Selasa, 4 Ogos 2026

HAK MUSLIM SESAMA MUSLIM

 

Hubungan sosial antara manusia merupakan tabiat semula jadi yang berlaku dalam kitaran hidup bagi umat manusia. Hakikat yang kita perlu terima ialah kehidupan makhluk yang bernama manusia ini tidak dapat lari daripada berhubung antara satu sama lain bagi memaknai sebuah kehiudpan. Dalam erti kata mudah, hidup manusia adalah dianggap tidak normal dan berada di luar kebiasaan lumrah kehidupan apabila ada yang hidup secara berseorangan atau berasingan dengan orang lain tanpa bercampur dalam komuniti masyarakat. Dalam Islam, hubungan sosial semasa manusia khasnya sesama muslim diperkukuhkan dengan beberapa syariatnya yang antara lain ialah solat secara berjemaah. Solat merupakan instrumen penting sebagai orang Islam dan lebih cantik lagi, dilaksanakan solat secara beramai-ramai (berjemaah) kerana hal tersebut dalam mengeratkan hubungan ukhwah persaudaraan Islam.

Islam yang juga sebagai agama yang menekankan kepentingan nilai-nilai kemanusiaan, mengajar umatnya untuk sentiasa mempedulikan antara satu sama lain, dalam erti kata lain, Islam amat menggalakan umatnya untuk sentiasa bergaul, bermesra dan saling membantu sesama Islam agar nilai-nilai masyarakat yang harmoni dapat diperkukuhkan. Hubungan sosial sesama orang Islam diiktiraf sebagai persaudaraan walau berbeza warna kulit, bahasa, budaya malah berbeza negara sekalipun. Ini bermakna orang Islam di Afrika adalah saudara orang Islam di China. Orang Islam di barat adalah saudara bagi orang Islam di timur. Walau dimana jua arah orang Islam berada, kita semuanya adalah bersaudara diatas pertalian agama yang sama yakni agama Islam. Dalam al-Quran menerusi surah al-Hujurat ayat 10, Allah Azza Wa Jalla menegaskan bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."




Persaudaraan sesama umat Islam ini bukanlah kerana nasab keturunan tetapi kerana keimanan yang sama terhadap Allah Azza Wa Jalla. Keterikatan orang Islam dengan orang Islam yang lainnya adalah diatas perkongsian perkataan syahadah yang sama iaitu mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang wajib dan layak disembah dan menafikan kewujudan Tuhan yang lain serta mengakui junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah Jalla Wa 'Ala. Selain al-Quran, baginda Nabi Muhammad SAW juga turut menekankan kepentingan persaudaraan sesama umat Islam melalui banyak hadith-hadith Nabi. Antara lain dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Jangan kalian saling menghasut, saling menipu, saling membenci, saling membelakangi dan jangan membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Kerana itu, tidak menzaliminya, tidak menghinanya, tidak membohonginya dan tidak merendahkannya. Takwa itu di sini (sambil baginda menunjuk dadanya tiga kali)."

Oleh kerana itu, persaudaraan muslim sesama muslim dibina dan diterjemahkan melalui enam tuntutan hak yang perlu dilakukan oleh orang muslim. Enam perkara yang menjadi hak kepada sesama orang muslim wajib ditunaikan dan perlu dipenuhi sebagai tanggungjawab persaudaraan sesama Islam. Enam tuntutan hak tersebut sebagaimna yang dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW melalui sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Hak seorang Muslim atas Muslim yang lain ada enam. Jika engkau bertemu dengannya maka ucapkanlah salam, jika dia mengundangmu maka penuhilah undangan tersebut, jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat, jika dia bersin lalu mengucapkan 'Alhamdulillah' maka doakanlah dia, jika dia sakit maka ziarahilah dia dan jika dia meninggal maka iringilah jenazahnya"




Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud :

” Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan kebaikan untuk orang yang bersin, memenuhi jemputan, menyebarkan salam, membantu orang yang dizalimi dan membantu dan berbuat baik pada orang yang bersumpah (supaya tidak dianggap melanggar sumpah). Baginda juga melarang kami daripada memakai cincin emas, minum daripada bekas perak,menaiki tunggangan yang dihiasi sutera,melarang daripada memakai Al-Qassi dan melarang daripada memakai kesemua jenis sutera.”

Berdasarkan hadith-hadith tersebut, dapat kita gariskan enam perkara yang menjadi tanggungjawab sesama muslim yang perlu ditunaikan. Enam perkara tersebut ialah hak memberi salam apabila bertemu, hak memenuhi jemputan dan undangan, hak memberi nasihat apabila diminta, hak doakan orang yang bersin, hak menziarahi orang sakit dan hak mengiringi jenazah. Melihat kepada enam perkara tersebut maka jelaslah bahawa orang Islam sesama orang Islam mempunyai tanggungjawab bersama tanpa mengira darjat, kedudukan dan pangkat. Justeru, marilah kita merenung secara lebih mendalam keenam-enam hak yang telah dijelaskan ini. Hak pertama, hak memberi salam apabila bertemu. Perbuatan memberi salam adalah suatu tuntutan dalam agama. Perbuatan tersebut seharusnya menjadi budaya dalam kehidupan orang Islam. Barangkali kita memandang remeh atau memandang rendah dengan perbuatan memberi salam tetapi amalan tersebut sebenarnya dapat menyuburkan perasaan saling mencintai. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Tidaklah kalian akan masuk syurga hingga kalian beriman dan tidaklah kalian dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku tunjukkan sesuatu, yang jika kalian mengamalkannya nescaya kalian akan saling mencintai? Iaitu sebarkan salam di antara kalian."

Hak kedua ialah memenuhi jemputan dan undangan. Ini bermakna adalah menjadi tanggungjawab kita sekiranya kita dijemput atau diundang menghadiri sesuatu majlis yang dihajati oleh saudara sesama Islam, maka kita berkewajiban menghadirinya. Jemputan ke majlis keraian seperti kenduri kahwin, rumah terbuka dan seumpama dengannya menandakan bahawa kita di ingati oleh orang yang menjemputnya. Maka sebagai membalas tanda ingatan tersebut, kita seharusnya memenuhi jemputan dan undangan tersebut dan perkara sedemikian tentu menggembirakan hati tuan rumah. Hak ketiga pula ialah memberi nasihat apabila diminta. Dalam kehidupan manusia, tentunya ada pasang surut ujian kehidupan. Maka tatkala ada dikalangan saudara seagama dengan kita dirundung masalah lalu meminta nasihat dan pandangan kita, maka kita perlulah memberikan nasihat dan pandangan yang sewajarnya pada mereka. Barangkali kita mungkin tidak dapat membantu menyelesaikan masalahnya namun percayalah kadang dengan kata-kata nasihat yang ikhlas dan jujur mampu merawat kedukaan yang tidak ternampak pada zahirnya.




Sesungguhnya membantu memberi nasihat kepada saudara Islam yang memerlukan adalah termasuk dalam perkara mengerjakan kebaikan. Ini kerana dengan nasihat yang diberikan, orang yang menerima nasihat tersebut akan menjadi lebih tenang dan berasa lega selain tidak merasa susah lagi. Secara tidak sedar, kita sebagai yang memberi nasihat telah memberikan kelegaan kepada kerunsingan saudara seislam dan hal itu menjadi saham pahala kita. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang Mukmin, pasti Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada Hari Kiamat. Sesiapa yang menjadikan urusan orang lain mudah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat."

Hak keempat ialah mendoakan orang yang bersin. Bersin adalah merujuk kepada maksud perbuatan pengeluaran udara secara tiba-tiba dan kuat dari hidung serta mulut akibat tindak balas semula jadi badan. Dalam Islam, baginda Nabi Muhammad SAW mengajarkan kita doa untuk orang yang bersin. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamkallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum"




Berdasarkan hadith ini, menunjukkan bahawa baginda Nabi Muhammad SAW mengajar kepada umatnya tentang adab ketika bersin dengan menyebut kalimah Tahmid iaitu lafaz alhamdulillah dan kepada yang mendengarnya menyebutkan pula kalimah Tasymit iaitu mendoakan kepada saudaranya yang bersin itu dengan doa kebaikan ke atasnya. Dalam kitab Fath al-Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan pandangan oleh Imam al-Nawawi dengan menyebutkan bahawa para ulama bersepakat ke atas sunnatnya menyebut lafaz Tahmid iaitu seperti yang dinukilkan oleh Ibnu Battal dan yang lain tanpa menambah kalimah alhamdulillah seperti hadis yang disampaikan oleh Abu Hurairah RA. Setelah itu, memasuki hak yang kelima iaitulah hak menziarahi saudara seislam yang sakit. Perbuatan menziarahi orang sakit adalah antara amalan mulia disisi agama Islam. Menjadi tanggungjawab kepada sesama orang Islam apabila mendapat khabar orang sakit, maka menziarahinya merupakan tuntutan hak sesama muslim.

Dalam kita menziarahi orang sakit, Rasulullah SAW mengajarkan kita satu doa untuk orang sakit. Doa ini sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, doanya yang berbunyi لاَ بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ الله yang bermaksud “Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. Selain itu terdapat juga doa-doa lain lagi yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW ketika menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit banyak faedah dan kebaikannya antara lain mendidik kita untuk menjadi hamba Nya yang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Ziarah juga dapat menimbulkan perasaan kasih dan sayang sesama Islam sekaligus menyuburkan perasaan peduli dan ambil tahu tentang saudara seagama kita. Hak yang terkahir ialah hak mengiringi orang muslim lain yang sudah meninggal dunia. Hak sesama muslim bukan sahaja pada ketika hidup bahkan ketika sudah meninggal dunia juga, kita di tuntut untuk memenuhi haknya. Begitulah Islam yang mengajar umatnya untuk menyusun atur perkara-perkara penting yang bertujuan menjaga dan memelihara pertaian persaudaraan sesama Islam.




Dalam bab mengiringi jenazah orang Islam, baginda Nabi Muhammad SAW menjelaskan tentang kelebihan dan ganjaran untuk mereka yang menzirahi jenazah orang Islam. Perkara ini sebagaimana yang djelaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barang siapa yang mengikuti jenazah hingga disolatkan maka baginya satu qirat dan barang siapa yang mengikuti jenazah hingga dikuburkan maka baginya dua qirat. Baginda ditanya: Apakah dua qirat itu? Baginda menjawab seperti dua buah gunung yang besar."

Demikianlah antara enam hak muslim sesama muslim yang perlu dihayati dan diperkukuhkan pelaksanaannya dalam amalan kehidupan seharian. Islam bukan sahaja agama yang mengajar umatnya untuk menjaga dan memelihara hubungan mutlak antara Allah dan hamba namun Islam juga menitikberatkan tentang hubungan sosial persaudaraan sesama umat Islam. Malang sekali jika kerana satu dua perbedaan yang ada, menyebabkan kita saling membenci, memusuhi apatah lagi memulau antara satu sama lain. Sikap berkeras sesama Islam bukanlah ajaran daripada Islam. Agama Islam mengajar kita untuk memenuhi enam hak tersebut sekaligus menunjukkan Islam bukanlah agama yang kaku, yang hanya mementingkan diri sendiri, tidak bersosial dan sebagainya. Selagi dirinya Islam, walau beda warna kulit, keturunan dan sebagainya, kita semua tetap bersaudara diatas tauhid yang sama, mengesakan Allah Azza Wa Jalla. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan