Sesungguhnya kehidupan beragama bukan sahaja menjadikan diri kita
lebih baik tetapi dapat membangunkan masyarakat yang bertamadun. Agama Islam
merupakan agama yang membawa makna kesyumulan atau dalam bahasa lain disebut
kesempurnaan dalam hidup. Islam bukan sekadar mengajar umatnya untuk tahu dan
laksanakan solat, puasa, bersedekah dan seumpamanya namun Islam juga menekankan
tentang konsep kepentingan menguasai ilmu pengetahuan merentasi bahasa dan
budaya. Tanpa ilmu, tentu sekali manusia hanya akan menjadi terikut-ikut tanpa
adanya asasnya. Ilmu antara lain menjadi tujuan untuk manusia lebih mengenal
dan memahami isi dunia ini. Antara ilmu yang seharusnya umat Islam fahami
adalah berkaitan ilmu Maqasid Syariah.
Perkataan "Maqasid Syariah" adalah berasal
dari bahasa Arab, yang terhasil daripada gabungan dua perkataan yang berbeza
iaitu 'Maqasid' dan 'Syariah'. Pada sudut bahasa, perkataan
Maqasid adalah merupakan kata jamak (banyak) dari Maqsad (مقصد) yang asalnya dari kata Qasada (قصد) yang membawa maksud menuju ke suatu
arah, menghendaki dan memaksudkan. Manakala perkataan Syariah pula membawa
makna tempat terbit air yang menjadi sumber minuman, jalan, apa yang
disyariatkan Allah dari pelbagai aspek akidah dan hukum, agama dan pandangan
mazhab yang jelas dan lurus. Ungkapan Maqasid Syariah pada sudut istilahnya
pula, para ulama telah menyebut beberapa definisi yang pelbagai. Misalnya
menurut 'Allamah Muhammad Thahir Ibn Asyur dalam kitab Maqasid as-Syari'ah
al-Islamiyyah, beliau menjelaskan bahawa maqasid syariah ialah makna-makna
dan hikmah-hikmah yang diambil perhatian oleh syarak dalam keseluruhan atau
sebahagian besar situasi penurunan syariat yang tidak mengkhusus kepada
mana-mana hukum Syarak yang tertentu.
Menurut Syeikh ‘Allal al-Fasi pula sebagaimana yang dinukilkan
dalam kitab Maqasid as-Syari’ah wa Makarimuha, beliau menyatakan bahawa
maqasid syariah ialah tujuan-tujuan syariat serta rahsia-rahsianya yang telah
ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap hukum-hakam. Sementara itu, Imam
al-Ghazali dalam kitabnya al-Mustasfa min Ilm al-Usul, beliau menyebut
bahawa maqasid syariah itu merupakan sebuah maslahah. Maslahah itu menurutnya
ialah menjaga maksud atau tujuan syarak. Terdapat lima tujuan syarak bagi
makhluk, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Setiap
perkara yang bermaksud untuk menjaga kelima-lima asas ini, merupakan maslahah,
dan setiap perkara yang mampu memusnahkannya, adalah mafsadah, dan menghindari
terjadinya mafsadah pula, juga merupakan maslahah. Dikalangan ulama
kontemporari seperti Dr. Ahmad ar-Raysouni dalam kitabnya Nazhariyyatul
Maqasid ‘indal Imam as-Syathibi, beliau berpendapat maqasid syariah itu
adalah tujuan-tujuan yang telah ditetapkan oleh syari’at bagi merealisasikan
kemaslahatan manusia.
Berdasarkan definisi-definisi yang telah dikemuakan ini, tidak
salah untuk kita rumuskan dengan menyebut bahawa maqasid syariah adalah
merupakan makna-makna atau tujuan-tujuan yang hendak dicapai oleh syarak dalam
setiap hukumnya. Selain itu kita juga boleh simpulkan bahawa maqasid syariah
adalah sebagai tujuan, makna dan hikmah yang telah diputuskan dan ditetapkan
oleh syariat Islam melalui hukum-hakam yang disyariatkan serta maqasid syariah
ini juga mengandungi rahsia disebalik tujuan sesuatu pensyariatan tersebut.
Melihat ke belakang, sejarah ilmu maqasid syariah ini bermula dari guru
pertamanya iaitu Imam as-Syathibi. Beliau telah menulis sebuah kitab khas yang
membahas serta mengulas mengenai maqasid syariah iaitulah kitab al-Muwafaqat
fi Usul as-Syariah. Kitab beliau ini menjadi kitab agung yang telah
menggagaskan ilmu maqasid syariah dalam satu kitab. Kitab al-Muwafaqat yang
ditulis oleh beliau adalah begitu sistematik, tersusun perbahasannya yang
menyeluruh dan panjang lebar.
Sejarah juga mencatatkan sebelum lmam as-Syathibi, terdapat
sejumlah bilangan beberapa para ulama terdahulu telah membahaskan mengenai
maqasid syariah ini, antara lain mereka ialah Imam al-Haramain al-Juwaini
menerusi kitabnya Ghiyats al-Umam fi al-Tayyats al-Zhulam. Dalam kitab
beliau, Imam al-Haramain telah menyebut tentang kegusaran dan keprihatinannya
terhadap isu kemerosotan peradaban umat Islam terutamanya dari sudut
kesarjanaan, aspek keintelektualan dan politik Islam. Bagi pendapat beliau,
permasalahan yang timbul ini boleh dileraikan dengan cara membangunkan maqasid
syariah yang bersifat universal dan mengangkatnya dari status zhanniy kepada
status qath'iy sebagai prinsip dan tujuan tertinggi agama Islam itu sendiri.
Selain itu, Imam al-Haramain juga menyebut tentang kepentingan maqasid syariah
dengan cara memahami nas-nas syarak kerana hal itu akan menjadikan sudut
pandang syariah lebih jelas dan benar. Demikian usaha oleh Imam al-Haramain
dalam mengangkat perbahasan berkaitan maqasid syariah.
Meksipun usahanya ini tidaklah cukup menyeluruh dan tidak mendapat
liputan meluas jika hendak dibandingkan dengan usaha Imam as-Syathibi, namun
sekurang-kurangnya Imam al-Haramain telah menjadi batu asas kepada ulama
generasi selepas itu untuk membawa dan mengangkat tema maqasid syariah ini
sebagai medan perbahasan ilmu dalam memahami teks nas-nas syarak. Selepas Imam
al-Haramain, maka lahirlah pula beberapa ulama lain yang meneruskan usaha ini
seperti anak murid Imam al-Haramain sendiri iaitu Hujjatul Islam Imam
al-Ghazali. Kemudiannya lahirah beberapa orang ulama lain lagi yang tampil dan
membahaskan isu ini seperti Imam al-'Izz 'Abd Salam dengan kitabnya Qawa'id
al-Ahkam fi Masalihul Anam, Imam al-Qarafi dengan kitabnya Anwar
al-Buruq fi Anwa' al-Furuq, Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah dengan
kitabnya 'Ilam al-Muwaqqi'in dan Imam as-Syathibi dengan kitabnya al-Muwafaqat
fi Usul as-Syariah. Dalam hal ini, kitab penulisan Imam as-Syathibi lebih
dikenali dan dijadikan rujukan oleh kebanyakan para ulama lain. Tanpa menafikan
kitab-kitab juga menjadi rujukan sehingga ke hari ini.
Hakikatnya maqasid syariah adalah merupakan salah satu bidang ilmu
yang mengkaji tentang sifat sesuatu pensyariatan tersebut. Pada awal
perkembangan ilmu ini, Imam al-Ghazali telah membahagikan maqasid itu kepada
tiga peringkat. Ketiga-tiga peringkat tersebut ialah peringkat ad-Daruriyyat,
peringkat al-Hajiyaat dan peringkat at-Tahsiniyyat.
Pada peringkat pertama iaitu ad-Daruriyyat, Imam al-Ghazali menjelaskan
ad-Daruriyyat maksudnya ialah sesuatu yang semestinya dipelihara dalam rangka
menjaga kemaslahatan agama dan dunia. Apabila hilang kemaslahatan tersebut maka
kemaslahatan dunia turut tidak stabil, malah akan mengalami kerosakan,
kesulitan dan hilangnya kehidupan, selanjutnya akan hilanglah kenikmatan dan
mendapatkan kerugian yang nyata. Melalui ad-Daruriyyat itu tadi, terdapat lima
perkara yang wajib dijaga iaitu menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga
akal, menjaga keturunan serta menjaga harta. Maksud menjaga
agama adalah seperti wajib mempertahankan agama daripada diserang oleh orang
kafir. Menjaga nyawa pula adalah seperti wajib melaksanakan hukum qisas (balas
balik) agar jiwa manusia terpelihara. Menjaga akal pula seperti mengharamkan
semua benda yang memabukkan atau merosakan fikiran. Menjaga keturunan pula
seperti kewajiban melaksanakan hudud agar perbuatan zina mendapat balasan dan menjaga
harta pula seperti melakukan hukuman potong tangan pencuri agar harta orang
ramai terselamat daripada dicuri lagi.
Selain itu, peringkat kedua pula ialah al-Hajiyaat. Menurut
Imam al-Ghazali, maksud al-Hajiyaat adalah sebuah maslahah yang tidak wajib,
akan tetapi tetap diperlukan dalam rangka menjaga kemaslahatan. Ini bermakna
al-Hajiyaat adalah merujuk kepada tujuan yang tidak wajib ada namun ianya tetap
harus dijaga dan dipelihara. Dalam kata lain, al-Hajiyaat merupakan perkara
yang diperlukan oleh umat manusia bagi tujuan memberikan kemudahan kepadanya
dan menghilangkan kesukaran. Ketiadaan perkara-perkara al-hajiyaat tidaklah
sehingga membawa kepada kepincangan dalam hidup manusia sebagaimana
ketiadaannya perkara-perkara al-daruriyat, tetapi ia akan membawa kepada
kesukaran dalam kehidupan manusia. Sebagai contoh, pensyariatan solat jamak dan
qasar bagi golongan musafir. Orang yang berada dalam perjalanan jauh agak
sedikit sukar untuk solat fardhu mengikut ketetapan masa sebenar kerana
beberapa pertimbangan keletihan dalam perjalanan. Oleh itu syariat solat jamak
dan qasar telah memudahkan para musafir untuk merancang perjalanan dengan baik
dan selamat.
Peringkat ketiga pula ialah yang disebutkan sebagai at-Tahsiniyyat.
Imam al-Ghazali menyebut maksud at-Tahsiniyyat adalah kemaslahatan yang tidak
termasuk dalam kategori darurah (daruriyyat) mahupun hajah (hajiyyat), akan
tetapi ianya bersifat memperelok, memperindah dan mempermudahkan, demi mencapai
keistimewaan dan nilai tambah serta menjaga metode terbaik berkaitan kebiasaan
dalam kehidupan dan juga muamalat. Ini bermakna dapat kita fahami bahawa
at-Tahsiniyyat merupakan perkara-perkara yang bersifat menyempurnakan dan
mencantikkan urusan manusia. Ketiadaan perkara-perkara al-tahsiniyat tidaklah
sehingga membawa kepada kesukaran dalam hidup manusia seperti mana ketiadaannya
perkara-perkara al-daruriyat dan al-hajiyat, namun kewujudannya akan membawa
kepada kehidupan yang lebih baik dan sempurna buat umat manusia. Contoh bagi
perkara at-Tahsiniyyat ialah seperti sunat mandi jumaat, memakai wangian untuk
ke masjid, dilarang untuk meminang diatas pinangan orang lain dan sebagainya.
Demikianlah antara sedikit penjelasan yang menerangkan tentang
pengenalan ilmu maqasid syariah. Ilmu ini adalah sangat penting untuk umat
Islam kuasainya agar roh sesuatu pensyariatan itu bukan sekadar dilaksanakan
tetapi dihayati dan diperhalusi oleh jantung hati yang luhur. Selain ilmu ini
juga sangat penting untuk difahami khususnya oleh para ulama (fuqaha') yakni
mereka yang ahli dan pakar dalam bidang ilmu fiqh kerana mereka lah barisan utama
yang memahamkan umat Islam yang lainnya. Telah berkata Dr. Ahmad ar-Raysouni
sepertimana yang dinukilkan dalam kitab Mudharat fi Maqasid as-Syariah,
beliau menyebut bahawa pengetahuan mengenai maqasid syariah adalah satu
keperluan kepada para fuqaha’ dalam segenap segi dan wajah ijtihad. Ungkapan
ini sudah memadai untuk kita renungi bersama supaya sesuatu syariat itu
dihayati dan disemai dengan semangat pemahaman dan bukan bersifat ritual
semata-mata. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan