Jumaat, 31 Julai 2026

LARANGAN MEMUKUL MUKA MENURUT ISLAM

 

Kejadian manusia yang di iktiraf oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan mempunyai nilai maruah dan harga diri yang tersendiri. Penciptaan manusia yang sempurna yang terdiri daripada anggota badan yang pelbagai seperti kaki untuk berjalan, mulut untuk berkata-kata selain telinga untuk mendengar, mempunyai nilai dan letak duduknya maruah pada seseorang insan. Dalam kebanyakan anggota badan yang ada, muka atau wajah adalah merupakan simbol yang menzahirkan kecantikan seseorang yang boleh memberikan ekspresi pandang pertama pada seseorang tersebut. Muka yang berwajah manis, disulam dengan senyuman yang ikhlas memaparkan nilai kemesraan yang terbentuk dalam diri seseorang. Sebaliknya jika muka berwajah masam, akan menghambat orang lain untuk tidak mendekatinya.

Dalam Islam, terdapat beberapa kaedah di dalam memberikan hukuman sebagai tujuan pengajaran. Hal tersebut termasuklah melalui kaedah memukul, merotan dan seumpama dengannya. Secara prinsipnya, hukuman yang terdapat di dalam Islam bukanlah bertujuan untuk melakukan penderaan, bersikap ganas dan melampau dalam menghukum tetapi ianya adalah sebagai pendidikan dalam memberi pengajaran. Menurut Abdul Qadir Audah, seorang tokoh gerakan Islam kontemporari, beliau menjelaskan bahawa falsafah hukuman dalam Islam meliputi konsep keadilan, konsep pencegahan dan konsep pemeliharaan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Oleh yang demikian, apa jua bentuk hukuman yang dijalankan hendaklah dilaksanakan dengan tujuan mendidik dan bukannya mendera. Sebagai contoh, baginda Nabi Muhammad SAW memerintahkan kepada ibubapa untuk memukul anak yang mencapai usia 10 tahun apabila anak tersebut tidak mahu menunaikan solat.




Ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abdullah bin Amru RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Suruhlah anak-anak kamu yang berumur 7 tahun untuk mendirikan solat, dan pukullah mereka (apabila dia tidak mahu mendirikan solat) apabila berumur 10 tahun”

Namun demikian, suruhan memukul anak pada usia 10 tahun bukanlah dengan tujuan untuk mendatangkan kecederaan kepadanya tetapi memadai dengan memberikan peringatan tentang pentingnya ibadah solat fardu. Demikian juga perintah Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran melalui surah an-Nisa' ayat 34, Allah SWT memerintahkan untuk memukul isteri sekiranya isteri masih degil untuk mentaati suami. Firman Allah SWT yang bermaksud :

”Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukulah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya)”

Begitu juga dalam bab hukuman sebat atau merotan, dalam beberapa peruntukkan kesalahan di dalam Islam seperti berzina dan minum arak, maka hukumannya adalah dengan sebatan. Hal seperti ini telah sabit di dalam al-Quran dan hadith Nabi Muhammad SAW. Namun apabila kita berbicara tentang soal memukul, Islam melalui syariatnya dengan jelas melarang daripada mana-mana umat manusia menghukum dengan memukul pada bahagian muka atau wajah. Islam mengajar kita untuk berdisplin dalam memberi hukuman dengan tidak memukul pada bahagian wajah meski untuk tujuan mendidik dan mengajar. Larangan memukul wajah ini menjelaskan kepada bahawa nilai menghormati insan perlu diutamakan walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Meski dalam apa jua keadaan pun seperti dalam keadaan bertegang urat bergaduh suami isteri, bertengkar antara bapa dan anak atau juga dalam keadaan guru sedang memarahi anak muridnya, perbuatan memukul muka tetap dilarang dan ditegah dalam Islam.




Larangan dan tegahan dari memukul muka atau wajah seseorang adalah berdasarkan beberapa hadith daripada baginda Nabi Muhammad SAW. Antara lain dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila seseorang kamu berperang, jauhilah dari (mencederakan) muka”

Dalam hadith Abu Hurairah yang juga diriwayatkan oleh Bukhari dalam kitabnya Al-Adab al-Mufrad dengan lafaznya yang bermaksud :

“Apabila seseorang kamu memukul khadamnya, maka jauhilah dari (memukul) muka”

Begitu juga dalam hadith yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

“Apabila seseorang kamu memukul maka jauhilah muka”.

Maka berdasarkan beberapa hadith tersebut, jelas bahawa agama Islam sangat melarang dan menegah umatnya daripada memukul pada bahagian muka dan wajah. Persoalan yang barangkali timbul, mengapakah Islam melarang kita daripada memukul muka ? Menjawab persoalan ini, lihatlah apa kata Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith Sahih Muslim, beliau meletakkan hadith perintah jauhilah muka pada bab tegahan memukul muka, telah berkata Imam al-Nawawi yang bermaksud :

"Dalam satu riwayat yang lain: “Apabila kamu memukul…” dan dalam riwayat yang lain pula “Jangan kamu menampar muka”…berkata para ulama: Hadis ini menyebut secara jelas mengenai larangan memukul muka. Ini kerana muka sesuatu yang lembut (gentle) yang menghimpunkan segala keelokan. Anggota-anggota pada muka itu sangat berharga dan lembut juga sering terdedah. Memukul muka boleh merosakkannya atau boleh mencacatkannya atau boleh merosakkannya atau boleh menghodohkannya. Kecacatan pada wajah itu buruk kerana ia jelas lagi zahir yang tidak mungkin untuk ditutupi. Apabila ia dipukul maka biasanya tidak selamat dari berlakunya kecacatan. Termasuklah dalam larangan ini memukul isteri atau anak atau hamba (sekalipun) untuk tujuan mendidik”




Berdasarkan penjelasan oleh Imam al-Nawawi, antara sebab Islam melarang daripada memukul pada bahagian muka ialah kerana bahagian muka merupakan bahagian berharga selain muka adalah bahagian lembut. Perbuatan memukul muka bukan sahaja boleh mendera mental manusia malah boleh memberikan kesan kecacatan fizikal berkali ganda. Selain itu, telah berkata al-Imam al-Son'ani di dalam kitabnya Subul al-Salam, beliau berkata yang bermaksud :

“Hadith ini merupakan dalil haram memukul muka dan ia (muka) dielakkan, tidak dipukul, tidak ditampar sekalipun dalam hudud yang disyariatkan dan sekalipun dalam jihad”.

Selain itu, larangan memukul muka juga dibahaskan dalam konteks mempertahankan diri ketika dalam peperangan dan pada konteks memukul isteri dan anak-anak dengan tujuan mendidik. Perbahasan ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Hafiz Zain al-Din Abd Rahim al-'Iraqi dalam kitab Tarh al-Tathrib, katanya yang bermaksud :

“Apabila berlaku peperangan antara dua pihak, sekalipun untuk mempertahankan diri dari serangan penyerang atau seumpamanya maka dia (hendaklah) mengelakkan (menyerang) muka. Justeru, apatahlagi untuk kau fahami jika tidak berlaku pukulan (serangan) dari pihak yang lain, maka sudah pastilah lebih wajar untuk menjauhi muka. Ini kerana, pihak yang mempertahankan diri kadang-kala keadaan memaksanya untuk memukul muka, pun begitu perkara itu dilarang. Maka, orang tidak mempertahankan diri dari serangan lebih wajar untuk diperintahkan mengelakkan (memukul) muka...termasuk dalam perkara ini pukulan (hukuman) imam (pemerintah) atau pihak yang dibenarkan (melaksanakan hukuman) hudud dan takzir. (Begitu juga) pukulan seseorang pada isterinya atau anaknya atau hambanya yang bertujuan mendidik”.

Begitulah penjelasan tuntas yang memperincikan lagi keluasan tentang larangan memukul muka. Bukan sahaja dilarang ketika di dalam peperangan bahkan turut dilarang berbuat demikian terhadap anak dan isteri meskipun untuk tujuan mendidik. Adapun melihat pada perkembangan hari ini, terdapat satu permainan yang dinamakan sebagai pertandingan menampar muka, ketahuilah hal demikian adalah sesuatu yang melampaui batas dan Islam melarang akan hal tersebut. Pertandingan menampar muka biarpun dibuat diatas nama hiburan dan sukan, namun perkara tersebut cukup tidak bertamadun. Islam melarang kita daripada melakukan perkara bodoh seperti itu. Sesungguhnya Islam agama yang membawa nilai kasih sayang dan belas kasihan. Maka sekalipun di dalam Islam terdapat peruntukkan hukuman seperti sebat dan pukul namun hal tersebut mesti dilakukan dengan berdisplin iaitu dengan tidak mendatangkan kecederaan. Menghukum sebagai mendidik dan bukanlah sebagai mendera. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan