya. Bukunya yang berjudul Breaking the Spell : Religion as a Natural Phenomena, mencatatkan hujah-hujahnya yang merangkumi catatan fizik tentang agama.

Menurut Dennett, kerana pengurusan sumber daya ekonomi, maka "agama-agama rakyat" mulai muncul. Beliau menjelaskan lagi bahawa otak kita mungkin telah mengembangkan 'pusat dewa' yang kemudian diadaptasi atau dieksploitasi oleh perluasan agama dari satu jenis atau lainnya, dan kecenderungan genetik dari pusat dewa tetap bertahan kerana mereka yang memiliki gen tersebut memiliki akses eksklusif kepada apa-apa yang berfungsi sebagai perawatan kesihatan. Maka daripada apa yang kita boleh rumuskan berdasarkan penulisan oleh Dennett ini, beliau cuba menyampaikan asal-usul agama bukanlah daripada wahyu tetapi hasil otak manusia yang berevolusi. Dennett juga cuba untuk menggambarkan kepada kita bahawa apabila manusia mulai berebut sumber, maka lahirlah agama-agama rakyat yang muncul daripada otak yang mungkin ada pusat dewa. Dennett dengan penuh yakin cuba melihatkan kepada umat manusia bahawa kewujudan agama bukanlah sesuatu yang bersifat absah tetapi sekadar tindak balas fizik yang berlaku pada otak manusia.

Demikian antara ancaman baharu ideologi ateisme yang bersifat moden yang lebih menggunakan pendekatan penulisan yang dianggap "ilmiah" namun malangnya sekadar seronok sendiri dengan tuduhan liar dan songsang mereka. Jika kita tinjau lagi, banyak lagi karya-karya barat yang diterbitkan pada hari ini menjurus kepada serangan pemikiran khususnya kepada agama Islam. Jika zaman dahulu, pembacaan dengan melalui pembelian buku fizikal namun sekarang dengan kepantasan teknologi maklumat, semuanya dapat diakses di hujung jari. Sebagai orang Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar, kita seharusnya tidak mengambil mudah akan serangan ateisme yang berwajah baharu dan moden ini. Dahulu, mereka sering menggunakan senjata teologi untuk menggugat kepercayaan beragama namun sekarang dengan peredaran zaman yang semakin celik maklumat, sudut sains, psikologi, ekonomi dan sosial mulai ditunggang bagi menampakan kewajaran mereka untuk menafikan akan kewujudan Tuhan dan kebenaran beragama. Maka berwaspada lah dengan serangan yang berbentuk persis ilmiah ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan